"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 10 Disember 2021

Dari 'Malu Apa Bosku' ke 'national embarassment'

 Dari 'Malu Apa Bosku' ke 'national embarassment'

Datuk Seri Najib Tun Razak, menjadi sebutan dengan slogan baharu iaitu 'national embarrassment'. - Gambar ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini slogan 'Malu Apa Bossku' mempopularkan nama beliau selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Jenama itu mengusung populariti Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak khususnya selepas kejatuhan seketika Barisan Nasional (BN) semasa beliau mengemudi parti itu.

‘Malu Apa Bossku’ setidak-tidaknya membina karakter Perdana Menteri keenam negara itu sehinggakan ke mana sahaja beliau pergi, pemuja-pemujanya akan saling menyahut panggilan itu.

Dan Ahli Parlimen Pekan itu sangat selesa, bahkan, beliau seperti ralit dalam kemesraan bersama pengikut-pengikutnya tanpa langsung mengendahkan persepsi atau pandangan musuh-musuh politiknya yang menggambarkan slogan ‘Malu Apa Bossku’ sebagai terjemahan negatif.

Namun, untuk sekurang-kurangnya hari ini atau mungkin akan berlanjutan untuk satu fasa tempoh tertentu, populariti ‘Malu Apa Bossku’ sepertinya akan ‘tenggelam’ dek satu lagi fenomena baharu yang tercetus hari ini.

Di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini, Malaysia dikejutkan dengan slogan baharu yang berkait rapat dengan Najib.

‘Malu Apa Bossku’ kini diambil alih oleh frasa ‘national embarrassment’ (memalukan negara).
Nama Najib dan frasa ‘national embarrassment’ menjadi subjek perbincangan netizen di media sosial.
Ada juga golongan warga maya yang menterjemahkan frasa itu kepada ‘kemaluan negara’ yang juga menjadi bahan perdebatan.
Frasa ‘national embarrassment’ dipetik daripada ungkapan yang digunakan Pengerusi Panel Tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil terhadap Najib bagi mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
"There is no national interest here, just a national embarrassment (tiada kepentingan nasional, hanya memalukan negara)," kata Abdul Karim.
Mahkamah Rayuan menegaskan tidak dapat menerima penjelasan daripada Najib bahawa semua tindakannya yang berkaitan dengan SRC International adalah demi ‘kepentingan negara’.
Buat seketika, bekas Perdana Menteri itu akan kekal bebas sementara menunggu keputusan rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Persekutuan.
Ia susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Abdul Karim, membenarkan permohonannya untuk penangguhan sabitan dan hukuman.
Sementara Najib melalui proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, ‘Malu Apa Bossku’ dan ‘national embarrassment’ pula menjadi dua frasa yang akan kekal dalam ingatan rakyat Malaysia sampai bila- bila.-AstroAwani

Khamis, 9 Disember 2021

Melihat fakta-fakta ini, DAP wajar diharamkan?

 

DAP kekal sebagai ancaman terbesar

ANCAMAN terbesar buat parti-parti Melayu Islam di tanah air sama ada disedari ataupun tidak sebenarnya adalah DAP. 

DAP bergerak sebagai sebuah parti Sekular Sosialis yang didominasi masyarakat bukan-Melayu Islam, bermatlamat mahu membentuk sebuah masyarakat ‘Malaysian Malaysia’ yang memberikan hak sama-rata buat semua tanpa mengambil kira kontrak sosial yang telah disepakati antara kaum asal Melayu dengan kaum-kaum lain yang telah diberi kewarganegaraan menjelang kemerdekaan negara.

Bagi DAP tiada lagi hak istimewa buat mana-mana masyarakat. Semuanya mesti dilihat dan diberi peluang dan perhatian yang sama.

DAP bukan hanya mahu mewakili kaum minoriti bukan-Melayu tetapi cita-cita besar mereka adalah mahu menguasai negara. Dan malah melalui pelan licik mereka, pada PRU 2018 dengan bantuan parti-parti tertentu termasuk yang majoriti Melayu, DAP dan sekutunya berjaya menguasai Putrajaya dan hampir keseluruhan kerajaan negeri-negeri.

Tatkala itu tonggak kuasa didominasi mereka dan buat pertama kali dalam sejarah negara, tiada lagi penguasaan politik Melayu Islam sebagaimana sebelumnya. 

Dengan pencapaian besar itu, masuk menyusuplah segala dasar perjuangan DAP ke dalam kerajaan sehingga jadi lesu dan tidak selesa masyarakat majoriti Melayu, yang mula sedar akan kesilapan mereka dalam membuat pemilihan.

Semua menjadi tertekan dan tersepit sepanjang 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan yang didominasi DAP. Yang sedang menjalani hukuman penjara diampun dan dibebaskan, yang sedang menjalani perbicaraan pertuduhan rasuah di mahkamah dibuang kes, yang ditahan atas tuduhan terlibat dengan menyokong perjuangan keganasan juga diarah bebas.

Selain itu perkara dan aktiviti mungkar bermaharajalela, pengiktirafan diberi pada komuniti LGBT, Bahasa Melayu diperlekeh termasuklah Institusi Islam dan Raja-raja. ICERD dan Statut Rom mahu dijulang dan bajet serta perbelanjaan untuk Institusi Islam termasuk istana dipertikai.

Bukan sehari dua DAP merancang untuk menguasai kerajaan, mereka tanpa jemu telah melancarkan pelbagai siri kempen dan gerak kerja, eksperimen politik berani mereka lakukan dari masa ke semasa dan akhirnya setelah mencuba lebih 5 dekad sejak PRU 1969, pada tahun 2018 mereka berjaya.

Satu masalah besar buat mereka semasa mula terlibat aktif dalam politik tanah air adalah untuk menguasai dan memperolehi sokongan masyarakat majoriti Melayu. Memang dari segi sejarah orang-orang Melayu ini sukar menyokong mana-mana perjuangan apatah lagi parti yang dipimpin dan dikuasai bukan-Melayu.

Kalau kita sorot lebih jauh, inilah masalah yang sama yang dihadapi Parti Komunis Malaya atau PKM dahulu semasa mereka bergerak aktif di tanah air sejak sebelum Merdeka lagi. 

Pimpinan kanan PKM semuanya berbangsa Cina, namun mereka sedar perjuangan mereka tidak akan berjaya selagi tidak mendapatkan simpati dan sokongan masyarakat Melayu yang merupakan penduduk majoriti dalam negara.

Orang-orang Melayu menolak PKM kerana parti berkenaan dilihat ganas, rasis, menolak agama dan yang lebih utama kerana didominasi masyarakat bukan-Melayu. 

PKM tidak berputus asa dan terus menyasarkan untuk mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. Mereka sanggup mengambil langkah menubuhkan satu regimen yang dianggotai oleh orang-orang Melayu demi mendapatkan sokongan kaum ini.

Tertubuhlah kemudiannya Regimen ke-10 yang kerja utamanya menarik dan memikat sokongan penduduk Melayu. Malangnya mereka hanya dapat segelintir kecil sokongan masyarakat Melayu. Inilah juga perhatian yang diberikan DAP iaitu untuk mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. 

Di zaman awal penubuhannya DAP meletakkan calon-calon Melayu bertanding tetapi itu hanya di kerusi majoriti Cina. Menanglah beberapa calon Melayu di kerusi bukan-Melayu termasuklah di sekitar Teluk Intan dan Ipoh, kemudiannya bekas pemimpin CUEPACS Ahmad Nor menang di Parlimen Bayan Baru yang merupakan kerusi majoriti Cina.

Mereka tidak berpuas-hati, dan terus cuba menembusi kerusi-kerusi majoriti Melayu untuk memberi gambaran bahawa DAP sudah mula diterima masyarakat Melayu. Mereka buat pakatan dengan parti-parti Melayu lain termasuklah PKR dan PAN, tetapi ternyata parti-parti ini tidak berapa boleh membantu dan diharapkan. DAP terpaksa menembusi sendiri kawasan-kawasan Melayu dengan cara menaikkan calon-calon Melayu yang taksub dan termakan dakyah mereka.

Pada PRU 2018 perancangan mereka mula menampakkan hasil, apabila undi Melayu berpecah lantaran parti-parti Melayu bersaing sesama sendiri maka menanglah calon-calon Melayu DAP di kerusi-kerusi majoriti Melayu contohnya di DUN Dusun Tua di Negeri Selangor.

Dalam pada itu DAP terus bergelut untuk membawa imej mesra Melayu dan mesra Islam bagi terus menambat dan menarik sokongan masyarakat Melayu yang mudah terpedaya.

Mereka masuk keluar kampus untuk menarik anak-anak Melayu bagi menyokong mereka, malangnya ada juga yang terpengaruh dan sanggup sehingga menjadi calon dan pemimpin mereka.

Sebagaimana kempen mereka dalam PRN Sarawak dahulu, apabila meletakkan seorang calon Melayu di kerusi DUN Batu Kitang di Sarawak, kepada masyarakat Cina mereka berkempen kita perlu menangkan calon Melayu DAP ini untuk beliau nanti diperlatakkan untuk ‘screw Malays’, maknanya guna Melayu untuk lawan Melayu.

Tidak hairanlah jika DAP sanggup berpakaian sebagai seorang Muslim, masuk keluar masjid dan surau, menghulurkan bantuan ke sekolah-sekolah dan institusi Islam semata-mata kerana mahukan undi dan sokongan masyarakat Melayu.

Jangan orang Melayu lupa pernah seorang Ahli Parlimen DAP dari Sarawak berhujah di Parlimen menentang kemasukan guru-guru agama Islam dari Semenanjung Malaysia untuk mengajar di sekolah-sekolah di Sarawak kononnya kerana tidak mahu mengimport Islam ekstrem dari Semenanjung.

Kerana itu masyarakat Melayu khasnya perlu sentiasa diingatkan akan ancaman DAP ini. Jika kita lalai, berpecah dan berbalah kita sesama sendiri, mereka mudah mengambil kesempatan dan akhirnya berjaya lolos menguasai kita sedang mereka langsung tidak prihatin apa lagi perjuangkan isu nasib dan masa depan umat Melayu dan agama Islam.

Bagi mereka isu agama ini adalah isu peribadi, bukannya urusan negara dan sepatutnya terhad di kalangan penganutnya sahaja. Sebarang usaha untuk memartabatkan Islam dilihat sebagai satu ancaman dan lebih jahat lagi mereka label sebagai ekstrem dan mahu melahirkan negara ‘Taliban’.

Mereka pernah menguasai Putrajaya walaupun hanya selama 22 bulan. Ini bermakna jika kita tidak berhati-hati dan meremehkan usaha penyatuan ummah, tidak mustahil mereka dapat kembali berkuasa. 

Bukalah mata dan telinga masing-masing jangan sampai bumi dipijak milik orang, ketika itu menangis air mata darah sekalipun sudah tidak berguna.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1657741217898541/

Terbongkar: "Suami isteri" bersekedudukan lahirkan 7 anak

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Hasrat seorang anak untuk bernikah telah membongkar rahsia ibu dan bapanya yang bersekedudukan sehingga mendapat tujuh orang anak.

Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di media sosial, seorang jurunikah muda dikenali Tokadi_hipster, berkongsi kisah rumah tangga yang mengejutkan ke atas seorang insan ingin berkahwin, namun tiada surat nikah daripada ibu dan bapanya.

 Rahsia yang disimpan lama terbongkar apabila ibu dan bapanya dipanggil masuk ke dalam pejabat agama bagi menjelaskan status pernikahan mereka.

“Maafkan kami ustaz, kami sebenarnya tak pernah nikah pun, kami bersekedudukan sahaja sehingga sekarang kami ada tujuh orang anak,” itulah pengakuan yang dibuat pasangan terbabit.

Jurunikah itu menzahirkan rasa terkilan beliau akan sikap tidak bertanggungjawab pasangan itu.

“Astaghfirullahalazim, mana letaknya akal dan fikiran waras tuan dan puan. Sekarang ini anak kena buat wali hakim sebab status anak tak sah taraf,” jelas jurunikah itu.

Beliau turut menasihati pasangan tersebut untuk bernikah.

Rata-rata orang ramai meninggalkan komen menyatakan rasa takut dan gerun kerana mengabaikan hukum agama bagi pasangan yang bersekedudukan serta status anak-anak mereka.

“Allahu, berderau darah baca satu persatu. Semoga kita dan anak-anak sentiasa dilindungiNya,” kata pengguna
Sinta_debab.

“Ada lagi yang macam ini sekarang, habis itu macam mana anak-anak mereka bersekolah? Surat beranak dan kad pengenalan anak-anak buat macam mana tiada surat nikah?,” komen Cik Kopi.

Menurut jurunikah itu, anak pertama hingga keempat bersekolah, namun tidak diketahui proses persekolahan anak-anak itu manakala anak kelima sehingga terakhir tidak bersekolah dan tiada surat beranak. – K!ONLINE

600 Tentera Diraja Sulu sedia untuk tawan Sabah

 600 Tentera Diraja Sulu sedia untuk tawan Sabah

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Seramai 600 anggota Tentera Diraja Sulu (Royal Sulu Army, RSA) dilaporkan bersedia untuk melancarkan operasi menawan Sabah.

Operasi tersebut telah dirancang selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 orang datuk bandar dari kawasan selatan Filipina.

“Seramai 11 datuk bandar telah bersetuju untuk merekrut sekurang-kurangnya 600 orang anggota bersenjata bagi melaksanakan misi tersebut,

“Kos peluru dan logistik yang dianggarkan sebanyak US$10 ribu telah ditanggung oleh pegawai tinggi kerajaan,” lapor South China Morning Post (SCMP).

Menurut laporan yang memetik sumber mereka, kumpulan perancang mengarahkan sekurang-kurangnya 200 orang pengintip bagi pihak RSA untuk menyusup masuk ke beberapa kawasan di Sabah.

Sumber turut tidak menolak kewujudan ejen asing yang telah bertapak di Sabah.

“2 bandar pesisir di Sabah, Lahad Datu dan Semporna menjadi sasaran utama oleh pihak RSA,

Mereka rancang untuk melancarkan serangan pada sekitar Februari 2022 bagi memperingati peristiwa Lahad Datu 2013,” kata laporan itu.

Tambahnya, kesemua anggota RSF yang terlibat dalam operasi itu akan dibekalkan senjata api ketika memasuki perairan Sabah.

“Bekalan senjata turut ditanam di sekitar kawasan yang telah dikenalpasti untuk digunakan oleh RSA sebelum melancarkan serangan,” katanya.

Pada masa yang sama, SCMP turut memetik kenyataan Rommel Banlaoi, Pengerusi Institut Kajian Keamanan, Keganasan dan Pengganas (Philippine Institute for Peace, Violence and Terrorism Research) yang menyatakan sekurang-kurangnya 20 ke 30 orang anggota tentera Filipina turut menganggotai gerakan RSA.

Malaysia sebelum ini digegarkan dengan pencerobohan RSA di Lahad Datu pada tahun 2013. – airtimes.my

Isnin, 6 Disember 2021

Akibat kecewa, lelaki sebar video seksnya bersama bekas isteri

Tangkap layar. Lelaki itu ditahan setelah pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berkenaan perbuatannya. - Instagram/@penajam_terkini

JAKARTA – Gara-gara kecewa, seorang lelaki bertindak menyebarkan klip video yang dirakam ketika dia melakukan hubungan intim bersama bekas isterinya, lapor laman berita Suara.com.

Berdasarkan keterangan pada gambar yang dimuat naik ke akaun Instagram bernama @penajam_terkini, lelaki digelar WK itu adalah seorang penduduk dari Samarinda.

 “Kerana kecewa, seorang lelaki di Samarinda menyebarkan video hubungan intim dengan bekas isterinya,” jelas kapsyen di akaun itu.

Menurut maklumat tambahan yang diberikan, suspek ketika ini telah ditahan setelah kes itu dilaporkan oleh seorang wanita.

“Seorang lelaki bernama WK, penduduk Samarinda ditahan oleh Unit Khas dan Jawatankuasa Jenayah dan Keganasan (Jatanras) Polis Samarinda pada Jumaat minggu lalu.

‘’Penahanan itu berdasarkan laporan oleh seorang wanita yang disyaki bekas isteri lelaki berusia 32 tahun itu atas pertuduhan melanggar Akta Maklumat dan Transaksi Elektronik (ITE),” jelas kapsyen di akaun itu. 

Rakaman itu mendapat pelbagai komen netizen.

‘’Terlalu bijak,’’ tulis seorang netizen.

“Teruskan,” tulis netizen lain. – Agensi

Harga kayangan: Pengadu roti canai RM4 belum tampil, premis gagal dikesan

 

KPDNHEP masih mengesan peniaga yang didakwa menjual roti canai kosong berharga RM4 di Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

POKOK SENA: Pengadu yang mendakwa  peniaga menjual sekeping roti canai kosong berharga RM4 di sebuah gerai di Langkawi, belum tampil membuat aduan rasmi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pihaknya juga sudah menghantar anggota ke lokasi yang diperkata dalam dakwaan itu di Kuah, namun gagal mengesan gerai berkenaan.

Selain itu, katanya, mereka turut mengambil keterangan daripada Persatuan Pengguna Kedah untuk mengesan premis berkenaan sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati, aduan ini hanya diambil daripada ‘hear and say’ iaitu cakap-cakap orang dan tiada bukti ditemukan seperti resit atau lokasi sebenar premis.

“Kita sudah menyeru agar pengadu ini tampil membuat aduan secara rasmi bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil namun sehingga kini tiada sesiapa yang muncul,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya memandang serius aduan kenaikan harga barang dan makanan yang tidak munasabah seperti itu yang dikhuatiri membebankan rakyat.

“Seperti kes hidangan seekor ikan siakap yang dijual lebih EM1,000 sebelum ini, kita ke Rawang, Selangor untuk mengambil keterangan pengadunya untuk membuka kertas siasatan, jalankan pemeriksaan dan akhir kes tersebut diselesaikan.

“Kita berharap semua pihak mengambil tanggungjawab agar tidak memviralkan sesuatu yang tidak pasti dan tidak mempunyai bukti kukuh agar tidak mencetuskan panik dalam kalangan pengguna,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pelancong terkejut apabila perlu membayar RM4 untuk sekeping roti canai kosong di sebuah gerai di Pulau Langkawi.

Aduan tersebut dikemukakan kepada Persatuan Pengguna Kedah (Cake) selepas kejadian harga hidangan seekor ikan siakap lebih RM1,000 di pulau tersebut.- UTUSAN ONLINE 

Sabtu, 4 Disember 2021

Zahid gelabah harga barang naik rakyat marah BN, dia tuding PN, PH

 

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi puluhan tuduhan jenayah ketika pentadbiran Barisan Nasional sebelum PRU14 lalu, menyalahkan PN dan PH kerana harga barang sekarang ini naik.

Ketika harga barangan keperluan melonjak sejak hampir sebulan lalu sehingga sekarang, dan rakyat mula marahkan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula dilihat merayu pengundi muda terus memberi kepercayaan kepada gabungan itu.

Dengan memberi alasan lapuk bahawa BN sudah lama memberi sumbangan dan jasa besar kepada rakyat, Pengerusi BN itu mendakwa pengundi muda akan memberi peluang kepada gabungan itu untuk memerintah.

“Pengundi muda pasti meyakini BN andai mereka sedari kerajaan BN adalah “arkitek” kepada segala kemudahan yang sedang mereka nikmati termasuk pendidikan, kesihatan, etc.

“Pengundi muda pasti mempercayai BN sekiranya mereka diperlihatkan tentang rekod gemilang kerajaan BN dalam memakmurkan dan mensejahterakan tanahair.

“Pengundi muda pasti menyokong BN jika mereka difahamkan tentang kerajaan BN yang tertewas PRU-14 adalah angkara fitnah dan manipulasi politik,” kata Presiden UMNO itu yang kini berdepan puluhan tuduhan jenayah, termasuk rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan pengubahan wang haram berjumlah berjuta-juta ringgit.

Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri di bawah pentadbiran BN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu itu kini berdepan 40 tuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung VLN kerajaan.

Sebanyak 33 pertuduhan adalah berkaitan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan masih berjalan.

Mengulas lanjut, Zahid dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini turut menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana harga barang naik sekarang ini.

“Begitu juga dalam isu terkini berkaitan kenaikan harga barang yang konon disebabkan BN menang besar PRN Melaka.

“Generasi muda masa kini yang merupakan generasi berpengetahuan mampu menilai sama ada dakwaan itu berasas atau sekadar pembohongan,” katanya.

Zahid yang sebelum ini menyifatkan kerajaan PN gagal menangani wabak Covid-19 di Malaysia sedangkan pandemik itu berlaku di seluruh dunia berbeza pendapat dalam hal kenaikan harga barangan keperluan sekarang ini, yang dikatakannya turut berlaku di seluruh dunia.

Katanya, tiada logik ekonomi bagaimana kemenangan BN di sebuah negeri boleh dikaitkan dengan kenaikan harga barang, sedangkan ia merupakan permasalahan global berikutan peningkatan kos serta kesan permintaan dan penawaran.

“Permasalahan itu menjadi semakin berat disebabkan ketiadaan dasar kontingensi kerajaan 22 bulan dan 17 bulan untuk kemungkinan itu,” dakwa Presiden UMNO itu yang mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan Yayasan Akalbudi.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah telah mengarahkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing pada 28 Mei dan menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 hingga 2 Julai sebagai tarikh pendengaran bagi hujahan lisan.-Agenda Daily

Jumaat, 3 Disember 2021

Harga makanan luar bandar ‘cekik darah’

 

INILAH makanan yang dibeli Mohamad berharga RM10 di sebuah kedai makan di Jerantut semalam.

JERANTUT – Isu makanan mahal bukan sahaja membelenggu pengguna bandar tetapi juga di luar bandar sejak kerajaan memberi kelonggaran dine-in.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pelanggan yang ditemui memberitahu, harga makanan naik sehingga sekali ganda de­ngan purata seorang akan membayar paling sedikit RM10.

Kenaikan harga makanan itu ternyata menekan pelanggan luar bandar yang terpaksa ber­belanja lebih pada ketika ini.

Seorang pengguna, Mohamad Kautsar, 40, berkata, dia terkejut apabila nasi putih beserta ikan pelaling goreng, sayur kangkung dan masak lemak pucuk ubi kayu dijual pada harga RM10 di sebuah kedai makan berbanding RM5 sebelum ini.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), makanan yang sama dijual pada harga RM5, namun hari ini (semalam) saya terkejut apabila harganya naik sekali ganda.

“Saya hanya minta diletakkan sedikit sayur kangkung dan pucuk ibu masak lemak serta ikan bersaiz kecil dan tidak sangka harga mencecah RM10.

“Mahal melampau, cekik darah, tak kesian langsung kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui semalam.

Sehubungan itu, Mohamad mendesak pihak berkuasa me­lakukan pemantauan berterusan bagi mengelakkan peniaga menaikkan harga bagi mendapat keuntungan berlebihan.

“Kangkung dan pucuk ubi ba­nyak ditanam dan begitu mudah diperoleh dengan harga seikat antara RM2 hingga RM3 yang dijual di pasar atau pekan sehari.

“Adakah peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga tidak masuk akal selepas beberapa harga sayur antaranya kailan, sawi naik harga sejak minggu lepas?” soalnya.

Luahan sama disuarakan Norhafizan Zulkifli, 35, yang mendakwa, kenaikan harga makanan sememangnya berlaku di seluruh negeri apabila purata makanan yang dimakan dikedai pada masa ini adalah kira-kira RM10.

“Baru-baru ini, saya beli nasi putih dengan ayam goreng serta sup kaki ayam di sebuah restoran di Jengka dekat sini dengan harga RM11.

“Memang harga nasi bungkus pada masa ini meningkat dan saya berpandangan baik berkemungkinan peniaga berkenaan membeli ayam dengan harga yang mahal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Pengguna Jerantut, Abdul Mubin Ahmad berkata, orang ramai perlu membuat ­aduan kenaikan harga barang makanan bagi memudahkan siasatan dijalankan pihaknya.

Katanya, peniaga boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati menaikkan harga bagi mendapatkan keuntungan berlebihan. -K! ONLINE

Piala AFF-SUZUKI: 'Kita mesti kalahkan Vietnam!' -Presiden FAM

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kiri) mengadakan pertemuan dengan skuad Harimau Malaya di  sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini. - Foto ihsan Facebook FAM.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kiri) mengadakan pertemuan dengan skuad Harimau Malaya di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini. - Foto ihsan Facebook FAM.

PETALING JAYA: "Kita mesti kalahkan Vietnam!"

Itu 'tuntutan' daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada barisan pemain skuad Harimau Malaya sebelum mereka berlepas ke Singapura untuk mengh

Beliau percaya dengan kemampuan skuad pada edisi kali ini yang disifatkan sebagai barisan terbaik menerusi gabungan pemain berpengalaman, pemain pertengahan usia dan juga kelibat pemain muda berpotensi besar.

"Pentas Asia Tenggara ini sepatutnya tiada masalah buat mereka. Ingin saya tegaskan di sini bahawa kali ini, kita mesti mengalahkan Vietnam bagi membuktikan yang Malaysia juga sebenarnya sama kuat dan hebat.

"Sudah pasti 20 pemain yang akan berlepas dari Kuala Lumpur ini serta empat pemain dari luar negara yang akan menyertai pasukan di Singapura nanti sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab masing-masing dalam membawa nama Malaysia.

 Apabila anda sudah masuk ke dalam pasukan dan menyarung jersi Harimau Malaya, saya mahu semua pemain ini beri segalanya yang terbaik serta fokus sepanjang kejohanan berlangsung," katanya pada sesi pertemuan bersama skuad Harimau Malaya di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Hamidin turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya penyokong tegar skuad kebangsaan supaya dapat turut sama mendoakan kejayaan pasukan pada 'Piala Dunia Asia Tenggara' itu.

"Kita sama-sama bersorak dan menyokong skuad Harimau Malaya pada Piala Suzuki AFF 2018 dan ternyata ia menjadi pembakar semangat yang mendorong pemain berjaya membawa kita muncul naib juara ketika itu.

"Kali ini, tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan mara ke final itu dan menjulang pula piala biarpun saya sedar kekangan akibat pandemik COVID-19 ini menyukarkan kita untuk hadir ke Singapura.

"Tetapi kita sama sama di tanah air mendoakan kejayaan pasukan dan terus memberi sokongan padu biarpun dari jauh," katanya.-BH Online

COVID-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia - KKM

COVID-19: Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia

KHAIRY: Kes melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021.
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kes pertama varian yang dibimbangi (VOC) Omicron di negara ini, melibatkan seorang pelajar warga asing berusia 19 tahun, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, individu tersebut merupakan seorang pelajar universiti swasta di Ipoh, Perak, dan telah didapati positif COVID-19 pada 19 November lepas, dan telah selesai menjalani kuarantin kendiri pada 29 November lepas.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kes itu didapati daripada ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan terhadap 74 sampel positif COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, antara 11 November hingga 28 November, 2021.
“Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron. Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021.
“Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh. Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (Institute for Medical Research - IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68, pada 20 November 2021, sebelum jujukan genom mengesahkan ia VOC Omicron pada 2 Disember.
Pengesanan kontak rapat, ujian saringan dan kuarantin wajib, katanya lagi, telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang, dan saringan awal mendapati mereka kesemua negatif.
Dalam pada itu, Khairy berkata, langkah pengesanan awal Omicron dilakukan lebih awal, sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia sebagai varian yang dibimbangi (VOC) pada 24 November lagi.
Kes pertama varian Omicron dikesan di Malaysia
“Kes ini menunjukkan surveillance genomic kita dapat mengesan varian baharu, dan kedua, oleh kerana kes ini berlaku pada 19 November, sebab itu kita buka balik kes dahulu, untuk kita laksanakan PCR Genotyping Assay, dan seterusnya lakukan whole genomic sequencing, kita dapati sistem kita berkesan.
“Sama ada kuarantin kita, pengesanan kontak rapat kita, pre-departure dan on arrival kita berkesan, dan dalam kes ini … walaupun kes import, tapi oleh kerana sistem kita berkesan, kes ini setakat ini tidak menyebabkan kes lain berlaku dari indeks kes tersebut,” katanya lagi.
Namun, Khairy berkata, KKM akan terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan jumlah peratusan dos lengkap bagi populasi keseluruhan negara, serta mensasarkan sehingga 75 peratus untuk dos penggalak.
Kerajaan ambil langkah ketat kawalan dari varian baharu
-AstroAwani