"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Rabu, 1 Disember 2021

Apa Hukum Menjual Beli Pokok Keladi Dengan Harga Melampau? Ini Penjelasan Mufti

 


Sejak akhir-akhir ini, memiliki pokok hiasan seperti keladi eksotik seakan-akan menjadi kegilaan orang ramai ketika ini sehingga ia menjadi fenomena dalam urusan penjualan.

Mana tidaknya, harga pokok tersebut mampu mencecah harga ribuan ringgit sehingga orang ramai yang mempunyai hobi mengumpul pokok hiasan sanggup berhabis wang ringgit dalam kadar yang banyak.

Tinjauan Oh! Media juga mendapati harga pokok keladi tersebut boleh didapati bermula dari RM10 hingga RM38,000 bergantung kepada jenis serta baka tumbuhan tersebut.

Bagaimanapun, adakah urusan menjual beli pokok tersebut dengan harga yang tidak masuk akal diperbolehkan dalam ajaran Islam? Sehingga kini, ia masih menjadi tanda tanya orang ramai.

Mufti perjelas urusan penjualan keladi, diperbolehkan dengan bersyarat

Bertindak dengan perkara itu, Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman berkata, penjualan pokok hiasan termasuklah keladi eksotik ini dengan harga mahal diperbolehkan dengan bersyarat.

Syaratnya ialah kedua-dua pihak perlu bersetuju dengan harga tersebut dan tidak salah jika ia dijual dengan mahal kerana bukan berbentuk barangan keperluan asasi seperti makanan.

Sumber: Facebook

Bergantung kepada pilihan dan kesediaan pembeli itu sendiri, jika sanggup membayar dengan harga yang mahal ditetapkan penjual tidak menjadi kesalahan di sisi agama.

 Selagi tiada elemen paksaan dan penganiayaan kepada pembeli ia tidak menimbulkan masalah dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Tambahnya, penjualan barangan bukan keperluan itu bergantung kepada kesudian pembeli atau penjual ketika berurusniaga.

Beliau juga mengakui pengumpulan pokok hiasan itu semakin menjadi kegemaran orang ramai, namun jika pembeli mempunyai wang, tiada masalah untuk membeli biarpun dengan harga yang melampau.

Barangan seperti makanan asasi ‘haram’ dijual terlalu mahal

Dalam pada itu, beliau juga turut mengambil contoh barangan yang tidak boleh dijual terlalu mahal iaitu makanan berbentuk asasi seperti nasi.

Hal itu kerana ia merupakan keperluan asas manusia dan tidak boleh dijual dengan mahal sehingga mampu memberikan kesan kepada manusia.

Bagaimanapun, penjualan keladi eksotik itu dilihat semakin mendapat permintaan yang tinggi sehingga harganya meningkat secara mendadak walaupun pada asalnya berharga rendah.

Semua orang tahu, keladi eksotik berharga tinggi kerana permintaannya yang meningkat. Oleh itu tidak hairanlah keladi yang selama ini berharga murah menjadi mahal sekarang.

Mengakhiri ulasannya, beliau turut berharap agar para peniaga keladi eksotik ini tidak mengunakan elemen penipuan semasa berurusniaga dan perlu dijual mengikut harga yang sepatutnya.

Kredit: Harian Metro

Sumber:ohmedia.my

Selasa, 30 November 2021

Tahniah: KL City juara sensasi Piala Malaysia

 ZHAFRI (kanan) meraikan jaringan KL City. FOTO Aizuddin Saad

ZHAFRI (kanan) meraikan jaringan KL City. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Penantian 32 tahun Kuala Lumpur City bergelar juara Piala Malaysia berakhir apabila berjaya menundukkan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jelas sekali taktikal pengendali Kuala Lumpur Bojan Hodak bertahan dahulu menyerang kemudian berhasil apabila berjaya memerangkap juara lapan kali Liga Super itu sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada edisi terdahulu.

Lebih manis lagi kejayaan dikecapi Kuala Lumpur yang turun dengan barisan pemain agak terhad adalah pada ulang tahun ke-100 piala tertua di Asia Tenggara itu.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan lebih menguasai perlawanan dengan mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan.

Malah penyerang JDT Bergson Da Silva hampir meletakkan Harimau Malaya di depan seawal minit ke-9 namun sepakannya terkena tiang sekali gus menyelamatkan pintu gol Kuala Lumpur.

Skuad The City Boy pula mengamalkan corak bertahan dan hanya beberapa kali mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan namun gagal menghasilkan sebarang gol.

Separuh masa kedua, Kuala Lumpur mula menunjukkan belang apabila mengatur serangan bertali arus ke kubu lawan.

Ternyata tindakan Bojan yang mengubah taktikal kepada menyerang menjadi apabila pemain sayapnya Zharif Yahya berjaya menyumbat gol pertama perlawanan pada minit 67 untuk kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, pengendali Harimau Selatan melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Nazmi Faiz, Corbin Ong, Mohamdou Sumareh dan Syafiq Ahmad untuk menambah sengat di bahagian serangan. Namun, Kuala Lumpur pula menambah derita JDT apabila penyerang importnya Paulo Josue berjaya menyumbat gol kedua pada minit 74 untuk skuad The City Boy mendahului 2-0.

Walaupun JDT terus mengasak kubu lawan untuk mencari gol bagi merapatkan jurang namun kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kuala Lumpur berjaya menjulang Piala Malaysia edisi ke-100.-myMetro

Covid 19: MOH Singapura sahkan kesan dua kes positif Omicron

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan penemuan dua kes positif Omicron.

 Dua pengembara dari Afrika Selatan yang transit di Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Australia disahkan positif varian Omicron Covid-19, menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Menurut laporan Bernama, MOH republik itu berkata Kementerian Kesihatan New South Wales (NSW) mengesahkan bahawa kedua-dua pengembara yang tiba di Sydney dari selatan Afrika dengan penerbangan Singapore Airlines SQ211 pada 28 Nov disahkan positif bagi varian baharu itu.

Kementerian berkata pengembara itu berlepas dari Johannesburg pada 27 Nov melalui Singapore Airlines SQ481 dan tiba di Lapangan Terbang Changi pada hari yang sama untuk penerbangan transit mereka.

“Saringan Covid-19 yang dibuat sebelum mereka berlepas di Afrika Selatan pada 27 Nov adalah negatif,” katanya dalam kemas kini harian mengenai Covid-19 lewat malam tadi.

MOH berkata kebanyakan pengembara kekal di kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga berlepas ke Sydney pada 28 Nov, dan tidak memasuki Singapura atau melawat kawasan lain di Lapangan Terbang Changi.

“Enam daripada tujuh penumpang daripada penerbangan itu yang berada di Singapura pada masa ini melaksanakan Notis Duduk Rumah (SHN) 10 hari di kemudahan khas dan akan membuat ujian PCR. Seorang lagi adalah kontak rapat dengan individu yang dijangkiti dalam penerbangan dan sedang dikuarantin,” kata kementerian itu.

Pengesanan kontak sedang dijalankan ke atas kakitangan lapangan terbang yang mungkin menjadi kontak sementara kes itu, kata MOH.-Agenda Daily

Final Piala Malaysia: 5 sebab kenapa JDT, KL City boleh juara

 Barisan kemungkinan kesebelasan utama KL City dan JDT pada aksi final Piala Malaysia malam ini.

Barisan kemungkinan kesebelasan utama KL City dan JDT pada aksi final Piala Malaysia malam ini.

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun ke-100 trofi Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini dengan pentas final menemukan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City (KL City).

Segala kemungkinan boleh berlaku sama ada Harimau Selatan atau City Boys yang akan menjulang trofi tertua Asia itu dalam 90 minit permainan atau selepas tambahan masa dan mungkin juga perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Biarpun JDT yang juga juara dua kali Piala Malaysia menjadi pilihan, namun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan tidak mustahil juara tiga, KL City mampu melakar kejutan.

Apa yang menariknya, kedua-dua pasukan itu masih belum tewas sepanjang Piala Malaysia musim ini dan ia menjadi faktor kecil aksi malam ini juga bakal menarik untuk disaksikan.

BH Sukan menyenaraikan lima sebab yang mungkin boleh menjadi faktor sama ada JDT atau KL City akan berpesta di Bukit Jalil.

LIMA SEBAB KENAPA JDT BOLEH JUARA

1. 'Raja Bola Sepak Malaysia'

Tiada siapa yang boleh menyangkal bahawa Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah 'Raja Bolasepak Malaysia' dalam kancah liga tempatan ketika ini.

Barisan pemain bintang dan berstatus skuad kebangsaan dimiliki Harimau Selatan bukan sahaja untuk skuad utama, malah pemain simpanan Harimau Selatan juga terdiri daripada yang gred 'A'.

Maka, tidak hairanlah jika hampir 100 peratus peluang untuk muncul juara Piala Malaysia musim ini lebih memihak anak buah Benjamin Mora.

Berbanding dengan status 'underdog' di pegang KL City, pemain JDT akan berusaha sedaya upaya untuk mengelak berdepan malu besar sekiranya tersungkur di pentas final Piala Malaysia.

2. Skuad sempurna

Bermula dari penjaga gol hingga bahagian serangan, tiada posisi yang boleh dianggap lemah dalam skuad JDT jika mereka berdepan pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Kehadiran Shane Lowry pada pertengahan musim memperkuatkan lagi pertahanan Harimau Selatan.

Kekuatan jentera tengah yang dibarisi Natxo Insa, Leandro Velazquez dan Afiq Fazail seakan sukar ditandingi pasukan lawan.

Malah, JDT turut memiliki ketajaman penyudah dari mesin gol mereka, Bergson Da Silva yang dibantu dengan kelincahan Arif Aiman Hanapi dan Gonzalo Cabrera di bahagian kanan dan kiri.

Tujuh gol yang diledak Bergson sepanjang Piala Malaysia musim ini cukup untuk menjadikan dia pemain paling berbahaya buat KL City.

3. Pengalaman pentas akhir

Pentas final boleh dikatakan tidak asing lagi bagi JDT dalam pertandingan domestik.

Jika dilihat dalam saingan Piala Malaysia sejak 2014, JDT pernah mara ke final sebanyak tiga kali yang mana dua kali muncul juara pada 2017 dan 2019.

Ia menunjukkan perbezaan ketara dengan KL City yang sudah 32 tahun tidak berada di pentas final saingan tertua Asia Tenggara itu selepas kali terakhir pada 1989.

Bukan sahaja final sebenar, malah barisan pemain JDT juga sentiasa mengharungi 'perlawanan akhir' termasuk dalam Liga Super kerana setiap pasukan yang menentang mereka akan bermain mati-matian ibarat final.

Jadi, pengalaman beraksi di pentas akhir ini menjadi kelebihan buat JDT untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.

4. Aura TMJ

Aura Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT sentiasa menjadi kekuatan buat Harimau Selatan apabila setiap kali berdepan perlawanan penting.

Ketegasan dan keinginan TMJ yang mahu Harimau Selatan sentiasa memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan tidak akan memberi ruang buat anak buah Mora mempamerkan aksi sambil lewa.

Malah, pelbagai kemudahan bertaraf dunia yang disediakan untuk kelab dan kebajikan pemain yang sentiasa terjaga juga dilihat menjadikan pemain Harimau Selatan 'malu' untuk tidak menampilkan persembahan lebih 100 peratus dan mencapai kejayaan buat pasukan.

5. Faktor Benjamin Mora

Enam tahun pengalaman berkhidmat dengan JDT termasuk bersama JDT II cukup menunjukkan bahawa pengendali dari Mexico ini sudah memahami segala kekuatan, kelemahan, falsafah dan keperluan Harimau Selatan.

Senarai nama taruhan utama untuk final Piala Malaysia juga pastinya sudah berada dalam kepala Mora kerana dia sangat mengenali dan mengetahui kekuatan dan kebolehan setiap pemain di semua posisi.

LIMA SEBAB KENAPA KL CITY BOLEH JUARA

1. Status sebagai 'underdog'

Turun sebagai pasukan bukan pilihan, mungkin ini mengurangkan tekanan kepada mereka pada pentas final ini.

'Nothing to lose' buat mereka memandangkan tiada jangkaan tinggi yang diletakkan kepada mereka dan semua tumpuan terarah kepada JDT.

Jadi seperti yang diperkatakan Bojan Hodak selepas mara ke final, nikmati perlawanan akhir ini.

2. Sentuhan Hodak

Pengendali dari Croatia ini bukan nama yang asing dalam kancah bola sepak tempatan kerana pernah melatih beberapa pasukan termasuklah JDT serta berkesempatan bersama skuad B-19 negara.

Hodak juga membuktikan sentuhannya dalam pertandingan berformatkan saingan kalah mati seperti yang pernah ditunjukkan ketika menjulang dua Piala FA dan Piala Malaysia bersama Kelantan.

Sebagai individu yang masak dengan 'permainan' bola sepak Malaysia, sudah tentu dia tahu apa yang perlu dilakukan.

3. Bisa Morales

Penyerang 'bidan terjun' ini mencipta sensasi tersendiri apabila meledak 10 gol dalam kancah Piala Malaysia setakat ini.

Namun dia buntu dalam dua aksi separuh akhir apabila gagal meledak gol namun siapa tahu dia bakal 'meletup' di pentas final nanti.

Tumpuan khusus perlu diberikan pertahanan JDT kepada 'Pembunuh Upahan Colombia' ini kerana dia mampu meledak menggunakan kaki mahupun kepala.

4. 'Nafsu' untuk mencipta sejarah

Mereka menunggu selama 32 tahun untuk ke final, satu penantian yang cukup panjang dan mereka berjaya melakukannya pada musim ini.

Sudah pasti mereka tidak mahu penantian lebih tiga dekad ini berakhir dengan sia-sia tanpa memenangi sebarang gelaran.

5. Tiket ke Piala AFC

Barangkali ini motivasi terbesar untuk KL City FC menuju ke final Piala Malaysia selepas saingan itu menjadi 'pintu belakang' ke pentas Asia musim depan.

Jadi KL City FC perlu memenangi piala ini jika mengimpikan untuk mencuba nasib berentap di Piala AFC musim depan.-BH Online

Jawatan Kosong: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia.(KPDNHEP)


 Permohonan adalah dipelawa daripada Warganegara Malaysia yang berkelayakan dan berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh tutup iklan ditawarkan untuk memohon jawatan kosong di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia.(KPDNHEP)

Jawatan:

1.Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred KP29 -Klik Disini untuk iklan lengkap

Bagi pemohon yang berkelayakan boleh memohon secara online melalui Portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA9)

Klik Disini untuk permohonan secara online

Klik Disini untuk deskripsi tugas jawatan

Tarikh Tutup Permohonan - 13 Disember 2021

Prihatin:Kasih tujuh adik buat abang lumpuh

 

NUR ASA SUHADA (kanan) membantu menguruskan abangnya, Roslan di rumah mereka di Kampung Guntung Dalam, Permaisuri, Setiu baru-baru ini.

SETIU – Demam panas yang dialami sewaktu bayi menyebabkan Roslan Ramli, 37, mengalami kerosakan saraf sehingga dia lumpuh seluruh badan sehingga kini.

Selain terlantar, anak sulung daripada lapan beradik itu juga tidak boleh bercakap dan hanya mampu mengesot badannya untuk bergerak.

Urusan seharian untuk me­nguruskan diri seperti mandi, makan, menukar pakaian dan membuang air kecil serta besar diuruskan sepenuhnya oleh ibunya, Norsiah Awang.

Begitupun, semuanya berubah selepas Norsiah meninggal dunia akibat tekanan darah rendah kira-kira sembilan bulan lalu.

Adik Roslan, Nur Asa Suhada Ramli, 29, berkata, dia dan adik-beradiknya kini yang mengambil alih tugas menjaga abang sulung mereka.

“Pada waktu siang, abang saya lebih gemar berbaring di halaman rumah untuk mengambil angin.

“Kami turutkan kemahuannya kerana sebelum ini perkara itu juga yang telah dilakukan arwah ibu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Guntung Dalam, Permaisuri di sini baru-baru ini.

Nur Asa Suhada berkata, mereka tidak mampu menyediakan kerusi roda bagi kemudahan Roslan bergerak.

Jelas suri rumah itu, ketiadaan kerusi roda itu menyebabkan mereka adik-beradik bergilir-gilir memapah Roslan untuk membantunya melakukan aktiviti ha­rian seperti mandi.

Katanya, mereka tidak mampu membeli kerusi roda kerana bapa, Ramli Deraman, 61, hanya bekerja sebagai pengawal ke­selamatan dengan pendapatan RM900 sebulan.

“Kami adik-beradik yang kebanyakannya bekerja kampung dan berpendapatan kecil juga hanya mampu membantu mengikut kemampuan,” ujarnya.

Nur Asa Suhada berkata, Ros­lan menerima bantuan bulanan RM250 dan lampin pakai buang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ujarnya, keperluan lain se­perti susu khas dan tambahan lampin pakai buang pula ditampung dengan pendapatan bapa­nya dan sumbangan adik-beradik.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional milik Nur Asa Suhada bernombor 1140-0410-0009-0843 atau menghubu­nginya di talian 019-5584 317. -K! ONLINE

Isnin, 29 November 2021

Persatuan Pengguna Kedah terima aduan roti canai dijual RM4 sekeping di Langkawi

Persatuan Pengguna Kedah terima aduan roti canai dijual RM4 sekeping di Langkawi

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) dakwa menerima aduan daripada pengguna sekeping roti canai dijual pada harga RM4 di Langkawi.

 ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima lebih 100 aduan daripada pengguna berkaitan kenaikan harga makanan serta bahan mentah di negeri ini.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan aduan yang diterima adalah berkaitan makanan di kedai makan terutama di daerah Kota Setar dan Kuala Muda.

Beliau berkata, aduan diterima sejak dua minggu lalu dan ternyata ia membebankan pengguna yang mempunyai keluarga besar.

"Selain aduan berkaitan harga mahal ikan siakap di Langkawi, kita juga menerima maklumat berkaitan harga roti canai sekeping RM4 di pulau itu.

"Harga itu tidak masuk akal kerana berdasarkan maklumat daripada pengguna, kedai roti canai itu hanya dijual di tepi jalan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sehubungan itu Mohd Yusrizal meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah melakukan pemeriksaan di setiap gerai atau premis kedai makan yang didapati menaikkan harga yang tinggi.
Selain itu katanya, peniaga kedai makan juga perlu meletakkan tanda harga untuk setiap makanan bagi membolehkan pengguna membuat pilihan sebelum membuat pesanan.
"Sekiranya didapati peniaga mengenakan harga yang tidak munasabah dan terlalu mahal, pengguna perlu menyimpan resit dan membuat aduan bagi membolehkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.
"Malah kita berharap peniaga juga jangan mengambil kesempatan menaikkan harga ketika ini bagi mengelakkan pengguna terbeban," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, pihaknya belum menerima aduan berkaitan kenaikan harga sekeping roti canai dijual pada harga RM4.
Bagaimanapun pihak KPDNHEP telah menggerakkan pegawai dan anggota penguatkuasa menerusi “Op Menu” bagi melakukan pemeriksaan di restoran dan kedai makan di seluruh negeri.
“Operasi ini dijalankan bermula 6 November lalu tertumpu kepada aduan orang awam berlakunya kenaikan harga makanan.
“Menerusi pemeriksaan ini KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap harga makanan dan minuman serta alat penimbang di restoran yang menjual makanan laut,” ujar Mohd -AstroAwani

Isu harga kayangan: Juruwang tersilap key in saiz L punca kailan RM18? -pemilik restoran

PENJELASAN di laman Facebook oleh pengusaha restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang berhubung isu harga kailan ikan masin RM18 yang tular di dalam media sosial baru-baru ini.

KEPALA BATAS: Pengusaha restoran yang tular selepas menjual masakan kailan ikan masin berharga RM18 di sini tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu hari ini. 

Menerusi catatan yang dimuat naik di laman Facebook Anjung Ikan Bakar Nory, pengusaha berkenaan berkata, insiden itu mungkin berlaku akibat salah faham pekerjanya ketika menyediakan tempahan pelanggan. 

“Kesilapan kami mungkin juruwang tersilap ‘key in’ harga hidangan saiz L (besar) atau mungkin pelanggan memesan saiz L, tetapi, kru bahagian dapur sediakan kailan ikan masin itu dalam saiz S (kecil) berdasarkan gambar (yang tular). 

 “Jika pihak kami silap, boleh datang terus bertemu kami untuk menyelesaikan isu ini dan bukan ditularkan,” katanya. 

RESIT bayaran makanan sayur kailan ikan masin berharga RM18 yang tular di dalam media sosial hari ini dipercayai dimuat naik pelanggan sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang

Tambah pengusaha restoran itu, dengan penjelasan terbabit, pihaknya berharap dapat menyelesaikan isu tersebut dan memohon kerjasama pengadu terlibat untuk menghubungi mereka. 

Malah, pihak restoran berkenaan turut memberi penjelasan mengenai harga masakan kailan ikan masin mengikut saiz iaitu S berharga RM6; M (RM12) dan L (RM18) dengan memaparkan gambar menu restoran. 

Kelmarin tular di dalam media seorang pelanggan yang terkejut apabila membeli sebungkus kailan ikan masin bagi seorang makan yang berharga RM18 di sebuah restoran di sini. 

Pelanggan terbabit turut berkongsi gambar resit dan hidangan itu sambil mendakwa harganya sukar diterima biarpun reda. 

Resit berkenaan turut memaparkan lauk ikan jenahak berharga RM90, sayur campur (RM9) serta ulam dan sambal (RM5) dengan nilai keseluruhan RM122. – UTUSAN ONLINE  

PRN Sarawak: Pas Sarawak berhasrat untuk bertanding

 PRN Sarawak: Pas Sarawak berhasrat untuk bertanding

Jelas Mohd Amar, pimpinan Pas pusat akan mengadakan mesyuarat bersama dengan pimpinan Pas Sarawak dan GPS berhubung perkara tersebut. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Pas Sarawak menyatakan hasrat untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bakal berlangsung pada 18 Disember nanti.
Namun Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan, pucuk pimpinan belum memutuskan lagi sama ada menyertai PRN Sarawak atau sebaliknya.
"Pas setakat ini ada cadangan supaya kita bertanding cuma di peringkat pusat belum ada keputusan rasmi.
"Tetapi ada cadangan dan permintaan dari Pas Sarawak untuk bertanding beberapa kerusi, Presiden telah mengarahkan ada individu untuk berbincang dengan Pas Sarawak dan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) apa kaedah terbaik untuk menyertainya," katanya.
Mohd Amar berkata demikian kepada Astro AWANI bagi mengulas pengesahan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang tidak menyertai PRN Sarawak.
Jelas Mohd Amar, pimpinan Pas pusat akan mengadakan mesyuarat bersama dengan pimpinan Pas Sarawak dan GPS berhubung perkara tersebut.
Mada Muktamar lepas, perwakilan Sarawak menyatakan hasrat serta meminta persetujuan pimpinan untuk menyertai PRN berkenaan dengan sekurang-kurangnya bertanding di lapan kerusi, Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 6 Disember sebagai hari penamaan calon manakala 14 Disember sebagai tarikh pengundian awal.-AstroAwani

Jual kailan ikan masin RM18: Peniaga diberi notis

 

PEGAWAI Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang menyiasat sebuah restoran susulan tular harga RM18 bagi hidangan kailan ikan masin di sebuah restoran di Kepala Batas, Pulau Pinang.

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga sebuah restoran di negeri ini susulan tular hidangan kailan ikan masin pada harga RM18.

KPDNHEP Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, peniaga restoran itu perlu memberi maklum balas terhadap notis terbabit dalam tempoh dua hari bekerja. 

“Pegawai Penguat Kuasa hadir ke lapangan untuk menyiasat aduan yang diterima berhubung perkara ini pada hari sama melalui aduan pengguna.

“Satu NPMB bagi kalian ikan masin berharga RM18 telah diberikan kepada peniaga dan peniaga perlu memberi maklum balas dalam tempoh dua hari bekerja,” katanya.

Selepas dikejutkan dengan sotong berharga RM100 di Pulau Pinang, semalam pengguna media sosial dikejutkan pula dengan harga sebungkus masakan sayur kailan ikan masin RM18 yang disifatkan terlalu mahal dan tidak masuk akal.  

Perkara itu tular dalam media sosial Facebook semalam, selepas resit bayaran beserta gambar menu berkenaan dikongsi oleh individu dipercayai pelanggan di sebuah restoran yang didakwa di Kepala Batas, dekat sini. 

Menerusi hantaran di media sosial itu, pelanggan berkenaan berkata dia sedia maklum dengan kenaikan harga barang mentah dan reda dengan harga ikan jenahak, sayur campur, ulam dan sambal yang dibelinya di sebuah restoran di kawasan Kepala Batas, di sini. 

Bagaimanapun, harga sebungkus kailan ikan masin untuk seorang makan pada harga RM18 dianggap terlalu mahal. 

Kos keseluruhan makanan yang dibeli pelanggan berkenaan adalah berjumlah RM122 namun dia tidak mendedahkan nama restoran berkenaan. – UTUSAN ONLINE