"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Selasa, 11 Jun 2024

"Mitos Planet Nibiru Yang Menjadi Kiamat Kecil Bumi.

 "Mitos Planet Nibiru Yang Menjadi Kiamat Kecil Bumi."

Kenal kan nama 'Planet Nibiru' ini? Dikatakan kehadiran planet ini di Sistem Suria akan datang bakal hancurkan Bumi, sekaligus Hari Kiamat terjadi yang meranapkan tamadun manusia.

Walaupun kita tahu bahawa Planet Nibiru ni mitos je selari dengan kefahaman kita melawan teori-teori konspirasi mengarut ini, tapi rasa-rasanya wujud ke planet macam not, yang kononnya akan melanggar planet lain termasuklah Bumi?

Pertama sekali, kita berkenalan dulu dengan Planet Nibiru ini. Planet Nibiru ialah sebuah planet rekaan penulis pseudo-sejarah bernama Zecharia Sitchin melalui bukunya berjudul ‘The 12th Planet’. 

Sitchin mendakwa planet ini sudah disebut dalam tablet tulisan cuneiform dari tamadun Sumer dan dicatatkan ia beredar mengelilingi matahari setiap 3,600 tahun. Dia juga mendakwa peredaran Planet Nibiru itu membolehkan penghuni planet berkenaan berinteraksi dengan manusia di Bumi.

Kemudian, seorang wanita bernama Nancy Lieder dari Winsconsin, Amerika Syarikat (AS) mendakwa dia pernah bertemu dengan makhluk asing semasa kecil dan mendakwa Komet Hale-Bopp yang melintas pada tahun 1997 bukanlah komet tetapi sebuah planet besar bernama Planet X atau Nibiru. 

Lieder mendakwa planet itu akan merentasi orbit Bumi dan menjadi pencetus kepada kemusnahan peradaban manusia.

Tetapi selepas Komet Hale-Bopp 1997 berlalu tanpa sebarang insiden, Lieder mengubah kenyataannya beberapa kali dalam tempoh hampir 30 tahun. Ini termasuk mengubah tahun bila ia berlaku seperti tahun 2003, 2012 dan 2017. 

Dakwaan Lieder ini dianggap menyeleweng kerana dia mempergunakan nama ‘Nibiru’ dari catatan Sitchin semata-mata menakutkan sesiapa yang percaya kepada Hari Kiamat. Jadi, di sinilah wujudnya ‘surat berantai’ tentang Planet Nibiru datang musnahkan Bumi. 

Kalau benar planet ini mengelilingi matahari, sudah lama saintis angkasa kesan planet itu lebih awal! Jadi, Planet Nibiru mengelilingi Matahari setiap 3,600 tahun sebenarnya mengarut tanpa apa-apa pembuktian!

Kesimpulannya, planet Nibiru yang Sitchin percaya hanya rekaan semata-mata, sekaligus tidak wujud planet yang berupaya hancurkan planet lain. Tapi, para ahli astronomi sekarang memburu satu lagi planet yang mereka sendiri percaya planet ini wujud mengelilingi Matahari, iaitu Planet Sembilan (Planet Nine). 

Planet ini dikatakan bersaiz 10 kali ganda dari saiz Bumi dan para saintis percaya Planet Sembilan ini akan tersenarai sebagai planet kesembilan dalam Sistem Suria menggantikan planet kerdil Pluto. Itu pun kalau mereka jumpa la.

Oleh: Dinie Liow

Sumber 

......

ANGKASA RAYA: KEJADIAN AGUNG bakal membawa anda terbang mengembara ke angkasa lepas untuk faham tentang teori kerelatifan, lohong hitam dan banyak lagi!

Isnin, 10 Jun 2024

Jemaah daftar pakej tidak potong "queue", perlu dapat tawaran haji daripada TH

 Jemaah daftar pakej tidak potong "queue", perlu dapat tawaran haji daripada TH

Menurut Anuar, mana-mana jemaah yang mendaftar dengan agensi pelancongan perlu mendapat surat tawaran mengerjakan haji daripada Tabung Haji.
MEKAH: Tiada istilah potong "queue" atau giliran dalam soal menunaikan haji membabitkan jemaah memilih untuk pergi dengan pakej disediakan oleh mana-mana syarikat atau agensi pelancongan yang dilesenkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
Pengarah Operasi Pengelola Jemaah Haji (PJH), Anuar Ahmad menjelaskan, ini kerana mana-mana jemaah yang mendaftar dengan agensi pelancongan perlu mendapat surat tawaran mengerjakan haji daripada TH.
"Jika tidak, mereka tidak akan diberikan visa haji memandangkan bukan termasuk di dalam jumlah kuota haji muassasah yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia melalui TH.
"Prosesnya ialah, pertama mereka perlu mendapat surat tawaran haji, melalui aplikasi THiJARI, selepas itu mereka boleh memilih untuk "upgrade" kepada pakej mengikut kemampuan masing-masing. Ini adalah pilihan yang boleh dibuat oleh jemaah, jika mereka mampu dari segi kewangan," katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat TH di Abraj Al-Janadriyah, di sini.
Isu potong waktu giliran dibangkitkan apabila jumlah mereka yang membuat rayuan setiap tahun untuk menunaikan haji bersama TH terlalu ramai selain masa menunggu yang terlalu lama sebelum tiba giliran.
Bagaimanapun, terdapat juga kes apabila mendaftar dengan pakej, jemaah yang masih jauh daripada tarikh giliran tetapi berkemampuan dari segi kewangan, mendapat peluang mengerjakan haji pada tahun semasa sebagaimana mereka mahukan.
Menurut Anuar, setiap tahun syarikat di bawah PJH akan menyertai karnival bagi memberi peluang kepada jemaah untuk lebih mengenali syarikat di bawahnya yang boleh mengendalikan jemaah haji dan membuat pilihan untuk menyertai pakej yang disediakan.
"Syarikat-syarikat ini perlu mencari jemaah untuk ditawarkan dengan pakej yang mereka sediakan mengikut harga-harga yang ditetapkan. Dan, ini sudah tentu akan dipantau oleh PJH bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti penipuan dan sebagainya," kata beliau.
Untuk tahun ini, bagi musim haji 2024, terdapat 25 syarikat yang dilesenkan oleh TH dan boleh mengendalikan pakej haji jemaah Malaysia.
Kepada satu soalan, Anuar berkata, harga pakej bagi mereka yang memilih untuk menunaikan haji bersama syarikat di bawah PJH ialah antara RM50,000-RM200,000 bergantung kepada jenis perkhidmatan.
"Ini termasuk, pilihan penerbangan, sama ada jemaah itu memilih kelas bisnes atau ekonomiy, lokasi penginapan sama ada dekat atau jauh dengan masjid atau pilihan makanan secara bufet atau sebaliknya ketika di Arafah dan Mina," ujar beliau lagi.
Anuar berkata, setiap tahun, PJH berperanan memantau kesemua syarikat yang dilesenkan oleh TH bagi memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah.
"Setiap tahun, syarikat-syarikat di bawah PJH ini akan membuat permohonan lesen untuk mengendalikan jemaah haji, ada beberapa kriteria perlu mereka patuhi untuk dipilih.
"Kriteria dan syaratnya begitu ketat sehingga mereka terpaksa memenuhi standard yang ditetapkan termasuk dari segi kedudukan kewangan dan rekod perkhidmatan untuk elak daripada disenarai hitam," tambah beliau.
Beliau menegaskan, setiap tahun, jemaah juga akan membuat penilaian terhadap syarikat yang dipilih mereka untuk mengendalikan haji mereka.
Di pihak syarikat atau agensi pula, mereka disyaratkan untuk memiliki kedudukan kewangan yang kukuh selain berpengalaman membawa jemaah umrah sekurang-kurangnya 30 orang dan ke atas.
"Itu adalah syarat asasnya. Pemilihan mereka akan dinilai untuk tahun semasa. Mungkin ada 25 tetapi tahun depan berkurangan dan bertambah, bergantung kepada penilaian yang dibuat untuk meluluskan lesen pengendalian jemaah haji," tambah Anuar.
Beliau turut ditanya jika mereka yang memilih secara pakej layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang disediakan TH.
Beliau berkata, "Sememangnya mereka layak. Ini kerana mereka ialah jemaah Malaysia. Mereka layak mendapat khidmat perubatan di pusat rawatan TH di Mekah dan Madinah kerana mereka datang sebagai jemaah haji Malaysia. Cuma bezanya, pakej mereka itu ditambah baik memandangkan mereka berkemampuan secara ekonomi, itu adalah kelebihan mereka." katanya.
Tahun ini, jumlah kuota jemaah haji Malaysia yang diberikan TH adalah sama seperti tahun sebelumnya iaitu 31,600 orang.
Berikut 25 syarikat agensi pelancongan yang diberikan lesen PJH oleh TH sebagaimana disenaraikan di laman web perkhidmatan PJH Tabung Haji (www.tabunghaji.gov.my)
1.Tabung Haji Travel 2. Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd 3. Alif Travel & Tours Sdn Bhd 4. Al Balad Travel & Tours 5. Batuta Travel & Tours Sdn Bhd 6. CSHOLIDAYS 7. Citra Travel & Tours 8.Eiman Travel Malaysoa 9. Azzuha Group Travel & Tours 10. Felda Travel 11. GET 12. JAD Travel Malaysia 13. MIMM Travel & Tours 14. MKM Ticketing Travel & Tours 15. TM Tours & Travel Sdn Bhd 16. TRI-D Travel & Tours 17. Wira Saujana Travel & Tours 18.Yaskin 19. Juara Travel 20. Rayhar 21. Utas 22. Zahafiz 23. Kembara Umrah 24. Kawan International Travel 25. Amani Travel
-AstroAwani

‘Ustaz Don tidak langgar syarat tauliah, prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah’

 

Ustaz Don

PETALING JAYA – Pendakwah popular, Ustaz Don Danial Don Bijayid dikatakan tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syarat tauliah atau melanggar prinsip-prinsip utama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perkara itu dijelaskan Majlis Akademik Islami berhubung kenyataan dikeluarkan Ustaz Don Daniyal berkaitan kisah Nabi Muhammad SAW.

Katanya, tindakan Ustaz Don Daniyal meriwayatkan hadis lemah tidak menjadi satu kesalahan kerana beliau hanya menceritakan apa yang termaktub dalam kitab rujukannya.

“Para ulama juga berpendapat harus mengambil pendapat yang lemah selagi mana ia bukan berkaitan dengan perkara hukum dan akidah.

“Periwayatan kisah dan sirah Rasulullah dari sumber yang diragui atau lemah bukanlah satu perkara yang baharu dan menjadi satu isu yang perlu diperbesarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ustaz Don Daniyal dalam ceramahnya mendakwa baginda pernah melamar seorang wanita dikenali sebagai Ummu Hani sebanyak tiga kali dan merupakan ‘cinta pertama’ (first love) Rasulullah.

Kenyataan itu kemudian menimbulkan pertikaian di media sosial yang mana sesetengah pihak menganggapnya palsu sehingga menyebabkan beliau direhatkan daripada program Salam Baitullah.

Mengulas lanjut, Majlis Akademik Islami berkata, periwayatan sirah Nabi Muhammad SAW tidaklah seketat hadis daripada kita-kitab Sunan kerana ia lebih kepada motivasi dan bukan digunakan untuk menetapkan hukum.

“Melihat kepada masa peminangan pertama itu berlaku, tidak terlampau jauh, sekiranya dianggapkan itu adalah wanita pertama yang menarik hati Rasulullah S.A.W untuk diambil menjadi isteri.

“Namun ungkapan ‘first love’ yang disebut oleh beliau dirasakan kurang sesuai, lantas memberi gambaran tidak enak atau tidak menyenangkan kepada mereka yang mendengarnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, Majlis Akademik Islami menasihatkan agar pendakwah berhati-hati dalam kata-kata dan memilih istilah bersesuaian supaya ceramah yang disampaikan tidak disalah erti.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Ustaz Don Daniyal selesai memberi penjelasan kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) susulan isu terbabit. – KOSMO! ONLINE

Ahad, 9 Jun 2024

'Mungkin ada pihak lebih tinggi terbabit isu rasuah daftar nikah di Perlis'

 LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Parit: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat peringkat lebih tinggi terbabit kes penerimaan suapan lebih RM1 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak 2022 sehingga tahun lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini beliau belum dapat memberi kepastian sama ada penahanan tiga individu termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) akan membawa kepada lebih penangkapan.

"Setakat ini (hanya) membabitkan ketiga-tiga mereka. Namun saya tidak tolak kemungkinan ada peringkat lebih tinggi lagi terbabit.

"(Namun) Pegawai penyiasat memaklumkan mereka sudah memohon untuk membekukan akaun ketiga-tiga mereka yang terbabit dalam menyalurkan wang kepada suspek utama dalam kes ini.

"Di sini yang pentingnya kita nak tahu ke mana wang itu pergi dan siapa lagi yang terbabit dalam skandal atau sindiket untuk mendaftarkan mereka yang sudah berpoligami di Thailand dengan cara tidak betul.

"Kita nak tahu yang berlaku kepada wang yang masuk ke akaun mereka, ke mana sudah dibelanjakan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Debat Antirasuah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 ke-5 di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UTP, Datuk Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Universiti Debat Malaysia (Madum), Profesor Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari.

Ditanya sama ada kes itu turut wujud pembabitan orang tengah di sempadan atau 'transborder', Azam berkata di pihak SPRM tiada keperluan untuk siasatan mengenainya, sebaliknya yang penting adalah mengesan mereka yang terbabit.

"Dalam siasatan ini kami (SPRM) tiada keperluan untuk kita membuat penyiasatan mengapa mereka bernikah atau berpoligami di Thailand.

"... yang pentingnya pasangan yang terbabit apabila balik ke Malaysia terutama dalam kes ini di negeri Perlis, mereka mencari jalan mudah, iaitu melalui ejen jabatan agama untuk mendaftarkan pernikahan dengan cara tidak mengikut prosedur dengan bayaran wang rasuah," katanya.

Hari ini, media ini melaporkan, tempoh reman terhadap tiga suspek berusia 25 hingga 52 tahun berkenaan yang sepatutnya tamat hari ini sejak ditahan Rabu lalu, dilanjutkan selama tiga hari sehingga 12 Jun depan.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan selain pegawai kanan JAIPs yang juga suspek utama kes itu adalah imam masjid dan anak kepada imam masjid itu yang juga pemilik sebuah syarikat yang bertindak sebagai perunding dalam menguruskan urusan pernikahan di Perlis.

Mereka ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1,183,140 dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun 2023.

-myMetro 

“Kisah P Ramlee Dengan Pesilat.”

 “Kisah P Ramlee Dengan Pesilat.”

Dalam banyak filem P Ramlee, kita dapat melihat bagaimana beliau menerapkan seni persilatan Melayu di dalam karya arahannya. Sebagai contoh filem Pendekar Bujang Lapok. Walaupun filem itu dikomedikan oleh P Ramlee, tetapi konsep menuntut ilmu dengan berguru itu tetap ada. 

Begitu juga melalui filem Enam Jahanam. P Ramlee sanggup mencari guru silat untuk belajar bermain tekpi semata-mata untuk menghayati watak Tantari di dalam filem itu. Akhirnya P Ramlee berjaya bertemu dengan seorang guru yang menetap di Klang, Selangor bernama Haji Sani, iaitu seorang pengasas Persatuan Seni Silat Kuntau Tekpi. 

P Ramlee belajar bersama Haji Sani sehingga beliau betul-betul dapat menguasai teknik permainan Tekpi. Beliau melakukannya demi babak bermain senjata Tekpi yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Apabila kita menonton filem Enam Jahanam, kita dapat melihat bagaimana P Ramlee berjaya menguasai permainan tekpi itu.

Namun, di sebalik P Ramlee menaikkan seni persilatan Melayu di dalam filem-filemnya, ada satu cerita benar yang agak lucu mengenai P Ramlee dan pesilat. Pada November 1964, P Ramlee menerima berita kematian guru yang dihormatinya, iaitu seniman Osman Ahmad yang juga penggubah lagu dalam Panca Sitara. Beliau pergi ke Singapura bersama pembantunya, Ramli Ismail untuk menghadiri pengebumian gurunya itu. 

Selepas selesai urusan, beliau singgah di Batu Pahat sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Sedang P Ramlee duduk minum sambil bersembang dengan Ramli Ismail di sebuah warung, beliau terpandang ada satu persembahan silat sedang berlangsung di kawasan lapang berdekatan dengan warung berkenaan. Lalu beliau terus bangun dari kerusi seperti ingin meninjau persembahan silat itu tadi. “Kenapa bang?” tanya Ramli Ismail. “Aku nampak ada persembahan silatlah, mari kita pergi lihat,” kata P Ramlee. 

Apabila P Ramlee dan Ramli Ismail menghampiri persembahan silat itu, ramai yang tidak perasan kehadiran mereka oleh kerana orang ramai telah pun berkumpul. P Ramlee memerhatikan persembahan itu dengan penuh tekun. Tiba-tiba seorang yang bergelar guru berada di tengah-tengah gelanggang sambil dibantu oleh beberapa anak muridnya dengan membawa kuali yang berisi air panas yang sedang mengelegak. P Ramlee semakin berminat lalu berjalan di celah orang ramai itu menuju ke hadapan sambil diekori oleh Ramli Ismail.

P Ramlee memerhatikan beberapa orang pesilat sedang memasukkan tangan mereka di dalam kuali yang berisi air yang sedang panas menggelegak itu tadi. Apabila sampai kepada giliran pesilat terakhir untuk memasukkan tangannya, P Ramlee menjerit, “dry ais!” (ais keping, bahan untuk membekukan ais krim). Orang ramai tertumpu pada P Ramlee disebabkan jeritan tadi termasuk guru silat itu sekali. P Ramlee bersikap selamba seperti tidak ada apa-apa tetapi perlahan-lahan beliau berundur ke belakang lalu mengajak Ramli Ismail meninggalkan majlis itu dengan cepat.

Di dalam kereta Ramli Ismail bertanya kepada beliau, “Kenapa abang menjerit tadi?” Kata P Ramlee, “Aku tak sengaja nak kacau majlis tadi. Tapi bila aku tengok perkara itu berlaku secara spontan perkataan ‘dry ais’ terkeluar dari mulut aku. Mana boleh mereka tipu orang filem, ‘trick’ begitu aku dah biasa buat dalam filem arahan aku.” Lalu P Ramlee dan Ramli Ismail sambung ketawa mengenangkan kisah yang berlaku tadi sambil terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.

Begitulah antara secebis kisah P Ramlee dan silat. Disebabkan beliau turut mempelajari ilmu silat demi menghasilkan filemnya, maka beliau mengetahui segala selok belok helah yang dilakukan untuk menampakkan keaslian gaya silat itu. 

Oleh: Farahi Kamaruddin 

---

Credit 

Sabtu, 8 Jun 2024

Ibadah Korban: Niat, Syarat, Perkara Sunat, Pembahagian Daging

 

Ibadah Korban: Niat Korban, Syarat Sah, Pembahagian Daging Korban

Ibadah Korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam. Ia dilakukan  pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq. 

Lazimnya, di Malaysia acara penyembelihan ternakan korban ini dilakukan di masjid, surau, padang awam, balai raya ataupun rumah persendirian.

Berikut adalah penjelasan mengenai niat korban, syarat sah, pembahagian daging korban dan info-info berkaitan berdasarkan sumber daripada JAKIM dan Mufti. 

Maksud Ibadah Korban

Merujuk laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Ibadah ini mengingatkan umat Islam akan ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.


Sabda Rasulullah SAW,

 إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

Maksudnya: Apabila telah masuknya sepuluh (hari terawal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah korban maka janganlah dia memotong rambutnya serta kukunya.

"Korang balik rumah masing-masing kalau hanya balik nak menengking mak korang" bentak ayah

 


Semasa temankan isteri di klinik, saya tengok ada seorang pakcik sedang ralit membaca surat khabar.

Lagi satu, di sebelah dialah yang ada kerusi kosong dan jauh sikit dari bilik-bilik pemeriksaan dan bilik doktor. Saya pun berjalanlah perlahan ke kerusi sebelah pakcik.

Setelah saya duduk, pakcik memandang muka saya, bagi ucapan salam dan berjabat tangan dengan saya.

Bagus betul pakcik ni, detik saya di dalam hati.

Saya pun keluarkanlah telefon. Nak buka Facebook, Instagram semua tu lah. Baru nak buka, pakcik tanya "Nak jumpa doktor ke?"

Saya jawab "Tak, pakcik. Teman isteri buat pemeriksaan kat klinik ibu tu". Pakcik berkata lagi "Oh, isteri mengandung ke? Tahniah tahniah". 

Saya ucapkan terima kasih kepadanya. Saya kemudian bertanya pula kepada pakcik "Pakcik ni nak jumpa doktor ke?".

Pakcik menggelengkan kepalanya "Tak. Isteri saya tu kena jumpa doktor. Sebulan sekali begitulah. Anak-anak banyak duduk jauh. Kebetulan saya ni kira gagah lagilah pandu kereta, bolehlah bawa isteri tu ke sana sini. Ikutkan umur dekat 80 tahun ni, anak-anak tak bagi dah hehe". 

"Umur dekat 80? Nampak macam umur 50 lebih je hehe". 

Pakcik senyum. 

Tiba-tiba datang seorang lelaki muda, bercakap dengan seorang lagi pakcik berhampiran saya, tua juga. 

"Ya Allah, abah kat sini ke?! Berapa kali dah misi tu panggil nama abah. Sebab tu kalau tak dengar, duduk depan sana. Duduk dekat dengan bilik doktor tu. Ini duduk jauh menyusahkan orang".

Suara dia taklah kuat. Tapi boleh didengari kami.

Terkedu kami jadinya. 

Bangunlah pakcik tu perlahan-lahan. Jalan pun terketar-ketar. Anak dia dah jalan laju ke depan. Agakan saya, umur pakcik tu dah lebih 80 tahun. 

Pakcik sebelah saya menggeleng-gelengkan kepalanya. Seraya berkata, 

"Inilah bala yang kita sedang hadapi. Bala yang diberi tontonan percuma dari Allah. Anak cakap kasar dengan orang tua. Benda begini dah biasa. Selalu sangat kita tengok. Kita pula tengok sahaja tanpa menegur orang tu".

Saya diam. Tunduk. 

Pakcik menyambung "Berapa ramai mak dan ayah yang berani tegur anak-anak dia yang dah besar ni? Berapa ramai boleh bagitahu saja, suruh cakap baik-baik dengan orang tua. Suruh anak-anak cakap baik dengan mereka.

Saya pernah tegur seorang perempuan yang berlaku kasar kepada mak dia. Bila saya tegur, dia tinggalkan mak dia. Kasihan mak dia. 

Dah lama sikit, adalah dalam 5 minit, dia datang semula ambil mak dia. Muka masih masam. 

Saya pun ada sejarah fasal ni. Pernah dulu ada yang cakap kasar dengan saya dan isteri, mak dia orang tu. Mula-mula saya pun biarkan. Ya lah, masing-masing dah besar panjang. Patut boleh fikirlah dengan baik. Bukan bodoh belaka. 

Tak payahlah kita nak pesan bagai. 

Lama-lama benda tu jadi macam biasa. Boleh kata semua anak cakap kasar dengan saya dengan maknya. Taklah selalu. Tetapi biasa berlaku. 

Kita ni dah tua, simpan sahajalah dalam hati. Duduk rumah berbincang berdua sahajalah. Mengadu ke isteri, isteri mengadu ke saya hehe. Habis begitu. 

Masing-masing terasa hati. Tapi tak luah kepada anak-anak. 

Sampailah satu hari, yang nombor dua marah ke maknya fasal lauk dah siap masak, periuk nasi terlupa petik suis. Anak-anak balik belaka hari tu, kami buat makan-makan. 

Masa tu pakcik okey lagi. Tapi bila yang lain mula menyampuk, siap perli-perli ke maknya, gurau-gurau guna ayat yang tak sepatutnya, pakcik teruslah tegur. Baru dia orang tahu". 

Saya pandang pakcik. Muka pakcik tak ada senyum. Nampak geram. Saya bertanya "Pakcik cakap apa?" 

Pakcik "Hehe. Pakcik cakap, awak semua pergi balik sekarang. Pergi balik ke rumah kau orang semua. Selepas ini tak payah balik-balik dah. 

Kalau balik nak sakitkan hati mak kau orang, nak rendah-rendahkan dia, tak payah bazirkan minyak kereta kau orang untuk datang ke sini. Abah dan mak lagi selesa. Cukuplah tengok gambar kau orang yang ada di dinding tu, daripada sakit hati dengan apa yang kau orang dah buat. 

Semua diam masa tu. Cucu yang duduk ramai-ramai kat depan pun datang ke dapur.

Pakcik cakap lagi, masa kau orang kecil, duduk sekali dengan kami, mak tak pernah pun marah bila kau orang tanya banyak kali. Layan, jawab. Ada juga kamu terlupa nak ambil itu dan ini, mak kekal tak marah. Mak diamkan sahaja. 

Ini fasal terlupa petik suis, bukan mainlah marahnya. Hal kecil. Ini anak-anak ada tengok ni, esok anak-anak buatlah macamana mak bapak kau orang buat kat aki dan wan ni. Tengok dia orang terasa ke tak. 

Cakap elok-elok tak boleh ke? Mak, mari sini pakai baju. Kita pergi makan di luar. Biarkan budak-budak ni makan sesama dia orang. Abah tak boleh tengok muka awak semua. 

Selama ni diam sahaja kau orang cakap kasar. Hari ni dah melampau. Mari cepat!

Isteri saya kemudian bersuara "Tak apalah bah, dia orang bukan selalu balik. Tak baik kita gaduh-gaduh depan rezeki. Kita tunggu sahajalah nasi tu masak. Kita makan sama-sama".

Masa tu saya geram pula ke isteri saya. Boleh pula dia memujuk. Saya tak berhenti. Saya cakap lagi ke anak-anak. 

Ha tengok. Mak awak tetap nak makan dengan awak semua. Awak semua gelak perlekehkan dia, tetap dia nak makan dengan anak-anak. Simpan sahajalah dalam hati sakit tu, kecewa. Yang penting dapat lagi merasa makan dengan anak-anak. 

Fikirlah. Semua dah besar. Ada siapa nak marah? Tak setuju dengan apa yang abah cakapkan ini? Kalau ada, pergi balik sekarang! 

Sampai situ saya berhenti. Semua tunduk mukanya bila saya tengok. Isteri saya menangis dah. Cucu semua diam. Yang kecil pun boleh diam juga hehe. 

Kemudian itu datanglah seorang-seorang minta maaf. Menangis dan sebak belaka.  

Saya pun maafkanlah. Selesai. 

Lepas tu kami makan sama-sama. 

Yang penting, apa yang terbuku di hati, lepas dah".

Saya tanya lagi ke pakcik "Sekarang macamana?" 

"Alhamdulillah. Semua okey. Tak ada dah yang cakap kasarnya. Semua cakap elok dah. Layan kami pun cukup bagus. Paling tak disangka, boleh kata tiap-tiap minggu adalah yang baliknya ke kampung. Tak sunyilah hari Sabtu dan Ahad tu. Ada sahaja periuhnya. Agaknya dia orang pakat sesama dia orang  buat jadual siapa kena balik. Hehe. 

Awak ada lagi ayah dan mak? 

*Kalau ada, janganlah cakap kasar dengan dia orang. Dua-dua dah tua. Telinga tak berapa nak dengar, langkah tak sederas dahulu, tenaga tak segagah semasa lincah, cakap tak sekuat semasa muda*

Jaga hati dan perasaan mak dan ayah. Umur-umur macam saya, tahap simpan perasaan sahajalah kalau ada anak buat yang tak betul. Nak tegur beria karang, bimbang ke anak terasa hati. Bimbang anak tak nak balik. 

Kita hak tua ni, nak sangat tengok muka anak-anak depan mata. Tengok macam masa dia orang kecil-kecil dahulu, gembira, ketawa ramai-ramai, berkongsi berbagai cerita. 

Anak-anak ini, syurga. Mak dan ayah tu, bukan neraka. Mereka tu kunci syurga".

Pakcik tutup bicara. Mendalam sungguh nasihatnya. Begitu perasaan mak dan ayah terhadap anak-anak apabila masing-masing sudah tua. 

Kawan, 

Kita yang bergelar anak ini, ambillah peluang selagi ada. Jaga hati, jaga bicara. Berbakti sehabis baik. Perbaiki mana yang tersasar. 

Buat yang dah tiada, teruslah kirim doa tanpa jemu. 

Moga-moga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi atas nikmat kurniaan-Nya. 

Mak dan ayah antara anugerah agung kurniaan Allah kepada kita. Tidak boleh ditukar ganti.

Fadhlu Art

Sumber