"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label BERSATU. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERSATU. Papar semua catatan

Ahad, 21 Julai 2024

PRK Nenggiri:Akur Bersatu tanding, Pemuda PAS Gua Musang kerah jentera 100% di Nenggiri

 freemalaysiatoday.com

Faiz Zainudin
20 Jul 2024, 07:31 PM

Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata, cadangan agar partinya bertanding hanya permintaan, bukan paksaan.
Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata, pihaknya tetap akan menggerakkan jentera pilihan rayanya 100%, walaupun belum tahu siapa calon Bersatu yang akan mewakili PN. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda PAS Gua Musang akan memberikan komitmen penuh memastikan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) pada PRK Nenggiri, walaupun terdahulu mahu parti itu bertanding mewakili gabungan itu.

Akur dengan keputusan Bersatu mempertahankan kerusi itu, Ketua Pemuda PAS Gua Musang Mohd Habidin Hanipa berkata, cadangan agar partinya diberi laluan bertanding bersifat permintaan, bukannya paksaan.

“Setakat ini kita akur sahaja keputusan pucuk pimpinan, sama ada letak calon Bersatu atau PAS, asalkan daripada PN.

“Cadangan kita sebelum ini supaya calon PAS dipertimbangkan sekadar permintaan sahaja.

Pemuda PAS tetap akan menggerakkan jentera kita 100%, walaupun belum tahu siapa calon, katanya kepada FMT.

Sementara itu, apabila diminta mengulas sama ada tindakan Barisan Nasional (BN) mencalonkan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang dikatakan anak tempatan, mampu memberi saingan kepada PN, Mohd Habidin berkata, pencalonan ketua Pemuda Umno Gua Musang itu sudah dijangka.

Beliau menjelaskan, Mohd Azmawi bukanlah anak kelahiran DUN itu sebaliknya sekadar menantu kepada penduduk Nenggiri dan mengundi di DUN Galas sebelum ini.

Habidin yakin, PN yang akan bertanding menggunakan lambang PAS akan berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut, memandangkan parti itu masih mendapat sokongan penduduk.

Setakat ini, kita lihat pengundi kita tak berganjak lagi, tetap beri sokongan. (Malah) kita sasar untuk tambah jumlah undi, berkat usaha kerja keras kita, katanya.

Sebelum ini, Mohd Habidin mencadangkan agar calon PAS diketengahkan mewakili PN pada PRK Nenggiri, mengambil kira 90% jentera pilihan raya daripada parti terbabit.

Cadangan sama turut disuarakan Ketua PAS Gua Musang Azman Ahmad atas kebimbangan episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mengesahkan kerusi DUN Nenggiri akan ditandingi Bersatu pada PRK 17 Ogos depan.

-Wak Labu Farm 

Selasa, 16 Julai 2024

PRK Nenggiri: Tanding guna logo PAS, Bersatu yakin menang majoriti selesa

 Kamaruddin Md Nor berkata tidak timbul isu pertembungan PAS dan Bersatu yang kini giat menyusun jentera.



Calon Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan bertanding menggunakan logo PAS pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA
Bersatu Kelantan yakin calonnya yang disahkan bertanding di bawah logo PAS mampu mencapai kemenangan dengan majoriti selesa pada PRK DUN Nenggiri, bulan depan.

Ketuanya Kamaruddin Md Nor berkata ketika ini PAS dan Bersatu sedang menyusun jentera dalam mempertahankan kerusi dimenanginya Mohd Azizi Abu Naim dengan majoriti 810 undi.

Kerusi itu dikosongkan oleh DUN Kelantan pada 19 Jun lalu susulan keahlian Azizi dalam Bersatu terhenti, menyebabkan PRK diadakan 17 Ogos depan.

Menurut Kamaruddin, tidak timbul isu pertembungan dua rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mahu meletakkan calon masing-masing, sebelum Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan kerusi ditandingi Bersatu.

Kamaruddin Md Nor.

“Kerusi Nenggiri dimenangi Bersatu (pada PRN) dan calon Bersatu akan pertahankannya, hal ini telah dipersetujui…tak timbul soal pertembungan.

Calon Bersatu akan guna logo PAS, kita yakin penuh dapat mempertahankan kerusi Nenggiri dengan majoriti selesa,

 katanya kepada FMT.

Sebelum ini, timbul isu membabitkan pemilihan calon PN apabila Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad menyerahkan tiga nama untuk dipertimbangkanwalaupun kerusi itu secara tradisinya ditandingi Bersatu selaku penyandang.

Azman dipetik FMT berkata, pihaknya berharap calon PAS dipertimbangkan dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan, merujuk tindakan penyandang Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily pula melaporkan Ketua Wanita PAS Nuridah Salleh mahu wakil parti itu dipilih untuk meyakinkan penduduk Nenggiri yang calon PN tetap pendirian dan tidak melakukan kesilapan sama dibuat Azizi.

Pada 12 Jul lalu, Kamaruddin pula menjelaskan isu keyakinan pengundi sebenarnya tidak berbangkit, selain mengingatkan PAS juga mempunyai ‘macam-macam rekod’ dengan mengaitkan bekas pemimpinnya seperti bekas timbalan presiden Mohamad Sabu.

Sementara itu, Kamaruddin berkata pihaknya telah menyerahkan dua nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRK 17 Ogos depan yang diyakini ‘boleh menang’ dan dikenali penduduk setempat.

Tunggu presiden (Muhyiddin Yassin) buat keputusan dalam masa terdekat,

 katanya.-FMT

Sabtu, 13 Julai 2024

'UMNO tak takut hadapi 6 PRK, keputusan Speaker mengikut Perlembagaan' - Zahid Hamidi

 bharian.com.my

Oleh Zatul Iffah Zolkiply 
zatuliffah@bh.com.my
- Julai 13, 2024 
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di Gong Badak. NSTP/GHAZALI KORI

KUALA NERUS: UMNO menyangkal dakwaan BERSATU yang menyatakan Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan, susulan keputusan tidak

mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tiada istilah takut menghadapi kekalahan dalam politik dan parti itu sedia bertanding sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi enam Parlimen berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, terpulang kepada mana-mana pihak untuk membawa isu berkenaan ke peringkat seterusnya.

"Bukan kerana itu (takut kalah), kita rasa keenam-enam kerusi ini dulu adalah kerusi UMNO dan kalau (diumumkan) kosong pun UMNO akan bertanding.

"Dalam politik, mana boleh takut (dan) saya melihat pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Johari Abdul selaku Speaker Dewan Rakyat, terhadap kedudukan enam Ahli Parlimen yang telah terpecat daripada BERSATU kerana menyokong Perdana Menteri itu adalah keputusan yang dibuat mengikut Perkara 49, Perlembagaan Malaysia.

"Mungkin ada dalam kalangan mereka yang akan dicabar, mungkin mengemukakan bukti. Itu kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendakwa enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli parti itu tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Muhyiddin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri.

Ketika ditanya sama ada keputusan Speaker Dewan Rakyat, itu akan mendorong ahli politik kerajaan untuk berbuat perkara sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin tidak ada ahli politik kerajaan akan berpaling tadah.

"Pelbagai tafsiran saya bagi tahu tadi. Insya Allah, keadaan itu tidak akan berlaku. Mengapa perlu menyokong pembangkang walaupun alasan-alasan politik tapi Insya Allah ini tidak akan berlaku," katanya.

-Wak Labu Farm 

Rabu, 10 Julai 2024

[VIDEO] Muhyiddin sahkan Speaker Dewan Rakyat tolak permohonan Bersatu


 KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dikosongkan.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, keputusan tersebut diterima Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran pada petang Selasa.

Johari menerusi jawapan balas tersebut memaklumkan, tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas ahli parti berkenaan.

"Keputusan Yang Berhormat Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan Yang Berhormat Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkannya telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara," katanya ketika sidang akhbar khas di Parlimen pada Rabu.

Muhyiddin (tengah) ketika sidang media di Parlimen pada Rabu.
Muhyiddin (tengah) ketika sidang media di Parlimen pada Rabu.

Sidang akhbar itu turut dihadiri sebahagian besar ahli Parlimen blok pembangkang termasuk Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ronald.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam masa sama berkata, peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.

Dalam situasi ini katanya, jelas bahawa enam ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan- peruntukan perlembagaan parti itu.

April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Pindaan membabitkan Perkara 10 perlembagaan parti tersebut dibuat selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang sebelum itu.

-SH Online 

Khamis, 4 Julai 2024

Noh Omar sah sertai Bersatu

 

Noh Omar
Noh Omar

SHAH ALAM - Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengesahkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta.

Noh berkata, permohonan itu dibuat secara terus dalam talian tanpa diketahui sesiapa pada Khamis.

Menurut bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, keputusan berkenaan dibuat berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.

"Saya amat sedih dengan nasib 'Bossku' (Najib) dan semalam (Rabu) pihak beliau gagal mencabar titah supaya menjalani baki hukuman penjara di rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sehubungan itu, Noh memaklumkan, keputusan itu mendorong beliau mengubah fikiran untuk menjadi ahli Bersatu dan sudah mendapat sijil keahliannya.

Noh turut mendedahkan beliau sebelum ini beberapa kali menemui Najib di mahkamah yang berpesan supaya bersabar dan tidak memasuki mana-mana parti politik.

"Saya menghormati pandangan Bossku yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berhati besar.

"Apabila dihadapkan ke mahkamah, beliau tidak mempergunakan UMNO dan sanggup meletak jawatan sebagai Presiden parti bagi menghadapi kes beliau secara peribadi.

Noh dalam satu video mengesahkan menyertai Bersatu pada Khamis.
Noh dalam satu video mengesahkan menyertai Bersatu pada Khamis.

"Namun, keputusan (mahkamah) ini sudah diramal berlaku dan nasib menimpa beliau amat mengecewakan saya hingga membuat keputusan untuk sertai Bersatu," ujarnya.

Tambah beliau, hanya Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu boleh menggantikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

"Saya lihat UMNO kini macam hidup mati segan tak mahu dan sudah terlalu jauh lari daripada perjuangan asal.

"Jiwa saya masih UMNO tetapi bukan UMDAP (UMNO dan DAP).

"Saya pilih Bersatu untuk terus berjuang dalam politik dan marilah kita menaiki kapal baharu PN demi agama, bangsa dan negara," ujarnya lagi.

Pada Rabu, permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati semua afidavit yang difailkan untuk menyokong permohonan itu termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah dengar cakap.

Pada Januari tahun lalu, Noh dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sah dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

-SH Online 

Ahad, 3 Julai 2022

Kerjasama PAS-Bersatu mampu bentuk kekuatan baharu

 

TANAH MERAH: Ribuan rakyat Kelantan yang memenuhi segenap ruang padang Majlis Daerah Tanah Merah melaung tak nak kepada Umno ketika ditanya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada awalnya laungan agak kurang kuat, namun apabila diminta lagi Pengerusi Bersatu, mereka melaungkan dengan nyaring sekali.

Isyarat yang dipamerkan sempena majlis pelancaran Perikatan Nasional mempamerkan semangat baru rakyat Kelantan untuk bersama mendukung wadah baharu yang mentadbir negara sejak Mac 2020.

Muhyiddin berkata, apabila disebut PAS ia bermakna menyokong PN, dan begitu juga Bersatu sebahagian PN.

“Jadi semangat baharu ini menterjemahkan kekuatan PN sebagai wadah politik baharu di negara ini. Sedangkan sebelum ini kita tidak bersama dengan PAS.

“Kemampuan PN dapat dilihat di mana selepas tiga bulan diwujudkan menyertai pilihan raya negeri sehingga mampu membentuk kerajaan baharu di Sabah,” katanya pada perasmian PN Kelantan di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakub, Setiausaha Agung Bersatu Dato Seri Hamzah Zaunuddin, Ketua Srikandi Malaysia Dato Seri Rina Harun.

Selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Mustafa Mohamad, Timbalan Menteri Pertahanan Dato Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz, Timbalan Speaker Dun Dato Abdul Fattah Mamood dan Pengerusi Bersatu Kelantan Dato Kamaruddin Mohd Nor.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, gabungan PAS dan Bersatu akan membentuk kekuatan baharu sehingga mampu untuk mencatat kemenangan 100 peratus di Kelantan.

Menurutnya dengan kekuatan itu diharap dapat mengembalikan ke arah negara yang lebih berjaya selepas PRU akan datang.

Kata beliau juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengusulkan namanya sehingga dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

“Biarpun tempoh jawatan tidak lama namun kerajaan membuat sesuatu yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Sempena program berkenaan diumumkan nama pengerusi PN peringkat parlimen di Kelantan, iaitu Pengkalan Chepa Dato Mohd Amar Abdullah, Dato Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Dato Hanifa Ahmad (Pasir Mas), Abdul Rahman Yunus (Pasir Tumboh).

Dato’ Md Radzi Jidin (Ketereh), Dato’ Hassan Mohamood (Bachok), Ikmal Hisyam (Tanah Merah), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pasir Puteh), Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan (Machang), Mustapa (Jeli), Abdul Latif Ab Rahman (Kuala Krai) dan Dato’ Azizi Abdul Naim (Gua Musang).

-ibnuhasyim.com

Sabtu, 5 Februari 2022

PENGUNDI 18 TAHUN AKAN MENGUBAH LANSKAP POLITIK NEGARA?

 

JUTAAN pengundi 18 akan menyertai PRU-15 akan datang. Di PRN Johor sahaja, dianggarkan berjumlah 170 ribu daripada 740 ribu pengundi yang pertama kali mendaftar sebagai pengundi.

Tiada mana-mana pihak yang boleh mengenal pasti atau cam ke arah mana kah mereka ini memberikan hak mengundi mereka.

Jika lah, PRN ini tidak dikekangi dengan SOP ketat, kerana ancaman virus Covid-19, sudah tentu, mereka ini akan turun “full force” keluar mengundi, kerana keterujaan selain sifat semulajadi pada golongan ini bersifat pro aktif atau agresif pada sesuatu yang baharu.

Pada PRN Johor yang belum ditentukan, seramai 2.57 juta pengundi berdaftar akan menentukan parti mana diberi mandat untuk memerintah Johor.

Barisan Nasional (BN) adalah parti yang awal-awal lagi begitu yakin bukan sahaja menang akan tetapi menang besar. Ramai pemimpin Umno, mahu menjadikan PRN Johor menguburkan Bersatu, agar pada PRU-15 peringkat parlimen, memberi laluan mudah bagi parti itu menguasai semula politik tanah air.

Jika diteliti, hujah-hujah sebahagian pemimpin Umno, khususnya kluster kalah pada PRU-14 semenjak mendapat sambungan nyawa menjadi kerajaan kerana tindakan Bersatu yang menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan tumbang, Bersatu adalah musuh utama dalam politik, bukan PH yang jelas mempunyai rekod menumbangkan parti itu bersama BN pada PRU-14.

Bersatu dijadikan musuh utama, atas sebab ketegasan para pemimpin parti itu berkaitan dengan RULE OF LAW, ketegasan berkaitan integriti, ketegasan berkaitan dengan pemimpin terkait isu moral atau jenayah kleptokrasi atau secara sempitnya, pemimpin yang termasuk dalam kluster mahkamah.

Keyakinan Umno menang besar, kerana berpandukan pada keputusan PRN Melaka. Kemenangan Umno dan BN pada PRN tersebut, kerana atas ikhsan rendahnya peratusan pengundi impak pengundi pasif atau atas pagar tidak merisikokan diri mereka keluar mengundi atas faktor Covid-19, selain SOP yang ketat.

Pada PRN Johor kebarangkalian trend yang sama berlaku, apa tah lagi dengan adanya ancaman varian baharu- OMICRON.

Sesebuah pilihanraya yang diadakan dalam keadaan yang tidak kondusif, sehinggakan mempengaruhi jumlah pengundi yang keluar mengundi, memberi kelebihan pada parti yang mempunyai penyokong tegar dan ahli yang ramai. Dalam konteks semua parti, hanya Umno selesa dengan faktor sedemikian, kerana parti itu selain parti tertua dalam negara, akan tetapi telah menjadi tulang belakang kerajaan sejak merdeka.

Di Peringkat Persekutuan, hanya pada tahun 2018 Umno kehilangan kuasa, walaupun hilang kuasa di Kelantan sejak tahun 1990 dan Selangor bermula tahun 2008.

Pada PRU-14, negeri di mana Umno dilahirkan-Johor turut tumbang. PRN berasingan pada kali ini, ada lah usaha parti itu mengembalikan penguasaan parti itu. Namun, usaha itu tidak mudah menjadi realiti, kerana senario yang berubah, impak penyertaan pengundi muda termasuk pengundi 18.

Mata semua tertumpu pada pengundi baharu, kerana mereka ini boleh menjadi pemangkin berubahnya lanskap politik negara.

-Apa Yang Tersirat

Khamis, 3 Februari 2022

BERSATU calonkan Ismail Sabri sebagai PM - Wan Saiful

Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil BERSATU Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar. - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN
Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan bendera PN kepada wakil BERSATU Muar sebagai simbolik pelancaran jentera PRN Johor di Muar. - Foto NSTP/ESSA ABU YAMIN

KUALA LUMPUR: BERSATU mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa sokongan kepadanya bersyarat, termasuk tiada kompromi apabila membabitkan isu integriti dan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata kumpulan yang mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri ialah BERSATU, bukannya UMNO.

"Kita kena ingat Ismail yang menjadi Perdana Menteri hari ini, bukan dicalonkan UMNO.

"Kalau UMNO silap-silap dia nak Zahid Hamidi (Presiden UMNO). Nak Zahid? Pening kepala nak jawab tetapi itulah hakikatnya," katanya pada kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang disiarkan secara langsung di Facebook Penerangan BERSATU, semalam.

Turut hadir Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

 Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, syarat dikenakan BERSATU itu tiada tolak ansur, khususnya dalam isu membabitkan partinya dan menjaga kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU ialah contoh terbaik dalam menjaga kebajikan rakyat.

"Tak pernah ada jumlah dana banyak diperuntuk untuk membantu rakyat dalam sejarah negara. Tetapi Muhiyddin buat. Itu yang kita nak Ismail teruskan," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri mungkin mahu meneruskan kecemerlangan Muhyiddin dalam memerintah negara, tetapi mendakwa mungkin 'kluster mahkamah' UMNO tidak peduli.

"Apa mereka buat, fokus kepada nak selamatkan diri. Fokus kepada nak bolot kuasa. Dan, fokus kepada jatuhkan semua orang lain, termasuk yang bawa dia naik. Sebab itu jadi pengajaran kepada kita," katanya.

"Ada satu kumpulan mengambil beberapa tindakan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan adalah kluster mahakamah. Mereka kena bertanggungjawab kerana ini semua menyusahkan rakyat," katanya.

Wan Saiful menyindir mungkin UMNO mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri. - Foto hiasan UMNO ONLINE
Wan Saiful menyindir mungkin UMNO mahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri. - Foto hiasan UMNO ONLINE
-BH Online

Jumaat, 12 November 2021

PRN Melaka: Muhyiddin beri sebab beliau tidak boleh bersama PH dan BN

PRN Melaka: Muhyiddin beri sebab beliau tidak boleh bersama PH dan BN

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, hati beliau tidak tenang kerana pelbagai desakan dan tuntutan daripada parti komponen PH. - Gambar fail/ Bernama

 MELAKA TENGAH: Cara tadbir urus Pakatan Harapan (PH) sewaktu menerajui kerajaan Persekutuan selama 22 bulan tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia secara keseluruhan, dakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, hati beliau tidak tenang kerana pelbagai desakan dan tuntutan daripada parti komponen PH.

Selain itu, katanya kekalahan dalam pilihan raya kecil (PRK) sewaktu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih dalam PH juga menyebabkannya tidak boleh bertahan dalam gabungan itu.

“Waktu saya dalam PH, saya dapati agak sukar, kerana jiwa saya tak boleh rasa tenang. Kerana desakan, tuntutan dan cara pentadbiran bersama rakan-rakan dalam PH, saya kira tidak selari dengan perjuangan saya, perjuangan orang Melayu, Islam, apatah lagi perjuangan rakyat.

“Saya bagi tahu Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad), kalau duduk lama, dalam PRU nanti kita (Bersatu) akan hilang dari peta sejarah politik tanah air. Bersatu... PRK demi PRK kita kalah, Bersatu kalah.
“Antara sebab kekalahan, orang Melayu lihat Bersatu dengan kumpulan (PH) ini, tentu pada Melayu dan bukan Melayu, tak selari,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Perikatan Nasional (PN) yang disiarkan secara maya malam ini.
Muhyiddin berkata demikian sewaktu mengimbas kembali peristiwa Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, sekali gus menyaksikan PH hanya memerintah negara selama 22 bulan.
Susulan peletakan jawatan Dr Mahathir, Muhyiddin berkata, beliau kemudian berjaya mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi, termasuk daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.
“Antara kumpulan yang sokong pada saya ialah UMNO. Saya terima dengan niat dan hati agak suci dan bersih, ini satu usaha gabungan untuk perkukuhkan Jemaah Islamiyah.
“Malangnya dalam tempoh itu, ada tuntutan dibuat. Yang ni saya tak boleh nak terlibat. Ada hubung kait dengan mahkamah… sebab saya pegang pada prinsip, mesti ada kebebasan, dan urusan berkaitan dengan mahkamah kita tak boleh campur,” katanya lagi.
Muhyiddin mendakwa, tuntutan itu bertentangan dengan prinsip dan asas penubuhan PN – menegakkan keadilan, menentang kemungkaran, mempertahan Institusi Diraja dan Perlembagaan Persekutuan, serta menjamin kedudukan Islam dan Bahasa Melayu.
Atas sebab itu, katanya beliau memohon pengundi Melaka untuk membuat pilihan yang betul, dan memastikan kerajaan yang dipilih adalah gabungan parti politik yang berteraskan kepada prinsip yang dimaksudkannya.
“Berdasarkan pengalaman kami ada dalam PN, Tok Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pernah jadi MB (Terengganu), saya pernah jadi MB (Johor), jawatan lain banyak ada di kalangan kita, dalam PN hari ini...
“.. tentunya membantu calon kita membentuk cara pentadbiran telus, transparent, baik,teratur dan tersusun. Tadbir urus yang dikehendaki rakyat Melaka, akan kita laksanakan,” katanya lagi.
Sejumlah 28 kerusi dipertandingkan di PRN Melaka pada 20 November ini.
-AstroAwani

Jumaat, 5 November 2021

PRN Melaka:Bersatu gelisah kerana tahu UMNO bakal menang besar kata Zahid

 

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah dua kali menyatakan UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Bimbang UMNO bakal menang besar di Melaka menyebabkan Bersatu kini semakin gelisah sehingga penyokong mereka semakin marah kerana UMNO menolak kerjasama, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu mendakwa propaganda palsu dilancarkan oleh penyokong Bersatu yang cuba mencipta cerita karut kononnya majoriti akar umbi parti itu masih menyokong kerjasama antara UMNO dan Bersatu walhal ia sama sekali tidak tepat.

“Sehingga sanggup melancarkan propaganda tidak masuk akal konon majoriti ahli UMNO mahu bersama PPBM.

“Menuduh UMNO tidak dapat bekerjasama dengan mereka disebabkan keegoan pimpinan UMNO. Sedangkan ramai mengerti seperti apa yang kerap kali diperjelaskan bahawa itu adalah keputusan parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zahid berkata keputusan menolak kerjasama itu sudah diputuskan lama semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu dan ia menyebabkan Bersatu semakin gelisah apabila menyedari UMNO bakal menang besar di Melaka walaupun bertanding secara solo.

“Seperti yang ditetapkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 kira-kira 8 bulan yang lalu.

“Rakyat mengerti mengapa PPBM menggelisah begitu teruk disebabkan pendirian UMNO itu. Mereka sedang takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sedar tentang perbuatan dan kezaliman mereka,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, rakyat sudah menyedari fitnah yang dibuat Bersatu terhadap UMNO selama ini, bagaimanapun orang ramai sudah tidak mempercayainya lagi kini.

“Berpakat bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH) untuk memfitnah UMNO dan para pemimpinnya sejak 2016. Bergandingan bersama DAP dan PH menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan tipu daya.

“Kini perlu berdepan semula dengan UMNO dalam PRN Melaka sebelum sempat memanipulasi cerita. Selepas fitnah yang ditaburkan oleh mereka sudah tumpul dan rakyat menyedari tentang kecurangan dan hipokrasi mereka sendiri,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, UMNO tidak perlu panik dengan serangan Bersatu kerana mengetahui pengundi Melaka akan kembali memilih mereka untuk mentadbir kerajaan negeri tersebut semula.

“UMNO tenang-tenang sahaja. Kita fokus kepada gerak kerja bersama rakyat untuk BN kembali mentadbir Melaka.

“Menerangkan rekod dan kemampuan kerajaan BN memakmurkan rakyat serta negeri Melaka,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu, susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua wakil dari UMNO sendiri yang menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

-Agenda Daily

Zahid: 'Bersatu takut bayang-bayang sendiri'

 


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menempelak Bersatu, yang didakwanya semakin kecewa kerana Umno tidak akan bekerjasama dengan parti itu pada pilihan raya Melaka akan datang.

Menerusi hantaran di Facebook Zahid berkata jelas kepada umum mengapa Bersatu semakin gementar.

"Mereka sedang takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sedar tentang perbuatan dan 'kezaliman' mereka," katanya.

Zahid mendakwa Bersatu yang pernah bergandingan bersama DAP dalam PH telah "menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 dengan tipu daya."

"Kini perlu berdepan semula dengan Umno dalam PRN Melaka sebelum sempat memanipulasi cerita.

"Selepas fitnah yang ditaburkan oleh mereka sudah tumpul dan rakyat menyedari tentang kecurangan dan hipokrasi mereka sendiri," dakwanya lagi.

Gambar fail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Umno dan Bersatu -sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang sama - bersedia untuk bertembung dalam pilihan raya Melaka.

Hari penamaan calon pada Isnin, tetapi PAS masih cuba merundingkan supaya Bersatu dan Umno tidak bertembung untuk kerusi yang sama.

Analisis awal menunjukkan Bersatu mungkin mengalami nasib buruk pada pilihan raya negeri walaupun dengan bantuan PAS, malah mungkin akan kalah teruk jika berhadapan dengan Umno dalam pertembungan tiga penjuru.

Zahid berkata strategi kempen Umno akan tertumpu kepada meningkatkan rekod prestasi Umno-BN dalam mentadbir Melaka.

"Memperjelaskan segala tohmahan fitnah yang tidak benar dan mengingatkan rakyat Melaka apakah itu bersatu dan PH," katanya.

-malaysiakini