"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 2 Januari 2026

PAS SUKA BERPOLIGAMI POLITIK”: TUDUHAN DANGKAL YANG MENAFIKAN FAKTA SEJARAH

 PAS SUKA BERPOLIGAMI POLITIK”: TUDUHAN DANGKAL YANG MENAFIKAN FAKTA SEJARAH

Dengan penuh hormat kepada seorang ahli akademik, Dr. Mohammad Tawfik bin Yaakub, saya mendapati kenyataan pensyarah Universiti Malaysa ini dalam Wacana Sinar bertajuk “Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN” semalam bahawa PAS “sukar bekerjasama dalam gabungan” dan “suka berpoligami politik tetapi tidak kekal lama” adalah bersifat prejudis serta amat longgar dari sudut analisis. 

Ia malah bercanggah secara terang-terangan dengan rekod sejarah serta dapatan akademik beliau sendiri melalui tesis bertajuk “Kerjasama Politik Melayu-Islam: Analisis Hubungan UMNO–PAS dari Tahun 1968 hingga 1978” yang diperoleh daripada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Malaya pada tahun 2018. Lebih serius lagi, ia memperlihatkan kecuaian intelektual yang ketara apabila peristiwa-peristiwa perpecahan gabungan politik dianalisis secara terpisah daripada punca sebenar, lalu kesalahan kolektif rakan gabungan dipindahkan kepada PAS sebagai kambing hitam.

BN 1977: PAS TIDAK KELUAR TETAPI DITENDANG KELUAR OLEH UMNO

Saya mulakan dengan detik pertama iaitu ketika PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional. Pertama sekali, dakwaan bahawa PAS gagal bertahan dalam Barisan Nasional (BN) kerana “ketegasan perjuangannya” adalah pemalsuan sejarah. Fakta sebenar yang direkodkan secara rasmi dalam tesis PhD Dr. Mohammad Tawfik sendiri menyatakan bahawa PAS tidak keluar daripada BN, sebaliknya disingkirkan oleh UMNO. Pada halaman 283 tesisnya sendiri, Dr. Tawfik dengan jelas menulis bahawa krisis politik Kelantan 1977 — yang berpunca daripada usaha menyingkirkan Menteri Besar Datuk Mohamad Nasir dan pengisytiharan Darurat Kelantan oleh kerajaan Persekutuan — telah membawa kepada penyingkiran PAS daripada BN oleh UMNO kerana PAS menentang tindakan tersebut. Ertinya, PAS disingkirkan kerana mempertahankan prinsip dan mandat rakyat Kelantan, bukan kerana enggan bekerjasama. Maka, adalah tidak jujur dari sudut akademik untuk menjenamakan peristiwa ini sebagai kegagalan PAS menyesuaikan diri dalam gabungan.

BA: PAS KEKAL, DAP YANG LARI

Naratif bahawa PAS “berpisah” dalam Barisan Alternatif (BA) juga tidak tepat apabila diteliti secara faktual. PAS tidak pernah keluar daripada BA, sebaliknya kekal mempertahankan pakatan tersebut walaupun berhadapan tekanan ideologi ekstrem daripada DAP. Hakikatnya, pada 22 September 2001, DAP secara unilateral menarik diri daripada BA selepas gagal memaksa PAS menggugurkan prinsip penegakan negara Islam. (Rujuk : https://www.malaysiakini.com/news/4786)

Perkara ini diketahui umum, termasuk oleh Dr. Tawfik sendiri, apabila Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 menegaskan bahawa PAS tidak akan tunduk kepada tekanan DAP dan akan kekal dalam BA walaupun kehilangan DAP. Jika PAS benar-benar “sukar bekerjasama”, PAS-lah yang sepatutnya keluar; namun apa yang berlaku ialah DAP yang meninggalkan gabungan.

APU: PERPECAHAN AKIBAT PENGKHIANATAN PMS46

Hubungan PAS dengan PMS46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) juga sering diputarbelitkan. Fakta sebenar menunjukkan bahawa PAS bertahan dalam pakatan tersebut sehingga berlaku pelanggaran syarat tahaluf yang serius oleh PMS46 sendiri. Antara pelanggaran utama yang direkodkan secara rasmi ialah tindakan Pengerusi PMS46 Kelantan, Datuk Mohamed Rozali Isohak, mendedahkan rahsia Kerajaan Kelantan, menentang keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan serta mengutuk Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. PMS46 juga secara terbuka menyokong calon Barisan Nasional menentang calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil DUN N8 Bukit Asahan, Melaka pada 22 Jun 1996, diikuti kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah pada 5 Julai 1996 bahawa PMS46 bersedia untuk menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan. Malah, sebelum itu Presiden PMS46, Tengku Razaleigh Hamzah, telah bertemu dengan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 7 Mei 1996 sehingga membawa kepada pengumuman bahawa beliau akan menyertai semula UMNO. 

Hanya selepas siri pengkhianatan ini berlaku barulah PAS memutuskan hubungan dengan PMS46 pada 14 Julai 1996 melalui proses institusi yang sah melibatkan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Ini bukan sikap tidak setia, tetapi tindakan mempertahankan maruah dan integriti pakatan.

PR: DAP SENDIRI MENGAKU MEREKA YANG MEMUTUSKAN HUBUNGAN

Tuduhan bahawa PAS menguburkan Pakatan Rakyat (PR) juga adalah pembohongan politik yang telah disanggah oleh pengakuan DAP sendiri. Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng, secara terbuka mengakui bahawa DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS, kononnya atas nama prinsip. Lim Guan Eng, dalam kenyataannya pada 27 Disember 2017, menyebut:

“Jelas DAP mengambil posisi yang betul untuk memutuskan hubungan dengan para pemimpin PAS selepas persaraan bekas Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz.”

Beliau turut menyatakan:

“DAP sanggup membayar apa sahaja harga politik untuk menegakkan prinsip-prinsip kami dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memutuskan hubungan dengan PAS.”

Bahkan jauh sebelum itu pada tahun 2015, DAP telah mengisytiharkan satu keputusan yang pelik iaitu putus hubungan dengan Presiden PAS tetapi masih mengekalkan hubungan dengan PAS. (Rujuk : https://dapmalaysia.org/dap-kekal-dalam-pakatan-rakyat-putus-hubungan-dengan-hadi/)

Pengakuan ini membuktikan bahawa PAS sekali lagi bukan pihak yang memulakan perpecahan, sebaliknya menjadi mangsa naratif songsang selepas pakatan tersebut berkubur.

PKR: PEMUTUSAN AKIBAT PELANGGARAN TAHALUF

Pemutusan hubungan antara PAS dan PKR pada 11 Mei 2017 juga bukan keputusan semberono. Ia dibuat selepas PKR didapati melanggar pelbagai syarat tahaluf, termasuk tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016). Lebih jauh lagi, selain menyerang pimpinan PAS secara terbuka dan membuat tuduhan palsu, PKR juga bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan serta bertindak melawan calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016. Keputusan ini dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS, selari dengan hukum syarak dan akhlak Islam, serta didahului oleh usul yang diluluskan di Muktamar Tahunan PAS ke-63 pada 29 April hingga 1 Mei 2017 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di mana saya sendiri telah bangun berbahas menyokong usul tersebut pada waktu itu (rujukan : https://www.youtube.com/watch?v=POL6u_0LjBU&t=7s) . Ini adalah tindakan berprinsip, bukan ekstremisme.

MN: GAGAL KERANA UMNO ENGGAN TERIMA BERSATU

Akhir sekali, Muafakat Nasional (MN) tidak berkecai kerana PAS. Ia gagal berkembang kerana UMNO enggan menerima BERSATU, walaupun persetujuan awal telah dicapai dan surat jemputan telah ditandatangani. PAS kekal konsisten dengan perjanjian, manakala UMNO yang berundur daripada komitmen. Hal ini jelas dinyatakan dalam kenyataan media Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, pada 15 Ogos 2020:

“Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU juga telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau the grand coalition.”

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada 2 April 2021 juga memperkukuh fakta ini:

“Dalam pembentukan MN dinyatakan dengan jelas bahawa PAS dan UMNO adalah teras MN, namun sedia menerima mana-mana parti politik atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuh penyatuan ummah ini... Dalam beberapa siri mesyuarat MN, kita sedia menerima BERSATU menjadi rakan dalam Muafakat Nasional. Kedua-dua Presiden (PAS dan UMNO) telah mengutus surat menjemput BERSATU menyertai gabungan ini dan BERSATU telah menyatakan persetujuan ke arah itu. Sayangnya, surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini.”

KESIMPULAN: KENYATAAN DR. TAWFIK TIDAK BOLEH DIPERTAHANKAN

Keseluruhannya, dakwaan Dr. Mohammad Tawfik bahawa PAS “sukar bekerjasama” dan “berpoligami politik” adalah kesimpulan yang bercanggah dengan fakta sejarah. Lebih menghairankan, dakwaan ini bertentangan dengan penemuan akademik dalam tesis PhD beliau sendiri, mahupun tesis-tesis sarjana lain yang menunjukkan bahawa PAS tidak pernah memulakan perpecahan gabungan. 

PAS malah bertahan paling lama dalam hampir semua pakatan dan hanya berpisah selepas dikhianati atau disingkirkan. Jika ketegasan mempertahankan prinsip dianggap “ekstrem”, maka yang gagal bekerjasama bukanlah PAS, tetapi rakan-rakan yang mahu PAS berkompromi tanpa had. Itu bukan kegagalan PAS, sebaliknya kegagalan politik oportunis memahami makna tahaluf yang berprinsip.


Salam hormat.

AHMAD FADHLI SHAARI,

Ketua Penerangan PAS Pusat.

1 Januari 2026