"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Pendedahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pendedahan. Papar semua catatan

Rabu, 26 Januari 2022

Memang ada pembalakan haram di Kelantan, tapi tak serius, kata Timbalan MB

 

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pencerobohan hutan simpan adalah satu kesalahan dan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dalam hal itu.

PETALING JAYA: Kelantan mengakui wujud aktiviti pembalakan dan penerokaan haram di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri itu, namun mendakwa ia tidak serius berbanding negeri lain.

Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berlaku ketika ada penduduk kampung yang mahu membuka kebun baharu, menanam durian dan kelapa sawit.

“Dari segi undang-undang memang salah menceroboh hutan simpan dan kita tidak akan bertolak ansur bila ada kesalahan, kita akan ambil tindakan,” katanya menurut laporan Berita Harian selepas menghadiri mesyuarat Exco negeri itu di Kota Darulnaim di Kota Bharu.

Media sebelum ini melaporkan, terdapat sindiket meneroka HSK secara haram dengan menanam kelapa sawit sebelum menjual tanah berkenaan pada harga rendah kepada orang ramai.

Mohd Amar Nik Abdullah.

Ia adalah antara taktik terbaru dilakukan sindiket pencerobohan HSK yang dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

Sementara itu, ketika ditanya berhubung dakwaan pembalakan haram adalah punca yang menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Amar berkata, tanggapan itu tidak betul.

“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan. Kita ada baca kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan yang menyebut harimau masuk kampung sebab harimau kena penyakit.

“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa. Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul.

“Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak. Benda itu bukan begitu,” katanya sambil menambah PERHILITAN kini sedang memburu dua harimau itu.

Amar menasihatkan Orang Asli di kawasan terbabit tidak keluar rumah dan bantuan akan turut disalurkan kepada penduduk terbabit.

Setakat ini katanya, tiada perancangan untuk memindahkan penduduk terbabit kerana mereka lebih selesa di petempatan itu berbanding lokasi baharu.-FMT

Khamis, 30 Disember 2021

Upah RM30,000 larikan Long Tiger untuk lolos ke negara jiran

 

ANGGOTA polis mengawal ketat pergerakan Long Tiger (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak semalam.

JOHOR BAHRU – Penjenayah paling dikehendaki berketurunan Rohingya, Long Tiger dikatakan memberi upah yang lumayan kepada tiga individu sebagai balasan membantunya untuk melo­loskan diri ke negara jiran sama ada Indonesia atau Thailand.

Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab. Hamid, 32, dikatakan menawarkan upah antara RM20,000 hingga RM30,000 untuk membawanya ke utara tanah air melalui jalan darat dengan menaiki kereta.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat jumlah sebenar upah yang diberikan itu.

Difahamkan, Long Tiger me­ngarahkan mereka menggunakan jalan dalam dan bukannya lebuh raya untuk mengelakkan dirinya dikesan lebih awal.

Sebaik meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dekat sini pada 15 Disember lalu, dia telah bertemu beberapa individu bagi mencari bantuan membawanya ke lokasi selamat sebelum menjadikan rumah kenalannya di Kuala Ketil, Sungai Petani Kedah untuk bersembunyi.

Rumah itu didiami seorang lelaki berpewatakan wanita. Pihak berkuasa dikatakan telah berjaya mengesan kedudukan Long Tiger beberapa hari sebelum menahannya.

TIGA lagi individu termasuk seorang lelaki berperwatakan wanita yang bersekongkol melindungi Long Tiger turut dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman semalam.

Ketika operasi, Long Tiger cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung, namun tergelincir dan jatuh di lantai dapur rumah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rumah itu dijadikan transit sebelum suspek menunggu masa sesuai untuk menyusup ke negara jiran.

Katanya, polis yang menerima maklumat kemudian telah me­lakukan serbuan dan menahannya pada pukul 3.15 petang kelmarin iaitu 13 hari selepas dia meloloskan diri.

“Kita turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun di Kuala Ketil. Dia berkenalan dengan Long Tiger melalui Facebook sejak tahun lalu.

“Di rumah itu, Long Tiger merancang untuk melarikan diri sama ada ke Indonesia atau Thailand,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

AYOB KHAN (kiri) pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Semalam Kosmo! melaporkan Long Tiger diberkas selepas 13 hari dia meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak dekat sini dalam satu operasi khas.

Dia ditahan untuk dibicarakan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan iaitu peme­rasan. Dia juga disiasat di atas beberapa jenayah lain terma­suk rogol.

Menurut Ayob Khan, hasil soal siasat, polis telah menahan dua lelaki berusia 36 dan 38 tahun dalam operasi antara pukul 7.25 malam hingga 3 pagi semalam di Yong Peng, Batu Pahat.

“Mereka membantu Long Tiger dengan memotong gari selain membeli kad sim sebelum Long Tiger lari ke Kedah,” katanya.

Ujar Ayob Khan, terdapat individu yang membantu Long Tiger sama ada membeli kad sim, potong gari dan bawa pergi dari Tangkak, Batu Pahat dan utara.

Terdapat kemungkinan mereka menggunakan jalan dalam dan bukannya lebuh raya untuk mengelak daripada dikesan.

Terdahulu, keempat-empat mereka termasuk Long Tiger dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak untuk mendapatkan perintah reman selama empat hari sehingga 1 Januari depan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Analia Kamaruddin bagi siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan iaitu lari dari tahanan, manakala tiga individu terbabit disiasat di bawah Seksyen 216 kanun sama iaitu melindungi tahanan lolos.

Baru-baru ini, polis menahan sepasang suami isteri berusia 41 dan 43 tahun disyaki rakan subahat kepada Long Tiger di Balai Polis Bukit Gambir, kira-kira 12.30 tengah malam.

Dua daripada empat anggota polis yang ditahan sebelum ini terlibat secara langsung dengan aspek kecuaian sehingga Long ­Tiger meloloskan diri, kini ditahan kerja sehingga habis proses rayuan sebelum tindakan selanjutnya diambil. -K! ONLINE

Selasa, 14 Disember 2021

RM136,000 sebulan, Ismail Sabri bayar penasihat paling besar sejak era Najib


 PARLIMEN | Kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berbelanja paling besar untuk mengambil penasihat khas sejak era Najib Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abd Latiff Ahmad berkata pada masa ini, kerajaan Ismail Sabri telah mengambil seramai lima penasihat khas dengan menelan belanja RM136,136 sebulan.

Abd Latiff berkata demikian berdasarkan jawapan parlimen kepada Ahli Parlimen Alor Setar PKR Chan Ming Kai yang meminta senarai semua penasihat khas yang diupah oleh kerajaan pada masa lalu dan kini.

Penasihat khas semasa ialah Abdul Hadi Awang (Duta Khas ke Timur Tengah), Tiong King Sing (Duta Khas ke China), Richard Riot (Duta Khas ke Jepun, Korea dan Taiwan), S Vigneswaran (Duta Khas ke India dan Asia Selatan) dan Azalina Othman Said (penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia).

Mereka diupah antara Ogos dan Oktober dan masing-masing dibayar RM27,227.20 sebulan.

Sekiranya mereka berkhidmat selama dua tahun penuh, mereka dijangka membelanjakan wang pembayar cukai berjumlah RM3.267 juta.

Kos RM136,136 sebulan adalah lebih tinggi daripada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin yang mentadbir sebelum Ismail Sabri.

Muhyiddin juga mempunyai empat orang penasihat dengan gaji RM27,227.20 sebulan, kecuali Dr Jemilah Mahmood (penasihat khas kesihatan awam) yang diberi gaji RM18,204.67.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM99,886.27 sebulan.

Menjelang penghujung tempoh perkhidmatan Muhyiddin, presiden Bersatu itu turut melantik timbalan partinya Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas dengan gaji RM27,227.20 yang menjadikan kos keseluruhan sebanyak 127,113.47.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal hanya berkhidmat dalam jawatan itu selama 22 hari berikutan kejatuhan kerajaan Muhyiddin pada Ogos.

Semasa Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan, dia mempunyai empat orang penasihat.

Mereka ialah Daim Zainuddin yang tidak mengambil gaji, Abdul Kadir Jasin yang menerima RM9,038 sebulan, Tan Kok Wai yang dibayar RM18,204.67 sebulan dan Muhammed Abdul Khalid yang diberi RM19,610.33 sebulan.

Kos keseluruhan sebanyak RM46.853 sebulan.

Pemegang rekod ialah Najib Razak yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam dari 2009 ke 2018.

Dia mempunyai seramai 16 orang penasihat. Jumlah yang besar itu sebahagiannya disebabkan oleh tempoh perkhidmatannya yang panjang selama sembilan tahun.

Mereka berkhidmat pada tempoh berbeza tetapi ketika kemuncaknya pada 2018, Najib mempunyai seramai 10 penasihat khas aktif yang menerima gaji keseluruhan RM244,791.65 sebulan.

Terdapat juga tiga orang penasihat yang tidak mengambil gaji.

Sebelum itu, kerajaan Abdullah Ahmad Badawi yang berkhidmat sejak 2003 hingga 2009 hanya mempunyai seorang penasihat khas, dengan gaji bulanan RM17,820.

Ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri keempat, dia hanya mempunyai seorang penasihat khas pada satu-satu masa, juga dengan gaji RM17,820.

Seorang telah diupah antara 1982 dan 1989 manakala seorang lagi diupah antara 2001 dan 2003.

 -malaysiakini

Ahad, 12 Disember 2021

‘Di asrama ramai anak iblis, mereka ikat kemaluan aku kat kipas’ -bekas mangsa buli

CARA buli yang dikongsi netizen ketika pengalamannya di asrama.

PETALING JAYA: Seorang netizen di Facebook yang mendakwa sebagai mangsa buli, menceritakan nasibnya yang menyamai nasib si ‘adik berbaju merah’, mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak.

Dalam perkongsiannya, dia berkata, di asrama ini banyak ‘anak-anak iblis’.

“Aku sedih tengok nasib budak baju merah yang viral tu, dia senasib dengan aku. Tapi aku bukan kena pukul dengan basuh baju, ada sehari tu pembuli lilit kemaluan aku dengan benang dan mereka ikat kat kipas.

“Tangan dua-dua kena ikat. Berpusing aku lari, sampai satu tahap mereka buka kipas level 3 aku kena lari laju-laju, bila aku penat nak lari habis putus benang tu. Luka kulit bawah aku,” ceritanya.

Ceritanya, dia ingat ada tiga orang yang membulinya itu sampai ke hari ini.

“Aku takkan maafkan korang sampai hari kebangkitan, kat dunia mungkin kau lepas tapi tunggu kat akhirat. Mana-mana mak bapak yang hantar anak-anak kat asrama tu selalu la call tanya khabar anak, kadang mereka ni takut nak bagitau,” katanya.

-utusanonline

Rabu, 1 Disember 2021

Empat negeri miskin tegar, 4 negeri ‘orang kaya’-Sidang Parlimen

 

Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak adalah negeri yang merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi, manakala Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, merekodkan kadar kemiskinan paling rendah.

Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak adalah negeri yang merekodkan kadar kemiskinan tegar tertinggi, berbanding negeri-negeri lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith.

Sementara, empat negeri lagi iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, merekodkan kadar kemiskinan paling rendah, berbanding negeri lain.

“Kalau mengikut negeri … kekayaan mengikut negeri yang rekod yang ada pada saya ini yang mempunyai kemiskinan rendah adalah Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Berbanding negeri-negeri lain yang kadar kemiskinannya agak tinggi Kelantan, Sarawak, Sabah, dan Perak… negeri ini juga merupakan merekodkan kadar kemiskinan tegar,” katanya menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

“Saya bersetuju dengan apa yang Yang Berhormat kata tadi. Daripada kita memberi ikan, lebih baik kita mengajar rakyat cara bagaimana untuk menangkap ikan.

“Persoalannya sekarang dalam tempoh pandemik ini, tumpuan adalah untuk kita menangani masalah ekonomi yang semakin meruncing.

“Sebelum kita boleh mendidik mereka untuk menangkap ikan, saya percaya ramai di kalangan mereka ini yang berada di bawah garisan kemiskinan ini yang perlu dibantu,” katanya.-Agenda Daily

Jumaat, 19 November 2021

RM100 juta untuk Najib: PH kaji semula MoU dengan kerajaan

 Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan mengkaji semula semua persefahaman yang dicapai dengan kerajaan sebelum ini susulan pengesahan bahawa Putrajaya setuju menghadiahkan sebidang tanah dan seunit rumah dianggarkan bernilai RM100 juta yang diminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendedahan itu mengejutkan apabila Kabinet sebulat suara menerima permohonan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.

Perkara itu katanya, tidak pernah dibincang atau dimaklumkan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam sebarang pertemuan dengan wakil pihak kerajaan.

"Pada saat rakyat sedang menderita, para doktor kontrak masih tidak jelas nasib mereka, anak B50 berdepan pelbagai rintangan dan halangan untuk belajar, dan begitu ramai rakyat Malaysia yang hilang pendapatan, tempat tinggal, malah juga nyawa, tindakan Kabinet 'menghadiahkan' tanah dan rumah kepada seorang yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah ternyata keputusan paling tidak bermoral dan langsung tidak masuk akal.

"Rakyat pasti tidak lupa bagaimana Najib telah mengakibatkan kerajaan dan rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang setinggi RM32 bilion akibat kebobrokan dan kecurangan 1MDB.

"Malah, beliau (Najib) hingga hari ini tidak dapat menjelaskan bagaimana sejumlah wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai ratusan juta ada dalam milikan beliau dan isteri," katanya.

Terdahulu Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) di Dewan Rakyat membangkitkan bagaimana isu hadiah itu tidak disebut dalam belanjawan negara dan meminta Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memberi penjelasan.

Bagaimanapun Tengku Zafrul berpendapat soalan itu lebih sesuai ditanyakan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana isu berkaitan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 terletak di bawah kementerian terbabit.

Ia kemudian mendorong beberapa ahli parlimen pembangkang bangkit untuk meminta penjelasan.

Dr Mahathir ketika mencelah penggulungan Tengku Zafrul mengingatkan bahawa setiap perbelanjaan negara perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan dan bertanya bila hal itu akan dilakukan.

"Apabila diluluskan," jawab Tengku Zafrul ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022.

Tengku Zafrul juga mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta.

Beliau bagaimanapun berkata, permohonan itu dikemukakan selepas pembentangan Bajet 2022 dibuat.

-BH Online

Khamis, 18 November 2021

Langkah Sheraton: Hari Dr M berundur kerana pengkhianatan

 Oleh:Marina Mahathir


Berjalan melalui ruang tamu, saya melihat Anwar Ibrahim tersandar di kerusi bertentangan dengan ayah - tetamu terbaru di kalangan barisan pengunjung. Di tingkat bawah saya dapati isterinya, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah (Wan Ismail), berseluar kelabu muda dengan tudung labuhnya, baru sahaja mahu meninggalkan rumah kami. Dia berjalan menuju kereta rasminya, dan tersenyum seperti biasa. Gilirannya berjumpa ayah sudah selesai dan dia tidak kelihatan risau.

Selepas menerima mesej, adik saya Mokhzani adalah orang pertama yang sampai.

Berdiri di depan pintu, saya segera memberitahunya apa yang berlaku. Semasa kami bercakap, cuba memahami apa yang berlaku, Anwar turun dari tangga dan menyertai kami.

Saya sudah cuba," katanya, dengan senyuman berkerut di wajahnya. Dia meletakkan kepalanya di bahu adik saya. Saya perasan bahunya sedikit mengeletar. Kemudian dia menegakkan dirinya, dengan mata yang tidak lagi bersinar sambil mengucapkan selamat tinggal dan beredar.

Tidak lama pada pagi yang bersejarah itu, rumah kami mula dipenuhi dengan orang ramai: Muhyiddin (Yassin), Azmin (Ali), dan yang lain telah berkumpul di Sheraton pada malam sebelumnya. Mereka dibawa terus ke ruang makan. Azmin tiba dan melihat saya duduk bersama adik-adik saya di ruang tamu dan tidak seperti pertemuan kami beberapa kali terakhir, dia tidak tersenyum.

Zuraida Kamaruddin, ketua wanita PKR yang bertudung labuh seperti lazimnya, berjalan menuju ke arah saya. Sejak sekian lama, saya sentiasa mesra dengan Zuraida. Dia memahami isu wanita dengan baik dan telah menyokong kumpulan wanita apabila kami berarak membantah perkahwinan kanak-kanak. Saya sentiasa beranggapan bahwa dia akan menjadi menteri hal ehwal wanita yang cemerlang, tetapi ayah telah melantiknya sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan dan dia menjalankan tugasnya dengan baik.

Semasa dia menuju ke arah saya dengan senyuman di wajahnya, saya tidak dapat menahan diri daripada bertanya, "Mengapa kamu lakukan ini kepada ayah?" Senyumannya hilang. Tanpa sepatah kata, dia berpaling dan menyertai yang lain di meja makan.

Saya tidak percaya melihat mereka yang datang itu. Faizal Azumu tiba dengan isterinya tanpa sebab dan duduk bersama ibu, tindakan yang membuatkan kami semua tidak selesa. Bagaimana mahu berbual dengan seseorang yang suaminya akan mengkhianati kamu?

Tidak lama kemudian, ayah dengan muka muram turun dan duduk di meja makan dikelilingi mereka yang bakal mengkhianatinya. Mulutnya diketap dan dahinya berkerut apabila mendengar hujah mereka. Saya berada di ruang tamu kira-kira lima meter jaraknya tetapi satu-satunya suara yang saya dapat dengar dengan jelas ialah suara Azmin Ali. Dia nampaknya orang yang paling tekad untuk melaksanakan pembelotan itu, meninggalkan kerajaan yang diberi mandat oleh pengundi untuk memerintah serta bekerjasama dengan mereka yang kalah.

Menjelang waktu makan tengah hari, perbincangan mereka dengan ayah nampaknya tidak berhasil dan mereka akhirnya beredar. Ayah kemudian naik ke tingkat atas untuk berehat.

‘Dengan Umno dan PAS?’

Pada jam 1.26 petang, saya mendapat panggilan telefon daripada Saifuddin Abdullah. Memandangkan saya tidak dapat menjawapnya ketika itu, saya menghantar mesej kepadanya untuk mengatakan saya tidak boleh bercakap.

OK, katanya. Kira-kira sejam kemudian saya diajukan satu kenyataan media yang mengatakan bahawa 11 ahli PKR termasuk Azmin, Zuraidah dan Saifuddin akan meninggalkan parti mereka untuk membentuk blok bebas di Parlimen.

Saya menghantarnya kepada Saifuddin dengan pertanyaan, "Kamu tinggalkan semua ini untuk menyertai Muafakat?" Dia jawab bahawa Azmin dan Zuraidah telah dipecat daripada PKR dan ini adalah cara menunjukkan sokongan terhadap mereka. "Ya, kita adalah gabungan baru itu."

Saya mengenali Saifuddin hampir 20 tahun, bertemu dengannya ketika kami berdua dihantar ke kursus singkat untuk NGO di Harvard Business School semasa saya menjadi presiden MAC (Majlis AIDS Malaysia) dan dia mengetuai Majlis Belia Malaysia. Kami menjadi kawan dan saya ingat dalam satu kelas, dia mengadu tentang campur tangan politik dalam pentadbiran NGO-nya. Saya sentiasa mengenalinya sebagai seorang yang munasabah dan berfikiran terbuka.

Saya bertanya lagi kepadanya, “Dengan Umno dan PAS?” Dia tidak pernah membalas.

Pada sebelah petang, selepas kumpulan pertama beredar tanpa sebarang hasil dan kami makan tengah hari, kumpulan lain pula tiba. Kali ini, kumpulan pemberontak itu mahu bergandingan bahu. Mata saya terbeliak apabila melihat Zahid Hamidi, presiden Umno yang berdepan dengan 47 pertuduhan rasuah dan Hadi Awang, berjubah serta berserban serba putih seperti lazimnya serta kelihatan jauh lebih muda daripada yang saya jangkakan, tersenyum lebar, yakin mereka akan dapat memujuk ayah.

Mereka juga duduk di meja makan kami menghadap ayah. Muka ayah kelihatan lebih meluat daripada sebelum ini. Kehadiran mereka ini membuatkan rumah kami seolah-olah tidak lagi bersih; jika Najib Razak masuk ketika itu, saya rasa saya akan kehilangan sabar pula.


Ini adalah terjemahan petikan terakhir dari buku terbaru Marina Mahathir, 'The Apple and the Tree'. Ia diterbitkan dengan kebenaran Penguin Random House SEA. Buku itu boleh didapati di Popular, MPH, Kino, Czip Lee, Biblio Paper Boy, Lit Books, Gerak Budaya.

-malaysiakini

Selasa, 16 November 2021

Ramai Pelakon Lelaki Jadi Mangsa Gangguan Seksual Berbanding Wanita - Namron

 Gangguan seksual selalunya dikaitkan dengan pelakon wanita. Semestinya kita sering mendengar tentang bagaimana pelakon-pelakon wanita mendapat gangguan seksual dari individu berpengaruh dalam industri tempatan. Namun, menurut Nam Ron, menurutnya, pelakon lelaki lebih banyak mendapat gangguan seksual berbanding wanita.

Menurut artikel dari Utusan/ Mingguan Malaysia, pelakon yang mempunyai nama sebenar Shahili Abdan itu berkata bahawa lelaki lebih banyak menjadi mangsa berbanding wanita. 

Pengalaman sebegini banyak diceritakan sendiri oleh mangsa-mangsa kepada saya. Ramai yang mengadu adalah pelakon baharu.

 

 

 

Yang mengadu kepada saya semua pelakon lelaki, perempuan tak ada pulaMacam-macam cerita saya dengar. Ada yang dipelawa tidur sebilik dengan si pelaku, dipeluk diraba sehingga mereka trauma.

Namron mendedahkan bahawa pelakon era 90an lebih banyak dieksploitasi kerana mereka mengharapkan peluang berlakon. 

Pelakon dahulu lebih teruk dieksploitasi. Ketika itu bukan seperti sekarang, ada media sosial. Jadi, ada pelakon yang terpaksa merelakan diri dipergunakan kerana mengharapkan peluang berlakon.

Pelakon yang terkenal melalui filem Bunohan dan Mencari Rahmat itu juga menasihatkan bahawa para pelakon baru tidak menggadaikan diri mereka demi untuk mencapai apa yang diinginkan. Di dalam industri ini, ada pelbagai individu yang akan sentiasa mengambil kesempatan.  

Kalau ada yang cuba melakukan perkara tak senonoh kepada anda, jauhi atau tinggalkan mereka. Jangan takut, negara ada undang-undang untuk menangani jenayah salah laku seksual. Kalau diancam, buat laporan. Ingat, rezeki datang daripada Allah. Kalau sudah tertulis anda seorang pelakon, jangan risau, rezeki akan ada. Jadi jangan biarkan diri anda menjadi mangsa lelaki ‘hidung belang'.

 Nam Ron merupakan artis yang cukup aktif berkecimpung dalam bidang teater, filem dan televisyen. Pada 2018, Nam Ron pernah mengarahkan filem bertajuk One Two Jaga. Filem itu meraih kemenangan besar di Anugerah dan Festival FIlem Antarabangsa ASEAN 2019 apabila memenangi trofi Pengarah Terbaik. 

-sukafilem.net