"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Isnin, 20 Jun 2022

Dia ‘Terlalu Istimewa’ Buat Kami Semua, Rakan Artis & Menteri Malaysia Terkesan Pemergian Adibah Noor

 

Berita pemergian artis versatil Adibah Noor, bukan sahaja dirasai penggiat seni tanah air dan para peminat, tapi juga dalam kalangan pemimpin negara. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penyanyi lagu ‘Terlalu Istimewa’ itu bukan sahaja sangat berbakat dalam bidang nyanyian, tetapi menyerlah menerusi industri lakonan serta pengacaraan.

Hilang sebutir permata negara

Perdana Menteri, meluahkan rasa sedih dan memberi ucapan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

Semoga Allahyaham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham Adibah Noor.

Selain Ismail Sabri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara kehilangan sebutir lagi permata.

Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh penghibur yang sangat berbakat dan disenangi ramai, Allahyarham Adibah Noor. Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Ternyata pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang cukup besar dan tiada galang gantinya buat industri seni tanah air. Sesungguhnya karya-karya seni Allahyarham akan terus dikenang dan dingati selamanya oleh rakyat Malaysia.

 Ahli Parlimen Lembah Pantai iaitu Fahmi Fadzil turut mengambil peluang merakamkan ucapan takziah buat keluarga Adibah Noor. Ujar Fahmi, sikap merendah diri dan jangan pernah takut untuk belajar merupakan sikap Adibah Noor yang wajar dicontohi oleh generasi zaman sekarang. Tambah Fahmi, arwah seorang yang tegas dengan pegangan prinsip. Seperti contohnya orang berkata mengenai berat badannya tapi arwah melihat ia dari sudut positif.

Selalu menyokong dan tidak pernah merungut

Pengarah dan pelakon Datuk Hans Isaac menyifatkan Adibah Noor seorang yang ikhlas dan baik hati. Allahyarham juga sering berkongsi mengenai kebaikan orang lain dalam industri seni dan tidak pernah merungut mengenai diri sendiri.

Wanita yang sangat ikhlas dan baik. Bila bekerja, dia selalu menyokong dan tidak pernah merungut. Kadang-kadang keadaan tak sempurna tapi dia relaks saja. Tak perlu bercakap mengenai bakatnya, itu memang tak boleh dipersoalkan. Kita kehilangan insan yang hebat.

Menurut Suki Low yang merupakan rakan seperjuangan arwah dalam program Gegar Vaganza, dia berasa ralat kerana tidak sempat melawat arwah semasa sedang sakit.

Saya ada tanya kalau diizinkan kami mahu melawat dan dia kata boleh apabila dia sudah okay nanti. Tapi saya tak sempat nak berjumpa. Kakak (Adibah) seorang yang sangat membantu, disenangi walaupun dia nampak tegas tapi dia sangat lembut. Dia bagi saya galakan ketika di GV8. Saya masih ingat dia mengatakan walau apa pun yang juri katakan, awak jadi diri sendiri. Saya tak pernah menyangka dia akan meninggalkan kami sebegitu. Dia yang mencadangkan nak buat projek untuk keluarga kami di GV8 sebab dia nak kami terus berhubung. Semuanya tidak akan sama lagi.

-ohbulan.com 

Sabtu, 18 Jun 2022

Aiman Ridhwan, Sofizah johan qari, qariah Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan

 AIMAN Ridhwan (kiri) bersama Sofiyah (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022. FOTO Bernama

AIMAN Ridhwan (kiri) bersama Sofiyah (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022. FOTO Bernama

Johor Bahru: Qari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah Selangor, Sofizah Mousin muncul johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M, malam ini.

Aiman Ridhwan mengumpul 89.34 peratus markah manakala Sofizah mendapat markah 85 peratus.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000,piala iringan dan tambahan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan haji.

Kejayaan itu sekali gus melayakkan mereka mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur, pada 17 hingga 22 Oktober depan.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang memulakan tugas sebagai Pemangku Raja berkenan mencemar duli merasmikan penutup MTHQK Tahun 1443H/2022M dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut hadir isteri baginda,Che Puan Khaleeda Bustamam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tempat kedua Tilawah al-Quran pula dimenangi qari dari Pulau Pinang, Muhammad Umar Syazuli Mohd Tahir (89 peratus) dan qariah dari Melaka, Sarrul-Munirah Haris (84.33 peratus).

Mereka membawa pulang RM10,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Tempat ketiga dimenangi qari dari Melaka, Azraie Abdul Hak (86.67 peratus) dan qariah dari Perak, Nurul Syafiqah Nardi (82.34 peratus), yang membawa pulang RM7,500, tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, cenderamata dan sijil penyertaan.

Sementara itu, hafiz dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail diumumkan Johan Hafazan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk beserta tafsir apabila memperoleh 97.25 peratus markah, manakala hafizah dari Johor Nurjahidah Hadirah Alliar@Ilyas dinobatkan sebagai johan dengan markah 94.51 peratus.

Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000; tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji dan piala iringan.

Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, hafiz dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd. Ridhuan meraih johan (98.16 peratus), manakala hafizah dimenangi Nurul Husna Abdul Aziz dari Kedah dengan markah 96.96 peratus.

Bagi kategori 1 hingga 10 juzuk beserta tarannum, dimenangi hafiz, Muhammad Jibril Mohd. Hanafiah dari Pahang (98.30 peratus), manakala hafizah dimenangi Fatimah Azzahra Mohd. Shahrol dari Johor dengan markah keseluruhan 97.05 peratus.

Johan keseluruhan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran dimenangi negeri Johor.

-myMetro

Khamis, 16 Jun 2022

MCMC siasat pengasas produk, selebriti muat naik kandungan jelik

 Dari kiri, Cheta, Ifa, Vida dan Kak KM.

Dari kiri, Cheta, Ifa, Vida dan Kak KM.

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius tindakan beberapa pengasas produk kecantikan dan selebriti terkenal yang memuat naik kandungan yang boleh disifatkan sebagai sumbang dan jelik di laman aplikasi Instagram dan Tik Tok masing-masing.

MCMC berkata, susulan aduan yang diterima daripada orang ramai berhubung tindakan individu berkenaan, MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan pemeriksaan bagi tujuan siasatan terhadap ketiga-tiga individu terbabit di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

"Sehubungan itu, orang ramai khususnya selebriti yang mempunyai pengaruh di dalam masyarakat seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan peka untuk tidak memuat naik kandungan yang bertentangan dengan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

-myMetro

'Saya hantar bagasi berisi wang tunai RM3 Juta kepada Ahmad Zahid' - Saksi

 AHMAD Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Faiz Anuar.

AHMAD Zahid (tengah) ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Shah Alam: Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) David Tan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah menghantar bagasi berisi RM3 juta kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediaman rasmi bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Seri Satria, Putrajaya.

Tan, 47, bagaimanapun tidak ingat bila penghantaran itu dilakukan tetapi ia adalah kali kedua beliau ke kediaman rasmi Ahmad Zahid bersama bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Katanya, beliau telah memasukkan wang itu ke dalam bagasi beroda dan meninggalkannya di ruang tamu.

Ditanya mengenai penghantaran pertamanya, saksi itu berkata: "Saya ke rumah Ahmad Zahid dengan Wan Quoris (bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani).

"Kami ke ruang tamu (rumah Ahmad Zahid), kemudian Wan Quoris mula bercakap mengenai operasi perniagaan dan juga isu politik. Selepas itu, Wan Quoris meminta diri dan keluar dari bilik itu.

"Kemudian saya mengambil sampul (yang berisi wang itu) dan memaklumkan Datuk Seri bahawa ini sampulnya serta meninggalkan ia di atas meja, salam Datuk Seri dan meninggalkan bilik itu," katanya.

Semasa membacakan pernyataan saksinya, Tan berkata, beliau adalah individu yang bertanggungjawab menyediakan wang tunai untuk dihantar kepada Ahmad Zahid setiap bulan.

"Saya diminta berbuat demikian oleh Harry (Lee). Saya juga beberapa kali terlibat menghantar wang tunai kepada Datuk Seri (Ahmad Zahid). Saya telah membuat catatan untuk menunjukkan penghantaran wang tunai secara bulanan kepada Datuk Seri bermula dari Oktober 2014 hingga Ogos 2018," katanya.

Beliau juga berkata, wang yang digunakan UKSB sebagai bayaran bulanan dan sekali beri tidak diambil daripada akaun syarikat itu sebaliknya ia adalah daripada rakan kongsi perniagaan di Hong Kong.

"UKSB tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk menampung pembayaran itu, justeru itu saya terpaksa meminta rakan kongsi kami untuk membantu.

"Dana dari Hong Kong itu akan disalur ke Malaysia melalui pengurup wang di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada saya secara tunai.

"Selepas menerima wang tunai itu, saya akan menyimpannya di dalam peti keselamatan terlebih dahulu dan apabila tiba masa untuk membuat penghantaran, saya akan mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan memasukkannya ke dalam sampul yang bertutup," katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri, bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan Sistem VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

-myMetro

Cik Puan Gojes tinggalkan kerjaya demi bantu orang ramai


Cik Puan Gojes tekad untuk mengundurkan diri dalam professionya sebagai pendidik demi meneruskan bisnes yang sedang aktif dijalankan.

 PETALING JAYA – Seorang guru dikenali sebagai Cik Puan Gojes (CPG) atau nama sebenarnya Ismaniza Fahida Ismail membuat satu kejutan untuk bersara awal dari profesionnya sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Syed Syeh, Kedah.

Cik Puan Gojes menerusi hantarannya di Facebook menyatakan beliau memilih untuk meninggalkan kerjayanya sebagai pendidik demi meneruskan bisnes kosmetik yang sedang dijalankan selain dapat membantu mengubah nasib orang ramai.

“Cpg ingat mampu harungi setahun ini dengan baik sebelum pencen pilihan tapi makin lama cpg makin rasa tak kuat. Sebelum masalah lagi teruk, cpg perlu undur diri,” luah sedih Cik Puan Gojes.

Meskipun keputusan yang dibuat ini berat, Cik Puan Gojes terpaksa akur kerana desakan masa serta kemampuan yang tidak mampu diteruskan.

Namun, Cik Puan Gojes turut meminta orang ramai mendoakan beliau supaya dapat menjadi seperti pendakwah terkenal, Ebit Liew suatu hari nanti.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya terkejut dan sedih dengan pengumuman yang dibuat oleh pendidik itu sehingga meninggalkan pelbagai reaksi.

“Semoga berjaya. Semua yang terjadi sudah tertulis. Moga niat baik Cik Puan Gojes terus dipermudahkan untuk bantu ramai orang dalam bisnes,” ucap Anis Syuhada.

“Keputusan cpg sudah terbaik. Bagi saya buat keputusan ikutlah kehendak hati. Utamakan dulu perasaan cpg. Kami sentiasa menyokong. Kerja amal cpg itu bekalan akhirat nanti,” tulis seorang pengguna.

“Walaupun ada sedikit sedih dengan kehilangan seorang guru yang berjiwa besar dan berhati mulia dalam dunia pendidikan tetapi semoga cpg terus berjaya dan meneruskan hasrat murni cpg,” kata seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE

Rabu, 15 Jun 2022

26 rumah rosak akibat ribut

 BERNAMA

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kuala Terengganu: Sebanyak 26 rumah di empat kampung di Hulu Terengganu mengalami kerosakan akibat dilanda ribut petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan malam ini memaklumkan kejadian yang berlaku pada 4 petang itu menyebabkan kesemua rumah yang terbabit mengalami kerosakan di bahagian bumbung.

"Kawasan yang paling terjejas adalah di Kampung Bukit Kolam yang menyaksikan sebanyak 20 rumah mengalami kerosakan, Kampung Baru Ajil sebanyak tiga rumah, Kampung Bukit Diman sebanyak dua rumah dan sebuah rumah di RAKR (Rumah Awam Kos Rendah) Tok Randok," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.

-myMetro

Senarai 10 Individu Terkaya Di Malaysia 2022 (Forbes)

Kekayaan 50 Individu Paling Kaya Di Malaysia Kini Merosot Jatuh 10%

Umum perlu ketahui, terdapat 50 individu paling berpengaruh di Malaysia dan menjadi antara kumpulan terkaya di pasaran Asia.

Akan tetapi, meskipun masih kekal menyandang kedudukan manusia kaya tinjauan Forbes Asia dapati kumpulan ini telah mengalami kemerosotan kekayaan mereka, jatuh 10% kepada RM355 bilion ($80.5 bilion).

Angka ini lebih rendah berbanding data tahun lalu.

10 Individu Terkaya Di Malaysia (2022)

Berdasarkan perincian yang dikeluarkan oleh Forbes pada 9 Jun 2022, ini 10 senarai kumpulan manusia paling kaya di Malaysia bagi tahun 2022;

  1. Tan Sri Robert Kuok – Pengasa Kuok Group
  2. Tan Sri Quek Leng Chan – Pengerusi Hong Leong Bank
  3. Tan Sri Poh Keong dan adik-beradik – Syarikat Aluminium Press Metal Bhd
  4. Tan Sri Teh Hong Piow – Pengerusi Public Bank
  5. Ananda Krishnan – Mempunyai kepentingan dalam Maxis Bhd & Bumi Armada Bhd
  6. Datuk Lee Yeow Chor & Lee Yoew Seng – IOI Group
  7. Tan Sri Chen Lip Keong – NagaCorp
  8. Tan Yu Yeh & Tan Yu Wei – Mr DIY
  9. Tan Sri Lim Kok Thay – Genting Group
  10. Tan Sri Lau Cho Kun – Hap Seng Group
Individu terkaya
Sumber: Berita Harian

Selain itu, apa yang menarik pada senarai ini, kelihatan kemunculan Loi Tuan Ee bersama adik-beradiknya iaitu peneraju tenusu Farm Fresh pada senarai manusia paling kaya di Malaysia buat pertama kalinya dengan nilai kekayaan sekitar RM1.6 bilion ($380 juta) pada kedudukan ke 43 dari 50 keseluruhan.

Individu terkaya di malaysia

“Pembuat sarung tangan getah Malaysia yang merupakan antara yang meraih keuntungan tinggi tahun lepas, kini menghadapi cabaran. Permintaan untuk peralatan perlindungan diri merosot apabila kes COVID-19 berkurangan seterusnya menjejaskan saham syarikat,” katanya.

Jumlah kekayaan Kuan Kam Hon daripada Hartalega Holdings (No. 11, AS$1.9 bilion) dan Tan Sri Lim Wee Chai daripada Top Glove (No. 14, AS$1.4 bilion) pula merosot paling banyak dalam dolar.

Pasangan suami isteri, Datuk Seri Stanley Thai dan Cheryl Tan daripada Supermax (No. 45) menyaksikan peratusan terbesar kejatuhan kekayaan mereka, berkurangan lebih dua pertiga kepada AS$340 juta.

Kekayaan kolektif kumpulan lima orang ini, yang termasuk Tan Sri Lim Kuang Sia daripada Kossan Rubber Industries (No. 24, AS$740 juta) dan Wong Teek Son daripada Riverstone Holdings (No. 30, AS$565 juta), turun lebih daripada AS$5.7 bilion.

“Larangan sementara Indonesia ke atas eksport minyak boleh dimakan dalam persekitaran penurunan pengeluaran minyak sawit Malaysia memberikan keuntungan kepada hartawan dalam sektor tersebut,” kata Forbes Asia.

Kekayaan yang dikongsi oleh adik-beradik yang mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, Tan Sri Lee Oi Hian dan Datuk Lee Hau Hian (No. 12, AS$1.6 bilion) mendapat kelebihan lebih daripada satu pertiga apabila saham syarikat mereka Batu Kawan dan anak syarikat perladangannya melonjak dengan peningkatan keuntungan.

Tan Sri Ling Chiong Ho (No. 36, AS$425 juta), salah seorang daripada dua orang yang kembali disenaraikan tahun ini selepas empat tahun apabila saham Sarawak Oil Palm, syarikat utama kumpulan Shin Yangnya, meraih keuntungan.

Buat pengetahuan umum, senarai ini dirangkumkan meliputi data pegangan saham serta status perolehan kewangan berasaskan laporan tahunan, bursa saham, individu, keluarga serta pengamatan penganalisis.

Senarai lengkap boleh didapati di https://www.forbes.com/malaysia dan juga dalam edisi bulan Jun Forbes Asia.

-ecentral.my

88,000 jutawan dijangka berpindah ke negara baharu

Menjelang hujung tahun ini, seramai 88,000 jutawan dijangka berpindah ke negara-negara baharu. – Unsplash

 LONDON – Jutawan-jutawan di seluruh dunia dilaporkan berhijrah dari satu negara ke negara lain, disebabkan oleh faktor seperti ketidakstabilan politik serta kadar cukai lebih tinggi, lapor agensi berita United Press International kelmarin.

Berdasarkan Laporan Warganegara Global Henly yang dikeluarkan kelmarin, ramai jutawan meninggalkan Russia, Ukraine, Britain dan Amerika Syarikat (AS) disebabkan ancaman tersebut.

Russia muncul negara paling ramai merekodkan perpindahan keluar jutawan dalam tempoh enam bulan lalu dengan 15,000 orang dijangka meninggalkan negara berkenaan menjelang  hujung tahun ini.

Pencerobohan Russia pula menjadi faktor utama yang menyebabkan golongan kaya seperti pelabur melarikan diri dari Kiev dengan anggaran seramai  2,800 jutawan dijangka meninggalkan Ukraine.

“Ramalan 2022 menunjukkan situasi ketidaktentuan ekstrem di seluruh dunia. Menjelang hujung tahun ini, seramai 88,000 jutawan dijangka berpindah ke negara-negara baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, Dr. Juerg Steffen.

Sementara itu, Britain yang pernah menjadi hab kewangan dunia terus mencatatkan kehilangan jutawan susulan Brexit serta langkah kenaikan kadar cukai. Lebih 1,500 jutawan diramal meninggalkan negara itu pada hujung tahun ini.

AS juga semakin menjadi negara yang kurang popular dalam kalangan jutawan. Menurut beberapa pakar ekonomi, keadaan itu  disebabkan oleh ketidakstabilan politik dan peningkatan kadar cukai. 

Negara itu masih menarik kehadiran lebih ramai orang kaya berbanding penghijrahan keluar mereka. Bagaimanapun, unjuran kemasukan pada tahun ini adalah 1,500 individu. Angka itu  merupakan penurunan 86 peratus dari 2019 yang menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak 10,800 individu. 

Laporan sama mendedahkan bahawa negara-negara yang paling banyak mencatatkan kemasukan jutawan  tahun ini termasuk Emiriyah Arab Bersatu yang mengatasi AS di tempat teratas  dan diikuti Australia, Singapura serta Switzerland.

Bagi tahun 2023 pula, pakar-pakar berkata, angka migrasi jutawan dijangka lebih tinggi dengan aliran diramal mencapai 125,000 individu. – Agensi  

Selasa, 14 Jun 2022

Kelayakan Piala Asia 2023: Malaysia layak selepas kalahkan Bangladesh 4-1

Harimau Malaya turun untuk perlawanan penting yang boleh menjadi pemisah samada layak ke Piala Asia 2023 atau terus menunggu sehingga tempoh 46 tahun lagi untuk layak secara merit.

Kali terakhir Malaysia bermain di Piala Asia adalah pada 2007 ketika itu layak kerana menjadi tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan juga Vietnam.

Piala Asia 1980 yang berlangsung di Kuwait pula merupakan kali terakhir Malaysia layak secara merit dan mempamerkan prestasi paling cemerlang walaupun tidak lepas peringkat kumpulan.

Sepanjang kewujudan kejohanan Piala Asia ini, secara keseluruhannya hanya 3 kali Malaysia berjaya melayakkan diri kali pertama pada 1976 di Iran, 1980 dan 2007.

Kemenangan besar Palestin ke atas Filipina bermakna laluan skuad Harimau Malaya ke Piala Asia 2023 menjadi semakin mudah dan luas.

Jumlah jaringan yang besar membolosi Filipina bermakna Malaysia akan muncul naib juara Kumpulan E sekiranya tidak tewas kepada Bangladesh, dan mengatasi Filipina dari segi kelebihan gol.

Tekanan semakin menurun buat Harimau Malaya apabila Bahrain mencatatkan kemenangan tipis ke atas Turkmenistan. Seri sudah cukup untuk layak namun kemenangan yang pasti dimahukan semua.

Kim Pan Gon menyatakan keyakinan dengan para pemainnya sebelum perlawanan dan pasukannya kini bebas dari masalah kecergasan serta bersedia untuk meraih kemenangan.

Muhammad Safawi Rasid, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan Mohamad Faisal Abdul Halim kembali memperkasakan jentera serangan.

Dan paling dinantikan adalah persembahan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang menggantikan Farizal Marlias. Satu percaturan yang berani dan berkeyakinan tinggi dari Kim Pan Gon.

Seperti dua perlawanan lepas Harimau Malaya bermula garang dengan terus mengasak kubu Bangladesh bagi mencari gol seawal mungkin.

Syafiq Ahmad hampir membuka tirai jaringan diawal permainan dengan satu percubaan tetapi sayang tiang menafikan gol dari terhasil.

Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong menjalankan tugas dengan baik menyuap dan mengumpan bola selagi boleh ke kotak penalti Bangladesh.

Hantaran cantik Faisal Halim gagal ditanduk kemas Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid membuat satu percubaan akrobatik persis pemain sepak takraw dan bola sedikit melewati palang.

Minit ke-14 Malaysia mendapat sepakan penalti selepas Atiqur Rahman melakukan terjahan keras ke atas Matthew Davies dalam perebutan bola 50-50 tapi kaki Atiqur diangkat terlalu tinggi.

Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan pengadil kepada Atiqur Rahman dan mudah Safawi Rasid menyempurnakan penalti dengan sepakan deras ke sebelah kanan.

Gol yang ke-18 Safawi Rasid untuk Harimau Malaya.

Lontaran ke dalam jarak jauh Corbin Ong hampir menggandakan kedudukan, tandukan tajam Safawi tepat kepada penjaga gol Bangladesh dan percubaan jahat Matthew Davies dari jarak jauh sipi-sipi keluar ditepi tiang.

Bangladesh hampir menyamakan kedudukan kerana kealpaan barisan pertahanan Malaysia, Shahrul Saad berjaya menutup kealpaan itu denga baik.

Pada minit ke-31 Bangladesh berjaya menyamakan kedudukan melalui lontaran ke dalam yang jauh seperti sepakan bola mati yang disundul tajam, Mohammad Ibrahim.

Malaysia tidak panik dan memberi reaksi balas positif dengan melancarkan serangan untuk kembali mendahului dan Dion Cools hadir melakukannya.

Dion Cools menjaringkan gol kedua pada minit ke-40 melalui satu rembatan kencang dari sudut sempit yang membuatkan penjaga gol Bangladesh membuat tepisan ke dalam.

Gol sulung Cools bersama Harimau Malaya dan akaun gol telah dibuka.

Syafiq Ahmad berjaya melakukan tandukan padu selepas menerima umpanan daripada Matthew Davies pada minit ke-45, tetapi sekali lagi dikecewakan oleh penjaga gol Bangladesh yang beraksi begitu cemerlang menafikan cubaan demi cubaan daripada barisan serangan Malaysia.

Malaysia masuk ke bilik persalinan untuk waktu rehat separuh masa dengan keyakinan yang tinggi hasil daripada persembahan yang mengkagumkan.


Separuh masa kedua dimulakan dengan membawa momentum separuh masa pertama. Seawal minit ke-46, Malaysia dianugerahkan sepakan percuma berhampiran kotak penalti Bangladesh.

Pemain bertaraf UCL, Dion Cools, dengan begitu cool mengambil sepakan tersebut melakukan sepakan knuckleshot namun ditepis keluar oleh penjaga gol Bangladesh lalu memberikan sepakan sudut kepada Malaysia.

Bola dihantar ke belakang daripada sepakan sudut ini kepada Azam Azih sebelum melorongkan bola kepada Faisal Halim, yang kemudiannya membuat umpanan gelembung buaya ke dalam kotak penalti lawan.

Umpanan ini ditanduk oleh kapten Malaysia pada malam ini, Syafiq Ahmad, sekaligus memberikan gol ketiga Malaysia dan menggamatkan lagi Stadium Bukit Jalil.
Kepala Syafiq Ahmad akhirnya mempamerkan bisanya seperti selalu.

Malaysia terus garang dalam melakukan serangan dan membuat tekanan awal atau dalam bahasa orang putih disebut early pressing tatkala pemain Bangladesh mendapat bola.

Syihan Azmi yang jarang diuji sepanjang perlawanan, dengan cemerlang menyelamatkan gol Malaysia pada minit ke-56, apabila dia menggunakan badannya untuk menahan rembatan jarak dekat penyerang Bangladesh.

Seminit kemudian, Syafiq Ahmad berjaya melepasi kawalan pertahanan Bangladesh dan menggelecek penjaga gol lalu menolak bola ke dalam gawang yang terbuka, namun gol tersebut tidak disahkan kerana dia telah berada dalam kedudukan ofsaid.

Malaysia melakukan pertukaran di barisan hadapan pada minit ke-68 apabila menggantikan ketiga-tiga pemain serangan. Syafiq Ahmad dikeluarkan dan digantikan dengan Darren Lok dan lilitan kapten pasukan diberikan kepada Dion Cools, Akhyar Rashid menggantikan Safawi Rasid dan Nazmi Faiz menggantikan Faisal Halim.

Penyerang unggul Malaysia, Darren Lok hanya memerlukan beberapa minit sahaja di atas padang apabila menjaringkan gol pada minit ke-72. Gol terhasil daripada kelincahan Akhyar Rashid di sebelah kanan padang, yang kemudiannya melorongkan bola ke kotak enam ela.

Pada mulanya bola ditampan oleh penjaga gol Bangladesh, namun Darren Lok berjaya berada di posisi dan waktu yang betul, menerima bola yang singgah di kakinya. Dengan sekali sentuh, bola sudah sah masuk ke dalam gawang Bangladesh.

Sememangnya Darren Lok wajar mendapat gol dalam kempen kelayakan ini selepas dia mempamerkan aksi yang cukup bertenaga sepanjang dua perlawanan yang lalu.

Kekecohan telah terjadi apabila pemain Bangladesh mula koyak namun pengadil berjaya mengawal keaadaan dan tiada lagi tambahan gol dari kedua-dua pasukan hingga wisel penamat.

Sejarah tercipta selepas 42 tahun Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas satu penantian yang cukup menyeksakan.

Kesebelasan Utama Malaysia vs Bangladesh

Berikut merupakan kesebelasan utama Malaysia vs Bangladesh:

Penjaga Gol

Ahmad Syihan Hazmi Mohamed

Pertahanan

Corbin-ong La’vere Lawrence
Matthew Davies
Dion-johan Cools
Shahrul Mohd Saad

Tengah

Mohamed Syamer Kutty Abba
Muhamad Nor Azam Abdul Azih
Mohamad Faisal Abdul Halim

Penyerang

Muhammad Syafiq Ahmad
Muhammad Safawi Rasid
Arif Aiman Mohd Hanapi

Simpanan

Mohd Farizal Marlias
Mohd Khairulazhan Mohd Khalid
Ahmad Khuzaime Piee
Dominic Tan Jun Jin
Ruventhiran A/l Vengadesan
Safiq Rahim
Guilherme De Paula Lucrecio
Muhammad Nazmi Faiz Mansor
Darren Yee Deng Lok
Mohamadou Sumareh
Muhammad Akhyar Abdul Rashid

-thesukan.net

Rayuan Umno batal saman SRC International ditolak

 

Panel tiga hakim bersidang mendapati tiada merit dalam rayuan Umno dan memutuskan kes saman difailkan SRC bukan kes jelas untuk diputuskan melalui permohonan pembatalan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Umno membatalkan saman difailkan SRC International Sdn Bhd dan dua anak syarikatnya untuk menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti itu.

Panel tiga hakim terdiri Hadhariah Syed Ismail, Abu Bakar Jais dan Mariana Yahya, mendapati tiada merit dalam rayuan Umno.

Ini bukanlah suatu kes yang jelas serta sesuai untuk diputuskan melalui permohonan pembatalan,” kata Hadhariah yang mengetuai panel itu.

Beliau mengatakan, bahawa terdapat beberapa isu ditimbulkan dalam pliding yang difailkan termasuk isu pelanggaran tanggungjawab fidisuari, pelanggaran amanah, penyalahgunaan duit amanah dan tindakan frod terhadap duit amanah yang hanya boleh diputuskan melalui perbicaraan penuh di mahkamah.

“Kesemua responden (SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd) memohon hak mereka untuk didengar,” katanya sambil menambah jika terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan, pasti ada cara untuk membetulkannya semula.

Hadhariah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, pada 10 Nov tahun lalu, yang menolak permohonan Umno membatalkan saman itu.

Panel itu juga membatalkan rayuan Umno terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan SRC International dan anak syarikatnya untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan mereka selepas peguam yang mewakili Umno, Shahrul Fazli Kamaruzaman, memberitahu mahkamah mengenai penarikan balik rayuan berhubung keputusan itu.

Panel hakim itu mendengar rayuan tersebut melalui dalam talian.

Dalam writ samannya, SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan Umno tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Syarikat itu pada mulanya memfailkan saman itu dengan menamakan Umno yang disaman melalui presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, selaku defendan.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan syarikat itu untuk meminda nama defendan dalam writ saman dan pernyataan tuntutan menggantikan Zahid dan Ahmad dengan Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan.

Pada 10 Mei 2021, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei 2021 iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.

Peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela -FMT