"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Sepanyol. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sepanyol. Papar semua catatan

Isnin, 20 Julai 2026

Final Piala Dunia 2026:Sepanyol Yang Menang Piala Dunia, Tetapi Trump Pula Kekal Di Pentas Sampai Infantino Datang Mengajaknya Beralih?

 "Sepanyol Yang Menang Piala Dunia, Tetapi Trump Pula Kekal Di Pentas Sampai Infantino Datang Mengajaknya Beralih?"

Ferran Torres terpaksa menunggu sehingga minit ke-106 untuk meledakkan gol emas yang menamatkan penantian Sepanyol.

Selepas lebih dua jam bertarung dalam perlawanan akhir, Sepanyol akhirnya menewaskan juara bertahan Argentina 1-0 untuk menjulang Piala Dunia buat kali kedua selepas kejayaan pertama mereka pada tahun 2010.

Secara logiknya, gambar paling ikonik yang sepatutnya terpahat daripada malam itu ialah detik kapten Rodri mengangkat trofi sambil dikelilingi rakan sepasukan.

Ada kehebatan Lamine Yamal, kelincahan Ferran Torres dan titisan peluh pahlawan-pahlawan La Roja yang berhempas-pulas menahan terjahan lawan sepanjang lapan perlawanan.

Tetapi entah bagaimana, Donald Trump berjaya mencelah masuk dan memahat wajahnya sebagai salah satu watak utama dalam gambar sambutan tersebut walaupun dia langsung tidak menyarung kasut but atau menyepak bola walaupun seminit!

Presiden Amerika Syarikat itu mendarat di stadium menggunakan helikopter Marine One sebelum menyaksikan perlawanan akhir dari kerusi empuk kawasan tetamu kehormat.

Selepas tamat perlawanan, Trump turun ke padang bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk mengalungkan pingat kepada barisan pemain serta kejurulatihan Argentina dan Sepanyol.

Kehadirannya dalam acara tersebut bukanlah suatu isu pun. Amerika Syarikat adalah salah sebuah negara penganjur bersama kejohanan dan pemimpin negara tuan rumah memang lazimnya dijemput untuk menyempurnakan upacara penyerahan trofi.

Masalahnya bermula apabila tugas rasmi itu selesai.

Trump tidak berganjak turun atau beralih ke tepi pentas. Dia dengan muka bersahaja kekal terpacak tegak di tengah-tengah pemain Sepanyol yang sedang bersesak-sesak bersiap sedia untuk menjulang piala.

Dalam rakaman yang tersebar tular, Trump kelihatan tersenyum lebar, bertepuk tangan dan mengangkat penumbuk di tengah-tengah lautan pemain yang baru dinobatkan sebagai juara dunia.

Gianni Infantino akhirnya terpaksa bertindak seperti penyambut tetamu kenduri kahwin yang serba salah, berjalan mendekati Trump untuk memujuk presiden itu beralih sedikit ke bahagian sisi kerana Rodri sudah bersedia untuk mengangkat trofi.

Trump memang berundur selangkah dua, tetapi dia menolak untuk meninggalkan pentas! Dia masih kekal di dalam bingkai kamera ketika para pemain melompat kegembiraan dan letupan konfeti emas menutupi ruang udara.

Satu adegan yang sangat lucu, apatah lagi ketika awal kemunculan mereka di atas padang, gandingan Trump dan Infantino telah disambut dengan lautan bunyi ejekan "boo" daripada sebahagian besar penyokong.

Namun perhatian dunia akhirnya berubah. Perdebatan bukan lagi tentang siapa yang mengejek Trump, tetapi tentang teka-teki penting: Kenapa presiden itu sanggup menebalkan muka berdiri di tengah-tengah sambutan kemenangan pemain Sepanyol?

Lebih ironi, ini bukannya kali pertama Trump buat perangai mencuri pentas macam ini.

Setahun sebelumnya, dia turut melakukan "sketsa" yang sama ketika aksi final Piala Dunia Kelab 2025 di stadium yang sama di New Jersey.

Selepas Chelsea meratah Paris Saint-Germain 3-0, Trump dan Infantino membawa trofi ke atas pentas untuk diserahkan kepada kapten Chelsea, Reece James. Apabila trofi diserahkan, Infantino secara profesional berundur daripada tumpuan kamera.

Tetapi Trump? Dia terus berdiri keras bagai patung di tengah-tengah kerumunan pemain Chelsea.

Ketika para pemain menjerit kegembiraan dan menyanyi mengelilingi trofi, Trump berdiri kaku di situ seolah-olah dialah hero yang baru sahaja memberikan tiga "assist" berturut-turut kepada Cole Palmer!

Satu tahun kemudian, skrip yang sama berulang kembali. Pasukan bertukar daripada Chelsea kepada Sepanyol, trofi berubah taraf kepada Piala Dunia yang sebenar, namun watak antagonisnya tetap sama.

Timbul persoalan, mengapa tindakan seorang pak cik tua yang berdiri beberapa saat lebih lama di atas pentas ini boleh mengganggu dan mencetuskan kemarahan jutaan penonton bola sepak dunia?

Bukannya Trump merampas piala itu lalu memuatkannya ke dalam helikopter Marine One untuk di bawa pulang ke Rumah Putih. Dia juga tidak menuntut lilitan kapten daripada lengan Rodri.

Jawapannya terletak pada pencabulan nilai sebuah upacara kemenangan.

Upacara mengangkat trofi bukan sekadar sesi bergambar untuk buku tahunan sekolah. Ia adalah satu ritual simbolik yang menyerahkan darjat kehormatan secara mutlak kepada atlet yang bertarung memenanginya.

Protokolnya jelas: Pegawai sukan menyampaikan pingat, menyerahkan trofi, dan kemudian mereka wajib berundur membiarkan pentas itu 100 peratus menjadi milik pasukan juara.

Itulah adab dan "common sense" yang tidak perlu ditulis dalam buku undang-undang. Penyampai piala mewakili institusi sukan, tetapi pemain yang menjulang piala mewakili kemenangan itu sendiri.

Apabila penyampai berdegil untuk menempel dalam gambar, sempadan penghormatan itu dicabuli. Dalam ilmu sosiologi, manipulasi ini sangat menepati teori "modal simbolik" yang diperkenalkan oleh sarjana Perancis, Pierre Bourdieu.

Modal simbolik adalah satu bentuk kuasa tidak terlihat yang terbit daripada pengiktirafan, prestij, dan kewibawaan yang dianugerahkan oleh masyarakat. Ia tidak boleh disimpan dalam bank seperti wang ringgit, tetapi kuasa pengaruhnya sangat nyata.

Seorang pemain mendapat modal simbolik apabila meledak gol kemenangan. Sebuah pasukan meraihnya apabila menjadi juara dunia.

Dari sudut komunikasi politik yang licik, mana-mana ahli politik yang berjaya menyelit berdiri di sebelah pemenang ketika saat bersejarah itu dirakam akan turut menerima tempias prestij tersebut secara automatik.

Trump tidak perlu membuka mulut melaungkan, "Kemenangan ini milik saya!" Gambar rasmi itu sendiri akan mencetak pembohongan tersebut untuknya.

Bayangkan 50 tahun akan datang apabila generasi baharu menatap sekeping foto sejarah Piala Dunia 2026. Mereka akan melihat pemain Sepanyol, trofi emas bersinar, dan wajah seorang Presiden Amerika berdiri megah di tengah-tengah mereka.

Foto tersebut tidak akan pernah bercerita tentang betapa hebatnya Emiliano Martinez menjaga gawang Argentina atau bagaimana pemain Sepanyol berlari sampai nak muntah darah selama 120 minit.

Gambar tersebut secara senyap hanya merakam siapa yang berkuasa berada di pentas anugerah. Itulah harga sebuah kedudukan dalam bingkai kamera propaganda politik.

Ahli politik sangat mendambakan acara sukan kerana sukan mampu menghasilkan sesuatu yang mustahil dicipta di dalam bangunan parlimen iaitu emosi manusia yang tulen.

Ada kibaran bendera, lagu kebangsaan yang membakar jiwa, dan jutaan rakyat yang melupakan perbezaan ideologi lalu bersatu hati menangis meraikan kejayaan. Ahli politik yang cukup bijak akan memastikan diri mereka kelihatan berada dalam zon emosi tersebut.

Dan Trump sememangnya sangat pakar dalam hal persembahan kamera. Jauh sebelum menawan White House, dia membina empayar namanya melalui program realiti "The Apprentice" dan penglibatannya yang ikonik dalam kancah gusti WWE WrestleMania sehingga diangkat ke dalam "Hall of Fame".

Dia amat faham hukum hiburan: Sesiapa yang menguasai bingkai kamera akan dilihat sebagai watak utama! Bagi Trump, pentas final Piala Dunia itu bukanlah padang sukan, tetapi sekadar episod akhir sebuah siri realiti televisyen yang dia enggan keluar daripadanya.

Hubungannya yang "terlalu intim" dengan Gianni Infantino pula memburukkan lagi keadaan. Infantino secara terbuka menghadiri majlis pelantikan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari 2025. Perkahwinan kepentingan ini jelas menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Infantino amat mendambakan jaminan kerajaan Amerika untuk memastikan kelancaran logistik dan keselamatan penganjuran kejohanan terbesar FIFA, manakala Trump mengeksploitasi akses premium FIFA untuk memperoleh pentas global yang memusatkan mata seluruh dunia ke atas imejnya.

Namun hubungan "adik-abang" ini mula mengundang kemarahan yang lebih teruk ketika saingan pusingan ke-32.

Dalam aksi Amerika Syarikat menentang Bosnia, penyerang utama tuan rumah iaitu Folarin Balogun telah dilayangkan kad merah selepas semakan VAR. Hukuman itu automatik menggantungnya untuk satu perlawanan penting menentang Belgium.

Apa yang Trump buat? Dia dengan selamba mengangkat telefon lalu menghubungi Infantino bagi mendesak keputusan tersebut disemak semula!

Walaupun FIFA tidak berani membatalkan keputusan pengadil di atas padang, Jawatankuasa Disiplin FIFA secara ajaibnya telah membekukan pelaksanaan hukuman gantung satu perlawanan tersebut untuk "tempoh percubaan selama setahun".

Balogun dibenarkan bermain melawan Belgium, sekaligus mencetuskan kemarahan rasmi Persekutuan Bola Sepak Belgium yang mempertikaikan campur tangan keji politik dalam kebebasan badan induk bola sepak. Walaupun beraksi dengan Balogun, Amerika akhirnya tetap terkulai dibelasah 4-1 oleh Belgium.

Kes ini membongkar realiti bahawa kuasa Trump dalam FIFA bukan setakat merebut ruang bergambar, malah tangannya telah mula merayap mengubah sistem disiplin dan undang-undang pertandingan.

Bayangkan jika setiap ketua negara bebas mengangkat telefon mendesak Infantino membatalkan kad merah pemain mereka. Piala Dunia kelak akan berubah status menjadi sekadar kaunter aduan pelanggan yang dikawal oleh bos politik.

Satu lagi ironi yang mencuit hati di pentas final adalah fakta bahawa kerajaan Sepanyol dan Amerika Syarikat sedang berdepan krisis diplomatik yang agak tegang.

Trump sebelum ini berulang kali menghentam Madrid kerana enggan mencapai bajet sasaran ketenteraan NATO, malah kerajaan Sepanyol secara keras telah mengharamkan pangkalan dan ruang udara mereka daripada digunakan oleh tentera udara Amerika untuk menyerang Iran.

Namun di atas pentas bola sepak, segala amarah itu disembunyikan. Walaupun Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez dan Raja Felipe VI turut hadir memerhati dari jauh, Trump tetap menayang senyuman plastik yang cukup manis ketika menyerahkan trofi sebelum tanpa segan silu berdiri menyendeng di dalam bingkai gambar kemenangan Sepanyol.

Tiada siapa mahu melihat dua pemimpin berbalah dasar NATO selama 45 minit, tetapi jutaan manusia mahu menonton pasukan idola mereka menjulang trofi.

Ahli politik tidak melakukan kesalahan jenayah apabila mereka naik ke atas pentas. Trump tidak dituduh mencuri piala emas itu. Tetapi kritikan memuncak kerana ritual menjulang trofi adalah beberapa saat yang paling suci dan eksklusif yang sepatutnya menjadi hak mutlak pemain.

Sepanjang sebulan kejohanan berlangsung, FIFA rakus menjual tiket, penaja memonopoli papan iklan komersial, penyiar televisyen menyedut jutaan dolar, dan ahli politik memenuhi kerusi empuk VIP.

Apabila wisel penamat ditiup, hak keistimewaan itu wajib diserahkan kembali kepada pahlawan yang bertarung di atas padang. Pemain berhak melompat, menyanyi, dan menjerit bagai orang gila tanpa perlu risau tersiku bahu seorang presiden yang tidak tahu malu.

Kalau Infantino tidak memberanikan diri datang memujuk Trump beralih, entah-entah presiden itu masih tegak berdiri di tengah pentas sehinggalah pemain Sepanyol selesai mandi dan bas pasukan sudah memecut pulang meninggalkan stadium.

Pasukan Sepanyol terpaksa berhempas-pulas memerah keringat dan mengorbankan otot mereka mengharungi lapan perlawanan tahap tertinggi semata-mata untuk memburu sebentuk bintang kejuaraan kedua.

Tetapi Trump? Dia sekadar perlukan helikopter, sut mewah, dan kelicikan mengatur langkah ke dalam bingkai kamera.

Pada malam itu, Sepanyol menang dan membawa pulang trofi Piala Dunia yang didambakan. Tetapi dalam masa yang sama, Donald Trump turut pulang membawa sekeping gambar "kemenangan" percuma.

Dan dalam dunia politik propaganda hari ini, kadangkala gambar itulah trofi yang jauh lebih bernilai. Amat bernilai.

---

Source 

Isnin, 15 Julai 2024

Gol lewat permainan bantu Sepanyol juara Euro 2024

 PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan muncul juara Euro 2024 selepas menumbangkan England 2-1. FOTO AFP

PEMAIN Sepanyol meraikan kejayaan muncul juara Euro 2024 selepas menumbangkan England 2-1. FOTO AFP

Berlin: Sepanyol mencipta kejayaan cemerlang dengan kemenangan 2-1 ke atas England dalam final Euro 2024 yang berlangsung sebentar tadi.

Gol kemenangan pada minit ke-86 oleh pemain gantian Mikel Oyarzabal memastikan Sepanyol meraih gelaran keempat mereka dalam kejohanan berkenaan, satu rekod baru dalam sejarah bola sepak Eropah.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Dalam perlawanan yang sengit ini, Sepanyol berjaya memenangi kesemua tujuh perlawanan yang mereka lalui.

Selepas separuh masa pertama yang penuh berhati-hati di mana Sepanyol menguasai penguasaan bola tetapi hanya mendapat satu percubaan tepat, permainan berubah selepas rehat.

Bintang remaja Lamine Yamal mencipta peluang dengan hantaran ke sebelah kanan, membolehkan Nico Williams menjaringkan gol pertama.

England, yang ketinggalan untuk permainan keempat berturut-turut dalam kejohanan ini, berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 melalui gol pemain gantian Cole Palmer.

Namun, Oyarzabal menamatkan harapan England untuk meraih trofi utama antarabangsa pertama mereka dalam tempoh 58 tahun dengan gol kemenangan yang membawa Sepanyol sebagai juara.

-myMetro 

Isnin, 8 Julai 2024

Euro 2024: Senarai Empat Pasukan Mara Ke Separuh Akhir

 Saingan bola sepak eropah, Euro 2024 kini semakin menghampiri penghujungnya apabila empat pasukan telah mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir selepas mengatasi lawan masing-masing.

Senarai 4 pasukan yang telah mara ke peringkat separuh akhir:

  1. Sepanyol
  2. Perancis
  3. England
  4. Belanda


Aksi separuh akhir akan bermula dengan perlawanan Sepanyol menentang Perancis pada hari rabu ini, 10 Julai jam 3.00 pagi waktu Malaysia. Kemudian diikuti dengan perlawanan Belanda menentang England pada waktu yang sama keesokan harinya.

Pemenang perlawanan ini akan ke perlawanan akhir yang berlangsung pada 15 Julai 2024 jam 3.00 pagi waktu Malaysia.


Rujuk jadual penuh perlawanan separuh akhir menerusi grafik dibawah.

-TheVocket

Isnin, 11 Oktober 2021

Analisis: Bagaimana Anda Mahu Menjelaskan Gol Kontroversi Mbappe Yang Tumbangkan Sepanyol?


Bagaimana anda mahu menjelaskan gol kontroversi Kylian Mbappe untuk Perancis yang menjadi gol kemenangan untuk menewaskan Sepanyol di perlawanan akhir UEFA Nations League (UNL) pada awal pagi tadi?

Perancis bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Sepanyol 2-1 di perlawanan akhir UNL melalui gol lewat Kylian Mbappe. Gol tersebut terhasil selepas satu hantaran oleh Theo Hernandez pada ketika penyerang Paris Saing-Germain (PSG) itu berada di posisi offside.

Penjelasan pengadil perlawanan

Gol tersebut bagaimanapun dibenarkan oleh pengadil kerana Eric Garcia ‘memainkan’ bola tersebut terlebih dahulu sebelum ianya tiba kepada Mbappe.

Ketika bola dihantar ke Mbappe yang sudah berada di dalam keadaan ofsaid, Garcia juga jelas tersentuh bola dan pengadil perlawanan dari England, Anthony Taylor mengklasifikasikan sentuhan tersebut sebagai sentuhan terakhir (yang dimainkan) sebelum hantaran tiba kepada Mbappe.

Itu adalah penjelasan pengadil perlawanan kepada pemain Sepanyol yang tidak berpuas hati sebagaimana yang didedahkan oleh Sergio Busquets selepas perlawanan.

 “Mbappe sudah ofsaid. Tetapi pengadil berkata Eric memainkan bola dan itu bermakna ia satu lagi fasa permainan [hantaran],” kata Busquets kepada wartawan ketika ditanya mengenai gol kontroversi tersebut.

“Ia tidak masuk akan langsung. Beliau [Garcia] cuba untuk menghalang hantaran kerana Mbappe berada di situ, dan berpendapat Mbappe berada di dalam keadaan tidak offside. Garcia hanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan oleh mana-mana pemain pertahanan.”

Di dalam situasi di atas, Garcia adalah pemain pertahanan terakhir yang cuba mengekang Mbappe.

Pandangan pakar

Pakar bidang kepengadilan di Sepanyol, Alfonso Perez Burrull turut tidak memahami keputusan oleh Anthony Taylor membenarkan jaringan Mbappe.

Malah Perez turut mempersoalkan mengapa UEFA tidak berani menunjukkan ulang tayang rakaman gerakan gol tersebut dengan garisan ofsaid dilukis seperti kebiasaan yang kita saksikan di dalam perlawanan-perlawanan antarabangsa yang lain.

Ia bagi membuktikan bahawa Mbappe berada di hadapan pemain pertahanan terakhir ketika hantaran oleh Theo Hernandez dilakukan.

“Lebih menakjubkan mereka tidak berusaha untuk meletakkan garisan kerana ia jelas [Mbappe] berada di posisi ofsaid,” kata bekas pengadil itu kepada stesen Radio MARCA.

“Mbappe terlibat dengan permainan [gerakan] dan beliau offisde. Ia adalah satu kenyataan walaupun bola tersentuh salah seorang pemain dari Sepanyol.

Kami pasti gol tersebut akan menghasilkan banyak pendapat

Apa Kata IFAB?

Sebab utama jaringan Mbappe kali ini dianggap kontroversi ialah kerana kedudukan Eric Garcia yang merupakan pemain pertahanan terakhir yang cuba menghalang pemain itu.

Daripada video yang dikongsikan, jelas sekali sentuhan daripada Eric Garcia itu bukan disengajakan dan dilakukan kerana mahu menghalang bola jatuh ke kawalan Mbappe. Apa kata Buku ‘Laws of the Game 21/22’ mengenai situasi ini?

Perkara pertama yang nyata sekali ialah Mbappe sememangnya berada di dalam kedudukan ofsaid. Peraturan yang dikeluarkan oleh IFAB jelas mengatakan: Seseorang pemain berada di posisi ofsaid jika mana-mana bahagian kepala, badan atau kaki berada di bahagian pihak lawan dan mana-mana bahagia kepala, badan, atau kaki lebih hampr dengan garisan gol pihak lawan adaripada kedua-dua bola dan pemain lawan kedua terakhir.

Bagaimanapun seseorang pemain tidak akan dipersalahkan hanya kerana berada di posisi ofsaid semata-mata sehinggalah kedudukan tersebut mampu mempengaruhi perlawanan, seperti menghasilkan gol. Kita lihat perkara seterusnya mengenai ofsaid oleh IFAB yang berkisar kepada situasi gol kemenangan oleh Mbappe.

 

Ada tiga perkara yang boleh menyebabkan pemain yang berada di dalam kedudukan ofsaid itu bersalah .

Pertama, pemain yang berada di posisi ofsaid akan dianggap bersalah apabila mendapat keuntungan dengan memainkan bola atau mengganggu pihak lawan.

Situasi terebut turut digunapakai apabila bola melantun atau terbias dari tiang gol, palang gol, pegawai perlawanan atau pemain lawan. Di dalam perlawanan tersebut, bola jelas terbias dari kaki Garcia dan bukan sengaja dimainkan.

Perkara kedua pemain di posisi ofsaid, iaitu Mbappe jelas bukan menerima bola daripada pihak lawan yang berniat memainkan bola, termasuk sengaja memegang bola.

Situasi tersebut adalah tidak dianggap mendapat keuntungan, melainkan ianya tindakan sengaja selamatkan bola oleh mana-mana pemain lawan. Sekali lagi frasa ini memberi kelebihan kepada Garcia.

Rumusan

Pada pendapat kami gol tersebut tidak seharusnya dibenarkan. Apa pula pandangan anda?

Wajarkah ia dibenarkan? Kongsikan pendapat dan hujah anda melalui platform yang kami sediakan.

-semuanyabola.com

Selasa, 3 Ogos 2021

Tokyo 2020: Asensio pastikan Sepanyol ke final jumpa Brazil bagi acara bolasepak

 PEMAIN tengah Sepanyol, Marco Asensio meraikan jaringan tunggal yang memastikan kemenangan ke atas Jepun, sekali gus layak ke final menentang Brazil di Tokyo 2020. FOTO AFP

PEMAIN tengah Sepanyol, Marco Asensio meraikan jaringan tunggal yang memastikan kemenangan ke atas Jepun, sekali gus layak ke final menentang Brazil di Tokyo 2020. FOTO AFP

Tokyo: Sepanyol akan menentang juara bertahan, Brazil di final bola sepak lelaki Olimpik Tokyo 2020 selepas Marco Asensio menjaringkan gol kemenangan, 1-0 mengatasi tuan rumah, Jepun pada masa tambahan aksi separuh akhir, hari ini.

Pemain sayap Real Madrid itu dimasukkan dari bangku simpanan dan melakukan sepakan melencong pada minit ke-115, sekali gus memastikan Sepanyol mara ke final kali pertama sejak menang perak di Olimpik Sydney 2000.

Jepun pula akan menentang Mexico pada perlawanan merebut gangsa, Jumaat ini selepas Mexico tewas 1-4 kepada Brazil menerusi penentuan sepakan penalti berikutan aksi 120 minit tanpa jaringan.

Selepas memerlukan jaringan penyamaan pada saat akhir dan sebelum menewaskan Ivory Coast 5-2 pada masa tambahan di suku akhir, Sepanyol lebih banyak mencipta peluang pada aksi hari ini.

Bagaimanapun, beberapa peluang mencipta jaringan gagal disempurnakan pada ketika Jepun terus bermain secara berdisiplin.

Penjaga gol Jepun, Kosei Tani bertindak cemerlang menafikan percubaan Rafa Mir pada babak pertama manakala VAR menafikan sepakan penalti diberikan kepada Sepanyol selepas Maya Yoshida mengasari Mikel Merino.

Takefusa Kubo menyaksikan sepakannya diselamatkan penjaga gol Sepanyol, Unai Simon.

Pada ketika pemenang dijangka ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, Asensio melakukan sepakan melencong dari dalam kotak penalti dan menewaskan Tani.

-myMetro