"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label PRU15. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRU15. Papar semua catatan

Jumaat, 4 November 2022

PRU 15:Cucu Saudara Tun Mahathir Bertanding Di Alor Setar Atas Tiket Pejuang

 

Gerakan Tanah Air (GTA) dilaporkan mempertaruhkan cucu saudara kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat bagi kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mohamad Nuhairi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah seorang ahli perniagaan selama lebih 20 tahun.

Menurut Mohamad Nuhairi, beliau lebih gemar bercakap mengenai perkara yang mampu dilaksanakan olehnya terutama berkaitan isu-isu melibatkan ekonomi penduduk setempat dari menjanjikan bulan dan bintang.

Berikut adalah laporannya..

ALOR SETAR: Sebagai pendatang baharu dalam arena politik tanah air, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi kerusi Parlimen Alor Setar, Datuk Nuhairi Rahmat tidak mahu terikut-ikut ‘rentak’ segelintir politikus lain yang terlalu gemar menjanjikan bulan dan bintang.
Individu berusia 45 tahun itu berkata, beliau lebih gemar bercakap mengenai perkara yang mampu dilaksanakan olehnya terutama berkaitan isu-isu melibatkan ekonomi penduduk setempat.

Menurutnya, bandar raya Alor Setar memiliki material terbaik termasuk dari segi bangunan-bangunan berseni yang berpotensi untuk dimajukan terutamanya dalam aspek pelancongan namun sehingga kini belum dapat dilaksanakan.

“Maka saya di sini menawarkan idea serta pengalaman selaku individu yang sudah 20 tahun lebih terlibat dalam perniagaan, untuk membantu mencari jalan bagi merancakkan ekonomi di bandaraya ini. Misi utama saya adalah menjadikan Alor Setar sebagai pusat tumpuan pelancong.

“Kerana apa yang saya lihat, Alor Setar ketika ini hanya menjadi laluan untuk pelancong menuju ke Kuala Kedah sebelum menaiki feri ke Langkawi. Tidak banyak pelancong yang singgah ke sini sedangkan kita memiliki potensi menjadikannya sebagai tarikan pelancong yang mampu mendatangkan pendapatan cukup baik kepada peniaga-peniaga di bandaraya ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengakui tidak pandai bercakap mengenai hal-hal politik termasuk untuk menyatakan kekurangan para pesaingnya, Nuhairi yang turut memiliki pertalian darah dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun tetap yakin mampu menawan hati pengundi.

Walaupun kerusi Parlimen ini melibatkan banyak penjuru, tetapi saya yakin mampu memenangi hati pengundi. Saya hanya akan bercakap perkara yang boleh dilaksanakan dan akan diusahakan bersungguh-sungguh untuk rakyat di Alor Setar.

“Selepas lama menceburkan diri dalam dunia perniagaan, saya fikir ini masanya untuk saya terjun ke dunia politik untuk lebih berbakti kepada rakyat Alor Setar yang merupakan tempat saya dilahirkan.

“Sebelum ini saya aktif juga membantu golongan memerlukan tetapi saya yakin mampu untuk melakukan yang lebih lagi jika diberi peluang berada dalam sistem Parlimen negara,” katanya. – UTUSAN

Jumaat, 14 Oktober 2022

PRU 15:Ahmad Zahid, Anwar perlu perjelas dakwaan perbincangan sulit

 

Tangkap layar hantaran Facebook Wan Saiful Wan Jan pada Jumaat.
Tangkap layar hantaran Facebook Wan Saiful Wan Jan pada Jumaat.

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penjelasan kepada rakyat berhubung dakwaan mengenai wujudnya perbincangan sulit antara kedua-dua pemimpin itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dakwaan tersebut dinyatakan sendiri ahli Pakatan Harapan (PH) kepadanya di mana ia bagi membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu supaya dapat mengurangkan pertembungan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, meskipun ia tidak mendapat restu kepimpinan UMNO dan PKR, namun banyak sesi perbincangan telah berjalan.

“Setakat ini, itu hanyalah tuduhan. Selain tuan punya badan, tidak ada sesiapa boleh mengatakan ya atau tidak terhadap tuduhan itu. Tambahan lagi, ketika musim PRU15 ini, banyak berita palsu.

 Tapi jika benar, ia tidak pelik. Rakaman perbualan antara Ahmad Zahid dan Anwar jelas menunjukkan agenda mereka telah lama. Surat Ahmad Zahid kepada Istana Negara mahu mengangkat Anwar juga bukan rahsia. Berita ini bukan baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau turut mempersoalkan tentang kemungkinan perbincangan antara dua pemimpin tersebut menjadi semakin rancak.

Mungkinkah benar perbincangan sulit antara Ahmad Zahid dan Anwar semakin rancak? Benarkah Anwar dan Ahmad Zahid sedang berusaha mengangkat satu sama lain naik ke Putrajaya melalui PRU15? Apa "deal" yang ditawarkan?

Adakah Anwar setuju melepaskan Ahmad Zahid dari kes-kesnya? Atau adakah Anwar setuju jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada Zahid kalau tawaran ini benar?,” soal Wan Saiful.

-SH Online 

Khamis, 13 Oktober 2022

PRU 15:‘Takdirnya kita lawan’, tapi tak putus hubungan dengan Umno, kata PAS

 

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata partinya akan meneruskan agenda perpaduan ummah bersama Umno dan ia tidak semestinya berlangsung sebelum PRU15.

PETALING JAYA: Keputusan PAS bersama Perikatan Nasional bagi menghadapi PRU15 tidak bermakna parti itu memutuskan hubungan Muafakat Nasional bersama Umno.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata partinya akan meneruskan agenda perpaduan ummah bersama Umno dan ia tidak semestinya berlangsung sebelum PRU15.

“Bagi PAS kita tetap dengan MN…kita tak putus kerana agenda perpaduan ummah. MN bukan ‘targetkan’ masa tertentu, ia akan berterusan. Andaikan kita gagal tetapkan PRU15, agenda ni akan diteruskan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika ditanya ketetapan PAS bersama PN dan adakah parti itu akan meninggalkan Umno.

Ketika ditanya mengenai syarat ditetapkan Bersatu untuk memusuhi Umno, Hashim berkata, PAS sudah membuat teguran kepada parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.

“Kita bantah kenyataan itu kerana tak bawa agenda perpaduan ummah. Bersatu dia sedar kita bantah, kita cakap tak patut guna kenyataan itu,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pertembungan 27 kerusi dengan Umno, Hashim berkata pihaknya sedia berdepan parti berkenaan dan menganggapnya sebagai satu proses demokrasi.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan pertembungan itu tidak akan mengeruhkan agenda perpaduan ummah antara PAS dan Umno.

Kita lawan boleh lawan, tak ada masalah, takdirnya Umno boleh lawan PAS, PAS boleh lawan Umno disebabkan ketetapan hari ini maka kita lawan. Tapi jangan keruhkan agenda MN kerana MN adalah perintah tuhan,” katanya.

Terdahulu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata partinya bersama Barisan Nasional memutuskan bergerak solo pada PRU15 selepas PAS membuat ketetapan kekal dengan PN.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjangkakan keputusan yang akan dibuat oleh PAS itu.

“Hakikatnya, Umno tidak pernah menutup pintu kepada sebarang usaha murni ke arah penyatuan ummah yang berteraskan nilai keikhlasan dan kejujuran,” katanya dalam kenyataan.-FMT

PRU 15:Najib dinamakan calon Parlimen Pekan

 Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Pekan kekal menamakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai antara lima calon diketengahkan untuk Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Najib yang juga penyandang kerusi itu kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman ke atasnya berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Zamri Ramly, mengesahkan nama Najib antara lima calon dikemukakan bahagian itu untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menolak jangkaan ramai pihak bahagian itu akan menamakan dua anak Najib, Datuk Nizar Najib atau Nooryana Najwa, bertanding di kerusi berkenaan.

"Tiada perancangan meletakkan anak Datuk Seri Najib untuk bertanding di Parlimen Pekan jika beliau tidak layak bertanding.

"Sebaliknya, sesiapa yang dipilih bertanding di situ nanti akan menyerahkan kembali kerusi Parlimen Pekan kepada Datuk Seri Najib selepas mendapat pengampunan," katanya seperti dilapor dalam FMT yang memetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Nizar dicalonkan namun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan Chini, Bebar, Peramu Jaya dan Pulau Manis.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada PRU-14, Najib mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas memperoleh kemenangan majoriti besar 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya di kerusi berkenaan.

-BH Online 

Ahad, 2 Oktober 2022

'Mansuh bayaran tol, PTPTN untuk B40 jadi keutamaan' - Anwar

 Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenal pasti 36 dasar yang perlu diberi keutamaan dalam usaha mewujudkan Malaysia yang lebih baik, termasuk memansuhkan bayaran tol dan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), khusus untuk golongan B40.

Semua cadangan dasar itu dimasukkan dalam 'SCRIPT-For a Better Malaysia', buku yang mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar untuk mentransformasikan Malaysia.

Dalam buku dihasilkan menerusi kerjasama Institut Darul Ehsan (IDE) dan Pusat Dasar Postnormal dan Kajian Masa Depan yang dilancarkan hari ini, Anwar antara lain mencadangkan bayaran tol kepada B40 dimansuhkan dengan menyediakan 'Pas Tol' kepada golongan itu.

Selain itu, beliau yang juga Presiden PKR berpandangan kerajaan perlu mula melaksanakan kajian skim tol untuk golongan M40 dan T20.

Anwar juga mencadangkan pemansuhan bayaran balik PTPTN kepada golongan B40, selain memansuhkan hutang peneroka FELDA.

Bagaimanapun, buku untuk menyatakan meskipun melihat keperluan cadangan dasar itu menjadi keutamaan kerajaan, ia tidak semestinya dilaksanakan kerana tertakluk kepada sebarang perubahan situasi pada masa depan.

Beberapa cadangan dasar lain, termasuk reformasi cukai secara sistematik dengan menaikkan kadar cukai kepada individu berpendapatan bulanan RM11,000 ke atas, pelan Reformasi Kurikulum Pendidikan dengan fokus pada pendidikan sejarah dan bahasa serta mengehadkan tempoh seorang Perdana Menteri kepada dua penggal.

Selain itu, reformasi institusi pemantau dan kebertanggungjawaban untuk menyasarkan endemik rasuah secara lebih berkesan, menyalur bayaran denda dan pemerolehan untuk keperluan rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam; pindaan undang-undang bagi menjamin lebih kebebasan kehakiman dan pemantauan polis.

Ketika bercakap pada pelancaran buku itu, Anwar memaklumkan cadangan itu tidak semestinya dilihat sebagai manifesto, tapi kerangka falsafah berasaskan nilai kebajikan, kemampanan, kepercayaan dan antirasuah yang perlu diterjemah dalam bentuk dasar kerajaan.

"Saya harap semua pihak boleh baca, kritik dan beri idea baharu.

"Namun, jangan kita terpesong daripada tema utama yang perlu dibincangkan mengenai kemanusiaan, nilai dan seumpamanya. Benar, ada isu yang penting dalam masyarakat seperti bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, peranan Raja-Raja.

"Ini bukan isu, kita terima semua ini, namun lebih utama adalah kegagalan kita untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat kebanyakan," katanya.

-BH Online 

‘UMNO jangan jadi diktator’ -Fahmi Fadzil

 

Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Fahmi Fadzil.

UMNO diingatkan supaya tidak menjadi diktator dengan memetingkan diri dalam menetapkan pelbagai perkara, termasuk untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut mengecam kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan keputusan parti itu mendesak supaya Parlimen dibubarkan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya desakan untuk membubarkan Parlimen itu adalah daripada Zahid sendiri demi kepentingannya

“Tidak, ini hanya kepentingan beliau seorang. Kalau benar, ada atau tidak sesiapa yang mahukan pilihan raya selain UMNO? Mereka sahaja asyik meratib seolah-olah ekonomi negara tidak menjadi masalah, ringgit jatuh tidak jadi masalah bahkan kadar pengangguran pun tiada masalah.

“Kalaupun ditakdirkan pilihan raya tahun ini, kami bersedia. Malam semalam pun kami lancarkan tabung untuk pilihan raya,” katanya menurut Utusan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kelmarin sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen dan menetapkan tarikh PRU-15.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan berkata negara hanya mempunyai tempoh masa tiga bulan sebelum melangkah ke tahun baharu 2023 dalam keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh negara.

“Takkanlah UMNO ini mahu menentukan segala perkara termasuk pembubaran Parlimen? UMNO ada berapa ahli Parlimen sahaja? Asyik meratib hari-hari nak bubar Parlimen ini pasal apa?

“Saya tidak faham mengapa UMNO tentukan (bubar Parlimen) dan bukannya BN yang mempunyai parti-parti komponen lain. Saya amat sedih disebabkan beberapa pemimpin UMNO yang langsung tidak berhati perut dan tidak memikirkan nasib rakyat.

“Secara mudahnya, UMNO tidak kisah pendapat pihak lain. Kalau tidak, kenyataan kelmarin bukan dari Setiausaha Agung UMNO, tetapi Setiausaha Agung BN. Mereka sangat mementingkan diri. Malulah sikit, jangan bersikap diktator,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menggelar lima pemimpin tertinggi UMNO – ‘Top 5’ – sebagai oligarki kerana mendesak PRU-15 diadakan tahun ini.

Oligarki ialah sistem politik di mana sekumpulan kecil individu mempunyai kawalan ke atas sesebuah negara atau organisasi.

Hassan berkata UMNO mendesak PRU-15 sebelum mahkamah membuat keputusannya terhadap presiden parti itu Zahid menjelang Disember.

‘Top 5’ UMNO merujuk kepada Zahid, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

-AgendaDaily 

Rabu, 21 September 2022

PRU15:PAS adalah jentera agama

 

YANG PAS nak ialah Islam menang, bukan PAS. PAS cuma peralatan atau jentera yang bekerja untuk Islam menang, sampai bila? Sampai Islam menang.

Bukan semestinya PAS memerintah baru disebut Islam menang, sesiapapun memerintah jika ia melaksanakan Islam secara keseluruhannya maka itulah kemenangan Islam.

Tanggungjawab PAS ialah berdakwah dan sebagai wadah politik Islam bagi tujuan menegakkan sistem Ilahi yang pastinya akan memberikan keadilan kepada semua manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

Islam itu agama, agama itu ilmu, ilmu perlukan kefahaman, untuk faham wajib belajar, maka dakwah itu ialah mengajar dan memberi faham kepada yang tidak faham.

Bila faham barulah timbulnya keyakinan pada Islam, bukan yakin kepada yang lain. Bila dah yakin maka ia akan mencetuskan semangat berkorban dan berjuang untuk menegakkan Islam. Bukan semangat kepada yang lain.

Pengorbanan akan sia-sia jika tiada diberikan pahala, dan tiadalah pahala jika tidak dilakukan kerana Allah S.W.T dan tiadalah sesuatu itu dilakukan kerana Allah melainkan bertepatan dengan syariatNya. Syariat itulah yang hendak ditinggikan, bukan dirinya.

Syariat itu yang mengawal PAS, bukan sebaliknya. Syariat itulah yang mengarahkan PAS berjuang, PAS hanya menjadi suruhan Syariat untuk tegakkanNya, PAS cuma menjadi alat untuk tegakkan Syariat bukan Syariat menjadi alat PAS untuk kekuasaan politik.

Hari ini ada orang marahkan PAS, ada orang rimas kerana PAS nak tegakkan syariat Allah, orang kata PAS lambatkan kemenangan untuk kalahkan Umno atau BN jika terus menerus pertahankan prinsipnya untuk tegakkan Syariat Allah.

PAS tak peduli semua itu, sebab yang kawal PAS ialah Syariat bukan manusia. PAS bukan berjuang untuk tegakkan sebuah negara yang serupa dengan kerajaan Umno atau BN yang tidak laksanakan Syariat Allah. Teramat rugi perjuangan begitu.

Yang PAS nak ialah tertegaknya Syariat Allah, Syariat perintahkan kita supaya menyokong sesiapa sahaja yang nak tegakkan SyariatNya, jika ada yang berhasrat untuk laksanaknnya, PAS pasti akan sokong, kerana yang diperjuangkan oleh PAS adalah SyariatNya.

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 20/9/2022

(NOTA: Siaran semula artikel ditulis pada 9 Ogos 2016)

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0oSaNTCPAu9jxAVpTc7LDJeqYstAFMc4BuuPLomcmNeXcF8Nu8c5LcDEELqKxLZVUl&id=100003457375722

Sabtu, 27 Ogos 2022

PRU15:'Tahun ini atau tahun depan, PN akan tewaskan BN'

 

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Perikatan Nasional (PN) sudah bersedia untuk melangkah masuk gelanggang berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa.

Malah, Pengerusi PN itu yakin Barisan Nasional (BN) dapat ditumpaskan dalam PRU-15 tanpa mengira sama ada Parlimen dibubarkan tahun ini atau tahun depan, berdasarkan laporan yang mendakwa sokongan terhadap BN semakin merosot.

Saya ada baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN. Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan.

"Kalau tunggu tahun depan, BN mungkin kalah. Kalau tahun ini pun, BN akan kalah.

"Apa pun, kita bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita sudah memasuki ke tahun terakhir penggal pilihan raya ini.

"Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang," katanya, sambil disahut tepukan dan sorakan penyokong PN.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Muhyiddin bersama Presiden-Presiden Parti Anggota memotong pulut kuning dan kek sempena ulang tahun kedua Perikatan Nasional pada Konvensyen PN di Serdang. - NSTP/FATHIL ASRI.
Muhyiddin bersama Presiden-Presiden Parti Anggota memotong pulut kuning dan kek sempena ulang tahun kedua Perikatan Nasional pada Konvensyen PN di Serdang. - NSTP/FATHIL ASRI.

Pada 14 Ogos lalu, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN berisiko tewas jika PRU-15 diadakan tahun depan akibat faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memaklumkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perlu berbincang dengan PN terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh PRU-15, selaras perjanjian kedua-dua pihak.

"Mengikut perjanjian antara PN dengan Perdana Menteri yang saya dan Perdana Menteri tandatangani, bila Perdana Menteri nak tentukan tarikh pilihan raya, beliau kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian penting daripada kerajaan.

"Tak tahulah saya sama ada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu," katanya.

Muhyiddin berpandangan, wujud kemungkinan Parlimen dibubarkan sehari selepas pembentangan Bajet 2023 yang diawalkan kepada 7 Oktober depan, berbanding tarikh asal 28 Oktober.

"Kita tahu PRU-15 akan diadakan selewat-lewatnya tahun hadapan, walaupun kita dengar ura-ura berkemungkinan diadakan dalam masa terdekat.

"Mungkin lepas Perdana Menteri bentang Bajet 2023 pada 7 Oktober, esoknya mungkin Parlimen dibubarkan. Itu telahan saya," katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin mendakwa desakan parti tertentu supaya PRU-15 diadakan secepat mungkin bertujuan untuk parti itu kembali berkuasa bagi menyelamatkan pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.

Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja. Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itulah tujuan kita berada di dalam wadah PN," katanya.

-BH Online 

Khamis, 28 Julai 2022

RUU ANTI LOMPAT PARTI: YANG BERBAHAS HANYA AHLI PARLIMEN BIASA

 

JELAS sangat, mereka yang mempersoalkan mengapa tiada ahli parlimen Bersatu mengambil bahagian membahas RUU Anti Lompat parti, tidak tahu membezakan antara anggota pentadbiran dan ahli parlimen biasa (backbencer).

Perjalanan parlimen negara, hanya backbencer atau ahli parlimen biasa yang mengambil bahagian dalam perbahasan, sedangkan menteri dan timbalan menteri memberi jawapan pertanyaan.

Sebenarnya mereka yang mempersoalkan, tahupun mengenai perjalanan mesyuarat parlimen, akan tetapi saja menimbulkan isu, dengan tujuan menipu rakyat untuk mendapatkan kelebihan politik.

Penulis sangat terkilan, mengapa kah mereka yang berkategori pemimpin ini, sanggup berdusta? Sedangkan mereka itu beria-ia sangat mahu sangat membentuk kerajaan, selepas PRU-15, kerana terlalu yakin, rakyat pasti menyokong mereka.

Kalau menipupun, jangan lah mengaitkan perjalanan parlimen, kerana memang lah demikian peraturannya.

Ada yang mempersoalkan, mengapa Tan Sri Muhiyiddin Yassin tidak mengambil bahagian. Yang bertanya itu pun pura tidak tahu, kedudukan Presiden Bersatu itu adalah pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bertaraf menteri.

Pemimpin Umno nampak sangat alergi terhadap wakil rakyat Bersatu, sehinggakan mereka menjadi buntu, tidak dapat membezakan lagi mana betul mana tidak, mana buruk dan mana baik.

Penulis ingin mengimbau kembali semasa PRN Sabah tahun 1985, yang mana samada dalam tempoh kempen, termasuk pada hari mengundi, tiada tanda-tanda Parti Berjaya kalah dengan teruk, kerana pemimpin parti itu bukan sahaja yakin menang besar, juga mendapat suntikan sokongan daripada Perdana Menteri masa itu, yang sanggup ‘SINK AND SWIM WITH BERJAYA”. Lagi pun SEMASA pembuangan undi, di pusat-pusat mengundi, pondok PBS begitu lengang, sedangkan pondok Parti Berjaya, pengundi berbaris panjang untuk mendapatkan rujukan urutan pada daftar undi (sistem masa itu).

Penulis melihat cara pemimpin Umno pada ketika ini, sebiji dengan perilaku para pemimpin parti Berjaya pada masa itu, angkuh, takabur, berserta dengan keyakinan yang amat melampau.

Penulis suka mengingatkan situasi PRN Melaka dan Johor, yang menyebabkan pemimpin Umno merasa yakin dan selesa, tidak sama dengan PRU-15, apa tah lagi berkuatkuasanya undang-undang anti lompat.

Undang-undang tersebut bakal menjadi game changer politik tanah air, kerana rakyat tidak muak dan mual lagi keluar mengundi, kerana ada jaminan, calon-calon yang mereka sokong tidak akan melompat parti.

Bukan itu sahaja, pengundi pasif, atas pagar, undi-18 dan mereka yang pertama kali mengundi, adalah pengundi bijaksana, dan tahu membezakan buruk baik. Ada lah tidak lojik bagi rakyat yang tahu beza antara buruk dan baik, sanggup menyokong parti yang dipimpin oleh pemimpin yang berhadapan dengan berbagai isu berkaitan salahguna kuasa dan rasuah.

Kepada pemimpin Umno yang sangat teruja PRU-15 disegerakan, jangan dulu menghitung anak ayam sebelum telur menetas.

-Apa Yang Tersirat

Selasa, 12 Julai 2022

PRU 15:Adakah rakyat masih dan akan sokong UMNO?


SEMASA berhadapan dengan PRU-14, belum ada pemimpin utama Umno dihadapkan ke mahkamah, dan belum ada yang dijatuhi hukuman bersalah, akan tetapi parti itu kehilangan kuasa.

Berdepan PRU-15, Umno merasa yakin mendapat sokongan rakyat, hanya kerana pemimpin utama parti itu sedang dibicarakan di mahkamah, sementara mantan Presiden pula sudah dijatuhkan hukuman, selain denda juga penjara.

Kenyakinan parti itu, berlandaskan kemenangan pada PRN Melaka dan Johor, walaupun dengan jumlah sokongan yang sama, akan tetapi menang kerusi banyak, malah menang 2/3 daripada kerusi yang dipertandingkan.

Lojiknya, pemimpin parti disangka melakukan rasuah dan salah guna kuasa, mengakibatkan ditolak, maka apabila sangkaan itu benar-benar wujud dan berfakta, selain dibuktikan di mahkamah, maka rakyat bukan sahaja tolak sekali lagi, akan tetapi memberikan pukulan penghabisan, menerusi hilang wang deposit.

Mungkin kerana kekalahan Umno bersama BN pada PRU-14, ada pemimpin parti itu pernah menulis, apabila sebuah tamdun runtuh, maka akan runtuh selamanya.

Tetapi kejadian pelik berlaku dalam arena politik Malaysia, pemimpin yang menyebabkan parti ditolak rakyat, kini disanjung pula, malah dianggap menjadi penyebab parti itu bangkit semula.

Sebenarnya, Umno tidak bangkit. Parti itu kekal dengan sokongan penyokong tegar yang tidak bertambah tetapi juga tidak juga berkurang.

Oleh kerana pengundi pasif atau  atas pagar berpecah bersama-sama dengan penyokong parti-parti yang bertanding, maka Umno/BN dengan bank votes mendapat kelebihan menerusi sistem First Past The Post.

Selagi undi pasif atau atas pagar, berpecah bersama-sama dengan pengundi parti yang bertanding, maka Umno/BN kenampakan mendapat sokongan rakyat.

Tidak sedikit penganalisis politik tanah air, termasuk Tun Daim Zainuddin menggunakan “crystal ball” beliau, meramalkan Umno/BN boleh menang separuh kerusi daripada 165 di Semenanjung. Kerana keperluan mendapatkan majoriti mudah, adalah 112 daripada 222 yang dipertandingkan, maka parti itu memerlukan sokongan parti Sarawak dan Sabah.

Sebenarnya hanya Umno/BN yang memerlukan sokongan parti-parti Sarawak, kerana parti itu tidak wujud lagi di negeri tersebut, manakala di Sabah masih kekal, dan akan bertanding bersama-sama sebagai satu pasukan.

Sementara di Sarawak, akan sangat bergantung, ke arah mana parti-parti wilayah tersebut memberi sokongan selepas PRU, manakala di Sabah pula, sejauh mana Umno/BN boleh menang kerusi.

Di Sarawak melihat pencapaian GPS Sarawak pada PRN negeri tersebut, nampaknya tidak berdepan untuk menang sekurang-kurangnya 25 kerusi daripada 31, manakala di Sabah pula, jika BN bergerak solo, akan berhadapan kesukaran menang kerusi, termasuk di kawasan-kawasan tradisi parti itu.

Senario politik Sabah, sudah banyak berubah, sejak kewujudan GRS. GRS dilihat menepati cita rasa rakyat negeri di bawah bayu tersebut. Jika pemimpin Umno/BN mahu mengulangi pencapaian seperti mana PRU-PRU lalu, tidak lagi semudah itu, dan terpaksa membayar dengan harga tinggi, jika memilih bertembung dengan GRS.

-Suara Rakyat

Ahad, 3 Julai 2022

PRU 15:POLITIK MENGUGUT JADI PILIHAN

 

MENURUT Datuk Bung Moktar Radin, BN Sabah ada 5 pilihan, jika perbincangan dengan GRS menunju kebuntuhan. Manakala Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula, BN tidak mahu tertipu lagi seperti mana berlaku pada PRN-16 Sabah.

Dua kenyataan yang menggambarkan, bahawa GRS adalah parti yang tidak boleh dipercayai, kerana selain diugut dengan 5 pilihan juga dicap sebagai penipu.

Kalau perbuatan menipu dihubungkaitkan dengan PRN-16 Sabah, di mana pertembungan antara calon BN dengan PBS dan STAR, dikatakan sebagai perbuatan menipu, kerana menyebabkan calon BN kalah, adalah tidak adil, kerana dua-dua parti itu bertanding pada PRN tersebut. 

Pada PRN 16 Sabah hanya PBS yang meletakkan calon di kawasan yang ditandingi BN, sedangkan STAR “ditipu” kerana Umno bertanding di DUN Paginatan, kawasan STAR. Manakala Bersatu, tidak meletakan sebarang calon di kawasan yang ditandingi Umno/BN.

Mungkin Umno sangat marah, kerana ada calon parti itu kalah pada calon bebas, kemudiannya calon tersebut menyertai Bersatu selepas pilihan raya.

Umno/BN juga mungkin marah, kerana kawasan-kawasan ditandingi parti itu dimenangi PBS.

Pada PRN-16 lalu Umno/BN adalah parti yang mengumumkan terlebih dahulu kawasan-kawasan yang ditandingi. Menurut mereka yang terlibat dengan perundingan agihan kerusi, Umno/BN lah yang memulakan melanggar agihan kerusi yang dipersetujui semasa rundingan. Kerana tindakan Umno/BN tersebut, maka PBS yang banyak terkesan meletakkan calon-calon di kawasan yang tradisi mereka, yang cuba direbut Umno/BN menerusi pengumuman awal.

Dalam situasi yang berlaku pada PRN-16 Sabah, siapa sebenarnya menipu atau ditipu?

Parti-parti dalam GRS tidak melayan dakwaan-dakwaan ini, atas sebab lebih memilih kerharmonian, apa yang terjadi biarlah berlalu, kerana memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan GRS-BN Sabah.

Tiada mana-mana parti boleh memaksa rakyat untuk menyokong, untuk menubuhkan kerajaan, seperti mana tindakan Umno/BN yang “mahu” memaksa rakyat untuk menyokong apabila bertanding lebih separuh daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, malah Umno secara solo meletakan 32 calon. Jumlah tersebut hanya perlu tambahan 5 kerusi untuk mencapai majoriti mudah. Pada PRN-16 Sabah, Umno/BN dan Warisan bertanding lebih separuh daripada jumlah kerusi yang tersedia.

Seperti mana yang dibuktikan pada keputusan PRN-16 Sabah, bahawa rakyat itu tidak boleh dipaksa, melainkan parti-parti yang bertanding kena akur dengan keputusan mereka, itu lah sebabnya dipanggil mandat rakyat.

Menganalisis keinginan Umno/BN semasa Konvensyen parti itu yang diadakan pada Sabtu, ITCC, Penampang Sabah, menggambarkan parti itu memaksa rakyat menyokong mereka pada PRU-15, apabila memberi bayangan akan bertanding solo, kerana mempunyai 5 option berbincang dengan GRS, selain melabel gabungan tersebut sebagai penipu!!!.

Bung Moktar dalam ucapan membangkitkan berkaitan layanan tidak adil dalam hubungan dengan GRS, entah apa yang beliau maksudkan, sedangkan jika dilihat daripada susun atur kabinet, termasuk pembantu-pembantu menteri, setiausaha-setiausaha politik dan pengrusi-pengerusi GLC, Umno/BN lah yang lebih banyak diberi tempat, termasuk GLC-GLC besar.

Gambaran yang diberikan, sebenarnya adalah isyarat bahawa Umno/BN akan bergerak solo, kerana termakan pengaruh daripada para pemimpin utama parti itu terutama daripada Ahmad Zahid dan Najib Razak, dan sanggup membelakang kehendak rakyat Sabah seperti mana ditunjukkan melalui PRN-16 Sabah.

-Suara Rakyat

Isnin, 16 Mei 2022

SEMENTARA TARIKH PRU15 DITENTUKAN KABINET, APA JADI JIKA PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO TIDAK DILULUSKAN ROS?

 Meskipun UMNO telah berjaya meminda perlembagaannya melalui Perhimpunan Agung Khas semalam yang menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan selepas enam bulan PRU dilangsungkan, perkara itu masih tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS.

Menurut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, terserah kepada jabatan itu untuk menentukan kelulusannya.

“Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada RoS untuk mendapatkan kelulusan.

“Itulah dari segi prosedurnya.

“Kita tidak tahulah. Kita akan hantar permohonan itu untuk dapatkan kebenaran RoS terhadap pindaan itu. Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi,” ujarnya.

Kata beliau, UMNO perlu menghantar surat pemakluman kepada RoS berkaitan keputusan PAU Khas itu dalam tempoh 60 hari.

Persoalan utama di sini, bagaimana jika RoS tidak meluluskan pindaan tersebut yang bermakna UMNO perlu mengadakan pemilihannya sebelum 29 Disember sebagaimana ditetapkan jabatan itu sendiri sebelum ini?

Yang dirisaukan saja kerana pindaan itu dilakukan “di masa kecederaan” iaitu ketika tempoh pemilihan sedang ditangguhkan selama 18 bulan, malah menteri yang menjaga RoS iaitu Menteri Dalam Negeri juga merupakan musuh kepada UMNO.

Jika tidak diluluskan, apa pilihan yang ada pada UMNO selain akur untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini juga?


Di samping itu, berkenaan kaitan pindaan perlembagaan tersebut dengan tarikh PRU15, Ismail Sabri menegaskan, ia sama sekali tidak mempengaruhi perkara itu.

Ini kerana katanya, penentuan tarikh PRU15 perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan.

“Tarikh PRU itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat Kabinet.

“Kita akan bawa dalam Kabinet. Sementara parti berbeza dengan kerajaan.

“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) ia akan dibawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan.

“Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya lagi.

Ditanya, bila dijangka Parlimen akan dibubarkan, Ismail Sabri berkata, “kita tunggulah, kalau saya bagi tahu, maknanya semua sudah tahu awallah.”

Agak-agak cemas tak Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sekarang ini? -ShahbudinHusin 16/05/2022.

-wrlr

Isnin, 24 Januari 2022

Warisan mahu tanding semua kerusi di P Pinang pada PRU15

 

(Dari kiri) Danny Law, Jeff Ooi dan bekas pekerja parti DAP Pulau Pinang, Martin Lim menunjukkan tanda ‘W’ (untuk Warisan) pada sidang media di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN: Warisan menyasarkan untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Koordinatornya Jeff Ooi, berkata lebih ramai individu daripada pelbagai latar belakang politik dijangka menyertai parti itu.

Katanya, beliau berharap dapat merekrut 50% ahlinya terdiri daripada golongan profesional muda, termasuk pemimpin syarikat terkemuka.

“Kami tidak akan terperangkap dengan slogan seperti parti lama kami. Kami tidak akan memusuhi orang lain. Kami mencari rakan kongsi dan belia untuk menyertai kami,” kata bekas Ahli Parlimen DAP Jelutong selama dua penggal itu pada sidang media hari ini.

“Tiada satu kerusi pun patut ditinggalkan. Kami akan bertanding di semua kerusi.”

Ooi berkata beliau sedar bahawa rakyat Pulau Pinang akan ragu-ragu dengan Warisan tetapi merasakan ia boleh memenangi hati mereka dalam tempoh tertentu.

Menurutnya, parti itu akan mengadakan pakatan strategik dengan parti lain yang berkongsi matlamat dan cita-cita bersama.

Katanya, beliau dan bekas ADUN Batu Lanchang Danny Law meninggalkan DAP selepas tidak diberi peluang dan melihat perebutan kuasa memuncak ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri.

Katanya, ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi negara.

“Kami berasa sedih. Law beritahu saya kita perlu buat sesuatu. Ketika itu, kami tidak diberi peluang untuk menyumbang.

“Kami fikir mengapa tidak Warisan kerana kami berdua adalah idealis parti berbilang kaum dan inklusif.

“Realitinya PH tidak lagi memegang nilai itu. Selepas 22 bulan, kami tidak nampak ke mana hala tuju mereka dan mereka tidak mempunyai suara bersatu bergerak ke depan,” katanya.

Ooi berkata Warisan, yang matlamat utamanya adalah untuk mengambil alih Putrajaya, memujuk ADUN Bebas Selangor Bryan Lai, yang sebelum ini bersama DAP, untuk menyertai kumpulannya baru-baru ini.

Beliau membayangkan bahawa seorang ADUN Pulau Pinang mungkin melakukan perkara yang sama.

Ooi berkata dengan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik, kepelbagaian pengundi telah berubah dengan lebih ramai golongan muda menentukan masa depan negara.-wrlr