"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Ahad, 29 September 2024

Berpuluh Ribu Manuskrip Hubungan Alam Melayu Dan Empayar Uthmaniyyah

 Berpuluh Ribu Manuskrip Hubungan Alam Melayu Dan Empayar Uthmaniyyah 

Arkib kerajaan Uthmaniyyah, Negara Turkeye telah menyimpan sebanyak 96 juta manuskrip semasa zaman kegemilangan kerajaan Uthmaniyyah dan Empayar Khalifah Uthmaniyah bermula dari 1300 Masihi sehingga 1800 Masihi. Terdapat seksyen-seksyen tertentu di bangunan arkib ini, antaranya seksyen Alam Melayu. Berdasarkan maklumat kurator arkib ini Manuskrip2 ini tidak dibongkar oleh orang Melayu, inilah kali pertama ia dikunjungi oleh orang Melayu iaitu Ustaz Datuk Mohamad al Amin, Prof Dr Hidayah (UM) dan beberapa orang pelajar beliau. Terima kasih tidak terhingga kepada mereka!

Hampir keseluruhan manuskrip² ini ditulis di dalam bahasa Arab Fushah. Maka dengan ini kita faham apabila Alam Melayu berhubung dengan empayar Uthmaniyyah atau Empayar Abbasiyah hatta Empayar Umaiyyah, Raja-raja Alam Melayu akan menggunakan bahasa Arab tinggi ( fushah). Justeru terdapat manuskrip2 dari kerajaan Kedah Tua, kerajaan Johor Riau, kerajaan Melaka melalui surat2 yang ditulis oleh Sultan Mahmud dan beberapa orang lagi Sultan adalah dalam bahasa Arab tinggi.  Adapun penulisan surat sesama Alam Melayu, Raja-raja Melayu akan berhubung menggunakan tulisan jawi ( simbol arab sebutan Melayu).

Untuk makluman pembaca, bidang kajian pembentukan tulisan dan perkembangannya serta pengaruh orientalis ke atas dunia Islam adalah di antara bidang kajian penulis selain dari kepakaran dalam usul Nahu dan falsafah. 

Teguran saya kepada pihak yang memperkecilkan dan mempersoalkan kredibiliti saya dalam mengemukakan hujah tentang hubungan Alam Melayu dengan Empayar Islam adalah tidak berasas sama sekali. Ini kerana mempunyai kepakaran dalam memahami struktur ayat bahasa Arab tinggi serta lenggokan uslub metafora serta bentuk simbol tulisan khat yang mempunyai berpuluh-puluh kaedah itu, telah membatalkan tohmahan dan kejian mereka. 

Sejarah bermaksud sesuatu peristiwa yang telah lepas. Lingua Franca atau bahasa antarabangsa ketika itu adalah bahasa Arab Fushah atau bahasa al Quran ( bahasa tinggi). Justeru mereka di dalam bidang ini saja mampu membongkarnya. Tanpa kebolehan ini atau tanpa mengkaji manuskrip² rujukan Arab ini, anda gagal memahami situasi yang sebenar.

Harapan saya, fahamilah sejarah itu luas ia bukan milik sebuah golongan sahaja. Sejarah itu sebahagian dari bahasa. Di bawah cabang ilmu bahasa, ia mengandungi bidang² yang lain seperti arkeologi, sejarah, antropologi, geologi, falsafah dan Usuluddin, fiqh usul fiqh dll. Benarlah kata-kata Imam Shafie, "Aku menggunakan ilmu Nahu untuk menyelesaikan permasalahan dalam mengeluarkan hukum usul fiqah bila aku diajukan persoalan, tanpa menggunakan ilmu nahu ini aku tidak mampu membongkar permasalahan isu tersebut", maka belajarlah ilmu bahasa kerana ia mampu membongkar rahsia dan mampu menyelesaikan masalah. 

Dilampirkan beberapa manuskrip yang sempat difoto. Gambar manuskrip² ini agak kabur, InshaAllah kita cuba dapatkan salinan dari yang asli tidak lama lagi untuk dipaparkan di media sosial saya. 

Profesor Dr. Solehah Yaacob

Jumaat, 27 September 2024

Kita berdagang dengan negara China tetapi perlukah kita masuk kelas belajar politik dari komunis dan mengagung-agungkan teknik indoktrinasi komunis mereka?

 


Oleh:Isham Jalil 

Baru-baru ini beberapa pemimpin kerajaan telah pergi ke China dan masuk kelas politik di sekolah politik Parti Komunis China (CPC). Ini termasuk ahli-ahli Majlis Tertinggi UMDAP. Ahli Majlis Tertinggi ini berkata dia “masuk kelas perkaderan pertama sempena lawatan sambil belajar ke China”, dan dia kata lagi “Indoktrinasi mereka kepada pelapis dan pemimpin sedia ada memang rapi dan tersusun. Banyak yang boleh ditiru dengan pengubahsuaian.” 

Saya dimaklumkan ada pihak telah membuat laporan polis berkenaan hal ini.

Saya ingin komen begini sahaja: Kita berdagang dengan negara China tetapi tidak perlulah kita masuk kelas belajar politik dari komunis dan mengagung-agungkan teknik indoktrinasi komunis mereka. Sebab ini akan mengguris sensitiviti pejuang-pejuang kemerdekaan dan pejuang darurat dahulu yang ramai yang telah mati dan dibunuh kejam menentang komunis. Dari zaman Tun Razak dulu pun pemimpin kerajaan ada pergi ke China untuk misi perdagangan. Tetapi bukan untuk masuk kelas pengkaderan komunis.

Rasulullah mungkin pernah bersabda bahawa menuntut ilmu pergilah sampai ke negeri China (saya dimaklumkan bahawa ini hadis tidak sahih). Namun semasa zaman Rasulullah dahulu ideologi komunisme belum wujud lagi. Saya tidak rasa Rasulullah suruh kita belajar ajaran komunis yang menentang agama. Apatah lagi pergi masuk kelas pengkaderan parti komunis. 

Pada asasnya ideologi komunisme menentang pengwujudan tuhan dan segala bentuk agama. Walaupun pada masa ini negara-negara komunis terpaksa terima dan tidak mampu halang rakyat mereka yang mahu mengamalkan agama, namun dari dahulu lagi sejak penulisan Karl Marx berkenaan komunisme sehingga kini, salah satu asas komunisme adalah penghapusan agama. 

Sejak tahun 1844, apabila ideologi ini ditulis, pengasas ideologi komunisme Karl Marx telah mengutuk agama. Dia menulis, “Religion is the sigh of the oppressed creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions.” atau "Agama adalah keluhan makhluk yang tertindas, hati bagi dunia yang tidak berperasaan, dan jiwa bagi keadaan yang tidak berjiwa." 

Dan, "Religion is the opium of the people." ("Agama adalah candu bagi rakyat."). 

Juga, "The abolition of religion as the illusory happiness of the people is the demand for their real happiness." ("Penghapusan agama sebagai kebahagiaan ilusi bagi rakyat adalah tuntutan untuk kebahagiaan mereka yang sebenar.").

Karl Marx menulis lagi bahawa, “The criticism of religion is the prerequisite of all criticism." ("Kritikan terhadap agama adalah prasyarat bagi semua kritikan.")

Dalam penulisan ideologi komunisme, Marx menuntut penghapusan agama. 

Saya ingin tanya pemimpin-pemimpin kerajaan termasuk ahli-ahli Majlis Tertinggi UMDAP yang pergi ke China dan masuk kelas pengkaderan politik parti komunis ini adakah mereka pergi guna duit sendiri atau guna dana kerajaan dan duit rakyat? Jika mereka guna duit rakyat, saya sebagai seorang rakyat tidak restu yang duit kita diguna untuk hantar orang pergi belajar politik komunis dan agung-agungkan cara indoktrinasi mereka. Tidak cukup dengan mereka sokong DAP, sekarang mereka pergi belajar pengkaderan politik komunis untuk dibawa balik ke tanahair.

Sambil itu berpuluh-puluh kapal perang atau Coast Guard China berkeliaran di sekitar kawasan laut Malaysia di Laut China Selatan dan mereka minta kita hentikan aktiviti Petronas di perairan kita sendiri. Mereka kata kawasan laut kita itu mereka yang punya walaupun ia berada 100km dari Sarawak dan beribu kilometer dari China. 

Apabila kita tanya kerajaan, kerajaan kata kita akan runding. Kenapa pula kita perlu runding bila orang masuk ceroboh perairan kita? Bila orang masuk tanah kita, kita tidak runding, kita bantah dan tolak mereka keluar. Ia tidak semestinya berakhir dengan perang. Tetapi kita perlu bantah dan tolak secara tegas dahulu, bukannya terus minta runding. Hanya orang yang lemah dan lembik sahaja minta runding bila tanah dan perairan sendiri diceroboh. Ini bukan diplomasi win-win. Ini awal-awal lagi sudah mengaku kalah. Negara jiran kita pun kecil, tetapi asalkan tidak lembik bila orang ceroboh perairan sendiri.

Saya lihat lebih baik orang-orang kerajaan ini termasuk Puad Zarkashi dan Lokman Adam pergi masuk kelas sejarah tempatan berkenaan pejuang-pejuang kita yang menentang komunis dahulu daripada mereka pergi masuk kelas pengkaderan di sekolah politik parti komunis.

Berjuanglah seperti Sarjan Jamil di Bukit Kepong, janganlah jadi seperti Buang.

Salam

Source 

Khamis, 26 September 2024

Sultan Selangor berkenan menerima permohonan maaf MB Kedah

 Sultan Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.


Sumber


Artikel berkaitan 

Sanusi sekali lagi kemuka permohonan maaf kepada Sultan Selangor

 Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), dan Sanusi Md Nor

Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri), dan Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.

Ini permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.

Pada sidang media di sini hari ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), berkata warkah permohonan maaf terbaharu sudah dihantar kepada baginda.

"Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor.

"Atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor seperti mana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

"Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.

"Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini," demikian permohonan maaf beliau dalam warkah berkenaan.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah membacakan kenyataan itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman.

Menteri Besar mengakui, beliau sedar tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan ketika berada di negeri orang, khususnya Selangor.

"Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

"Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik," katanya.

Beliau turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa depan dan akan memastikan setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan institusi Raja.

Dalam ucapannya yang tular pada Julai tahun lalu, pemimpin PAS itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor berkaitan pelantikan Menteri Besar negeri berkenaan.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk menyifatkan kenyataan terbabit menghina institusi beraja di Selangor. Muhammad Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait ucapan berbaur 3R iaitu kaum, agama dan raja.

Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Kes berkenaan kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pada jam 11 malam 11 Julai 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BH Online 

Sabtu, 21 September 2024

Dari Musuh kepada Wira: Kisah Khalid al-Walid dan Jatuhnya Empayar Parsi"

 "Dari Musuh kepada Wira: Kisah Khalid al-Walid dan Jatuhnya Empayar Parsi"

MasyaAllah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan kemenangan kepada umat Islam melalui para sahabat yang gagah perkasa. Kisah penaklukan Iraq oleh Khalid al-Walid RA merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Islam. Ia berlaku pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA dan Umar Al-Khattab RA. Penaklukan ini bukan sahaja menunjukkan kekuatan tentera Islam tetapi juga kebijaksanaan strategi dan semangat dakwah yang tidak pernah luntur.

Selepas wafatnya Rasulullah SAW, umat Islam mula mengembangkan wilayah untuk menyebarkan Islam. Pada masa itu, wilayah Iraq berada di bawah kekuasaan Empayar Sassanid Parsi. Ia merupakan salah satu empayar terkuat di dunia bersama-sama dengan Rom Byzantine. Iraq menjadi pusat penting bagi Empayar Parsi dengan bandar-bandar besar seperti Ctesiphon yang kini dikenali sebagai Baghdad menjadi pusat politik dan ekonomi.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq RA merancang untuk membawa dakwah Islam ke wilayah-wilayah ini. Beliau memberi tanggungjawab besar kepada Khalid al-Walid RA, seorang panglima perang yang tidak pernah kalah dalam mana-mana pertempuran. Khalid yang digelar "Pedang Allah" kerana keberaniannya dihantar untuk menakluk wilayah Parsi di Iraq dan membawa Islam ke kawasan tersebut.

Apabila Khalid al-Walid RA dan pasukan Islam tiba di sempadan Iraq, mereka disambut dengan luar biasa oleh penduduk Arab tempatan. Penduduk-penduduk Arab ini melihat kehadiran pasukan Islam sebagai peluang untuk membebaskan diri daripada penindasan Parsi. Mereka bukan sahaja menyambut Khalid dan pasukannya dengan mesra tetapi juga menyatakan kesediaan untuk menyertai pasukan Muslim dalam menentang Empayar Parsi. Sambutan ini memberi kelebihan besar kepada Khalid bukan sahaja dari segi tambahan bilangan tentera tetapi juga sokongan moral dan maklumat penting tentang musuh mereka.

Pada zaman sebelum penaklukan Islam di Iraq, penduduk Arab tempatan yang tinggal di bawah pemerintahan Empayar Sassanid Parsi mengalami pelbagai bentuk penindasan. Mereka dibebani dengan cukai yang tinggi dan dipaksa hidup di bawah sistem pemerintahan yang tidak adil, di mana hak-hak mereka sering diabaikan. Golongan bangsawan Parsi juga menguasai sebahagian besar sumber kekayaan, manakala golongan Arab yang bukan Parsi dianggap sebagai kelas bawahan. Penindasan ini menyebabkan kehidupan mereka tertekan dan memerlukan perubahan.

Kedatangan pasukan Islam yang dipimpin oleh Khalid al-Walid bukan sekadar misi ketenteraan, tetapi satu usaha untuk membebaskan penduduk tempatan daripada kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku di bawah pemerintahan Parsi. Islam menawarkan sistem keadilan yang lebih baik, menghapuskan penindasan, dan memberi hak yang sama kepada semua orang tanpa mengira bangsa atau latar belakang. Sambutan hangat daripada penduduk Arab Iraq ketika kedatangan pasukan Islam menunjukkan bahawa mereka melihat Islam bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai jalan keluar untuk membebaskan diri daripada cengkaman Empayar Sassanid yang menindas mereka selama ini.

Khalid al-Walid terkenal dengan kebijaksanaannya dalam menyusun strategi perang yang luar biasa. Beliau tidak hanya menggunakan kekuatan fizikal pasukannya tetapi juga kebijaksanaan dalam membuat keputusan dan memahami keadaan setempat. Salah satu strategi hebat beliau ialah penggunaan taktik serangan mengejut serta pembahagian pasukan kecil untuk menyerang dari arah yang tidak dijangka oleh musuh. Bayangkan ketika debu berterbangan di medan perang, tentera Islam yang lebih kecil tetapi teratur melancarkan serangan mengejut ke atas pasukan musuh yang besar, mengepung mereka dari tiga arah. Dalam satu pertempuran, Khalid berjaya mengalahkan pasukan musuh yang jauh lebih besar, menyebabkan musuh tidak dapat bertindak balas dengan pantas.

Pertempuran Al-Qadisiyyah merupakan salah satu pertempuran yang paling diingati dalam usaha penaklukan Iraq. Walaupun ia berlaku beberapa tahun selepas Khalid memulakan kempen penaklukan, pertempuran ini menjadi penentu kejatuhan Empayar Sassanid. Dalam pertempuran ini, tentera Islam hanya berjumlah kira-kira 30,000 orang berbanding tentera Parsi yang dikatakan mencecah 200,000 orang. Namun dengan izin Allah SWT, mereka tetap berjaya mencapai kemenangan. Ini menunjukkan bahawa jumlah bukanlah segalanya tetapi keimanan, keberanian dan kebijaksanaan adalah kunci sebenar kejayaan.

Sepanjang kempen penaklukan ini, Khalid al-Walid menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya ialah cuaca panas terik di padang pasir, kekurangan bekalan dan jumlah tentera musuh yang lebih besar. Namun dengan izin Allah, Khalid al-Walid sentiasa berjaya dalam setiap tugas yang diamanahkan kepadanya. Dalam beberapa pertempuran, cuaca secara tiba-tiba berubah menjadi lebih baik untuk pasukan Islam. Ada kalanya semangat musuh tiba-tiba jatuh memberi kemenangan kepada umat Islam yang tidak dijangka. Ini mengingatkan kita bahawa di sebalik segala strategi dan usaha, Allah yang Maha Berkuasa adalah penentu segala-galanya.

Dalam tempoh beberapa tahun, wilayah Iraq yang sebelum ini berada di bawah Empayar Sassanid Parsi akhirnya jatuh ke tangan umat Islam. Khalid al-Walid RA bersama tentera Muslim berjaya mengalahkan salah satu empayar terbesar di dunia. Ini menunjukkan bahawa kuasa dan keagungan Islam mampu mengatasi cabaran sebesar mana sekalipun. Penaklukan wilayah Iraq juga membuka jalan untuk umat Islam memasuki wilayah-wilayah lain yang berada di bawah naungan Parsi seperti Iran dan kawasan sekitarnya.

Kisah peribadi Khalid al-Walid sendiri sangat mengagumkan. Pada mulanya Khalid adalah salah seorang musuh Islam dalam Perang Uhud. Namun akhirnya beliau memeluk Islam dan menjadi panglima Islam yang paling hebat. Perubahan hidup beliau dari seorang musuh kepada seorang wira Islam yang disayangi merupakan kisah yang amat memberi inspirasi. Ini menunjukkan bahawa hidayah Allah boleh datang kepada sesiapa sahaja dan tiada yang mustahil bagi Allah.

Kepimpinan Khalid al-Walid juga tiada tandingannya. Walaupun beliau tidak pernah kalah dalam mana-mana pertempuran, Khalid al-Walid akhirnya diturunkan daripada pangkat panglima oleh Khalifah Umar Al-Khattab RA. Apa yang mengagumkan ialah Khalid menerima keputusan tersebut dengan penuh taat tanpa sebarang bantahan atau dendam. Ini menunjukkan kerendahan hati dan keimanan Khalid yang luar biasa di mana beliau lebih mengutamakan kejayaan Islam berbanding kedudukannya sendiri.

Selain sambutan mesra yang diberikan oleh penduduk Arab Iraq, persaudaraan Islam yang erat antara mereka dan pasukan Khalid al-Walid juga sangat penting. Mereka bukan sahaja memberi sokongan moral tetapi juga bantuan dari segi logistik dengan menyediakan bekalan makanan dan tempat tinggal kepada pasukan Islam. Kerjasama ini menunjukkan bahawa umat Islam pada ketika itu benar-benar bersatu demi menyebarkan agama Islam dan membebaskan diri dari penindasan Empayar Parsi.

Kisah Khalid al-Walid dan penaklukan Iraq memberi kita banyak pengajaran berharga. Antaranya ialah kepentingan perpaduan dan kerjasama. Penduduk Arab yang tinggal di Iraq ketika itu, dengan menyokong pasukan Islam, menunjukkan bahawa kemenangan hanya boleh dicapai apabila ada kesatuan dalam matlamat dan tindakan. Selain itu, kisah ini mengingatkan kita tentang pentingnya iman dan tawakal kepada Allah dalam menghadapi cabaran yang besar. Khalid al-Walid dan para sahabat tidak bergantung semata-mata kepada kekuatan ketenteraan tetapi mereka meletakkan kepercayaan penuh kepada Allah SWT dalam setiap langkah yang mereka ambil. Keimanan yang tidak berbelah bahagi ini menjadi pendorong utama kejayaan umat Islam dalam menakluk Empayar Sassanid yang hebat.

MasyaAllah, kisah penaklukan Iraq oleh Khalid al-Walid RA bukan sahaja satu catatan sejarah tetapi ia juga merupakan sumber inspirasi bagi umat Islam. Keberanian, kebijaksanaan dan iman yang ditunjukkan oleh Khalid al-Walid dan para sahabat harus menjadi contoh kepada kita dalam menjalani kehidupan dan berjuang di jalan Allah. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah ini dan mengamalkan semangat juang yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam kehidupan seharian kita. Segala yang baik datang daripada Allah dan segala kekurangan adalah daripada kelemahan diri kita sendiri.

Source 

Jumaat, 20 September 2024

Tupperware: Pengajaran Berharga untuk Usahawan dari Sebuah Jenama Ikonik"

 "Tupperware: Pengajaran Berharga untuk Usahawan dari Sebuah Jenama Ikonik" 

NAMA yang sinonim dengan bekas makanan berkualiti tinggi, kini sedang bergelut dengan hutang sebanyak AS$700 juta (kira-kira RM3.2 bilion) dan berdepan kemungkinan kebankrapan. Bagaimana syarikat yang pernah menjadi ikon dapur di seluruh dunia boleh sampai ke tahap ini?

Diasaskan pada tahun 1946 oleh ahli kimia Earl Tupper, Tupperware bukan sekadar mencipta bekas makanan, tetapi juga merevolusikan cara jualan langsung melalui "Tupperware parties". Konsep ini memberi peluang kepada jutaan wanita untuk menjana pendapatan tambahan, menjadikan Tupperware simbol budaya wanita pada zamannya.

Pada kemuncak kejayaannya, Tupperware menjual lebih daripada satu juta produk sehari di seluruh dunia. Bayangkan, lebih 100 juta bekas Tupperware telah dihasilkan setakat ini, menjadikannya kebiasaan di hampir setiap rumah. Di Malaysia, istilah "Tupperware" sering digunakan sebagai sinonim untuk semua jenis bekas makanan, walaupun dari jenama lain.

Namun, zaman berubah dan Tupperware gagal mengikuti arus. "Parti Tupperware" yang dahulunya popular kini kurang relevan dalam era digital. Orang ramai beralih kepada platform dalam talian untuk membeli barang keperluan, dan jenama lain mula mendominasi pasaran dengan produk serupa pada harga yang lebih kompetitif.

Walaupun Tupperware cuba berinovasi dengan pelbagai produk dapur seperti alat penyimpanan vakum dan alatan memasak microwave, strategi jualan mereka tidak mengikut rentak perubahan zaman. Pandemik COVID-19 memberi lonjakan sementara kepada jualan kerana ramai mula memasak di rumah, tetapi pasaran kembali jatuh selepas dunia mula kembali normal.

Tupperware juga berdepan cabaran dari gerakan mesra alam yang semakin berkembang. Dengan ramai pengguna beralih kepada produk biodegradasi, kaca, dan keluli tahan karat, bekas plastik yang menjadi teras perniagaan Tupperware mula dianggap kurang relevan.

Apa yang menarik, kisah Tupperware sebenarnya berkait rapat dengan banyak jenama gergasi yang pernah tersungkur kerana lambat beradaptasi. Lihat saja kepada Kodak, yang pernah menguasai 85% pasaran fotografi dunia tetapi tersungkur apabila tidak segera mengadaptasi teknologi kamera digital, walaupun mereka yang menciptanya. Nokia pula pernah menjadi penguasa telefon bimbit dengan lebih 40% pasaran dunia, namun akhirnya tewas di tangan iPhone dan Android kerana mereka tidak responsif terhadap perubahan pasaran telefon pintar.

Sekiranya Tupperware benar-benar gulung tikar, ia akan menandakan akhir sebuah era. Bekas Tupperware lama mungkin akan menjadi barang koleksi bernilai tinggi pada masa hadapan, sama seperti bagaimana sesetengah barang klasik lain yang kini mencecah harga ribuan ringgit.

Charles Darwin pernah berkata, "Bukanlah spesies yang paling kuat atau paling bijak yang akan terus hidup, tetapi mereka yang paling responsif terhadap perubahan." Begitu jugalah dengan dunia perniagaan. Bagi usahawan di Malaysia, kisah ini harus dijadikan iktibar. Sama ada anda menguruskan syarikat kecil atau besar, adaptasi terhadap teknologi dan perubahan trend pengguna adalah kunci untuk kekal relevan.

Sebagai tambahan, kita juga dapat melihat bagaimana beberapa perniagaan tempatan mula terkesan apabila platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada menguasai pasaran. Banyak peruncit yang sebelum ini bergantung kepada jualan fizikal kini terpaksa mengubah model perniagaan mereka, atau berdepan risiko kejatuhan. Inilah cabaran yang dihadapi semua usahawan—untuk tidak takut berubah dan berinovasi.

Adakah ini penghujung jalan bagi Tupperware? Atau adakah mereka akan bangkit semula? Masa sahaja yang akan menentukan. Tetapi satu perkara yang pasti, kejatuhan Tupperware mengingatkan kita bahawa dalam dunia yang pantas berubah ini, hanya mereka yang bersedia berinovasi dan mengikut arus teknologi akan terus bertahan.

Siapa yang tidak ingat bekas Tupperware di dapur mak kita dahulu? Kualitinya terjaga, dan ia menjadi simbol kemewahan pada zamannya. Kini, mungkin masa akan tiba di mana kita melihat Tupperware lama sebagai barang yang berharga tinggi, sesuatu yang bernilai untuk disimpan.

MasyaAllah 🤲 sungguh banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah Tupperware ini. Semoga ia menjadi peringatan kepada kita semua untuk sentiasa bersyukur atas kejayaan yang dikecapi, namun tetap berwaspada dan responsif terhadap perubahan yang berlaku di sekeliling kita.

.

Oleh Mazlan Syafie

Note‼️jika ada percanggahan atau penambahan info, boleh kongsikan di ruangan komen

Khamis, 19 September 2024

KISAH BENAR:ARWAH IBU LAWAT JENAZAH ANAK

 ARWAH IBU LAWAT JENAZAH ANAK(KISAH BENAR)

Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih, badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa. Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu, wajah jenazah semakin hitam. Selepas lima minit berlalu, barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi. Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.

Ustaz," kata wanita itu."Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya

"Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya."Mak cik rasa betul... tapi kulitnya putih."Makcik lihatlah betul-betul." kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan,wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat. Tiba di luar saya bertanya kepadanya.

"Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?" tanya saya.Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak.Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab.Dia seperti menyembunyikan sesuatu."Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. "kata saya untuk menggertaknya.

Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya.Sambil mengesat airmata, dia berkata,"Ustaz, anak saya ni memang baik,patuh dan taat kepada saya.Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja,dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun.Dia memang anak yang baik.Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang,Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik.Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai,dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus naik angin.Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita tersebut.

Jawapannya itu memeranjatkan saya.Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang,maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya.Mungkin itulah yang berlaku.Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya,malah diaibkan dengan warna yang hitam.

Selepas menceritakan perangai anaknya,wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula.Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah,saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya.

Selepas memperkenalkan diri, saya berkata,"Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari.Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang."Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut,"Orang tua mana pula?" katanya.

Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya,wajahnya, tuturannya serta pakaiannya."Kalau wanita itu yang ustaz katakan,perempuan itu adalah emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!"Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.Jadi 'apakah' yang datang menemui saya pagi itu?

Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya,saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi,yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia.

Kalau 80,000 tahun?

Ingatlah..azab meninggalkan solat fardhu ini amat dahsyat dan tidak putus-putus seksaannya dari kehidupan dunia hinggalah kehidupan akhirat..Semoga kita semua mengambil iktibar dari cerita ini dan menjadi orang yang sentiasa menjaga solat,InsyaAllah..

Kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan facebook anda.Sharing is Caring

Source 

Rabu, 18 September 2024

TUDUHAN MELULU TERHADAP PRESIDEN PAS : TAHAP KELAYAKAN MENTERI KDN DIRAGUI

 Kenyataan Media

TUDUHAN MELULU TERHADAP PRESIDEN PAS : TAHAP KELAYAKAN MENTERI KDN DIRAGUI

PAS mendapati kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bertajuk "POLITIK KEBENCIAN PAS, FITNAH DAN MENGELIRUKAN ANTARA FAKTA DAN RETORIK MENYIMPANG BERLANDASKAN AGAMA ISLAM TERUS MENIPISKAN KREDIBILITI MEREKA UNTUK MEMIMPIN NEGARA MALAYSIA" berbunyi sangat sumbang dan mengandungi banyak kecacatan sehingga menimbulkan tanda tanya berhubung tahap kestabilan emosi beliau, sekali gus kelayakannya untuk kekal sebagai seorang menteri Kabinet.

Pertama, pengguna-pengguna Bahasa Kebangsaan akan berdepan kesukaran untuk memahami tajuk kenyataan tersebut kerana kelemahan penguasaan bahasa, selain menggambarkan kecelaruan fikiran penulisnya.

Sebagai seorang menteri yang dibantu oleh begitu ramai pegawai, tentulah rakyat boleh mengharapkan standard yang lebih tinggi berhubung perkara ini, baik dari sudut penguasaan bahasanya, lebih-lebih lagi dari segi kejelasan maksud yang hendak disampaikan.

Dalam konteks ini, PAS berharap menteri terbabit tidak akan menyalahkan orang lain atau apa-apa aplikasi bahasa dan penulisan atas kelemahan yang menjolok mata itu.

Kedua, jika diperhatikan kenyataan ini ditandatangani oleh menteri itu atas kapasiti rasmi beliau sebagai Menteri Dalam Negeri serta kedudukannya sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan.

Persoalannya, sejak bilakah dua kedudukan ini boleh digandingkan dalam kenyataan rasmi kerajaan dengan menggunakan kepala surat rasmi kementerian pula?

Apakah di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini, garis pemisah antara tugas-tugas rasmi kerajaan dengan peranan politik seseorang sudah diketepikan dan tidak dihormati lagi?

Apakah ini juga memberi gambaran bahawa campur aduk antara fungsi kerajaan dengan fungsi politik yang jelas merupakan suatu bentuk salah guna kuasa akan berterusan dan menjadi wajah kekal kerajaan?

Ketiga, menteri terbabit nampaknya secara konsisten mengetepikan protokol, etika dan adab yang merupakan ciri penting bukan sahaja budaya Malaysia, tetapi juga kelaziman dalam pentadbiran kerajaan, terutama sekali dalam acara, ucapan atau kenyataan-kenyataan rasmi sebagai lambang peribadi unggul dan berbudaya masyarakat.

Menyebut nama Presiden PAS, Tan Sri Dato’Seri Haji Abdul Hadi Awang hanya sebagai Hadi Awang atau Abdul Hadi Awang pada sebutan pertama merupakan pelanggaran protokol dan adab yang tidak boleh diterima sekali.

Ia adalah perbuatan biadab dan tidak hormat bukan sahaja terhadap individu terbabit, tetapi juga kepada penganugerah gelaran-gelaran itu sendiri. Hakikat bahawa ia dilakukan dalam komunikasi rasmi seorang menteri Kabinet sebuah kerajaan yang kerap bercakap tentang budaya serta akhlak murni dan budaya unggul lebih memalukan lagi.

Persoalan penting dalam hal ini ialah sama ada sikap biadab dan memalukan ini akan menjadi ciri kekal pemimpin-pemimpin kerajaan kini. Tanpa tindakan tegas terhadap menteri terbabit, PAS percaya keterlanjuran jelek seperti ini akan menjadi kelaziman yang dibiasakan oleh kerajaan hari ini.

Dalam pada itu, secara keseluruhan kenyataan ini merupakan tuduhan-tuduhan keras terhadap PAS dan secara khusus terhadap Presiden PAS, namun tanpa pembuktian yang sah, ia kekal sebagai tuduhan dan dakwaan semata-mata.

Malangnya tuduhan dan dakwaan itu dibuat oleh seorang menteri dalam kenyataan rasmi kementerian yang diketuainya. Rakyat tentulah akan bertanya, dengan kedudukan sebagai Menteri Dalam Negeri, bukankah menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa pendakwaan terhadap PAS dan Presidennya di mahkamah sekiranya dakwaan itu benar dan kerajaan mempunyai bukti berkaitnya.

Ini menjadi lebih penting apabila isu-isu yang dibangkitkan beliau seperti PAS menyeleweng daripada ajaran Islam, melaga-lagakan antara rakyat berbagai kaum dan agama atau menyerupai golongan Khawarij adalah berat dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana kesan buruknya kepada masyarakat dan negara.

Membuat tuduhan tanpa diikuti oleh siasatan dan pendakwaan bukanlah tindakan yang diharapkan daripada seorang menteri, terutama sekali Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab secara langsung ke atas keselamatan dan ketenteraman negara.

Sebaliknya ia merupakan pengabaian tugas dan tanggungjawab yang jelas, sementara tuduhan tanpa bukti yang dibuat oleh menteri berkenaan boleh dianggap sebagai fitnah yang mendedahkan kementerian kepada tindakan guaman oleh pihak-pihak yang terkesan dengannya.

Berdasarkan perkara-perkara di atas, PAS percaya Menteri Dalam Negeri telah tidak menunjukkan kelayakan yang memadai untuk terus kekal dalam pentadbiran kerajaan.

Perkembangan yang berlaku dalam parti yang diwakilinya, terutama kedudukan sebagai Setiausaha Agung yang pernah disandangnya sebelum ini mengesahkan kesangsian berkenaan kelayakan beliau.

Justeru adalah munasabah dan bertanggungjawab sekiranya Perdana Menteri turut mengambil tindakan yang serupa dengan menggantikan beliau dengan pemimpin yang lebih berkelayakan sebagai menteri sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan tidak dapat dikawal lagi.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung PAS

Bertarikh: 18 September 2024

Sumber 

Selasa, 17 September 2024

AP PN tolak deraf MOU antara Kerajaan Persekutuan Dan PN -TSMY

 


Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah mengambil ketetapan untuk menolak deraf MOU antara Kerajaan Persekutuan dan PN setelah meneliti keseluruhan kandungan deraf MOU tersebut secara terperinci.

MOU ini mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-Ahli Parlimen untuk menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat. 

Tidak pernah dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka, pihak Kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dituturkan dan tidak boleh dituturkan oleh Ahli-Ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

Misalnya, MOU ini mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana Ahli-Ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya. Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian.

Ini tidak betul. Negara ini dibina di atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.

Kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain (Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan), Islam sebagai Agama Persekutuan (Perkara 3), Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (Perkara 152), Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan pewujudan Majlis Raja-Raja (Perkara 32 dan 38) dan kebebasan setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing secara aman dan harmoni (Perkara 11) adalah perkara-perkara asas pembentukan Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Apa hak Kerajaan PH-BN untuk menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat? Adakah Kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula perlembagaan negara secara halus menerusi MOU ini?

Selain itu, MOU ini juga membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama. Misalnya, MOU ini menghalang Ahli-Ahli Parlimen PN membuat kenyataan “yang mendiskriminasi mana-mana pihak samada atas dasar agama, kaum…atau apa-apa faktor identiti yang lain”.

Identiti yang lain ini termasuklah kumpulan LGBT. Adakah ini bermakna sekiranya Ahli-Ahli Parlimen PN bersetuju dengan deraf MOU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?

Bagi saya MOU ini adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Bagi saya, peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MOU. Ini adalah janji PH dalam manifesto PRU-15 dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH.

Rasulullah S.A.W bersabda, “Barang siapa tidak menepati janji seorang Muslim, nescaya ia mendapat laknat Allah, malaikat, dan seluruh manusia. Tidak diterima darinya taubat dan tebusan.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

Pengerusi Perikatan Nasional

17 September 2024

Khamis, 12 September 2024

Bekas pelumba GP Elly Idzlianizar maut akibat ditetak

 

Kangar: Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, semalam disebabkan kecederaan akibat ditetak selepas pergaduhan di Kangar.

Kejadian dipercayai berlaku antara 9 hingga 10 malam, Selasa lalu, apabila mangsa dipercayai pergi ke rumah lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat pada 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya pergaduhan di taman perumahan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.

"Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.

"Mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar 12.30 tengah malam semalam akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, hari ini.

Katanya, susulan daripada itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi di Kangar.

"Semasa penahanan dibuat juga, kita turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

"Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan di mana satu kesa tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.

"Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk," katanya.

YUSHARIFUDDIN (dua kiri) menunjukkan gambar suspek dan senjata yang digunakan dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias di Kangar. FOTO Luqman Hakim Zubir
YUSHARIFUDDIN (dua kiri) menunjukkan gambar suspek dan senjata yang digunakan dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias di Kangar. FOTO Luqman Hakim Zubir

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa yang berada dalam keadaan marah cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamanannya di taman perumahan itu.

"Mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru namun suspek tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya sahaja yang ada.

"Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.

"Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti semalam namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat," katanya.

Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangster dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

"Daripada saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah manakala semakan kita mendapati suspek utama mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.

"Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dadah manakala suspek ketiga yang berusia 31 tahun yang juga anak kepada suspek pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah," katanya.

-myMetro