Tiada siapa berani menyanggah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerana dia orang Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dianggap sebagai ‘singa’ turut dilabel sebagai orang kuat ‘Zahid’ di kalangan pemimpin UMNO yang merujuk kepada kem Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ab Rauf yang juga memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri bertindak membubarkan DUN selepas empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri (KM) Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga kehilangan majoriti.
Beberapa sumber dalaman parti memberitahu Agenda Daily, Ab Rauf digeruni dan ditakuti pemimpin UMNO negeri itu kerana mempunyai hubungan rapat dengan Zahid, malah mempunyai pengaruh yang berkuasa kerana status orang ‘Zahid’ yang dipegangnya.
“Siapa berani dengan Rauf, semua orang UMNO tahu hubungan rapat dia dengan Zahid… Malah, di kalangan orang UMNO di Melaka sudah mengetahui perkara tersebut sejak sekian lama,” kata sumber UMNO itu.
Tindakan pembubaran DUN oleh Ab Rauf memberi implikasi besar kepada krisis politik di Melaka kerana ia mengakibatkan satu pilihan raya negeri (PRN) perlu dijalankan untuk memilih kerajaan baharu.
Tindakan tersebut amat berani kerana walaupun krisis politik negara melanda baru-baru ini di peringkat pusat, mantan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertindak sehingga ke tahap untuk membubarkan Dewan Rakyat kerana tidak mahu pilihan raya umum (PRU) diadakan.
Muhyiddin yang ditekan oleh kumpulan diketuai Zahid mengambil pendekatan untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengambil kira situasi krisis kesihatan yang sedang melanda negara.
Bagaimanapun, tindakan Ab Rauf tersebut seolah-olah tidak memikirkan kesan kepada rakyat di Melaka yang terjejas punca pendapatan serta kehidupan seharian akibat Covid-19.
Reaksi orang ramai khususnya di Melaka amat kecewa dengan satu lagi krisis politik yang berlaku, malah ia dikecam hebat kerana tidak sensitif dengan kesusahan rakyat dihadapi ketika ini.
Beberapa pemerhati politik juga menyifatkan tindakan pembubaran DUN tersebut sebagai tidak wajar pada ketika penularan Covid-19 semakin reda dan jika diteruskan juga PRN, dibimbangi episod sama di Sabah bakal berulang.
Berhubung keputusan Ab Rauf membubarkan DUN, sumber memberitahu mustahil tindakan drastik tersebut tidak dikaji terlebih dahulu oleh pemimpin atasan UMNO tanpa memikirkan kesannya.
“Mustahil Rauf tidak merujuk dahulu kepada Zahid, beliau boleh menghubungi Presiden dahulu untuk bertanyakan pandangan sama ada wajar atau tidak membuat keputusan tersebut.
“Hubungan rapatnya dengan Zahid, tidak bolehkah beliau rujuk kepada Zahid… Ini yang menjadi persoalan, kini UMNO pula dalam dilema kerana sudah takut dengan tindak balas rakyat terhadap keputusan tersebut,” kata sumber lagi.
Untuk rekod, Zahid pada awalnya berkata tidak kisah sekiranya kerajaan UMNO di Melaka tumbang dan memberi laluan kepada PRN dijalankan untuk rakyat memilih kerajaan baharu.
Namun, nadanya bertukar dan seakan-akan memberi isyarat tidak merelakan PRN diadakan pada ketika rakyat masih bergelut dengan pandemik Covid-19.
Terdahulu, bekas KM Datuk Seri Idris Haron berkata, ada ‘dua singa di atas gunung’ yang menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Sulaiman menjadi kelam-kabut.
Idris mendakwa, Sulaiman tidak mampu membuat keputusan mengenai perkara penting dalam pentadbiran kerana terpaksa tunduk kepada kata putus Speaker DUN, Ab Rauf.
Melepaskan rasa tidak puas hatinya, Idris berkata tindakan Ab Rauf memegang jawatan Speaker DUN tidak sepatutnya berlaku kerana sesiapa yang mempunyai kepentingan politik tidak seharusnya mentadbir DUN.
Untuk rekod Ab Rauf adalah bekas Setiausaha Kerja UMNO Malaysia dan bukan wakil rakyat mewakili mana-mana kawasan Parlimen atau DUN di Melaka.
“Ini menyebabkan persidangan DUN Melaka tidak dapat dijalankan dengan baik kerana Speaker tidak dapat mentadbir dengan baik,” kata Idris mengkritik Ab Rauf baru-baru ini.
Idris yang juga ADUN Sungai Udang mengetuai kumpulan empat ADUN yang menjadi punca kepada kekalutan politik di Melaka sehingga tumbangnya kerajaan negeri dipimpin UMNO.
-Agenda Daily