"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Filem P.Ramlee. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Filem P.Ramlee. Papar semua catatan

Sabtu, 15 Jun 2024

Filem P.Ramlee: "Kisah Di Sebalik Ibu Mertua Ku."

 "Kisah Di Sebalik Ibu Mertua Ku."

"Siapa Kassim Selamat? Peguam? Majistret? Ahli Muzik. Memang pantang datuk nenek aku Ahli Muzik!!!"

Itulah antara dialog yang diucapkan oleh Mak Dara dalam filem Ibu Mertua Ku arahan P.Ramlee pada tahun 1962.

Inilah secebis kenangan yang masih segar sehingga kini, bukan sahaja di kalangan generasi lama tetapi juga generasi baru yang menonton filem arahan seniman agung ini. Cerita asal oleh Ahmad Nisfu diolah oleh P.Ramlee untuk menonjolkan nilai pengajaran dan tauladan.

Dalam Majallah Filem terbitan Oktober 1961, P.Ramlee pernah berkata, "Entah bagaimana apabila saya mengambil keputusan untuk membuat cerita ini, saya merasa sangat sukacita dan seolah-olah ada satu kuasa yang mendorong saya supaya bekerja lebih rajin untuk menghasilkan filem ini."

Filem terbitan Shaw Brothers melalui syarikat Malay Film Productions ini adalah salah satu daripada tiga filem agung arahan P.Ramlee, selain Semerah Padi dan Antara Dua Darjat yang dinilai oleh pengkaji filem Melayu klasik sebagai karya seni dengan nilai estetika dan moral yang tinggi.

Menurut seniman Ahmad Mahmood dalam satu temubual, "Kadang-kadang kita rasa gerak dan gaya lakonan sudah bagus tetapi kepada P.Ramlee, dia masih nampak ada kekurangan. Entahlah. Macam mana dia dapat mengesan itu semua saya tak tahulah. Dia pernah suruh saya buat bagaimana yang saya mahu, kemudian dia suruh pula buat bagaimana yang dia mahu. Kedua-duanya dirakamkan. Hasilnya saya mengalah. Kemahuan P.Ramlee bukan sahaja bagus tetapi membuat lakonan saya lebih sedap dipandang."

Bagi seniwati Sarimah pula, beliau menganggap P.Ramlee sebagai seorang pengarah yang sangat serius, "Abang Ramlee sangat cerewet. Dia tidak mahu sedikit pun kesalahan. Apa pun yang berlaku, dia tetap mahu kami lakukan seperti mana yang dia kehendaki."

Namun, dalam filem Ibu Mertua Ku ini, kita tidak boleh melupakan satu watak yang sangat penting. Tajuk filem ini sahaja sudah menggambarkan peranan watak ini. Watak Nyonya Mansor yang dilakonkan oleh Mak Dara. Pemilihan Mak Dara untuk watak Nyonya Mansor sangat tepat. Menurut P.Ramlee, "Mak Dara dapat menggayakan lakonannya dengan sempurna dan sukar untuk ditandingi oleh pelakon lain yang sebaya dengannya. Tetapi untuk mendapatkan lakonan itu, saya terpaksa bekerja selama 5 hari berturut-turut tanpa henti. Cuma bila tiba sesi menghafal dialog, ianya seperti mahu mengasah parang yang berkarat," kata P.Ramlee.

Dalam satu temuramah dalam Majallah Filem, Mak Dara mengakui bahawa pada mulanya beliau enggan membawa watak Nyonya Mansor kerana bimbang akan menyusahkan P.Ramlee. Namun, P.Ramlee tetap bertegas inginkan Mak Dara memainkan peranan itu. Kata Mak Dara, "Mak bukan nak nama Ramlee, umur Mak sudah malam. Asalkan Mak tidak menyebabkan kau susah, cukuplah."

Satu kisah di sebalik tabir yang dilakukan oleh seniman Ahmad Mahmood tanpa pengetahuan P.Ramlee adalah beliau sanggup pergi sendiri ke Singapore Eye Hospital semata-mata ingin mempelajari teknik merawat pesakit mata dan cara mengendalikan pembedahan mata demi menghidupkan watak beliau dalam filem ini sebagai Dr. Ismadi.

Oleh: Azizul Farhan 

Credit 

___

Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara? 

Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA dengan diskaun RM7 terhad sehingga 15 Jun hanya ada di Shopee kami!

https://s.shopee.com.my/5AX63kuYme

Rabu, 12 Jun 2024

"Siapa Sebenarnya Apek Pegang Bendera Dalam Madu Tiga?"

 "Siapa Sebenarnya Apek Pegang Bendera Dalam Madu Tiga?"

"Hilup susah,mati pun susah. Hilup jalan sinang-sinang. Mati angkat bendela."

Siapa masih ingat kata-kata ini? Pasti semua orang ingat babak apek memegang bendera putih yang dilakonkan oleh Allahyarham Alias Congo dalam filem komedi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk "Madu Tiga."

Alias Congo atau nama sebenarnya Alias Bin Said dilahirkan dan berasal dari Pulau Berani, Singapura. Beliau adalah lepasan Sekolah Menengah Kota Raja dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Sekolah Agama Al-Junid, Singapura. 

Alias berkahwin pada tahun 1954 dengan Rubiah dan mempunyai tiga orang anak iaitu Aminah, Uriah, dan Ismail.

Sebelum menjadi pelawak terkenal, Alias menempuh zaman muda dengan penuh kesukaran kerana ketika itu berlakunya Perang Dunia Kedua. 

Keadaan ini menyebabkan Alias berhenti sekolah dan mula mencari kerja untuk membantu kedua-dua ibu bapanya. 

Selepas perang tamat, beliau tidak meneruskan persekolahannya dan ketika itulah dia berpeluang berkenalan dengan seorang pelawak terkenal ketika itu, Aziz King Gedobel. 

Alias cukup tertarik dengan bakat lawak Aziz dan sering mengikuti persembahan lawak Aziz di sekitar Singapura pada penghujung 1940-an. 

Dalam diam-diam, beliau menyimpan hasrat untuk berkenalan dengan Aziz dan ingin menjadi seorang pelawak pentas bersama Aziz King Gedobel dan Aziz Jr (Aziz Sattar).

Aziz yang menyedari bahawa setiap tutur kata dan tingkah lawaknya sering menjadi perhatian Alias, tidak putus-putus memberi perangsang dan tunjuk ajar kepada Alias untuk menjadi pelawak yang berwibawa. 

Bagaimanapun, Alias Congo menyedari bahawa beliau perlu mempunyai satu karakter yang sesuai dengan wajah dan kemampuannya.

Alias memilih karakter seorang Cina tua dengan telornya sekali. Mungkin pilihan itu berdasarkan beberapa pelawak popular ketika itu seperti M. Zain dengan karakter India, P. Ramlee dengan gaya Arab, dan Leng Hussin dengan telor Cina. 

Tetapi karakter itu cukup menjadi. Persembahan sama ada di atas pentas dan radio sering mendapat sambutan. Malah beliau mendapat pujian kerana berjaya menghidupkan watak Apek dalam filem "Madu Tiga." 

Alias Congo juga banyak berlakon dalam filem-filem keluaran Cathay-Keris seperti "Rumah Itu Dunia Aku," "Ayer Mata Duyong," "Raja Bersiong," "Pontianak Gua Musang," dan beberapa filem lagi. Alias Congo meninggal dunia pada 29 Julai 1972.

Oleh: Azizul Farhan

Sumber 

Ahad, 9 Jun 2024

“Kisah P Ramlee Dengan Pesilat.”

 “Kisah P Ramlee Dengan Pesilat.”

Dalam banyak filem P Ramlee, kita dapat melihat bagaimana beliau menerapkan seni persilatan Melayu di dalam karya arahannya. Sebagai contoh filem Pendekar Bujang Lapok. Walaupun filem itu dikomedikan oleh P Ramlee, tetapi konsep menuntut ilmu dengan berguru itu tetap ada. 

Begitu juga melalui filem Enam Jahanam. P Ramlee sanggup mencari guru silat untuk belajar bermain tekpi semata-mata untuk menghayati watak Tantari di dalam filem itu. Akhirnya P Ramlee berjaya bertemu dengan seorang guru yang menetap di Klang, Selangor bernama Haji Sani, iaitu seorang pengasas Persatuan Seni Silat Kuntau Tekpi. 

P Ramlee belajar bersama Haji Sani sehingga beliau betul-betul dapat menguasai teknik permainan Tekpi. Beliau melakukannya demi babak bermain senjata Tekpi yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Apabila kita menonton filem Enam Jahanam, kita dapat melihat bagaimana P Ramlee berjaya menguasai permainan tekpi itu.

Namun, di sebalik P Ramlee menaikkan seni persilatan Melayu di dalam filem-filemnya, ada satu cerita benar yang agak lucu mengenai P Ramlee dan pesilat. Pada November 1964, P Ramlee menerima berita kematian guru yang dihormatinya, iaitu seniman Osman Ahmad yang juga penggubah lagu dalam Panca Sitara. Beliau pergi ke Singapura bersama pembantunya, Ramli Ismail untuk menghadiri pengebumian gurunya itu. 

Selepas selesai urusan, beliau singgah di Batu Pahat sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Sedang P Ramlee duduk minum sambil bersembang dengan Ramli Ismail di sebuah warung, beliau terpandang ada satu persembahan silat sedang berlangsung di kawasan lapang berdekatan dengan warung berkenaan. Lalu beliau terus bangun dari kerusi seperti ingin meninjau persembahan silat itu tadi. “Kenapa bang?” tanya Ramli Ismail. “Aku nampak ada persembahan silatlah, mari kita pergi lihat,” kata P Ramlee. 

Apabila P Ramlee dan Ramli Ismail menghampiri persembahan silat itu, ramai yang tidak perasan kehadiran mereka oleh kerana orang ramai telah pun berkumpul. P Ramlee memerhatikan persembahan itu dengan penuh tekun. Tiba-tiba seorang yang bergelar guru berada di tengah-tengah gelanggang sambil dibantu oleh beberapa anak muridnya dengan membawa kuali yang berisi air panas yang sedang mengelegak. P Ramlee semakin berminat lalu berjalan di celah orang ramai itu menuju ke hadapan sambil diekori oleh Ramli Ismail.

P Ramlee memerhatikan beberapa orang pesilat sedang memasukkan tangan mereka di dalam kuali yang berisi air yang sedang panas menggelegak itu tadi. Apabila sampai kepada giliran pesilat terakhir untuk memasukkan tangannya, P Ramlee menjerit, “dry ais!” (ais keping, bahan untuk membekukan ais krim). Orang ramai tertumpu pada P Ramlee disebabkan jeritan tadi termasuk guru silat itu sekali. P Ramlee bersikap selamba seperti tidak ada apa-apa tetapi perlahan-lahan beliau berundur ke belakang lalu mengajak Ramli Ismail meninggalkan majlis itu dengan cepat.

Di dalam kereta Ramli Ismail bertanya kepada beliau, “Kenapa abang menjerit tadi?” Kata P Ramlee, “Aku tak sengaja nak kacau majlis tadi. Tapi bila aku tengok perkara itu berlaku secara spontan perkataan ‘dry ais’ terkeluar dari mulut aku. Mana boleh mereka tipu orang filem, ‘trick’ begitu aku dah biasa buat dalam filem arahan aku.” Lalu P Ramlee dan Ramli Ismail sambung ketawa mengenangkan kisah yang berlaku tadi sambil terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.

Begitulah antara secebis kisah P Ramlee dan silat. Disebabkan beliau turut mempelajari ilmu silat demi menghasilkan filemnya, maka beliau mengetahui segala selok belok helah yang dilakukan untuk menampakkan keaslian gaya silat itu. 

Oleh: Farahi Kamaruddin 

---

Credit 

Khamis, 16 Mei 2024

"Mesej Untuk Seorang Guru Dalam Filem Masam-Masam Manis."

 "Mesej Untuk Seorang Guru Dalam Filem Masam-Masam Manis."

Bagi peminat filem-filem klasik Melayu, pasti sudah biasa dengan filem Masam-Masam Manis (1965) lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Sharifah Hanim. 

Di sebalik kelucuan gelagat mereka berdua sebagai jiran yang saling bermusuhan tetapi rupanya di luar saling mencintai, terdapat banyak pengajaran yang kita perlu ambil dan aplikasikan dalam hidup.

Antara babak yang saya anggap orang ingat berkenaan Masam-Masam Manis ialah bila Cikgu Shaari (P. Ramlee) terlelap semasa mengajar pelajar di sekolah kerana keletihan dan tidak cukup tidur gara-gara menyanyi di kelab malam. 

Murid-muridnya semua mengulang ayat "Cikgu suka main bola, hari-hari cikgu main bola." Tapi tak lama lepastu, Cikgu Shaari pun dibuai mimpi. "Cikgu sudah tidur, mari kita main!"

Babak ini menunjukkan bahawa manusia terpaksa menjalankan dua pekerjaan untuk menampung kehidupan di kota besar dan tidak hanya terhad pada zaman ini saja.

Tak salah untuk menambah gaji sedia ada dengan melakukan pekerjaan sampingan tetapi jangan sampai mengganggu tumpuan pada pekerjaan utama. 

Ini kerana jika pekerjaan sampingan tersebut mengganggu kesihatan kita dan menjejaskan produktiviti kerja kita, tidakkah itu secara tidak langsung menconteng arang kepada nama baik kita.

Bila mana kita bekerja, kena tahu bahagikan masa antara pekerjaan utama dengan pekerjaan sampingan selain menunjukkan teladan yang baik semasa di tempat kerja. 

Siapa tahu, ia sebenarnya membuka langkah kita lebih jauh lagi pada masa hadapan seperti mana yang berlaku pada Cikgu Shaari. 

Maka tidak hairanlah, selepas melihatnya terlelap, guru besar memanggil beliau ke pejabatnya dan memberi nasihat secara peribadi untuk beliau berhenti sebagai penyanyi kelab malam dan memberi fokus kepada kerjaya utama sebagai guru. 

Beliau dengar nasihat guru besar tersebut dan siapa sangka, beberapa tahun selepas itu, Shaari jadi guru besar di sekolah beliau mengajar.

Satu perkara menarik bila mana guru besar hendak menegur Cikgu Shaari tentang tingkah laku dan etika kerja beliau, beliau tidak melakukannya secara terbuka di khalayak iaitu di hadapan pelajar-pelajar atau guru-guru, sebaliknya dilakukan dalam pejabat beliau. 

Dan guru besar turut memilih perkataan-perkataan sesuai dan tona yang dipilih bersifat kebapaan bagi memperlihatkan teguran tersebut bersifat membina. 

Malah semasa menegur, guru besar turut mengakui bakat yang dimiliki Cikgu Shaari sebagai penyanyi.

Kualiti sebegini yang harus dimiliki seseorang pemimpin dalam sesebuah organisasi tak kira sama ada organisasi tersebut ialah syarikat multinasional (MNC) atau unit keluarga. 

Sebarang teguran yang dibuat hendaklah bersifat objektif dan sama sekali tidak menyentuh peribadi individu yang ditegur. 

Dan teguran pula dibuat secara peribadi atau tertutup demi menjaga maruah individu tersebut dan menunjukkan bahawa pihak pengurusan, majikan atau orang tua nakkan individu tersebut berusaha memperbaiki dirinya dan tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang. 

Orang yang suka menegur secara terbuka tanpa mengambil kira kesan pada individu tersebut atau pada orang lain dan suka menyentuh peribadi individu sebegini tidak layak berada di tampuk kepimpinan kerana tahu membuli dan tidak sensitif sama sekali dengan isu di tempat kerja.

Akhir kalam, kisah-kisah yang dipaparkan P. Ramlee terutama dalam Masam-Masam Manis, walaupun penuh dengan hilai tawa dan kelucuan, ia sebenarnya penuh dengan pelbagai mesej yang bersifat malar segar dan sesuai untuk sepanjang zaman. 

Maka tidak hairanlah mengapa beliau selayaknya digelar Seniman Negara kerana cerita-cerita sebegini amat dekat dengan hati masyarakat dan kita boleh meletakkan diri kita dalam setiap situasi yang ditunjukkan.

Saya akhiri dengan ucapan, Selamat Hari Guru kepada semua pendidik yang banyak berjasa kepada kita semua.

Oleh: Azizul Farhan

___

Sumber

Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara? 

Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA yang akan ke udara ketika PBAKL nanti!

Baca bab-bab awal SECARA PERCUMA di sini: https://thepatriots.store/pramlee/