Selasa, 11 Jun 2024

Terengganu FC batalkan penajaan XFOX Market Holdings

 Gambar fail - CEO Terengganu FC, Mohd Sabri  Abas (depan, dua kiri) bersama CEO XFOX Market Holdings, Datuk  Suhaila Semaru (depan, empat kanan) ketika majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penajaan Musim 2024/2025 bersama syarikat XFOX dan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.

Gambar fail - CEO Terengganu FC, Mohd Sabri Abas (depan, dua kiri) bersama CEO XFOX Market Holdings, Datuk Suhaila Semaru (depan, empat kanan) ketika majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Penajaan Musim 2024/2025 bersama syarikat XFOX dan TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin.

KUALA TERENGGANU: Hanya 48 jam selepas dimeterai, kelab bolasepak Terengganu FC (TFC), membatalkan perjanjian dengan syarikat pengurusan pelaburan, XFOX Market Holdings Sdn Bhd membabitkan penajaan bernilai RM1.5 juta dengan persetujuan tiada apa-apa tuntutan di antara kedua-dua pihak.

-ADVERTISEMENT-
Ads by

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas, berkata keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama selepas mengambil kira penularan perjanjian penajaan itu sejak kelmarin.

Beliau berkata, usaha untuk memuktamadkan penajaan itu dijalankan mengikut proses sewajarnya, namun tohmahan yang tular di media sosial menimbulkan suasana tidak sihat antara pihak kelab, penaja dan penyokong.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan XFOX Market Holdings setelah melihat sendiri operasi syarikat berkenaan dalam pelbagai sektor yang dilihat sesuai dengan kelab TFC.

"Namun mengambil kira suara kebimbangan penyokong, pembubaran penajaan menjadi kaedah terbaik menyelesaikan isu tanpa sebarang tuntutan daripada kelab dan penaja.

"Susulan pembatalan kerjasama itu, pihak pengurusan TFC akan memulangkan semula wang penajaan RM1.5 juta kepada XFOX Market Holdings Sdn Bhd," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kelmarin, TFC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd menandatangani persefahaman menyaksikan skuad Penyu menerima tajaan RM1.5 juta untuk menghadapi Kejuaraan Kelab Asean, musim ini.

Bagaimanapun, penajaan itu mengundang pelbagai reaksi negatif selepas syarikat berteraskan perkongsian keuntungan itu dilapor berada dalam senarai tidak mematuhi peraturan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mohd Sabri berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan tajaan baharu bagi membantu skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu membuat persiapan ke Kejuaraan Kelab Asean atau Piala Shopee itu.

Katanya, tindakan membatalkan penajaan itu juga lebih kepada menjaga aspek keharmonian kelab untuk mengharungi saingan domestik dan Piala Shopee musim ini.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan