"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Sabtu, 14 Ogos 2021

UMNO tidak boleh pertimbangkan tawaran dari seorang yang sudah tiada keabsahan - Zahid

 UMNO tidak boleh pertimbangkan tawaran dari seorang yang sudah tiada keabsahan - Zahid

Zahid berkata bahawa UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen partinya yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya, kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu kenyataan, Zahid menegaskan selaku Ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak wajar merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.
"UMNO mengucapkan penghargaan atas pengakuan YB Pagoh (Muhyiddin) yang akhirnya secara terbuka bahawa beliau sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.
"Dengan pengakuan ini, maka YB Pagoh sudah tiada lagi keabsahan untuk menjalankan tugas-tugas selaku Perdana Menteri yang sah sebagaimana Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.
Zahid juga menjelaskan, UMNO memasihatkan rakyat agar bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.
Beliau turut menjelaskan bahawa UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen partinya yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara.
"UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.
"UMNO menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga KDYMM Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat.
"UMNO merakamkan penghargaan setingginya kepada 15 Ahli Parlimen UMNO yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela Institusi Raja dan Perlembagaan Negara," katanya.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
-AstroAwani

Pekerja asing merusuh tak puas hati rakan mati

 TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.

TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.

Melaka: Polis menafikan beberapa pekerja Bangladesh mati dalam kejadian rusuhan membabitkan sebahagian kecil daripada keseluruhan 680 pekerja di Asrama Pekerja Asing Kilang Recron, Pantai Puteri, Tanjung Kling, dekat sini, malam kelmarin.

Sebaliknya, hanya seorang pekerja ditemukan tidak sedarkan diri di asrama berkenaan yang kemudian disahkan meninggal dunia yang dipercayai menyebabkan sebahagian kecil pekerja tidak puas hati kerana mendakwa pengawal keselamatan gagal mengambil tindakan segera menyelamatkan rakan mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, seorang pengawal keselamatan dan beberapa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki kawasan asrama untuk mengambil seorang pekerja lelaki yang dilaporkan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, beberapa rakan pekerja terbabit tidak puas hati kerana mendakwa pengawal keselamatan gagal mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka.

"Beberapa pekerja asing melontar batu ke arah pengawal keselamatan dan petugas KKM yang menyebabkan mereka terpaksa keluar dari kawasan asrama.

"Pekerja merosakkan pondok pengawal keselamatan di pintu masuk utama tetapi keadaan berjaya dikawal selepas sepasukan anggota polis tiba di lokasi kejadian," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit dibawa ke Hospital Melaka tetapi kemudian disahkan sudah meninggal dunia dan mayatnya dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Siasatan mendapati kejadian itu menyebabkan kerosakan pada pejabat pengawal keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), peti penggera kebakaran, motosikal Honda Wave milik pengawal keselamatan dan ambulans kemek serta calar.

"Tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dan kerosakan dianggarkan bernilai RM22,000, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 148/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kejadian melalui media sosial.

Klip video kejadian itu tular di media sosial dengan kebanyakan netizen mendakwa ramai pekerja asing meninggal dunia.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, asrama berkenaan menempatkan 680 pekerja asing Bangladesh, Indonesia dan Nepal.

Katanya, mereka sudah menjalani ujian calitan semalam dan pekerja yang disahkan positif Covid-19 sudah dipakaikan gelang merah jambu, selain diasingkan di asrama berkenaan.

"Segala kos makan dan minum sepanjang mereka dikuarantin ditanggung oleh majikan," katanya.

-myMetro

Jumaat, 13 Ogos 2021

PRU paling lewat Julai 2022, ‘takkan biar kleptokrat perintah’ -PM

 


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini tampil mengemukakan ‘aku janji’ bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya Julai 2022.

Aku janji itu diutarakannya setelah keabsahan jawatannya sebagai perdana menteri serta kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipertikaikan.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat aku janji bahawa pilihan raya umum ke lima belas akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” katanya dalam ucapan khas yang disiarkan tadi.

Muhyiddin dalam ucapan sama, turut membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan, dalam usaha mendapatkan sokongan dwipartisan bagi memastikan usul undi percaya ke atasnya dapat diluluskan.

“Tujuan saya kemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan dwipartisan di parlimen.

“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,” katanya lagi.

-mKini

Subhanallah: 33 kanak-kanak jadi yatim piatu akibat Covid-19

DATUK Seri Rina Mohd Harun bermesra dengan anak-anak ketika meninjau ketersedian RKK Pokok Sena untuk menerima kemasukan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. FOTO Luqman Hakim Zubir
DATUK Seri Rina Mohd Harun bermesra dengan anak-anak ketika meninjau ketersedian RKK Pokok Sena untuk menerima kemasukan anak-anak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid. FOTO Luqman Hakim Zubir

Alor Setar: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenal pasti seramai 33 kanak-kanak di seluruh negara menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, maklumat mengenai kanak-kanak itu diperolehi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pihaknya akan memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit terjaga dengan memberi perlindungan bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan penempatan di tujuh institusi mengikut zon seluruh negara kepada kanak-kanak terbabit yang memerlukan perlindungan akibat Covid-19.

"Ia membabitkan Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena; Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka; TSP Cheras; Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching sebagai penempatan sama ada secara sementara atau tetap.

 "Kita akan lihat beberapa situasi atau kategori kanak-kanak ini, sekiranya ada saudara mara sama ada kakak atau abang berusia lebih 18 tahun yang berkemampuan dan layak untuk menjaga mereka, maka kita kita akan permudahkan untuk mereka dijaga oleh saudara terdekat.

"Di samping itu, kita juga akan menyalurkan bantuan bulanan kepada anak-anak yatim piatu ini, selain seramai 140 pelindung kanak-kanak di seluruh negara termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan digerakkan untuk membantu mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan dan pemantauan pengoperasian RKK, Pokok Sena, di sini, hari ini.

Rina berkata, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa turut akan diberi kaunseling secara berkala oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia agar emosi mereka terjaga untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, pihaknya turut berharap ahli keluarga terdekat serta jiran akan memberi sokongan serta bantuan kepada kanak-kanak ini agar mereka tidak merasa tersisih.

"Sekiranya ada kes begini, kita harap orang ramai serta pemimpin masyarakat dapat lapor kepada Talian Kasih 1599 atau berhubung dengan mana-mana 108 Pejabat Kebajikan Daerah di seluruh negara supaya tindakan dapat diambil," katanya.

-myMetro

Jawatan Kosong: Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua)

 Jawatan Kosong Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua)


Tarikh Tutup 31 Ogos 2021 Maklumat lanjut »

175 NGO rayu campur tangan Agong henti perebutan kuasa antara pemimpin politik

 175 NGO rayu campur tangan Agong henti perebutan kuasa antara pemimpin politik

Memorandu mewakili 175 NGO Islam itu antara lain merayu campur tangan YDPA agar pemimpin politik berhenti daripada berebut kuasa supaya negara terus aman dan harmoni. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di pintu utama Istana Negara, di sini.
Memorandum yang mewakili 175 NGO Islam itu antara lain memohon campur tangan YDPA agar pemimpin politik berhenti daripada berebut kuasa supaya negara terus aman dan harmoni.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Mohd Zai Mustafa berkata, memorandum ini adalah sebagai menyambut titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Al-Haj; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
"Jadi apa yang utama kita utarakan dalam memorandum adalah kita mengharapkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia campur tangan supaya negara ini terus aman, stabil dan harmoni serta dapat mengekalkan kerajaan yang ada untuk melaksanakan urusan berkaitan menangani COVID-19 dengan sebaiknya sehingga ia dapat terkawal," katanya ketika ditemui pada sidang media di Istana Negara, pada Jumaat.
Memorandum 175 NGO rayu campur tangan YDPA dan hentikan perebutan kuasa
Beliau berharap agar pemimpin di negara ini kembali fokus kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat khusunya ketika mendepani pandemik ini.
"Selepas itu, sekiranya keadaan ini terkawal, keadaan berterusan tidak stabil ini bolehlah diserahkan kembali mandat itu kepada rakyat untuk diadakan satu pilihan raya supaya rakyat dapat memilih pemimpin politik yang betul-betul berjiwa rakyat untuk mentadbir negara ini" katanya.
Beliau turut berkata, satu perhimpunan melibatkan beberap NGO akan dianjurkan secara maya menyatakan sokongan untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah.
-Astro Awani

Covid19: Jururawat suntik 9,000 orang dengan air garam

 

Orang ramai menunggu giliran suntikan vaksinasi mereka di pusat vaksinasi daerah di Ludwigsburg, Jerman selatan, pada 3 Ogos lalu. - AFP

MUNICH, Jerman – Seorang jururawat yang merupakan individu antivaksin mengaku  menyuntik hampir 9,000 warga emas dengan picagari berisi air garam dan bukan vaksin Covid-19, lapor akhbar The Sun semalam.

Kejadian itu berlaku di Pusat Vaksinasi di Friesland, awal Mac lalu. Ketika itu, suspek bertugas di bawah Persatuan Palang Merah.

Pihak berkuasa mula membuat panggilan kepada penduduk setempat supaya mereka mendapatkan suntikan vaksin sekali lagi jika tidak yakin dengan dos yang diterima dalam tempoh masa insiden berlaku.

Anggota majlis perbandaran tempatan, Sven Ambrosy meluahkan rasa terkejut dengan kejadian tersebut.

“Hari ini saya menjalankan satu tanggungjawab berat apabila terpaksa memaklumkan 8,600 penduduk bahawa suntikan yang mereka terima adalah air garam semata-mata dan bukan vaksin Covid-19.

“Bagi memastikan ketenangan jiwa semua orang, pihak perbandaran mengesyorkan agar mereka yang menerima suntikan vaksin pada awal Mac lalu untuk mendapatkan suntikan semula,” katanya menerusi Facebook.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, jururawat berkenaan dipercayai berupaya menukar kandungan vaksin di dalam botol kerana dia bertanggungjawab untuk proses penyediaan vaksin dan jarum sepanjang bertugas di pusat vaksinasi itu.

Penyiasat polis, Peter Beer  memberitahu bahawa sehingga kini, pihaknya belum mendapat motif jelas atas tindakan suspek,  namun dia dilaporkan pernah menyuarakan pandangan skeptikal berkenaan vaksin di media sosial.

“Suspek memilih menggunakan haknya untuk berdiam diri maka kami tidak pasti apa dan berapa ramai mangsa yang terkesan akibat tindakannya itu.

“Namun, kami mendapat kejadian berlaku dalam tempoh tujuh minggu bermula Mac jadi ia memberi gambaran kasar sebahagian besar penduduk yang terlibat,” kata polis. – Agensi

Paralimpik Tokyo 2020: Lima atlet sandaran emas negara

 Paralimpik Tokyo 2020: Lima atlet sandaran emas negara

Latif (kiri) dan Ziyad antara lima atlet yang menjadi sandaran pingat emas negara. -Gambar fail/ Astro AWANI
LIMA atlet paralimpik menjadi sandaran untuk sasaran tiga kilauan emas Sukan Paralimpik Tokyo -- Ziyad Zulkifli dan Latif Romly mengetuai sasaran ditambah dengan kemampuan Bonnie Bunyau, S. Suresh dan Chia Lek Hou.
Bagaimanapun, penyumbang emas di Paralimpik Rio, Ridzuan Puzi tiada dalam sasaran yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Selaras dengan hasrat yang ada, emas mampu dijangkau Malaysia di Paralimpik Tokyo.
Lima atlet menjadi sandaran menerusi acara olahraga, angkat berat, badminton dan memanah.
Kelima-lima atlet itu berada dalam kelompok lima terbaik dunia mengikut kategori masing-masing, memiliki cabaran besar untuk membawa amanat negara ke negara matahari terbit.
"Barisan atlet yang akan Paralimpik kali ini antara dalam kelompok lima atlet terbaik dunia dan saya berasakan mereka mampu cemerlang dalam saingan kali ini," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal.
Bagi Chef de Mission (CDM) Paralimpik, Datuk Seri Megat Shahriman, persediaan daripada segi kejohanan tambahan sebelum ke Tokyo tidak seperti empat tahun lalu, namun berbekalkan program latihan yang ada, ia bukan perkara mustahil.
"Kami telah pun terlepas beberapa kejohanan sebagai persiapan menghadapi saingan Paralimpik. Bagaimanapun, semua persiapan telah dijalankan seperti biasa," katanya.
-Astro Awani

Covid19: Alhamdulillah, kembali 'bernyawa' selepas 'ditidurkan'

 Zambri Mohd Isa, 42, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Selayang dan Juriyati Mat Jalil, 56, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Zambri Mohd Isa, 42, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Selayang dan Juriyati Mat Jalil, 56, bekas pesakit Covid-19 tahap lima ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: Ibarat nyawa di hujung tanduk, siapa sangka walaupun disahkan berada di tahap lima jangkitan Covid-19, keajaiban dan 'peluang kedua' diberikan Allah SWT benar-benar digunakan sebaik mungkin.

Bagi dua bekas pesakit, mereka tidak menyangka akan kembali 'bernyawa' selepas 'ditidurkan' akibat jangkitan Covid-19 apabila paras oksigen turun dan paru-paru dipenuhi virus menyebabkan mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Bekas pesakit Covid-19 tahap lima, Juriyati Mat Jalil, 56, dia tidak menyangka kembali pulih, walaupun keadaan kesihatannya tidak normal seperti sebelum dijangkiti.

"Saya sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan, mengucap dua kalimah syahadah dan mengiamkan tangan sebelum 'ditidurkan'.

"Malah, saya merayu dengan doktor untuk 'surrender' (menyerah kalah) berikutan sudah tidak mampu lagi melawan kesakitan akibat Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Juriyati ditidurkan selama 12 hari di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas paras oksigen menurun dan paru-paru dijangkiti virus itu.

Katanya, bermula dengan bersalaman dengan kakaknya selepas solat Aidilfitri di rumah pada Mei lalu, dia tidak menyangka tindakan itu menjadi penyebab, sekali gus melalui pengalaman sukar itu.

"Kakak disahkan positif menerusi kluster tadarus Surau Kampung Ismail, Jiboi, Negeri Sembilan dan saya mendapat jangkitan daripadanya.

"Akibatnya, kakak, suaminya, saya dan suami disahkan positif Covid-19. Suami saya disahkan Covid-19 tahap empat dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM)," katanya.

Juriyati berkata, dia ditidurkan sebanyak dua kali dan sepanjang dikomakan itu, dia melalui pelbagai bayangan yang sukar

diceritakan.

Juriyati Mat Jalil dan Zambri Mohd Isa
Juriyati Mat Jalil dan Zambri Mohd Isa

Menurutnya, sepanjang ditidurkan selama 12 hari, dia menjalani rawatan dialisis kerana virus itu sudah menyerang buah pinggang.

"Malah, saya dapat rasakan keadaan sudah teruk dan tiada peluang untuk disembuhkan lagi menyebabkan terpaksa memberitahu doktor tidak mampu bertahan dan mahu menyerah kalah.

"Saya tidak mahu doktor meneruskan apa-apa rawatan lagi dan meminta mereka menumpukan kepada pesakit lebih muda, tetapi doktor berkenaan berulang kali meminta saya berjuang dan mahu saya mencuba bersamanya," katanya.

Menurutnya, dia bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika 'ditidurkan' sekiranya ajalnya sudah tiba, selain sudah mengucap dua kalimah syahadah dan mengiamkan tangan.

Katanya, dia mula berfikir itu adalah pengakhiran hidupnya dan jenazah dibungkus seperti itu saja dan tidak sempat berjumpa suami.

"Bagaimanapun, Allah masih memberikan saya peluang kedua dan kembali sedar selepas 12 hari.

"Ketika ditidurkan, doktor sudah memaklumkan kepada ahli keluarga untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana keadaan saya sangat kritikal," katanya yang dirawat hampir sebulan di hospital.

Sementara itu, bekas pesakit tahap lima, Zambri Mohd Isa, 42, berkata, dia mendapat jangkitan secara sporadik dan dirawat di ICU Hospital Selayang selama 13 hari.

"Saya mula demam pada 1 Julai lalu dan hari ketiga masih tidak sembuh dan terus melakukan ujian saringan serta disahkan positif.

"Saya diminta kuarantin di rumah, tetapi hari kelapan keadaan saya makin teruk dan paras oksigen semakin turun bawah 80," katanya.

Dia yang juga peguam kemudian dimasukkan ke ICU Hospital Selayang berikutan hasil pemeriksaan doktor mendapati paru-parunya sudah dijangkiti virus itu.

Katanya, dia menelefon ibunya di kampung dan meluahkan sekiranya meninggal dunia, dia mahu jenazah dibawa pulang dan dikebumikan di sebelah arwah bapa.

"Saya tahu kemungkinan untuk meninggal agak tinggi selepas dirawat di ICU dan selepas dirawat tiga hari di ICU, paru-paru agak pulih serta dipindahkan ke wad biasa.

"Namun keadaan saya agak lemah, saya tidak mampu berdiri dan berjalan, hanya terlantar atas katil dan diberi tiub kencing serta dipakai lampin pakai buang.

"Bagaimanapun, selepas dirawat, saya disahkan sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital," katanya.

Beliau menasihatkan kepada orang ramai supaya menjaga diri dan kesihatan kerana pasukan barisan hadapan negara sudah penat dengan kes meningkat setiap hari.

Menurutnya, sebaik tiba di Hospital Selayang, dia dapat melihat ramai pesakit dan suasana bagaikan di medan perang.

"Covid-19 ini memang 'real', jaga diri masing-masing. Sudah ramai anak menjadi yatim piatu, anak hilang ibu dan isteri kehilangan suami kerana Covid-19," katanya.

-myMetro

Tiga anggota dipercayai maut, satu cedera tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan

 Tiga anggota dipercayai maut, satu cedera tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan

Dalam pada itu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu melibatkan empat warganya yang berlaku pada pukul 7.15 pagi. - Gambar Astro AWANI.
KUCHING: Sekurang-kurangnya tiga anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dipercayai maut dan seorang lagi cedera parah dalam kejadian tembakan di Kem SKN 330 TUDM CRC, Kota Samarahan pagi tadi.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 7.15 pagi Jumaat di Balai Pengawal Handau Skuandron 330 TUDM, Kota Samarahan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan empat anggota TUDM yang bertugas di balai pengawal itu.
"Punca kejadian masih lagi dalam siasatan. Bagaimanapun mengikut laporan awal, tiga anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Jantung Kota Samarahan," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden berkenaan.
Katanya pihaknya turut menerima laporan mengenai kejadian tembakan bagaimanapun maklumat lanjut mengenai mangsa belum dapat dipastikan.
“Ya kita ada terima laporan tersebut dan sedang menyiasat punca kejadian. Mengenai maklumat mangsa masih lagi menunggu laporan penuh.
"Pihak polis akan mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini dalam waktu terdekat,” katanya.
Dalam pada itu, TUDM dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu melibatkan empat warganya yang berlaku pada pukul 7.15 pagi.
Jelas kenyataan itu, kejadian berlaku ketika waktu anggota bertugas kira-kira pukul 7.15 pagi dan akan menubuhkan satu lembaga penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Pihak TUDM menyerahkan kes kejadian kepada PDRM untuk menjalankan siasatan. Pihak TUDM juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh pihak polis selesai," katanya.
-AstroAwani