Rabu, 5 Jun 2024

Filem P.Ramlee: "Kisah Di Sebalik Gabungan Do Re Mi."

 "Kisah Di Sebalik Gabungan Do Re Mi."

Filem Do Re Mi asalnya merupakan ciptaan A.R Tompel dan diarahkan oleh P. Ramlee. Suatu hari, A.R Tompel menemui P. Ramlee di rumahnya dan mencadangkan agar P.Ramlee mengarahkan filem komedi trio seperti Bujang Lapok.

Semasa mencari pelakon untuk watak Mi, P. Ramlee ingin membawa S. Shamsudin atau Aziz Sattar ke Kuala Lumpur. Namun, hasratnya terbatal dek kerana isu kos.

Selain itu, nama M. Zain juga pernah difikirkan sesuai. Memandangkan M. Zain berada di Singapura & kesihatan tidak mengizinkan, watak ini diberikan kepada Ibrahim Din.

P. Ramlee teringat kepada Ibrahim Din yang sebelum ini berlakon di bawah arahannya untuk filem Sabarudin Tukang Kasut. 

Setelah perbincangan dengan A.R Tompel, mereka bersetuju untuk memberi watak Mi kepada Ibrahim Din.

Pada tahun 1966, Do Re Mi muncul di pawagam dan terbitlah gabungan baru: Do Re Mi, Nasib Do Re Mi & Laxmana Do Re Mi.

Selepas filem Laxmana Do Re Mi, P. Ramlee dan A.R Tompel ingin menyambung siri Do Re Mi, menjadikannya siri keempat. Ibrahim Din dipilih sekali lagi untuk watak Mi. 

Terdapat perbalahan antara Ibrahim Din dengan P. Ramlee & A.R Tompel mengenai isu ini sehingga projek filem tertangguh sehingga A.R Tompel meninggal dunia pada 30 Januari 1973 dalam satu kemalangan.

P. Ramlee pernah beritahu seorang wartawan Majallah Filem, "Saya dan Tompel ingin matikan Ibrahim Din dalam siri Do Re Mi yang akan datang, tetapi Ibrahim Din kata pada saya matikan Tompel, beberapa minggu selepas itu Tompel benar-benar mati" - seloroh P.Ramlee.

Selepas kematian A.R Tompel, P. Ramlee membatalkan hasrat sambungan siri Do Re Mi dan menamatkan kontraknya bersama Studio Merdeka. 

Ini menjadikan filem Laxmana Do Re Mi sebagai filem terakhir dalam kerjaya P. Ramlee. 

Secara kebetulan, Ibrahim Din dipilih sebagai pilihan terakhir untuk watak Mi dan juga merupakan bintang terakhir yang meninggal dunia di kalangan pelakon Do Re Mi.

Ibrahim Din turut diberikan peranan sebagai Orang Kaya Mi dalam filem Si Jantung Hati (1986) yang diarahkan oleh A.R. Badul yang turut menjadi watak utama sebagai Re Kecil. Filem ini boleh dianggap sebagai sambungan tidak rasmi kepada filem Nasib Do Re Mi (1966).

Satu fakta yang kita tidak boleh nafikan ialah siri Do Re Mi berjaya menaikkan nama Ibrahim Din walaupun sebelum itu beliau bukanlah siapa siapa.

"5 kaki 2 inci tak ada..3 suku ada..."

"Sabun di bilik mandi... Ohhh sabunnnnnnnnnnn!!!!"

Oleh: Azizul Farhan

___

Sumber 

0 comments:

Catat Ulasan