"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Perdana Menteri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perdana Menteri. Papar semua catatan

Selasa, 12 Oktober 2021

PM sebak sentuh isu kemiskinan ketika bentang RMK-12


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebak sebaik menyentuh isu kemiskinan ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara hari ini.

Nada Perdana Menteri dapat didengari berubah serta-merta selain raut wajahnya kelihatan sedikit sugul ketika mula memasuki Fokus Kelima: Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan RMK-12.

Ucapannya turut terhenti beberapa saat sebaik menceritakan bahawa isu kemiskinan sangat dekat di hatinya kerana beliau dilahirkan dan membesar daripada keluarga penoreh getah.

Biarpun dalam nada sebak, Perdana Menteri yang meneruskan ucapannya berkata, beliau amat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

 Katanya, pandemik COVID-19 yang melanda meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga dalam kemiskinan.

"Kerajaan komited membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan rakyat. Pendekatan keseluruhan negara akan digunakan dalam menangani isu kemiskinan.

"Unit Kemiskinan akan ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri melalui penyusunan semula fungsi dan perjawatan untuk menyelaras segala hal ehwal kemiskinan, termasuk pengurusan data yang lebih bersepadu.

"Melalui usaha ini, saya yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada tahun 2025," katanya.

Ahad, 10 Oktober 2021

Penantian berakhir,PM umum rentas negeri dibenar mulai esok

 GAMBAR hiasan

GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Seperti dijanjikan, kerajaan memberi kebenaran rentas negeri kepada individu lengkap vaksinasi bermula esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu susulan kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.

"Mulai esok, bebaslah dan inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat selepas kerajaan sebelum ini terpaksa tegas dari segi pergerakan rentas negeri.

"Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang lama berpisah, melancong dan sebagainya," katanya pada sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen dan platform media sosial Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain itu, Ismail Sabri mengingatkan Keluarga Malaysia supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan dalam usaha membantu negara bagi pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat.

Katanya, jika hal ini diambil mudah tidak mustahil penularan wabak akan kembali meningkat.

"Sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, rakyat disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

"Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihat tangguhkanlah dahulu perjalanan. Sekiranya didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Walaupun tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, katanya, pihak berkuasa akan melakukan pemeriksaan secara rawak mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi Covid-19.

-myMetro

Sidang Media Khas PM:Pengumuman benar rentas negeri petang ini?

 

Perdana Menteri akan membuat sidang media khas pada jam 3 petang ini.
Perdana Menteri akan membuat sidang media khas pada jam 3 petang ini.

SHAH ALAM - Selepas hampir sembilan bulan atau lebih 270 hari 'dikurung', rakyat Malaysia bakal kembali menikmati satu lagi erti kebebasan apabila kebenaran rentas negeri akan dibenarkan semula.

Lebih 32 juta rakyat Malaysia pasti menanti dengan penuh debar di depan kaca TV atau telefon bimbit masing-masing tepat jam 3 ini untuk menyaksikan sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dengan kadar vaksinasi dewasa di Malaysia cuma berbaki 0.3 peratus untuk mencapai sasaran 90 peratus, ramai yang menjangkakan sidang media khas pada hari Ahad itu ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri.

Berdasarkan laman sesawang Covid Now yang dikemaskini, negara mencatat 89.7 peratus dos lengkap suntikan vaksinasi Covid-19 bersamaan dengan 21 juta individu melibatkan populasi dewasa.

Ismail Sabri pada 22 September lalu mengumumkan, rakyat akan dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Sasaran 90 peratus itu dibuat berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan beliau.

Ismail Sabri sebelum itu terlebih dahulu mengumumkan tiada lagi sekatan rentas daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 10 September lalu.

-SH Online

Sabtu, 9 Oktober 2021

Kabinet tubuh jawatankuasa khas siasat kes kematian Adib

 

Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob, berkata jawatankuasa khas itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

"Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

-Ibnuhasyim

Ahad, 26 September 2021

Bantuan BPR Fasa 3, rayuan dibayar mulai Selasa

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR, akan dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula Selasa ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran secara berperingkat itu dijangka selesai pada 30 September ini.

Beliau berkata, pembayaran itu akan memanfaatkan 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan, membabitkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

"Bagi Fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh hingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR pula hingga RM2,300, termasuk bayaran BPR tambahan bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai hingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah serta bilangan anak.

"Pembayaran Fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diperoleh penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan terus komited memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terbela, terutama kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Antara lain, beliau berkata, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberi kepada penerima yang layak.

"Pembayaran bantuan itu dijadual disalurkan pada Oktober hingga Disember depan," katanya.

Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Keluarga Malaysia boleh merujuk soalan lazim (FAQ) dalam portal rasmi BPR, iaitu https://bpr.hasil.gov.my, untuk mendapatkan maklumat lanjut.

-BH Online

Jumaat, 17 September 2021

Ismail Sabri adalah PM kepada rakyat, bukan hanya Presiden UMNO

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Seperkara yang perlu difahami selepas perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) kerajaan dengan pembangkang adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri (PM) kepada semua rakyat dan bukan hanya kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak lagi boleh mengawal Ismail Sabri atau melayaninya seperti memegang jawatan Naib Presiden dalam parti, ia bermakna mereka tidak boleh memaksanya untuk mengikut telunjuk sesuka hati.

Bagi Ismail Sabri, perkara yang lebih penting sekarang adalah memberi fokus ke arah usaha memulihkan negara, implikasi pandemik Covid-19 bukan sahaja terhadap ekonomi negara tetapi ia juga sudah mengubah sebahagian kehidupan rakyat di bawah ketika ini.

Jika dahulu sebelum Covid-19 muncul, rakyat boleh hidup dengan selesa walaupun tidak mewah, bagaimanapun keadaan tersebut sudah berubah apabila yang dahulunya hidup selesa kini ramai juga yang jadi papa kedana.

Banyak yang kehilangan pekerjaan, kemunculan banyak penjaja-penjaja yang memacak payung berniaga di tepi jalan sudah cukup mencerminkan kepayahan hidup yang dihadapi sekarang, ia belum mengambilkira profesional seperti juruterbang, jurutera, kontraktor dan eksekutif di syarikat swasta yang juga terkena tempias apabila dibuang kerja.

Realitinya, zaman pandemik menguji rakyat dengan pelbagai cabaran hidup baharu, tiada pilihan selain mencari jalan untuk survival demi sesuap nasi tanpa mengira cara apa sekalipun asalkan ia halal.

Rakyat sudah berubah dan parti-parti politik juga perlu mengubah cara pemikiran mereka serta mencari strategi yang berbeza, tidak ada guna lagi bergaduh setiap hari dan berebut kuasa tetapi akhirnya yang rugi adalah rakyat.

Begitu juga UMNO, pemimpinnya tidak boleh melayani Ismail Sabri sebagai budak suruhan parti yang hanya akan mengikut telunjuk segelintir pemimpin atasan, jalan terbaik adalah menasihati dan memberi cadangan yang dapat membantu beliau dalam mengendalikan urusan pentadbirannya.

Namun, ia bukan mudah untuk mengubah pemikiran lama yang sudah berkarat dalam UMNO, segelintirnya masih berlagak seolah-olah parti tersebut kuat seperti dahulu dan mahu membuat keputusan mengikut sesuka hati.

Keadaan tersebut sudah tidak lagi wujud dan UMNO perlu berpijak di bumi yang nyata dan bukan lagi hidup dalam kenangan, kebergantungan UMNO sekarang adalah kepada Bersatu, PAS, GPS dan beberapa Ahli Parlimen Bebas yang menyokongnya.

Jika tanpa sokongan rakan parti-parti ini mustahil UMNO dapat menjadi dominan dan kembali berkuasa di Putrajaya, sikap lama yang mendabik dada dan sombong perlu diketepikan sebaliknya pendekatan diplomasi dengan semua parti yang ada adalah jalan terbaik.

Oleh sebab itu, Ismail Sabri mengambil jalan perdamaian atau dalam erti kata lain tidak mencari gaduh dengan musuh, kerjasama politik rentas parti yang dahulunya dilontar oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin diteruskan demi menjamin kestabilan politik negara.

Langkah tersebut mungkin tidak memuaskan hati segelintir kecil dalam UMNO. Individu seperti Zahid, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Puad Zarkashi, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan lain-lain yang suka menjadi batu api tidak perlu dilayani Ismail Sabri sekiranya mahu lama menjadi PM.

Ismail Sabri boleh mendengar nasihat dan pendapat yang diberikan tetapi tidak bermakna ia perlu diterima bulat-bulat, bukankah konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan seharusnya memupuk semangat musyawarah dan diplomasi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Ideologi politik lama di mana semua keputusan yang dibuat oleh UMNO adalah betul dan perlu diikuti sudah tidak lagi relevan dalam konteks politik sekarang, Ismail Sabri mungkin tidak berani untuk menyuarakan pandangan sedemikian kerana ia pasti mengundang rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi.

Tetapi apa pilihan yang Ismail Sabri ada, pilihan dan jawapan terbaik kepada setiap keputusan yang bakal diputuskannya perlu mengambilkira semua pihak dan tidak membelakangi semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang beliau sendiri perkenalkan.

Ia tidak bermakna Ismail Sabri perlu tunduk kepada pembangkang tetapi beliau boleh menggunakan jalan tengah atau keputusan ‘menang-menang’ yang dapat memberi kelegaan kepada semua, bukan hanya kepada UMNO tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hanya dengan menjadi PM kepada semua rakyat baharu Ismail Sabri akan dapat membawa keluar negara daripada krisis kesihatan paling teruk pernah berlaku dalam sejarah negara, bukan PM kepada Zahid atau parti UMNO sahaja.

Semoga maju jaya Datuk Seri Ismail Sabri.

-Agenda Daily

Rabu, 1 September 2021

Bantuan Khas COVID-19 dibayar mulai Isnin

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

KUALA LUMPUR: Bantuan Khas COVID-19 (BKC) fasa satu akan dibayar bermula Isnin ini dan dijangka selesai 10 September.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ketika mengumumkan perkara itu berkata BKC akan memanfaatkan 10 juta penerima yang terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40, serta golongan bujang yang berkelayakan.

 Saya mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos lalu, justeru saya mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran BKC.

Hari ini, dana berjumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan. Proses pengkreditan fasa satu akan bermula pada 6 September 2021 dan dijangka selesai pada 10 September 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

BKC ialah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan kerajaan pada 28 Jun lalu, selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.

Kriteria kelayakan penerima bagi miskin tegar dan B40 ialah bersandarkan semakan Bantuan Prihatin Rakyat 2021, iaitu pendapatan RM5,000 ke bawah bagi isi rumah atau warga emas, manakala bergaji RM2,500 ke bawah untuk individu bujang.

Golongan M40 pula layak menerima BKC sekiranya melaporkan cukai pendapatan, dengan jumlah gaji antara RM5,001 hingga RM9,000 bagi golongan isi rumah dan berpendapatan RM2,500 ke bawah untuk individu bujang.

Bagi fasa satu, golongan miskin tegar merangkumi kategori isi rumah akan menerima bayaran RM500, manakala warga emas sebatang kara dan bujang, masing-masing RM200.

Golongan B40 membabitkan kategori isi rumah akan menerima RM500, manakala warga emas sebatang kara dan bujang masing-masing RM200.

Kumpulan M40 merangkumi kategori isi rumah akan bakal menerima RM250, manakala warga emas sebatang kara dan bujang masing-masing RM100.

Ismail Sabri berkata bayaran BKC seterusnya akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan dan pengumuman lanjut bakal dibuat oleh Kementerian Kewangan.

"Saya sentiasa peka terhadap keluh kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

"Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutama kumpulan sasar," katanya.

-BH Online

Jumaat, 27 Ogos 2021

Kabinet baharu: Senarai penuh Menteri, Timbalan Menteri

 ISMAIL Sabri ketika mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama

ISMAIL Sabri ketika mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Berikut adalah senarai penuh Jemaah Kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diumumkan, hari ini.

Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri:
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Menteri: Datuk Lim Ban Hong

Menteri Kanan - Menteri Pertahanan:
Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz

Menteri Kewangan:
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Timbalan Menteri I: Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri II: Tuan Yamani Hafez Musa

Menteri Kanan - Menteri Kerja Raya:
Datuk Seri Haji Fadillah Yusof
Timbalan Menteri: Datuk Arthur Joseph Kurup

Menteri Kanan - Menteri Pendidikan:
Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin
Timbalan Menteri I: Senator Datuk Dr Mah Hang Soon
Timbalan Menteri II: Datuk Mohamad Alamin

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi):
Datuk Seri Mustapa Mohamed
Timbalan Menteri : Eddin Syazlee Shith

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas):
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
Timbalan Menteri: Datuk Mastura Mohd Yazid

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang):
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Timbalan Menteri: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsuddin

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama):
Senator Tuan Idris Ahmad
Timbalan Menteri: Datuk Ahmad Marzuk Shaary

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak):
Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili
Timbalan Menteri: Datuk Hanifah Hajar Taib

Menteri Pengangkutan:
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Timbalan Menteri: Datuk Henry Sum Agong

Menteri Alam Sekitar dan Air:
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Menteri: Datuk Dr Mansor Othman

Menteri Sumber Manusia:
Datuk Seri Saravanan Murugan
Timbalan Menteri: Datuk Awang Hashim

Menteri Wilayah Persekutuan:
Datuk Seri Shahidan Kassim
Timbalan Menteri: Datuk Seri Jalaluddin Alias

Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat:
Datuk Seri Rina Harun
Timbalan Menteri: Datuk Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff

Menteri Pengajian Tinggi:
Datuk Dr Noraini Ahmad
Timbalan Menteri: Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad

Menteri Tenaga dan Sumber Asli:
Datuk Seri Takiyuddin Hassan
Timbalan Menteri: Datuk Ali Anak Biju

Menteri Dalam Negeri:
Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Dr Ismail Haji Mohamed Said
Timbalan Menteri II: Jonathan Yassin

Menteri Kesihatan:
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Timbalan Menteri I: Datuk Dr Noor Azmi Ghazali
Timbalan Menteri II: Datuk Aaron Ago Dagang

Menteri Pertanian dan Industri Makanan:
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Ahmad Hamzah
Timbalan Menteri II: Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh

Menteri Pembangunan Luar Bandar:
Datuk Seri Mahdzir Khalid
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Timbalan Menteri II: Datuk Hasbi Habibollah

Menteri Luar Negeri:
Datuk Saifuddin Abdullah
Timbalan Menteri: Kamarudin Jaffar

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna:
Datuk Alexander Nanta Linggi
Timbalan Menteri: Datuk Rosol Wahid

Menteri Komunikasi Dan Multimedia:
Tan Sri Annuar Musa
Timbalan Menteri: Datuk Zahidi Zainul Abidin

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan:
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
Timbalan Menteri: Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi:
Datuk Seri Dr Adham Baba

Timbalan Menteri: Datuk Haji Amzad Mohamed @ Hashim

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi:
Tan Sri Noh Omar
Timbalan Menteri: Tuan Muslimin Yahaya

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi:
Datuk Dr Hajah Zuraidah binti Kamaruddin
Timbalan Menteri I: Datuk Seri Wee Jeck Seng
Timbalan Menteri II: Willie Mongin

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan:
Datuk Seri Nancy Shukri
Timbalan Menteri: Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu

Menteri Perpaduan Negara:
Datuk Halimah Mohamed Sadique
Timbalan Menteri: Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

Menteri Belia dan Sukan:
Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu
Timbalan Menteri: Senator Datuk Seri Ti Lian Ker

-myMetro

Kerajaan Baharu: Barisan kabinet baharu diumum hari ini

 


Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis. - Foto Istana Negara

PUTRAJAYA - Teka-teki barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab pada Jumaat.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada jam 11 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.

Menurut Pejabat Perdana Menteri lagi, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri pula dijadualkan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Sabri pada Khamis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang bagi mempersembahkan senarai kabinetnya untuk diperkenankan.

Memetik kenyataan daripada Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima persembahan senarai kabinet baharu daripada Perdana Menteri.

Sesi menghadap pada Khamis adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Muhyiddin melepaskan jawatan kerana hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.

-SH Online

Khamis, 26 Ogos 2021

Agong berkenan terima senarai anggota kabinet baharu diberikan PM

 


Al-Sultan Abdullah berkenan menerima persembahan senarai anggota kabinet baharu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis. - Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota kabinet baharu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kemaskini di Facebook Istana Negara sebentar tadi.

Pada pagi Khamis, Ismail Sabri tiba di Istana Abdulaziz kira-kira jam 10.53 pagi, sebelum diikuti Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekitar jam 11.30 pagi.

Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, pada jam 1.38 petang Khamis.

Sesi menghadap Seri Paduka itu berlangsung kira-kira 3 jam.

-SH Online

Selasa, 24 Ogos 2021

Hari pertama Ismail Sabri sebagai PM – yang baik dan yang buruk

 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (berdiri tengah, berbaju putih) semasa lawatannya ke kawasan dilanda banjir di Yan, Kedah, semalam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ismail Sabri Yaakob memulakan hari pertamanya sebagai perdana menteri semalam, yang tidak kurang sibuk bagi bekas timbalan perdana menteri itu.

Selepas masuk kerja pada 8.30 pagi di Perdana Putra, Ahli Parlimen Bera itu segera berangkat untuk lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan di Kedah untuk memeriksa kawasan yang dilanda banjir baru-baru ini.

Dalam tindakan umumnya yang pertama sebagai perdana menteri, beliau mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM78 juta buat mereka yang terjejas akibat banjir dengan keutamaan diberikan untuk pembaikan infrastruktur dan bantuan tunai segera bagi mereka yang mengalami kerosakan rumah.

Katanya, RM500 akan diberikan kepada setiap keluarga yang terjejas dan RM5,000 kepada mereka yang kehilangan insan tersayang dalam banjir, manakala RM3 juta akan diperuntukkan untuk pembaikan rumah dan jalan raya.

Bagaimanapun, lawatan berkenaan menerima kecaman oleh warganet, yang pertama sekali mempertikaikan bagaimana papan tanda didirikan dengan segera oleh Pejabat Daerah Kuala Muda untuk menyambut perdana menteri.

Keutamaan Pejabat Daerah salah kata warganet, dengan papan tanda yang baharu dibina berkenaan kelihatan menonjol dalam latar belakang kemusnahan akibat banjir.

“Bayangkan pergi ke kawasan dilanda bencana dan perkara pertama yang difikirkan mereka adalah dirikan papan tanda untuk menyambut dan mengucapkan tahniah kepada perdana menteri,” kata @zahdIDGAF2 di Twitter.

Ini disusuli kritikan mengenai saiz rombongan Ismail dalam lawatannya dengan Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad; Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim antara yang dilihat turut serta.

Sebuah video yang disiarkan Berita Harian menunjukkan rombongan Ismail hanya mengamalkan sedikit penjarakan fizikal ketika beliau memeriksa jambatan yang rosak akibat banjir.

Berkenaan video itu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mengingatkan polis, “… sementara menyiasat kes Dataran Merdeka, jangan terlupa video ini.”

Lewat hari sama, tersebar gambar penerbangan Ismail dalam Perdana 1, pesawat rasmi perdana menteri.

Satu gambar menunjukkan beliau disertai Tajuddin, Mahdzir dan Ahli Parlimen Kuala Krau Ismail Mohamed Said, mendedahkan rupa dalaman pesawat berkenaan yang jarang dilihat umum.

Dalam satu lagi gambar, makanan dilihat dihidangkan buat keempat-empat pemimpin Umno berkenaan dan ini mendapat komen Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir yang berkata, “bila dah boleh dine-in.”

Gambar terbaru yang menjadi tular menunjukkan Ismail mempengerusikan mesyuarat dengan pemimpin Umno, yang dipercayai diambil di Kedah semasa lawatannya.

Dengan jarak fizikal yang kecil antara mereka yang duduk di meja, Tajuddin dan Mahdzir khususnya tidak memakai pelitup muka ketika Ismail bercakap.

Warganet segera mengecam ketidakpatuhan terhadap SOP itu, termasuk Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran, yang berkata, “kerajaan baharu? Sama sahaja, terang-terang tak endahkan SOP.”-FMT

Ahad, 22 Ogos 2021

ISMAIL SABRI GAGAL DALAM PERUTUSAN KHAS SULUNGNYA, SEPATUTNYA CUKUP DALAM BENTUK PDF SAJA


Mendengar perutusan khas sulung Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob petang tadi dan kemudian meneliti semula teks ucapan bellau, saya sehingga kini masih lagi tercari-cari apa yang menarik atau barangkali ada sesuatu yang ummphhh yang cuba disampaikannya.

Sebagai Perdana Menteri yang memang diragui oleh kebanyakan orang sejak awal lantaran tidak memiliki “PM material” dalam perwatakan dan pengucapannya, kemunculan dalam perutusan khas julung kali ini sepatutnya dimanfaat dengan sebaik-baiknya.

Walaupun cuba menggambarkan dirinya seorang yang rajin bekerja kerana memulakan tugas dan menyampaikan perutusan khas pada hari Ahad, sedang barangkali beliau hanya mula mengetip punch kad pertama sebelum memasuki pejabat pada Isnin esok hari, namun disebabkan kemunculan pertama ini tiada isi yang menarik, tiada yang baru dan sekadar biasa-biasa saja, penilaian rakyat terhadapnya tetap di tahap meragukan.

Dalam kata lebih mudah, Ismail Sabri sebenarnya gagal dalam kemunculan pertama melalui perutusan khas ini.

Mengajak semua pihak bersatu dan bergerak ke hadapan, memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, menawarkan pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara serta Jawatankuasa Khas Menangani Covid19, bercerita panjang lebar mengenai usaha kerajaan menangani wabak tersebut, bertekad bekerja bersama rakyat dan sebagainya, selain semuanya tiada yang luar biasa, ia juga pada hakikatnya langsung tidak mampu memberi keyakinan dan harapan baru kepada sesiapa yang mendengarnya.

Sekadar mengatakan memahami derita rakyat yang susah, dibuang kerja dan hilang pendapatan, disertai dengan asal usul dirinya yang berasal daripada keluarga susah, tetapi tanpa perincian yang lebih khusus tentang fokus dan perancangannya untuk memulihkan ekonomi, semuanya tidak lebih seperti kempen pilihanraya di pentas tepi bendang saja.

Lagi pun, janji-janji sebegitu sudah biasa kita dengar sejak puluhan tahun dulu lagi.

 Semua pemimpin menjanjikan bekerja untuk rakyat, termasuk Mahiaddin dulu dengan ayat yang lebih sedap – kerajaan ini mungkin bukan pilihan rakyat, tetapi inilah kerajaan yang diperlukan rakyat – tapi akhirnya semua janjinya kosong belaka di mana setelah berbuih mulut pelbagai pihak menuntut itu dan ini, yang ditunaikan beliau hanya sekelumit saja.

Sebagai bekas TPM era kerajaan gagal sebelum ini, Ismail Sabri sepatutnya tahu apa yang benar-benar diperlukan rakyat dalam suasana pandemik ini, bukan mengulang perkara-perkara biasa dan janji yang kabur sifatnya.

Jika benar beliau ingin memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia dan ingin menyelesaikan kegawatan politik yang ada, beliau sepatutnya berani mengajak semua parti untuk bersamanya membentuk kerajaan perpaduan perpaduan yang inklusif.

Sekadar mempelawa pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara dan berada dalam Jawatankuasa Khas Menangani Covid19 tidak memadai dan tidak mampu membuahkan suasana politik yang aman dan nyaman buat negara sebagaimana dikehendaki Agong.

Penyelesaian untuk politik aman dan nyaman sehingga PRU15 akan datang hanya mungkin dapat dicapai dengan mengajak semua parti bergabung dalam sebuah kerajaan perpaduan agar semua pihak dapat menggembleng tenaga secara bersama menyelesaikan masalah dalam negara.

Lagi pun dengan membentuk kerajaan tipis hanya dengan 114 sokongan, sama seperti Mahiaddin sebelum ini, bersama pula watak beliau yang kemampuannya lebih diragui berbanding PM8, menawarkan kedudukan kepada pembangkang dalam sebuah jawatankuasa semata-mata bukanlah penyelesaiannya.

Mahiaddin sebelum ini pun mempelawa pembangkang menyertai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dipengeruskkan bekas Ketua Hakim, Ariffin Zakaria, lihatlah akhirnya apa jadi kepada peranan mereka?

Dijanjikan pada awalnya jawatankuasa tersebutlah yang akan menasihati Agong berkenaan bila darurat mahu ditamatkan, malangnya selain penamatan darurat tidak mengambil kira pandangan jawatankuasa itu, kedudukan Agong pun dibelakangkan bila kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Jadi, apa jaminan pelawaan Ismail Sabri itu hanya seperti pencuci mulut yang nampak sedap dan manis, tapi tidak pun boleh mengenyangkan – sama seperti yang dilakukan Mahiaddin sebelumnya?

Yang paling ketara, di samping tidak memakai tanda nama di dadanya dalam kemunculan pertama ke seluruh negara, Ismail Sabri juga nampaknya tidak arif menyebut nama yang betul parti yang menyokong kuat dan paling awal mengangkatnya sebagai Perdana Menteri.

Tidak harus seorang Perdana Menteri menyebut nama Bersatu sekarang ini dengan sebutan PPBM, sedangkan semua orang tahu sebaik saja PH memenangi PRU14 lalu, nama Bersatu yang diharamkan penggunaannya ketika era Najib Razak dahulu telah pun dibenar menggunakan nama tersebut.

PPBM biasanya hanya menjadi sebutan pihak yang masih mahu memperkecilkan Bersatu seperti lazimnya dilakukan Zahid Hamidi dan Najib dalam posting di laman sosialnya.

Adakah Ismail Sabri secara tersirat juga mahu memperkecilkan Bersatu?

Kesimpulannya, dengan perutusan khas sulungnya yang gagal, tiada yang baharu dan tidak menjanjikan apa-apa harapan, Ismail Sabri tidak sepatutnya tergesa-gesa memunculkan dirinya secara langsung.

Seharusnya banyak kajian, penelitian dan pendapat mereka yang pakar digali terlebih dahulu agar penampilan pertamanya benar-benar ada ummphh serta kelainan.

Kalau sekadar seperti petang tadi, lebih baik dibuat dalam bentuk pdf saja. – ShahbudinHusin 22/08/2021.

Jumaat, 20 Ogos 2021

DS Ismail Sabri diumum Perdana Menteri ke-9


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ia selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

 Sementara itu, ucapan tahniah atas perlantikan itu dimuat naik Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi Facebook (FB) sebentar tadi.

"Tahniah YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

"Saya sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan.

"Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis #Covid19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat," katanya hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) memberi jaminan akan membantu Ismail Sabri atas apa juga kapasiti demi kepentingan negara.

"Selamat menjalankan amanah Dato' Sri. Semoga Allah SWT merahmati ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin," katanya.

katanya.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO arkib NSTP
-myMetro

Menjelang pertemuan Raja-Raja, Sultan Johor muatnaik pesanan tanda orang munafik

 

Tangkap layar perkongsian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam status akaun Facebooknya memuatnaik satu pesanan berhubung tanda-tanda orang munafik menjelang Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang akan berlangsung hari ini.

Dalam status itu, pesanan yang dimuatnaik menjelaskan berhubung tiga tanda orang munafik yang dipetik daripada Hadis Riwayat Al Bukhari dan ia menerima banyak komen balas daripada orang ramai.

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga iaitu: Apabila dia bercakap dia berdusta, dan apabila dia berjanji dia memungkiri, dan apabila dia diberi amanah dia telah mengkhianati,” tulis pesanan tersebut dalam status Facebook akaun Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi tulisan yang dimuat naik diruang komen Instagram miliknya, hrhcrownprinceofjohor pula berkata Johor tidak mahu terlibat dalam sebarang keputusan yang menjejaskan Perlembagaan, Kedaulatan Institusi Diraja dan Kesejahteraan Rakyat.

“Apa-apa keputusan yang akan menjejaskan Perlembagaan, Kedaulatan Institusi Diraja dan kesejahteraan rakyat, Johor tidak ingin terlibat.

“Keutamaan adalah kestabilan negara, kehidupan rakyat dan bukan kepentingan peribadi,” tulis TMJ dalam komennya.

Tumpuan massa hari ini terarah ke Istana Negara apabila Raja-Raja Melayu dijadual mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu semasa negara, khususnya berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu dijadual bermula jam 2.30 petang, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menurut Bernama.

Tumpuan dijangka terarah kepada perbincangan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

Ia berikutan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai PM pada 16 Ogos lalu.

-Agenda Daily

Ambiga biadab persoal integriti Agong pilih PM, laporan polis dibuat

 

Gerakan Peguam Islam SeMalaysia akan membuat laporan polis terhadap peguam pro-Pakatan Harapan, Ambiga Sreenevasan.

Tuduhan bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan bahawa sokongan diberikan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada calon Perdana Menteri (PM) sebagai tidak sah, adalah tindakan biadab dan bongkak.

Gerakan Peguam Islam SeMalaysia berpendapat kenyataan peguam itu juga telah menimbulkan syak dan menyoal integriti proses pelantikan PM oleh Yang di-Pertuan Agong yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Beliau (Ambiga) telah secara bongkak mengisytiharkan melalui akaun twitter pada 19 Ogos 2021 yang turut dilaporkan oleh portal berita bahawa sokongan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional bagi PM baru yang telah disampaikan kepada YDPA adalah tidak sah.

“Ini adalah percubaan menganggu proses perlantikan yang sedang dijalankan dan adalah amat biadab,” kata gerakan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, gerakan berkenaan akan membuat laporan polis terhadap peguam Pakatan Harapan (PH) itu di seluruh negara demi menjaga keselamatan negara.

“Secara langsung ini (tuduhan Ambiga) adalah juga satu tindakan menggugat demokrasi berparlimen (undermining parliamentary democracy).

“Ambiga telah melakukan kesalahan yang amat serius di bawah Akta Hasutan, Seksyen 124 Kanun Keseksaan serta Sosma, Sek 505 Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.

“Laporan-laporan polis akan dibuat terhadap anasir ini demi keselamatan negara dan ummah di seluruh negara,” kata gerakan itu.

Semalam, Ambiga dan beberapa individu lagi berkata sokongan bersyarat daripada PN kepada Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggap tidak sah kerana meletakkan syarat.

“Sokongan bersyarat oleh (PN) tidak boleh dikira sebagai sokongan […] Bagaimana kerajaan boleh stabil jika syarat untuk mendapat sokongan tidak dipenuhi?” katanya dalam satu siri catatan di Twitter semalam.

Bagaimanapun, dalam kenyataan hari ini Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju mengingatkan bahawa syarat sokongan yang dikenakan terhadap Ismail Sabri jika dilantik menjadi PM bertujuan mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih demi kebaikan rakyat dan negara.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan itu dengan syarat bagi membentuk kerajaan yang bersih – dengan memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik bukan daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Pemisahan kuasa, kebebasan kehakiman dan menegakkan sistem raja berperlembagaan. Dakwaan PH bahawa ini membatalkan sokongan PN terhadap Ismail Sabri, adalah tidak masuk akal,” kata Ali Biju.

-Agenda Daily

Khamis, 19 Ogos 2021

PM Ke-9: Sokongan kepada Ismail Sabri bersyarat - Muhyiddin

 Ismail Sabri melambai kepada wakil media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad

Ismail Sabri melambai kepada wakil media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerajaan PN yang baharu secara bersyarat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), 18 Pas dan seorang daripada Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) sudah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara, semalam.

Katanya, empat ahli Dewan Rakyat bebas yang menyokong PN juga berbuat demikian.

Antara syarat itu ialah sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong, Ahli Parlimen Bera itu hendaklah memastikan ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Katanya, kerajaan PN di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

"Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau juga sudah berunding dengan pimpinan parti Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah yang membentuk kerajaan PN sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama.

"Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan PRU bagi mengembalikan mandat kepada rakyat," katanya.

-myMetro