"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 27 Ogos 2021

Kerajaan Baharu: Barisan kabinet baharu diumum hari ini

 


Seri Paduka Baginda berkenan menerima persembahan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu dari Ismail Sabri di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang pada Khamis. - Foto Istana Negara

PUTRAJAYA - Teka-teki barisan kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal terjawab pada Jumaat.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat pada jam 11 pagi dan disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM.

Menurut Pejabat Perdana Menteri lagi, majlis angkat sumpah menteri dan timbalan menteri pula dijadualkan berlangsung pada Isnin depan, jam 2.30 petang di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Ismail Sabri pada Khamis menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang bagi mempersembahkan senarai kabinetnya untuk diperkenankan.

Memetik kenyataan daripada Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima persembahan senarai kabinet baharu daripada Perdana Menteri.

Sesi menghadap pada Khamis adalah yang kali kedua bagi Ismail Sabri selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia beliau sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas Muhyiddin melepaskan jawatan kerana hilang majoriti sokongan ahli Parlimen.

-SH Online

Subhanallah: 31 bayi di Sabah positif Covid-19 semalam sahaja


Masidi Manjun berkata seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat.

KOTA KINABALU: Seramai 31 bayi berusia di bawah satu tahun antara disahkan positif Covid-19 daripada keseluruhan 3,487 kes dilaporkan di Sabah semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun.

Jurucakap khas Covid-19 Sabah itu berkata, 297 yang dilaporkan di Sabah semalam pula adalah kanak-kanak berusia antara satu tahun hingga lima tahun, dan 632 orang berusia antara enam hingga 17 tahun.

“Majoriti pesakit iaitu 2,240 kes adalah mereka dalam lingkungan umur 18 hingga 59 tahun dan selebihnya adalah warga emas berusia 60 tahun dan lebih,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dan dengan jumlah catatan sebanyak 1,992 kes dikesan melalui saringan kontak rapat.

“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Masidi berkata, terdapat satu kluster baharu direkodkan di Sabah hari ini iaitu Kluster Hamparan 2 di Kinabatangan yang merupakan kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah ladang sawit di Mukim Sukau melibatkan 21 kes kumulatif sehingga semalam.

“Kes indeks adalah pembantu klinik wanita di ladang tersebut berusia 24 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 18 Ogos setelah bergejala sejak 12 Ogos…daripada 77 kontak yang disaring terdapat 20 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut dijangkiti,” katanya.-FMT

Khamis, 26 Ogos 2021

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 6- Atlit Takraw SMASZA Ladang

 

Zul berlari-lari anak ke basteng[1] berdekatan jalan utama diikuti Khairul. Khairul cuma berbeza 1 tahun dengan abangnya. Jadi, mereka ke sekolah bersama-sama. Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang (SMASZAL) adalah pilihan Ustaz Mad untuk anak-anaknya menyambung pengajian ke peringkat menengah. Umum mengetahui kehebatan para guru di situ, juga pelajarnya.

Bas Pokcik Ripin memecut laju meninggalkan basteng Kubang Kekura. Pokcik Ripin ramah orangnya. Kadangkala, Zul mengambil kesempatan berbual dengan Pokcik Ripin di dalam bas. Udara segar pagi di Kuala Terengganu amat menenangkan. Zul suka duduk di tepi tingkap sambil melihat pemandangan sepanjang jalan. Lain pula ceritanya apabila pulang nanti. Bas mini Pokcik Ripin lebih padat dengan para pelajar, re’muk,[2] berkuap dan sudah pasti busuk kohong![3] Ada harinya beliau terlewat sampai ke basteng. Maka, tidak ada pilihan lain kecuali bas Deraman. Sampai di sekolah, Guru Disiplin sudah menanti dengan pelbagai denda.

Nama Zul memang agak dikenali di SMASZAL sejak awal lagi. Sepak takraw, badminton, semuanya disapu habis. Di SMASZAL, atlet sukan adalah “selebriti” yang dihormati dan menjadi bualan orang puang[4]Selain Zul, antara yang terkenal juga adalah Sabri dan Zainuddin yang merupakan pemain badminton sekolah, selain Jenal dan Ku Hasan, regu pingpong yang tiada tandingan. Kalau di padang bola sepak, tak ada yang berani mengaku tidak kenal Wan Shohor Bani Leman, keeper legenda SMASZAL.

“Weh, skoloh kite ade lawang takraw petang ning. Zul jadi tekong!”, jerit seorang pelajar kelas depan kepada saingnya di kelas belakang. 10 minit kemudian, sunyi kelas-kelas di SMASZAL. Semuanya turun ke gelanggang sepak takraw menyaksikan Zul dan pasukan sepak takraw SMASZAL beraksi. Bila Zul, Jabar, Sabri Chik mewakili sekolah, Mudir SMASZAL sudah boleh siap-siap duk ccacang di podium untuk mengambil piala. Pernah sekali tiga sekawan ini menjadi juara Bawah 18 tahun peringkat Sekolah-Sekolah Agama Negeri Terengganu ketika bertanding di Tapian Gelanggang, Gong Kapas. Saat sekolah-sekolah lain menghantar pelajar Tingkatan 4 dan 5, SMASZAL hanya menghantar budak yang masih mude jjetik[5]. Namun, itulah yang digeruni lawan.

Saya bersama Jabar. Sabri Chik tiada dalam gambar. Wakil SMASZAL yang digeruni lawan satu ketika dahulu dalam pertandingan sepak takraw peringkat Negeri Terengganu.

Di kelas pula, beliau sentiasa terkehadapan. Beliau menjadi rujukan saing-saing lain untuk subjek-subjek Bahasa Arab seperti Nahu, Saraf dan juga Matematik. Guru-guru SMASZA juga amat menyayangi beliau dan menjadikan beliau sebagai contoh kepada para pelajar lain. Selalunya, Zul akan bbadi dengan Ahmad Nazmi, Syamsuddin, Mazemi, Engku Ahmad Zaki dan beberapa lagi. Antara yang disegani juga seperti Zulkifli Embong, Abdul Manan, Khairuddin, Muzaruddin, Syamsul Bahri, Salahuddin, Rasyid, Hasbil, Arbab, Amli Embong. Kalau pelajar puang pula antaranya Faridah, Rugaya, Roslina dan Rozita. Zul juga aktif dalam pertandingan pidato dan kuiz agama.

“Ustaz Mad, ana napok anok enta Zul tu, boleh gi jauh. Sukang nombor satu. Belajor pung rajing. Dalang kelah, die main nombor se, due, tige je. Bijop budok tu. Molek hantor die belajor luar negare.”, Ustaz Wan Abdullah memberikan pandangan kepada Ustaz Mad. Ustaz Mad tersenyum dan memandang tepat kepada sahabat dan berkata, “Insya-Allah. Ana doa hok baik-baik untuk segheme anok-anok ana. Zul memang boleh gi jauh.”

Zul suka mengumpulkan duit belanja yang diberikan ayahnya setiap hari. Cukup bulan, beliau akan menaiki basikal untuk ke kedai buku. Habis buku-buku latihan SRP diborongnya di kedai-kedai buku sekitar Kuala Terengganu. Balik rumah, semua buku tersebut disusun penuh di rak bukunya. Subjek yang akan diajar tahun depan, tahun ini sudah selesai dihadamnya. Tak hairanlah beliau sentiasa menonjol di dalam kelas. Itulah kehidupannya sejak melangkah ke alam remaja.

“Mung nok gi mmane jangok-jangok ning?”, Khairul menegur Zul. Khairul memerhatikan abangnya atas, bawah beberapa kali. Terkebil-kebil. “Doh guane mung jadi gini malang-malang? Baju kemeje, seluor bell botteng[6], paka Tanco. Stepek bojeng nnekat atah kulit ppale. Pesengang Elvis Presley.” Zul pada malam itu cukup segak berpakaian kemas. Kemeja dimasukkan ke dalam seluar dan beberapa buah buku latihan SRP dikepit di celah ketiaknya.

“Aku nok study lah.”, jawab Zul ringkas, terus meninggalkan adiknya yang masih kehairanan. Lucu pun ada. Jadi pengong[7] Khairul dengan abangnya.

Mungkin Zul terkesan dengan peribadi dan adab Imam Malik dengan ilmu. Mengulangkaji pelajaran dengan berpakaian cantik dan kemas. Diriwayatkan jika ada yang datang untuk mempelajari hadis dan meriwayatkan Imam Malik, beliau akan masuk untuk berwuduk, memakai pakaian yang terbaik, berserban, menyikat janggutnya dan meletakkan minyak wangi. Wangian gaharu akan dibakar dan beliau duduk tetap sehinggalah majlis selesai.[8]

Beliau juga pernah membonceng ayahnya menaiki motosikal Honda Cub TA6149 untuk menemani ayahnya mengajar di sejik dan balasoh sekitar Marang, Seberang Marang dan Kuala Berang. Di sinilah bermula sejarahnya mengenali Tuan Guru Haji Abas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Fatani, Tuan Guru Ustaz Latif Besut dan beberapa guru-guru pondok di sekitar Terengganu. Pada ketika ini, Zul mula bertatih mengenali kitab-kitab kuning seperti Aqidatun Najin, Penawar Bagi Hati, Hidayatus Salikin, Sairus Salikin, Bakuratul Amani, Matla’ul Badrain, Matan Ajurrumiah dan sebagainya. Lazimnya apabila Tuan-Tuan Guru ini berjumpa, mereka akan saling menyapa dalam Bahasa Arab. Inilah yang menambahkan keterujaan Zul untuk mendalami Bahasa Arab.

Sesekali, Ustaz Mad akan membawa Zul menunaikan solat Jumaat di Masjid Abidin, Kuala Terengganu yang juga dikenali dengan nama Sejik Putih, Zul cuba mengintai-intai di sebalik ratusan jemaah yang hadir untuk melihat batang tubuh Sahibus Samahah Dato’ Indera Guru Haji Wan Abdul Manan bin Wan Yaakob, Mufti Tereng  ganu yang menjadi imam setiap kali Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu perkenan mencemar duli menunaikan solat di situ.

Beliau amat kagum dengan imej Mufti Terengganu yang terkenal dengan kealimannya ini. Memang mudah hendak mengenalinya di masjid kerana hanya beliau yang memakai mishlah seperti Imam Mekah. Dato’ Indera Guru Haji Wan Abdul Manan berketurunan Tok Syeikh Duyong (Tuan Guru Haji Wan Abdullah), antara ulama terkenal Terengganu.

Ada ketikanya, Ustaz Mad akan singgah ke pejabat Sahibus Samahah Mufti untuk merujuk beberapa persoalan keagamaan. Zul hanya mendengar walaupun tidak berapa memahami perbahasannya. Apa yang mengagumkan, setiap persoalan dijawab spontan dengan menyertakan rujukan kitab-kitab. Itulah antara peranan seorang Mufti, bukan hanya menjawab isu-isu tetapi menyediakan penyelesaian bagi sebarang isu yang timbul.[9]

“Perjuangang Islam tidok hanye terhenti di sejik dan balasoh. Bahkan, kite perlu terapkang fikrah Islam dalang keluarge, masyarakat, seterusnye negare kite yang dicintai ini. Inilah yang ditunjukkang oleh Junjungang Besor Nabi Muḥammad SAW.”. Zul terangguk-angguk sambil mencatat setiap butir patah perkataan yang disampaikan dalam kuliah Fiqh Harakah dari Sirah Nabawiyyah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, seorang ulama muda yang mula dikenali bukan saja di negeri Terengganu, bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Jika tidak ke mana-mana, Zul sejak Tingkatan 2 sesekali akan mengikuti pengajian kitab Akidah Muslimin, Tafsir dan Sirah di Masjid Rusila. Kalau terlewat, alamatnya duduklah nun jauh di luar masjid. Ribuan orang memenuhi Masjid Rusila untuk mengikuti kuliah yang disampaikan secara mingguan itu. Sepanjang 3 tahun bersekolah di SMASZAL, basikallah yang menjadi kenderaan utamanya ke sana sini bertalaqqi dan mengikuti ceramah-ceramah para asatizah di Terengganu.

Zul sempat menetap di asrama seketika. Di asrama, masa beliau banyak dihabiskan dengan membaca kitab. Katilnya sahaja sudah menjadi rak buku. Cuma ada ruang yang kecil, cukup-cukup tubuh badannya untuk merehatkan diri. Hari Jumaat juga adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh pelajar SMASZAL kerana Pok Leh dan isterinya yang menjaga Dewan Makan asrama akan menyediakan Nasi Minyak. Kadang-kadang, sampai boleh bergaduh jadinya bila ada pelajar yang bungkus nasi dan lauk dalam jabir[10] sehingga kehabisan sedangkan masih ramai yang belum makan.

*********************

“Zulkifli bin Mohamad. Mana??!!!”, Meliar mata Ustaz Yusuf, Mudir SMASZAL mencari Zul di perhimpunan pagi Ahad. Merah matanya bak biji saga dengan bibir menggeletar diketap tanda marah. Pagi itu hampir 1 jam semua pelajar SMASZAL mendengar leterannya tentang akhlak.

“Saye nok umumkang, Zulkifli bin Mohamad dibuang asrama!”. Kenyataan bak halilintar yang mengejutkan semua pelajar. Mana mungkin pelajar contoh yang juruh[10], beraluh[11]atlet harapan dan pelajar bijak, tiba-tiba dibuang asrama. Zulkifli yang berada dalam barisan ketika itu, cuma menunduk. Senyap tupah[12] para pelajar yang berbual-bual semasa leteran Ustaz Yusuf awal tadi. Semua pelajar memandang Zul. Ada yang tertanya-tanya, ada yang simpati.

Dunianya terasa gelap.

Bersambung… 

Bersama sahabat-sahabat SMASZAL

____________________

[1] Bus stand

[2] Penuh, padat

[3] Teramat busuk

[4] Perempuan

[5] Terlalu muda umurnya.

[6] Bell bottom

[7] Tecengang

[8] Saya ada menulis biografi Imam Mālik dan imam-imam mazhab lain. Boleh didapatkan di http://pck.onpay.my/order/form/bukupck

[9] Kami semasa di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bersama para penyelidik pernah menterjemahkan kitab Ṣifat al-Muftī wa al-Mustaftī oleh Ibn Ḥamdān; sebuah kitab yang membahaskan tentang peranan dan persiapan seorang Mufti, begitu juga adab bagi peminta fatwa. Boleh didapatkan di http://pck.onpay.my/order/form/bukupck

[10] Plastik

[11] Baik

[12] Sopan santun

[13] Senyap sepi

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

Rekod Baharu: 24,599 kes baharu Covid-19 hari ini

 PETALING JAYA: Kes positif Covid-19 hari ini meningkat kepada 24,599 kes berbanding 22,642 kes semalam.

Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,936 kes, diikuti dengan Sabah sebanyak 3,487 kes, Johor (2,785), Pulau Pinang (2,078), Sarawak (2,024), Kedah (1,538) dan Perak sebanyak 1,170 kes.

Kuala Lumpur pula mencatatkan tiga angka dengan 881 kes, Pahang (690), Terengganu (567), Negeri Sembilan (526) dan Melaka (515).

Hanya tiga kawasan mencatatkan kes di bawah paras dua angka iaitu Perlis dengan 67 kes, Putrajaya (20) dan Labuan (3). – UTUSAN ONLINE

AlFatihah: Aming pesan ibu tutup aurat sebelum meninggal


Video Aming diulang siar oleh Ismail Sabri sehingga tular semula di Facebook pada Februari lalu.

KOTA KINABALU - Kanak-kanak yang pernah tular di media sosial menerusi videonya yang petah berkata-kata sambil memberi nasihat dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Tawau pada awal pagi Khamis.

Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming berusia lapan tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi.

Perkara itu disahkan ibunya, Santi Sabri, 33, ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Santi, anaknya itu tiba-tiba mengadu mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia.

Katanya, sebelum ini anaknya itu berada dalam keadaan yang sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.

"Tiada juga apa-apa, cuma dia makan mi segera saja kemudian sesak nafas. Saya sangka dia biasa-biasa saja, sebab anak saya tidak sakit.

"Sempat lagi dia angkat barang-barang saya, azan dan solat," katanya.


Perkhabaran duka kematian Aming turut tular di media sosial pada Khamis.

-SH Online

Agong berkenan terima senarai anggota kabinet baharu diberikan PM

 


Al-Sultan Abdullah berkenan menerima persembahan senarai anggota kabinet baharu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis. - Foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota kabinet baharu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kemaskini di Facebook Istana Negara sebentar tadi.

Pada pagi Khamis, Ismail Sabri tiba di Istana Abdulaziz kira-kira jam 10.53 pagi, sebelum diikuti Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekitar jam 11.30 pagi.

Ismail Sabri Yaakob selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, pada jam 1.38 petang Khamis.

Sesi menghadap Seri Paduka itu berlangsung kira-kira 3 jam.

-SH Online

Apa Rahsia Disebalik 'Solat atas batu' Ini?

 

Solat atas batu

SATU keping gambar tafsiran pelbagai. Cara mata melihat dan hati berbisik, lalu kata-kata atau tulisan terbit dengan pelbagai nada. Pertama kali saya lihat gambar tersebut, saya rasa sebak dan apa yang terlintas di hati.

Mereka usaha solat berjemaah (mungkin awal waktu) dalam suasana kiri kanan hutan tebal memang tiada kawasan lapang, tiada tanah kosong melainkan pokok besar dan lalang hutan yang tinggi, mereka sedang menaiki bukit, bukan kawasan peranginan main air sungai dan air terjun.

Apa yang mereka lakukan agak berbahaya, merisikokan nyawa, sudah tentu kewajipan solat akan disegerakan agar lebih tenang dan bersedia. Saya percaya mereka bukan niat nak menunjuk, riak atau mencari publisiti. Mereka hanya ingin menunaikan kewajipan solat dalam apa jua keadaan.

* Kalau saya la, lagi takut solat dalam lalang tu, terbayang binatang berbisa dan lain-lain. Saya juga ada pengalaman solat atas batu, waktu camping dan program dalam hutan. Insya-Allah mereka dah memilih batu yang tak licin dan stabil. Mereka juga mungkin tiada masa nak tebas hutan bagi lapang untuk solat dll. Alhamdulillah mereka semua selamat sahaja.

Tuan puan, solatnya jelas sah, cukup syarat wajib solat, syarat sah solat dan rukun solat. Allahu Akbar, sabda Nabi SAW:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَم يُعْطِهِنَّ أَحَدٌ قَبْلِي.. وَجُعِلَتْ لِي الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًاً فَإيما رجل مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةَ فَلْيُصَلِّ

Maksudnya: Aku (Rasulullah SAW) diberikan lima kemuliaan yang tidak diberikan kepada sesiapapun sebelum aku… (antaranya) dijadikan kepada aku bumi sebagai tempat sujud dan tanahnya untuk bersuci. Oleh itu, di mana sahaja seseorang itu mendapati waktu solat, maka hendaklah dia mendirikan solat. [HR al-Bukhari: (438)]

Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْضُ كُلُّهَا مَسْجِدٌ إِلّا المَقْبَرَةَ وَالحَمَّامَ

Maksudnya: Setiap jengkal di bumi ini merupakan masjid (tempat sujud untuk solat) kecuali di atas kuburan dan tandas. [HR al-Tirmidzi (236), Ibn Majah (737) dan Abu Daud (415)]

Saya rasa terkilan apabila ada pihak atau individu yang sinis dengan situasi solat atas batu ini hingga dituduh menunggang agama dan pelbagai sindiran tajam. Kenapa terus menerus menunggang politik, hingga dalam kerja kebajikan pun masih tidak boleh jadi asbab penyatuan ummah.

Saya sendiri dan kami NGO Sahabat Amal Care memang terlibat secara langsung dengan misi ini. SAC menyalurkan infaq orang ramai kepada projek waqaf paip ini. Kami menyaksikan perjalanan sukar mereka memakan masa yang berjam-jam berjalan kaki untuk sampai ke kawasan tepat di atas bukit.

Mengapa mereka perlu membahayakan diri untuk melakukan kerja-kerja pemasangan paip tersebut?

Berikutan tragedi kepala air yang berlaku dalam musibah banjir, beberapa perkampungan di sekitar kaki Gunung Jerai, telah terputus bekalan air berikutan paip utama pecah, jangka waktu baik pulih memang memakan masa, sedangkan mereka perlu mendapatkan bekalan air bukan hanya untuk keperluan harian, tapi untuk membersihkan lumpur tebal, jika tidak segera maka akan mengeras dan proses membersih berkali ganda sukar.

Keseluruhan sistem perpaipan bermula daripada takungan sehinggalah ke saluran paip telah rosak dan hanyut dibawa arus banjir. Dengan pantas dan cekap, para petugas disusun untuk membawa naik dan menarik paip PVC yang bersaiz 2 hingga 3 inci dan panjangnya 100 meter setiap satu gulungan ke sumber air bersih di puncak bukit.

Peringkat awal masih boleh melalui darat, satu masa mereka perlu melalui dan berada di dalam sungai. Bukan hanya pasang satu saluran paip atau untuk satu kampung, tapi untuk banyak kawasan.

Lebih mencabar lagi apabila cuaca di sini hujan lebat, jalan untuk menaiki bukit menjadi licin dan lecak. Ditambah dengan pokok-pokok dan batu-batu yang besar, perjalanan menjadi lebih sukar.

Mereka buat semua ini percuma, lillahita’ala, tanpa bayaran tanpa upah apa-apa. Siapa kenal mereka dengan nama apapun akan tahu siapakah tentera kebajikan ini. Unit Amal, Jabatan Amal atau Khidmat Malaysia.

Saya sendiri membesar dengan melihat bagaimana mereka memberi khidmat dengan hati dan iman. Sayap wanita mereka antaranya Ameerah, Briged Muslimat, Aalimat dan lain-lain.

Kerja kebajikan dalam misi ini bukan hanya dilakukan oleh umat Islam, kami juga jumpa NGO dan sukarelawan non-Muslim yang turun padang, kita boleh tolak tepi perbezaan agama dan bangsa, kenapa sesama umat Islam perlu begini.

Bila berlaku misi, kami sendiri suka bekerjasama dan mengutamakan pemimpin tempatan, kerana mereka terlebih dahulu yang sampai ke lokasi kejadian dan memulakan bantuan. Begitu juga dengan NGO lain, saling bekerjasama dan melengkapi. Ini bukan medan siapa lebih bagus, lebih cepat atau lebih banyak memberi. Nauzubillah, bimbang pahala yang dicari bertukar dosa dan saling membenci, ia sangatlah rugi.

Ya, saya terasa dengan isu ini. Mungkin kerana selama empat hari kami di sini kami melihat bagaimana mereka bekerja dan beramal. Solat jemaah jika dapat awal waktu memang menjadi keutamaan mereka.

Kami turun ke Kedah hari ke-3 selepas musibah banjir, dan sungguh kami kagum dengan para pemimpin tempatan, YB yang kami jumpa iaitu YB Ustaz Azam, YB Ustaz Sabri dan YB Ustaz Hanif, turun padang macam rakyat biasa tiada beza, tiada layanan istimewa. Mereka adalah YB kawasan banjir.

Sesampainya kami ke tempat kejadian, banyak bahagian dalam rumah yang sudah pulih, kami hanya perlu membantu mana-mana bahagian yang mereka tak mampu. Atas faktor keletihan dan kekurangan tenaga, terlalu banyak rumah, dan operasi banjir selut sangat jauh beza dengan banjir air sahaja.

Kami kagum dengan gerak kerja jentera mereka, daripada kalangan muslimin dan muslimat, daripada yang memasak, menyediakan dan menghantar makanan serta minuman untuk mangsa banjir setiap hari. Bahkan petugas yang membersih dan menyampaikan bantuan terdiri daripada kalangan anak muda hingga warga emas, malahan yang sudah mencecah usia 80 tahun ke atas pun ada.

Ada hikmah atas semua yang berlaku, mungkin dengan ini masyarakat lebih kenal siapa mereka.

Siapa Jabatan Amal Malaysia?

Jabatan Amal Malaysia sebelum ini pernah dikenali sebagai ‘Unit Amal’ dan telah ditubuhkan sejak 1991.

Di awal penubuhan jabatan ini, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi, antaranya kekangan kewangan, tiada bantuan dan sokongan, tenaga kerja yang kurang dan bersilih ganti.

Namun, jabatan ini tetap terus melangkah dan semakin kukuh tahun demi tahun. Anggotanya tetap berintegriti dalam memberi dan membantu walau apa jua situasi. Bahkan mereka sentiasa ada untuk menghulurkan bantuan apabila rakyat Malaysia dan negara jiran memerlukan.

Saya kongsikan beberapa fungsi bahagian di bawah Jabatan Amal Malaysia:

1) Bahagian operasi

Terdiri daripada Kor Medik dan Penyelamat yang berfungsi sebagai penyelamat dan perubatan.

2) Bahagian latihan

Merancang latihan, pelaksanaan latihan, kejurulatihan dan penyelarasan pangkat.

3) Bahagian kebajikan

Merancang dan melaksanakan kerja-kerja dakwah, tarbiah dan kebajikan dengan bertujuan menyampaikan risalah dakwah menerusi kerja kebajikan. Di bawahnya terdapat Kor Tarbiah dan Dakwah serta Kor Kebajikan.

4) Bahagian pelapis

Bertanggungjawab bagi membentuk generasi muda yang beriman, beramal Islami dan bertakwa, dengan menguruskan Kadet Amal dan Briged Amal.

5) Bahagian staf

Sebagai sekretariat urus tadbir oleh Ketua Pegawai Tadbir dan Ketua Pegawai Kewangan.

Mereka bukan sahaja terlibat dalam misi banjir ini, bahkan pelbagai misi kebajikan lain yang turut dijayakan, antaranya:

1. Operasi pembersihan premis awam dan rumah penduduk akibat banjir di seluruh Malaysia.

2. Mengurus jenazah Covid-19.

3. Menyampaikan bantuan kemanusiaan di seluruh Malaysia dan luar negara.

4. Menyampaikan bantuan semasa bencana tsunami di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Aceh, Indonesia.

5. Menganjurkan program derma darah seperti program Amal Mega Blood Donation 2021 yang berjaya mengumpul sebanyak 5,135 penderma darah.

Dan pelbagai lagi yang tidak tertulis.

Subhanallah, Allahu akbar, jiwa mereka hidup dengan mewaqafkan diri dan tenaga untuk kebaikan ummah. Melakukan tugas tidak mengira waktu walau tanpa bayaran dan kadang kala tiada liputan media. Namun masing-masing tetap istiqomah memberikan yang terbaik. Benar, mereka juga antara hero yang jarang didendang.

Dalam menghulurkan bantuan dan misi kemanusiaan, tugas kita ialah untuk saling bekerjasama, bahu-membahu dan saling berganding kekuatan antara satu sama lain.

Alhamdulillah, dengan adanya waqaf paip ini, bekalan air bersih dapat dinikmati oleh penduduk setempat khususnya di kawasan kampung sekitar kaki Gunung Jerai.

Tanpa sumbangan tuan puan sekalian, waqaf ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Semoga setiap air yang mengalir itu memberi manfaat dan pahala yang tidak putus juga buat semua penyumbang.

Semoga Allah menyatukan kita semua dalam jalan kebaikan. 

Terima kasih kepada para penyumbang yang dermawan kerana sentiasa menyokong kerja kebajikan dan dakwah yang sedang diusahakan.

Semoga segala kebaikan kalian diganjarkan syurga Allah SWT.

Kami hanya jentera kecil yang turut sama membantu mewakili rakyat Malaysia.

جزاكم الله خيرا

ASMA’ BINTI HARUN DAN NGO SAC
Pengasas & Penaung NGO Sahabat Amal Care – HARAKAHDAILY 26/8/2021

-ibnuhasyim.com

“Sapa Kenal Dia ,Dimana Cari Dia” – TMJ – ‘Brader’ bersuara emas lagu lirik PKP dapat perhatian Sultan Johor

 

Paling diingati sudah tentu lagu-lagu berkisar tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditonton jutaan pengguna media sosial sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Sultan Johor titah TMJ ‘cari’

Namun begitu, menerusi satu perkongsian Tunku Mahkota  Johor (TMJ) di Instagramnya, baginda memaklumkan yang Sultan Johor menitahkan baginda untuk mencari pemilik akaun tersebut memandangkan cover lagu yang dibuat @azmannaim44mantra mendapat perhatian KDYMM Sultan Johor.

Terima pujian dari Sultan Johor & TMJ

TMJ  turut memuji posting yang dibuat oleh @azmannaim44mantra dan memuat naik kembali salah satu video di Instagram baginda dengan kapsyen “First Class”.

Menjunjung kasih Tunku

Perkongsian tersebut turut telah disedari oleh @azmannaim44mantra atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim apabila dia memberi respon di media sosial posting TMJ ‘mencarinya’ atas titah Sultan Johor.

Keunikan suara dan kreativiti Azman ini sememangnya menjadi perhatian warganet sejak awal PKP dahulu kerana lirik yang disampaikan tepat dengan situasi yang berlaku ketika itu.

Sehingga hari ini, lelaki berkenaan masih lagi membuat parodi dan menjadi hiburan seluruh masyarakat Malaysia.


-Malaysia Times

Jawatan Kosong : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)

 Jawatan Kosong Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)


Tarikh tutup 31 Ogos 2021 Maklumat lanjut »

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 5- Indahnya Raya

 

Beberapa hari menjelang Hari Raya Aidilfitri, orang ramai akan memenuhi Pasar Payang, Kuala Terengganu bagi membeli pelbagai persiapan raya termasuk baju raya. Nama Pasar Payang diambil sempena “perahu payang” yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di Terengganu.

Pada tahun 1964, ia dibangunkan sebagai sebuah pasar dengan gerai-gerai kayu yang berderet, bagi menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Pasar Payang telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16, yang juga merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-4 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Haji Zainal Abidin III Mu’azzam Shah pada 31 Ogos 1968.

Pasar Payang kini lebih cantik

Bahagian bawah Pasar Payang menempatkan barangan dapur seperti ikan, sayur-sayuran, barangan kering dan kuih-muih tradisional. Sementara tingkat atas adalah tumpuan ramai kerana menjual pakaian terutama baju raya, batik Terengganu, sutera, dan songket tenunan Melayu.

Hajah Ramlah lebih senang menjahit sendiri baju raya anak-anak dan suaminya. Sejak sebelum Ramadhan lagi beliau menyiapkan baju raya keluarganya. Itu yang lebih utama kerana apabila tibanya Ramadhan atau 10 malam akhir Ramadhan, beliau dapat menumpukan kepada ibadah dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

********************

“Ayoh, jadi ke raye esok?”, tanya Khairul dengan penuh teruja.

Ustaz Mad ketawa kecil dan menjawab, “Aa’uu gok.[1] Kite tunggulah pengumumang Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof, Penyimpang Mohor Besor Raje-Raje kekgi.”

Selepas Maghrib, Ustaz Mad sekeluarga berkumpul di depan televisyen. Debarannya seperti menonton perlawan akhir Itali dan West Germany dalam Piala Dunia FIFA 1982 di Santiago Bernabéu Stadium, Sepanyol. “Mung wase raye dop esok?”, Khairul bertanya pula kepada Zul. “Balok arok[2] aku dengang mung ning. Shhh…Nok mule doh tu.”, marah Zul kepada adiknya. Khairul mencebik tanda tidak berpuas hati.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 30 Jun 1984. Sekian, wassalamu ‘alaikum warahmatullah wabarakatuh…”

Berdentum-dentum bunyi bedil mengiringi tamatnya pengumuman sebentar tadi. Malam di Kampung Kubang Kekura dan sekitarnya hidup dengan warna-warni bunga api.

*******************

Masjid Abidin, Kuala Terengganu

“Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar…” Alunan takbir di pagi 1 Syawal memecah keheningan Subuh yang dingin. Sabda Nabi SAW:

‌زَيِّنُوا ‌أَعْيَادَكُمْ ‌بِالتَّكْبِيرِ

Maksudnya: “Hiasilah dua hari raya kalian dengan takbir.”[3]

“Sedak ork takbir raye kkapung kite ning?”, Mi bertanya pandangan Zul. Boleh lah. Tapi bagi aku Sejik[4] Negare sedak lagi. Bile la ade peluang nok gi sane.”, jawab Zul acuh tidak acuh kerana sibuk membetulkan songkoknya di hadapan cermin.

Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidil Fitri pada tahun ke-2 Hijrah. Waktu solat hari raya bermula dari matahari terbit hingga gelincir matahari. Hal ini berdasarkan hadis, daripada al-Barra’ raḍiyallāhu ʿanhu katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِيْ يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّيَ

Maksudnya: “Perkara yang pertama kita mulakan hari ini ialah bersolat.”[5]

Pun begitu, disunatkan solat hari raya untuk dilewatkan sedikit ketika matahari naik tinggi segalah sebagaimana yang dijelaskan oleh Shaykh Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshn dalam Sharh al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah.[6]

Zul dan adik beradiknya berebut-rebut masuk ke bilik air untuk mandi. Masing-masing tidak mahu terlepas untuk pergi ke balasoh bagi menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri. Baju raya anak-anak dan suaminya telah siap digosok oleh Hajah Ramlah. Masing-masing gembira nampaknya memakai baju baru. Ustaz Mad mencalitkan sedikit minyak atar kepada anak-anaknya sebelum bersama-sama ke balasoh. “Molek paka ning. Amalang sunat pagi raye.”, katanya kepada anak-anak.

Sebagaimana hari Jumaat, hari raya juga disunatkan untuk berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik. Perbezaannya, hari raya disunatkan untuk memakai apa-apa sahaja pakaian yang terbaik walaupun bukan berwarna putih seperti yang disunatkan pada hari Jumaat.[7]

Selepas solat sunat hari raya, Ustaz Mad sekeluarga akan menziarahi ayahanda, Haji Bakar. Inilah rumah pertama yang wajib dikunjungi pada pagi hari raya. Ketupat, rendang, lemang, dan tapai, adalah antara juadah istimewa yang telah tersedia di meja makan. Nasi Dagang Ikang Aye sudah pasti adalah menu utama.

“Maghi sini segheme cucu-cucu Tokki. Haa, nok wi duit raye ning.”, kata Haji Bakar sambil ketawa. Habis berterabur makanan ditinggalkan di meja. Semuanya bertabur untuk bersalam seterusnya mendapat duit raya.

Hari raya pertama dipenuhi dengan aktiviti kunjung mengunjung sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Tidak perlu risau di mana hendak sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Makanan yang enak ada di mana-mana rumah! Ustaz Mad juga tidak lupa berkunjung ke rumah mereka yang susah seperti Pok Leh. Beliau akan menyampaikan bantuan berupa wang tunai dan juadah hari raya untuk Pok Leh sekeluarga. “Dalang kite bergembire hari ning, jangang lupe hok fakir misking.”, pesan Ustaz Mad kepada anak-anaknya.

Selepas Solat Zohor, Ustaz Mad membawa keluarganya berkunjung ke kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga bekas gurunya. Sudah menjadi kelaziman saban tahun, itulah rumah pembesar negeri yang menjadi singgahan setiap kali hari raya. Kerjaya Ustaz Mad sebagai Guru Pelawat Agama membolehkan beliau kenal dan rapat dengan orang-orang kenamaan, termasuk pegawai-pegawai di Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Jabatan Mufti Negeri Terengganu.

Almarhum Dato’ Sri Amar Diraja Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Mantan MB Terengganu

“Sedak do’oh ayang golek ning. Wase nok ambik lagi la. Kikiki…”, bisik Khairul kepada abangnya, Zul. “Aduh…Dok rok skepeng[8] mung ni. Shhh…pellang gok sikek cakak tu!” Zul membalas sambil mencubit adiknya. Tan Sri Wan Mokhtar kebetulan terdengar perbualan dua beradik itu pantas mencelah, “Ha, ambik, ambik. Memang untuk tetamu blake tu. hehe.” Khising[9] Zul dan Khairul disapa Menteri Besar. Rasa kembang sekejap!

Tan Sri Wan Mokhtar kemudiannya menghulurkan not RM1 kepada Zul dan adik beradiknya. Buntang mata mereka apabila menerima wang kertas tersebut. RM1 pada era 80-an sudah dikira besar nilainya. Selepas berbual seketika, Ustaz Mad meminta izin untuk pulang kerana masih ada beberapa buah rumah yang akan dikunjungi.

Datsun Sunny 120Y nombor plat BBD 2949 berwarna hijau muda pun meluncur laju keluar daripada kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu. Destinasi seterusnya adalah rumah Ayoh Long Haji Mad Gemok, bapa saudara mereka. Ayoh Long Haji Mad Gemok orang berada. Anak-anaknya Nafisah, Kak Re, Abang Din, Abang Mi, Kak Dah dan lain-lain nampak berpelajaran tinggi. Jauh bezalah dengan Zul dan semua adik beradiknya, budok buah[10].

Beginilah model kereta Ustaz Mad.

Beliau selalu meraikan anak-anak saudaranya dengan juadah yang enak setiap kali hari raya. Namun hari itu nampaknya Zul dan adik beradiknya sudah keletihan. Se’eh perut[11] kerana kekenyangan menjamu selera di kediaman rasmi Tan Sri Wan Mokhtar.

“Ayoh, banyok lagi ke rumoh? Zul lembek lotteh doh ning.”, kata Zul sambil menyandarkan kepalanya ke bahu Mi. “Habih doh. Kite nok kelik la ni.”, Ustaz Mad menjawab.

Malam itu selepas selesai solat Maghrib berjemaah, Zul dan adik beradiknya berkumpul untuk mengira duit raya masing-masing. Wang yang terkumpul, sebahagiannya akan disimpan ke dalam Bank Simpanan Nasional dan sebahagian lagi dibuat belanja harian.

Satu hal yang menarik, ibadah puasa enam hari di bulan Syawal dilaksanakan beramai-ramai oleh orang tua-tua di Kampung Kubang Kekura bermula 2 Syawal. Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.”[12]

Imam al-Nawawi rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Shāfiʿī, Ḥanbalī dan juga Dāwūd al-Ẓāhirī bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  )[13]

Pada 7 Syawal, mereka yang selesai berpuasa akan meraikannya sebagaimana 1 Syawal. Aktiviti wajib adalah ziarah kubur. Antara kubur orang alim yang menjadi tumpuan adalah kubur Tok Khatib Siput.

Syeikh ‘Atiyyah Saqr dalam fatwanya Ahsan al-Kalām fī al-Fatāwā wa al-Aḥkām ada menjelaskan berkenaan hukum ziarah kubur pada hari raya. Menurutnya, hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat. Beliau menyimpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat daripada Allah SWT untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.

Adapun bagi perempuan, beliau memakruhkannya jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain. Jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram.

Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, ia ditegah. Ini kerana takziah selepas daripada mayat dikebumikan lebih daripada tiga hari adalah dilarang, sama ada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Begitu juga ia ditegah kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidak ditimbulkan perasaan sedih.

____________________

[1] Tak tahulah

[2] Serabut kepala

[3] Riwayat al-Ṭabarānī dalam al-Muʿjam al-Awsaṭ, no. 4373.

[4] Masjid

[5] Riwayat al-Bukhari (908)

[6] Shaykh Saʿīd bin Muḥammad Bā ʿAlī Bā ʿIshn. Sharh al-Muqaddimah al-Ḥadramiyyah, m. 421.

[7] Ibid., 422.

[8] Tak boleh pakai

[9] Tersengih-sengih

[10] Nakal

[11] Sengkak / perut sudah penuh

[12] Riwayat Muslim (1164)

[13] Lihat Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, (8/56). Adapun pahala berpuasa sepanjang tahun difahami seperti berikut: Setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan puasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama bepuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah). Wallahu a’lam.

Sumber Asal: zulkiflialbakri.com

Artikel Barkaitan:

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Prolog

 Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 1- Budak Kampung

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 2 - Bukan Lagi Yang Dulu

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri:Bab 3 - Ramadhan di Kubang Kekura

Memoir Kehidupan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri: Bab 4 - 10 Malam Akhir Ramadhan