"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 6 Ogos 2021

Covid19: Siti Sarah ditidurkan kerana oksigen tidak stabil - Shuib Sepahtu

 Shuib berkongsi foto yang dirakam ketika dia dan anak-anak berinteraksi dengan Siti Sarah yang menjalani rawatan di ICU HCTM, melalui entri Instagram (IG). Foto IG Shuib Sepahtu

Shuib berkongsi foto yang dirakam ketika dia dan anak-anak berinteraksi dengan Siti Sarah yang menjalani rawatan di ICU HCTM, melalui entri Instagram (IG). Foto IG Shuib Sepahtu

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 36, yang sarat hamil tujuh bulan, terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, berikutan tahap oksigen tidak stabil.

Suami Siti Sarah, pelawak Shuib Sepahtu meminta peminat mendoakan agar isteri dan bayi dikandung, diberi kekuatan dan kembali sihat.

"Pagi tadi, isteri saya dimasukkan ke ICU disebabkan oksigen yang tidak berapa stabil. Keadaan isteri tidak berapa baik.

"Saya mohon pada hari baik, hari Jumaat, doakan Sarah dan anak dalam kandungan. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Allah berikan kekuatan untuk mereka.

Doktor dijangka melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan Siti Sarah, petang ini. Foto IG Shuib Sepahtu
Doktor dijangka melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan Siti Sarah, petang ini. Foto IG Shuib Sepahtu

"Semoga Allah merahmati kita semua," katanya melalui entri dimuat naik di Instagram (IG).

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya, suami dan tiga cahaya mata positif COVID-19.

Siti Sarah dan keluarga mengambil ujian saringan COVID-19 selepas pembantu rumah disahkan dijangkiti virus berkenaan, pada 25 Julai lalu.

Sementara itu, syarikat pengurusan Siti Sarah, Indigital Music menjelaskan penyanyi itu ditidurkan bagi membolehkan dirinya berehat, badan tidak bekerja kuat dan mengelak banyak berfikir.

Pengurus Siti Sarah, Nana Mohd Rom berkata, Shuib memberitahu syarikat pengurusan bahawa doktor terpaksa menidurkan Siti Sarah untuk membolehkannya berehat.

"Shuib akur apa sahaja yang disarankan hospital, demi kebaikan isterinya itu," katanya.

Majlis bacaan yasin dan doa selamat untuk Siti Sarah secara maya dianjurkan pada jam 12.30 tengah hari tadi, dipimpin Iman Muda Asyraf.

Sementara itu, maklumat terbaharu yang diterima daripada Indigital Music menyatakan, paras oksigen Siti Sarah semakin baik dan doktor dijangka melakukan pembedahan mengeluarkan bayi, pada jam 2 petang ini.

Siti Sarah dikejarkan ke hospital Rabu lalu selepas batuk dan mengadu tidak selesa berikutan tahap oksigen yang menurun.

Siti Sarah sepatutnya memotong gelang pada hari sama dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, Shuib bersama tiga cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan negatif selepas kuarantin 14 hari.

-BH Online

31 Ahli Parlimen UMNO, BN umum sokong PN


KUALA LUMPUR: Seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini, menyatakan sokongan dan kekal bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika mengumumkan pendirian itu, mereka juga menyokong supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepemimpinan Perdana Menteri ditentukan ketika persidangan Parlimen pada September depan.

Pendirian itu dinyatakan dalam sidang media yang dihadiri 21 Ahli Parlimen UMNO dan BN, diketuai Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 10 lagi Ahli Parlimen UMNO, BN yang bersetuju mengambil pendirian sama, tidak hadir ketika sidang media terbabit.

Ismail Sabri berkata, pendirian 31 ahli Parlimen itu diputuskan bersandarkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya pentadbiran kerajaan hari ini diteruskan sehinggalah keabsahannya ditentukan pada sidang Parlimen bulan depan.

Berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong, katanya, semua ahli Parlimen boleh menentukan sendiri pendirian masing-masing sama ada menyokong atau tidak usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan.

 "Jelas bahawa baginda mahu supaya persidangan Parlimen diadakan dan penentuan sama ada kerajaan ini akan terus berfungsi selepas September, ditentukan oleh Ahli Parlimen sendiri.

"Kami Ahli Parlimen yang setia kepada Yang di-Pertuan Agong akan patuh kepada titah baginda, dan apa jua perkara yang nak diselesaikan perlu dilakukan di Parlimen.

"Ini jelas bahawa pihak istana tidak lagi menerima akuan bersumpah atau surat sokongan. Jelas bahawa kenyataan Presiden UMNO yang mengatakan akan menghantar surat akuan (menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri), adalah bertentangan dengan perkenan dan keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Selain Ismail Sabri, 17 lagi Ahli Parlimen yang hadir adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap); Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau); Datuk Seri Idris Jusoh (Besut); Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak); Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin); Tan Sri Annuar Musa (Ketereh); Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Selain itu, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran); Mohd Shahar Abdullah (Payar Besar); Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas); Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu); Datuk Salim Sharif (Jempol); Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M Saravanan (Tapah).

Tiga Ahli Parlimen yang menandatangani pendirian berkenaan namun tidak hadir adalah Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) dan Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin).

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan, 10 lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan.

Mereka ialah Khairy Jamaluddin (Rembau); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas); Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).

Selain itu, Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan); Datuk Mohamad Alamin (Kimanis); Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar); Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit); Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya) dan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Ismail Sabri berkata, tindakan meninggalkan kerajaan (PN) secara tergesa-gesa dan menumbangkan kerajaan sedia ada ketika ancaman COVID-19 adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Justeru, Ismail Sabri mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak mengambil tindakan yang boleh merugikan parti dan membebankan rakyat.

Varian Delta: Vaksin sedia ada berfungsi, 'booster' diberi jika perlu - Pakar

 Varian Delta: Vaksin sedia ada berfungsi, 'booster' diberi jika perlu - Pakar

Suntikan booster boleh dilaksanakan untuk meningkatkan antibodi tetapi vaksin yang ada sudah mampu memberi perlindungan yang diperlukan. -Foto/Bernama
KUALA LUMPUR: Vaksin dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) merupakan dua cara terbaik bagi menghalang berlakunya mutasi virus.
Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, mutasi virus adalah proses semulajadi selepas berlakunya jangkitan dalam sel manusia.
Virus COVID-19 sudah beberapa kali bermutasi, namun varian Delta yang kini dominan di seluruh dunia merupakan yang paling berbahaya ketika ini dan mencetuskan kebimbangan.
"Mutasi berlaku semasa proses replikasi untuk menghasilkan virus baharu, yang berlaku selepas berlakunya jangkitan.
"Lebih banyak jangkitan, lebih banyak replikasi dan meningkatkan kemungkinan berlakunya mutasi.
"Tetapi dengan vaksin, ia akan memberi rintangan dan halangan kepada proses replikasi, sekali gus mengurangkan kemungkinan mutasi," katanya.
Jelas Dr Yahya, vaksin yang ada ketika ini semuanya berfungsi terhadap varian Delta, namun apa yang yang perlu difahami adalah tahap keberkesanannya.
"Apabila muncul varian baharu, bukanlah bermaksud vaksin yang ada terus tidak berkesan. Cuma, antibodi yang terhasil akan menghadapi masalah untuk berinteraksi atau mengenali virus.
"Untuk mengatasi masalah ini, kandungan atau kepekatan antibodi perlu ditingkatkan. Kerana itu ada beberapa syarikat pengeluar seperti Pfizer dan Sinovac membangunkan dos ketiga sebagai booster.
"Tetapi kita kena tahu beza penurunan antibodi dengan apa yang disebut sebagai immunological memory atau penghasilan memory B cell dan memory T cell.
"Kesemua vaksin yang kita ada sekarang mampu menghasilkannya dan inilah yang paling diperlukan untuk melawan jangkitan," katanya dalam sesi Wacana Sinar berjudul Varian Delta: Ancaman Sistem Negara, pada Khamis.
Beliau berpendapat, pilihan vaksin yang dimiliki negara ketika ini sudah cukup dan apa yang perlu kini ialah mewujudkan imuniti kelompok secepat mungkin.
"Kita sudah ada vaksin yang mencukupi. Apa yang penting sekarang ialah penglibatan orang ramai untuk mendapatkan vaksin.
"Kalau kita lihat sekarang, kadar jangkitan kita walaupun kadar pemberian vaksin juga tinggi.
"Jadi saya fikir kita kena lihat bukan pada angka jangkitan sahaja tetapi pada jumlah jangkitan, berapa ramai yang sudah divaksinasi dan berada dalam Kategori 1 atau 2.
"Ini kerana mereka yang sudah divaksin dan berada dalam dua kategori ini, kebarangkalian mereka untuk ke kategori lebih tinggi itu kecil.
"Secara tidak langsung ia akan mengurangkan beban sistem kesihatan dan itu yang kita mahu," ujarnya.
Dr Yahya juga merasakan negara bersedia untuk melaksanakan suntikan booster, namun ia tidak bermakna suntikan itu perlu dibuat dalam tempoh terdekat.
"Kerajaan telah memaklumkan yang bajet bagi perolehan suntikan booster ini akan dibentangkan di Parlimen untuk kelulusan, jadi ini perkembangan baik.
"Kita tak perlu terburu-buru kerana vaksin yang ada sekarang berfungsi.
"Suntikan booster boleh dilaksanakan untuk meningkatkan antibodi, tetapi vaksin yang ada ini sudah boleh beri kita perlindungan yang diperlukan," katanya.
-Astro Awani

Covid19: Varian Delta punca jangkitan utama di Lembah Klang


 Varian Delta Covid-19 mempunyai kadar kebolehjangkitan berbeza dan mengambil masa untuk landai. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Jangkitan utama Covid-19 di Lembah Klang disebabkan oleh varian Delta, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Keong.

Menurutnya, varian Delta Covid-19 mempunyai kadar kebolehjangkitan berbeza dan mengambil masa untuk landai.

-SH Online

Harga tiket ke angkasa lepas RM1.8 juta


Gambar fail menunjukkan kapal angkasa VSS Unity bergerak ke angkasa lepas dari sebuah gurun di Texas pada Julai lalu. - Foto AFP

WASHINGTON - Syarikat penerbangan Virgin Galactic mengumumkan pada Khamis bahawa ia menetapkan harga tiket kepada sesiapa yang berkemampuan ke angkasa lepas pada harga AS$450,000 (RM1.8 juta).

Harga itu adalah dua kali ganda berbanding AS$200,000 (RM843,700) hingga AS$250,000 (RM1.05 juta) yang dibayar oleh kira-kira 600 orang bagi menempah kerusi penerbangan tersebut antara tahun 2005 dan 2014 sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Michael Colglazier dalam satu kenyataan berkata, pihaknya gembira mahu membuka pintu kepada industri dan pengalaman baharu kepada para pengguna.

 Pada 11 Julai lalu, pemilik syarikat Virgin Galactic yang juga seorang bilionair, Richard Branson berjaya terbang ke angkasa lepas selama beberapa minit dengan menaiki sebuah kapal angkasa buatan syarikatnya sendiri.

Beliau yang berumur 70 tahun menaiki penerbangan itu bersama dua juruterbang dan tiga lagi penumpang dengan menaiki kapal angkasa VSS Unity dari sebuah gurun di Amerika Syarikat (AS).

Sembilan hari kemudian, bilionair paling kaya di dunia, Jeff Bezos juga berjaya pergi ke angkasa lepas dengan menaiki roket buatan syarikatnya sendiri bersama adiknya, bekas juruterbang wanita, Wally Funk berusia 82 tahun dan seorang remaja berumur 18 tahun. - Agensi

Tular surat UMNO kepada Menteri, Timbalan Menteri tuntut letak jawatan segera

Surat yang sedang tular dalam media sosial.

Sepucuk surat dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung UMNO sedang tular dalam media sosial yang dihantar kepada semua Ahli-ahli Parlimen (MP) parti itu termasuk Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti itu menuntut mereka meletak jawatan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam surat tersebut bertarikh 5 Ogos tersebut, dipercayai dihantar kepada semua MP UMNO menjelaskan pendirian parti yang membuat ketetapan pada Selasa lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kandungan surat tersebut turut membangkitkan isu derhaka yang dilakukan kerajaan PN berhubung isu perbahasan Ordinan-ordinan Darurat dan tindakan kerajaan PN yang dianggap membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong semasa Sidang Khas Dewan Rakyat minggu lalu.

Dalam surat tersebut juga, peringatan diberikan kepada ahli-ahli UMNO untuk menghormati segala perintah dan keputusan parti selari dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO.

Surat tersebut juga menuntut mana-mana pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN supaya meletak jawatan daripada kerajaan PN selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa lalu.

“Justeru itu, adalah perlu untuk mana-mana Ahli UMNO mematuhi dan menghormati segala perintah dan keputusan parti selaras dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO dengan cara menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meletakkan segala jawatan yang dilantik oleh kerajaan Perikatan Nasional selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO tersebut,” kata surat tersebut.

Dalam muka surat terakhir, MP UMNO tersebut perlu menyatakan pendirian mereka sama ada menyokong kerajaan PN atau tidak yang perlu diisi pada ruang kosong oleh MP tersebut.

Terdahulu UMNO menerusi kenyataan Zahid pada Selasa lalu mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Untuk rekod, hanya seorang menteri dari UMNO yang meletak jawatan sejak keputusan Mesyuarat MT tersebut diputuskan, iaitu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

-Agenda Daily

Nazri, Shahidan tak mahu layan surat UMNO tuntut pendirian

 

Dua pemimpin senior UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Nazri Aziz tidak mahu melayan surat diberikan Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dua pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Shahidan Kassim tidak akan melayan surat yang dihantar pejabat Setiausaha Agung UMNO yang menuntut Ahli-Ahli Parlimennya (MP) untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong kerajaan Perikatan Nasional atau sebaliknya.

Nazri berkata tidak ada keperluan untuk menjawab surat tersebut, sebaliknya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melakukan kesalahan kerana bersekongkol dengan cikgunya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP perlu dikenakan tindakan.

“Saya mengesahkan telah menerima surat dari Setiausaha Agung UMNO menerusi WhatsApp hari ini. Saya tidak akan jawab surat tersebut kerana saya tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Yang sepatutnya diberi surat tunjuk sebab adalah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau jelas melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU). Ini jelas menerusi klip audio perbualan beliau dengan Anwar selepas PAU pada Mac lalu yang tersebar sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu.Shahidan pula membidas Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak berhak untuk meminta penjelasan daripada MP Barisan Nasional (BN) dan hanya akan menjawab kepada keputusan Majlis Tertinggi BN sahaja.

“Ahmad Maslan tiada hak kepada MP. Saya hanya akan jawab kepada Keputusan Majlis Tertinggi BN.

“Saya MP BN, walaupun saya bertanding mewakili UMNO, saya adalah MP BN dan BN perlu membuat sesuatu sebelum kami membuat keputusan,” kata MP Arau itu kepada Agenda Daily.

Terdahulu, Agenda Daily melaporkan sepucuk surat dikeluarkan pejabat Setiausaha Agung UMNO sedang tular dalam media sosial yang dihantar kepada semua MP parti itu termasuk Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti itu menuntut mereka meletak jawatan daripada kerajaan PN.

Dalam surat tersebut bertarikh 5 Ogos tersebut, dipercayai dihantar kepada semua MP UMNO menjelaskan pendirian parti yang membuat ketetapan pada Selasa lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam surat tersebut juga, peringatan diberikan kepada ahli-ahli UMNO untuk menghormati segala perintah dan keputusan parti selari dengan Fasal 20.9 (b) dan Fasal 20.9 (d) Perlembagaan UMNO.

Surat tersebut juga menuntut mana-mana pemimpin UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan PN supaya meletak jawatan mereka selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO pada Selasa lalu.

Pada Selasa, UMNO menerusi kenyataan Zahid mengisytiharkan parti itu menarik semula sokongan terhadap PN dan Muhyiddin.

Bagaimanapun Muhyiddin dalam kenyataannya semalam mendakwa masih mempunyai majoriti sokongan dan akan dibuktikan keabsahan dalam sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Untuk rekod, hanya seorang menteri dari UMNO yang meletak jawatan sejak keputusan Mesyuarat MT tersebut diputuskan, iaitu Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

-Agenda Daily

Kemelut Politik Akan Burukkan Krisis Pandemik Negara

 

KUALA LUMPUR: Percaturan politik dan perebutan kuasa yang berlaku ketika kes harian dan kematian terus melonjak, dikhuatiri mendorong krisis pandemik negara terjerumus ke tahap lebih buruk.

Pakar kesihatan dan badan bukan kerajaan (NGO) berpandangan, perebutan kuasa tidak berkesudahan menjejaskan tumpuan terhadap usaha menangani COVID-19 yang berisiko menyebabkan angka kematian terus melonjak dan rakyat menjadi mangsa.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan am, Dr Hanafiah Bashirun, berpandangan percaturan politik ketika ini akan menyebabkan kesan domino di pelbagai peringkat merangkumi kesihatan, ekonomi dan sosial.

Beliau berkata, percaturan politik yang bermula hujung bulan lalu boleh menyebabkan usaha mengubah status semua negeri ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara awal bulan ini, tergendala.

"Nyawa rakyat sedang terancam akibat penularan varian Delta, jadi ahli Parlimen perlu turun dan ambil tahu sama ada hospital di kawasan mereka cukup untuk tampung pesakit, adakah ventilator dan tenaga kerja mencukupi, berapa jumlah rakyat belum divaksin serta adakah yang terputus bekalan makanan.

"Daripada berhimpun hingga melanggar prosedur operasi standard (SOP), lebih baik kumpulkan idea bagaimana boleh membantu kurangkan beban ekonomi dan sistem kesihatan awam.

"Tindakan mereka melanggar SOP tempoh hari mungkin menggalakkan rakyat berbuat perkara sama, di samping menjejaskan motivasi petugas barisan hadapan yang sudah kepenatan melawan COVID-19 sejak lebih setahun lalu.

"Apabila rakyat mula mengabaikan SOP dan petugas kesihatan kepenatan dan hilang fokus, ini akan menyumbang kepada peningkatan kes kematian.

"Dalam perebutan kuasa ini, rakyat yang menjadi mangsa," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas kemelut politik yang berlaku ketika ini selepas UMNO mengumumkan menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetus persoalan sama ada pentadbiran sedia ada kekal memerintah.

Bagaimanapun, Muhyiddin semalam memaklumkan menerima surat akuan mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat, sekali gus masih memiliki sokongan majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri dan akan dibuktikan menerusi usul undi percaya kepadanya di Parlimen, bulan depan.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berpandangan isu politik ketika ini menyebabkan tumpuan tidak lagi ke arah usaha memerangi COVID-19.

"Apabila percaturan politik berlaku, perhatian, masa dan wang tidak lagi tertumpu ke arah kebajikan rakyat serta kesihatan awam.

"Kita sedang berperang dengan COVID-19, jadi kita perlukan semua 'jeneral' yang ada ada untuk memberi tumpuan 100 peratus terhadap perang.

"Saya bimbang pemimpin akan mula mengalihkan fokus untuk meraih undi dan sokongan, berbanding membantu rakyat yang bergelut dengan kelangsungan hidup," katanya.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan dan Bencana Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose, yakin negara akan berdepan masalah jika pemimpin hanya memikirkan soal kuasa ketika jangkitan dan kes kematian COVID-19 terus memuncak.

"Kita akan ada masalah jika pemimpin bangun pagi hanya memikirkan soal bagaimana untuk mendapatkan sokongan majoriti sedangkan kes COVID-19 meledak dan kematian memuncak.

"Keutamaan seharusnya diberi kepada soal nyawa," katanya dalam catatan ringkas di Facebook.

Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, menegaskan perubahan kepemimpinan pada waktu ini bukan penentu bilangan kes jangkitan COVID-19 akan menurun.

Meskipun akur dengan keperluan menyelesaikan polemik kepemimpinan negara, beliau percaya perubahan tampuk pemerintahan ketika ini berisiko merumitkan keadaan apabila dasar negara bertukar dalam menentukan proses arah tuju pemulihan negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pembangkang bersama-sama berusaha ke arah 'pelan keluar' untuk membuka kembali sektor ekonomi, pendidikan dan sosial kerana penutupan sektor berkenaan menimbulkan masalah kesihatan mental dan sosial.

"Negara masih berdepan penularan varian Delta yang 40 hingga 60 peratus lebih cepat berjangkit, manakala jumlah yang belum lengkap divaksin adalah 87 peratus daripada 19,000 kes positif dilaporkan semalam.

"Majoritinya dalam kategori tiga, empat dan lima.

"Tindakan ahli politik kedua-dua pihak yang mula mengadakan himpunan protes dan pertemuan politik melanggar SOP meningkatkan kemarahan rakyat dalam keadaan mereka sedaya upaya mematuhi peraturan.

"Krisis kepercayaan rakyat kepada pimpinan akan lebih meruncing jika sasaran 80 peratus populasi divaksin tidak dicapai menjelang Oktober depan.

"I-Medik meminta pemimpin dan ahli politik baik blok kerajaan dan pembangkang meletakkan keutamaan menjayakan program vaksinasi dan memastikan pemulihan COVID-19 tidak terjejas dalam menangani kemelut politik," katanya.

Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid yang terbabit menguruskan kes kematian COVID-19, menyifatkan perebutan kuasa politik menyebabkan pihak sepertinya dalam keadaan tersepit.

"Kita akui perlunya semak dan imbang menerusi Parlimen, namun isu politik ini tidak kena pada masanya kerana ia akan memburukkan situasi, khususnya angka kematian pesakit COVID-19.

"Dalam keadaan hospital dan NGO seperti kami sudah tidak menang tangan mengendalikan kes kematian yang bertambah serta beberapa isu lain yang merumitkan pengurusan jenazah, kemelut politik ini boleh memburukkan keadaan," katanya.

Muhammad Rafieudin berkata, situasi pengurusan jenazah COVID-19 ketika ini lebih buruk berbanding beberapa bulan terdahulu, apabila menerima antara 30 hingga 40 panggilan sehari dengan majoritinya di Lembah Klang.

"Tapi hampir separuh daripadanya kami terpaksa tolak kerana jabatan agama mahu uruskan sendiri, menyebabkan ada jenazah yang terpaksa diuruskan pada hari yang lain," katanya lapor BH

Khamis, 5 Ogos 2021

Ahmad Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri

 

AHMAD FAIZAL AZUMU

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, beliau merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang juga Ahli Parlimen Tambun dan bekas Menteri Besar Perak.

Katanya, beliau akan bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

“Pejabat ini mengucapkan tahniah kepada Ahmad Faizal di atas pelantikan ini,” katanya hari ini.-Utusan Online

Kelonggaran SOP: ‘Esok atau lusa saya umum kelonggaran’ – PM

 

MUHYIDDIN Yassin (tengah) melawat PPV bergerak yang dikendalikan di Felda Batu 27 Lenga di Pagoh, Muar di Johor. - UTUSAN/NUR ALINA HASSAN

PAGOH: Perdana Menteri akan membuat pengumuman mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada penerima lengkap dua dos vaksin sama ada pada esok atau lusa bagi memberi keselesaan kepada rakyat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa kelonggaran telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya, antara kelonggaran yang dipertimbang MKN termasuk kebenaran rentas negeri dan daerah bagi berjumpa ahli keluarga, makan di premis serta menjalani aktiviti sukan atau sosial tertentu.

“Esok atau lusa saya buat pengumuman, ini yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang sudah dapat dua dos, saya pun sudah dapat dua dos tetapi masih tersekat kerana kita belum lagi umum apa-apa kelonggaran seperti contoh rentas negeri atau daerah nak jumpa ibu bapa atau suami isteri yang terpisah.

“Itu kita akan putuskan sehari atau dua hari dari sekarang, di samping itu sektor-sektor sosial yang orang tunggu juga (iaitu) ‘dine in’ nak duduk bersama keluarga, suami isteri.

“(Bila) kita umum nanti, restoran boleh dibuka dan kedai-kedai lain juga boleh dijadikan tempat untuk kita beli dan berbelanja,” katanya ketika ditemui di Felda Batu 27 Lenga di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di penempatan itu di samping menyampaikan barangan basah kepada masyarakat Felda Maokil.

Namun, Muhyiddin mengingatkan meskipun kelonggaran akan diumumkan, masyarakat masih perlu menyedari bahawa negara masih belum mencapai nilai ambang yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Tetapi saya cuma nak ingatkan kita belum sampai nilai ambang atau imuniti kelompok walaupun ada keterbukaan, ini kita nasihat kerana warga kita masih belum divaksin 100 peratus.

“Bagaimanapun saya berharap ada keselesaan dan masa untuk masyarakat beriadah, bersukan main tenis, badminton, golf atau pun berkunjung ke gimnasium. Ini semua dipertimbang MKN dan setuju pada dasarnya cuma belum umum,” katanya.-Utusan Online