Isnin, 3 Jun 2024

Lian Ker desak Hannah Yeoh letak jawatan menteri

 

Ti Lian Ker, Hannah Yeoh
Ti Lian Ker, Hannah Yeoh

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mendesak Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan berhubung isu Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Menurutnya, isu projek tersebut menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) yang diperjuangkan DAP selama ini.

"Kerajaan (bukan kementerian Menteri) juga telah memberi Asia Mobility, syarikat kepunyaan suami Hannah Yeoh tanpa tender terbuka yang menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan atau CAT yang dilaung-laungkan oleh DAP selama ini terhadap kerajaan BN.

"Maka atas prinsip yang sama dan secara moral, Hannah perlu juga meletakkan jawatan supaya negara kita mempunyai landasan dan ketegasan untuk menangani penyalah gunaan kuasa dan pengaruh yang berleluasa. Bila lagi Hannah?," soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Lian Ker turut membandingkan kes melibatkan syarikat milik suami Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan isu pemberian Projek Rintis DRT kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Hannah.

"Apa beza kes syarikat suami Shahrizat dan syarikat suami Hannah Yeoh yang mendapat layanan istimewa kerajaan dengan wang ringgit rakyat?

"Dalam kes NFC (National Feedlot Corporation Sdn Bhd) kepunyaan suami Shahrizat, Menteri Wanita pada masa syarikat itu mendapat pinjaman RM250 juta daripada kerajaan (bukan kementerian Menteri) tetapi projek gagal.

"Mahkamah memutuskan pada tahun 2023 (di bawah kerajaan PH dan UMNO) bahawa NFC tidak salah tetapi Shahrizat sudah pun dihukum oleh puak Hannah Yeoh apabila dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri atas tekanan dan tohmahan politik. Wang ini adalah pinjaman yang perlu dibayar balik," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pihak SPRM menerima beberapa aduan baharu berkaitan isu kontrak yang diterima oleh suami Hannah daripada kerajaan Selangor.

Hannah bagaimanapun mengalu-alukan siasatan dan mahu kebenaran serta bukti yang sahih daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap terhadap projek DRT.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan mengganggu proses siasatan melibatkan suaminya, Ramachandran Muniandy, sebagai pengasas bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti).

-SH Online 

0 comments:

Catat Ulasan