Jumaat, 7 Jun 2024

Notis kekosongan kerusi enam MP BERSATU belum diterima - Johari Abdul

 Tan Sri Johari Abdul.

Tan Sri Johari Abdul.

KYOTO: Tan Sri Johari Abdul belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen BERSATU yang digugurkan keahlian mereka dalam parti, baru-baru ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat, terutama melibatkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

"Pertamanya, pada masa ini belum ada lagi (notis dihantar). Apa berlaku di luar itu pada saya adalah noise dan selagi saya tak menerima secara hitam putih apa yang disebut oleh parti, apa tindakan diambil oleh parti terhadap parti mereka, saya rasa itu bukan bidang kuasa saya... saya tidak harus masuk campur.

"Kedua, saya ambil sikap bahawa mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mereka mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum dibawa melawat Kyoto State Guest House yang juga sebuah penginapan rasmi untuk tetamu negara bagi Jepun, dengan Johari turut diberi penghormatan untuk menginap di situ.

Johari kini dalam rangka lawatan rasmi lima hari bersama delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun bermula Isnin, atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun, Fukushiro Nukaga.

Turut menyertai delegasi itu ialah Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Sin; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Vivian Wong Shir Yee (Sandakan); dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

Johari berkata sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau akan mengambil tanggungjawab untuk menilai setiap tindakan wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen dan bukan ahli mana-mana parti.

"Untuk saya mengambil tindakan, saya mesti berhati-hati, saya mesti mendalami segala-galanya, semua aspek sebab apa juga keputusan yang saya buat (bukan sahaja) akan memberi kesan kepada ahli parti itu atau Ahli Parlimen tetapi juga negara.

"Saya mengambil sikap amat berhati-hati serta cermat dan selagi saya tidak yakin dengan keputusan yang saya buat itu, saya tak akan buat dulu.

"Saya amat berhati-hati bukan sahaja undang-undang, tetapi moral dan segalanya saya kena pastikan bahawa tindakan saya itu betul dan saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada di jawatan itu nanti," katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen BERSATU digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang). – BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan