Putrajaya: Kaut keuntungan mudah melalui kaedah menjual beras seludup dan tanpa lesen di platrform e-dagang terkenal.
Taktik itu bagaimanapun terbongkar apabila sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian sudah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang sejak 1 Oktober tahun lalu hingga 31 Mei lalu.
Semakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mendapati penjual beras secara dalam talian itu tidak mempunyai lesen runcit yang dikeluarkan oleh KPB dan beras yang dijual dipercayai diperoleh dari sumber tidak sah.
KPKM dalam kenyataannya semalam memaklumkan, padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya.
"Sebarang urus niaga membabitkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.
"Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996," katanya.
Tambahnya, di samping itu, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan Kerajaan.
"Perbuatan ini adalah satu kesalahan mengikut Peraturan 10(1)(a) Peraturan Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.
"Penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuatkuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
"Justeru, pihak KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa," katanya.
KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa.
"Sekiranya didapati bersalah, pihak terbabit boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Harga 'runtuh' dakwa kononnya beras import Siam
Aktif menjual beras putih tanpa jenama pada harga 'runtuh' di laman e-dagang dengan mendakwa ia adalah beras import Siam.
Itu antara taktik sindiket yang mampu meraih pendapatan lumayan susulan kenaikan harga semasa beras di pasaran selain kesukaran pengguna mendapatkan beras tempatan ketika ini.
Berdasarkan pemerhatian wartawan, terdapat pelbagai iklan jualan beras tanpa jenama berlegar di media sosial dan laman jual beli dalam talian.
Rata-rata beras didakwa sebagai beras Thailand ini ditawarkan pada harga semurah RM4 sekilogram.
Tinjauan turut mendapati beras tanpa jenama ini dikesan dijual di laman e-dagang dengan menggunakan pelbagai nama samaran antaranya beras putih Siam, beras putih super Siam atau beras wangi super Siam.
Tiada nama syarikat beras diletakkan pada iklan jualan di laman e-dagang itu sebaliknya 'penjual' hanya mendakwa beroperasi di Perak, Kedah dan Kelantan.
Ini sekali gus menimbulkan rasa curiga terhadap 'identiti' beras berkenaan sama ada ia adalah beras import ataupun tempatan.
Selain itu, tiada nombor telefon untuk dihubungi pelanggan, sekali gus memungkinkan penipuan berlaku termasuk mencampurkan beras tempatan bersama beras import yang memiliki kualiti rendah.
Pengguna, Azlan Mat Hassan, 40, berkata, penjualan beras tanpa diketahui 'asal usul' pengilang memungkinkan penipuan mencampurkan beras gred rendah bersama beras import.
Menurutnya, pelanggan biasa sepertinya sukar untuk membezakan antara beras tempatan gred tinggi dan beras Siam.
"Beras tempatan dijual pada harga RM26 untuk beg 10 kilogram (kg) hampir mustahil ditemui kini. Akibatnya pengguna berusaha mencari alternatif lain termasuk membeli beras di laman sosial.
"Malah, ramai yang tertarik dengan iklan di media sosial berikutan harga beras putih import kini tidak jauh bezanya dengan harga beras tempatan.
"Sebaiknya beli beras yang mempunyai jenama dikenali di pasaran bagi mengelak ditipu baik dari segi kuantiti, kandungan gred dan jenis beras itu sendiri. Agak menyedihkan apabila beras didakwa gred tinggi ini dicampur dengan beras hancur," katanya.
-myMetro