Isnin, 3 Jun 2024

Sambutan Luar Jangkaan Dorong Kedah Turunkan Harga Tiket


 Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong setia mereka, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menurunkan harga tiket untuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Shahrul Samsudin dalam satu kenyataan media semalam.

Langkah ini dibuat bagi menghargai jasa penyokong yang tidak putus memberi sokongan kepada Sang Kenari dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada 24 Mei lalu.

Mengikut data kehadiran perlawanan Liga Super untuk minggu perlawanan ketiga, 9,349 orang penyokong hadir di Stadium Darul Aman.

Shahrul melihat kehadiran ramai penyokong mampu membakar semangat Kedah untuk bangkit daripada dua kekalahan sebelumnya dan merekodkan kemenangan.

“Perlawanan Piala FA edisi 2024/25 menentang Bukit Tambun FC di Pusingan Ke-16 pada 14 Jun 2024, Jumaat, 6.30 petang di Stadium Darul Aman adalah amat penting memandangkan dalam beberapa siri kempen sebelum ini KDA FC tewas seawal pusingan pertama.

“Justeru, bagi memastikan aura di Stadium Darul Aman terus bergema dengan kehadiran ribuan penyokong, sebagai tanda penghargaan dari pihak pengurusan, struktur harga tiket yang lebih menarik ditawarkan iaitu diskaun 50% dari harga asal, hanya untuk perlawanan kali ini, bagi meraih lebih sambutan penyokong ke Stadium Darul Aman.

“Harga tiket bagi perlawanan Piala FA, Pusingan ke-16 menentang Bukit Tambun FC pada 14 Jun ini adalah tiket dewasa (13 tahun dan ke atas) RM20 Grandstand, RM15 Pavilion dan RM10 Teres.

“Harga tiket kanak-kanak bagi 12 tahun ke bawah pula ditawarkan dengan harga RM5 untuk semua zon (Grandstand, Pavilion dan Teres),” katanya.

Penyokong Kedah yang memiliki pas bermusim Platinum, Grandstand, Pavilion dan Teres turut menikmati kelebihan akses percuma kepada semua zon stadium yang dinyatakan.

Shahrul berharap sokongan penyokong dapat memacu Kedah untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA 2024.

“Ayuh kita penuhi Stadium Darul Aman (pada) 14 Jun ini, masa terbaik untuk menebus kegagalan edisi Piala FA sebelum ini dengan melangkah ke peringkat seterusnya iaitu suku akhir Piala FA 2024,” tambahnya.

Kedah bakal menentang wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC pada 14 Jun ini dengan perlawanan bermula pada jam 6.30 petang.

-makanbola.com

0 comments:

Catat Ulasan