Ahad, 9 Jun 2024

“Kisah P Ramlee Dengan Pesilat.”

 “Kisah P Ramlee Dengan Pesilat.”

Dalam banyak filem P Ramlee, kita dapat melihat bagaimana beliau menerapkan seni persilatan Melayu di dalam karya arahannya. Sebagai contoh filem Pendekar Bujang Lapok. Walaupun filem itu dikomedikan oleh P Ramlee, tetapi konsep menuntut ilmu dengan berguru itu tetap ada. 

Begitu juga melalui filem Enam Jahanam. P Ramlee sanggup mencari guru silat untuk belajar bermain tekpi semata-mata untuk menghayati watak Tantari di dalam filem itu. Akhirnya P Ramlee berjaya bertemu dengan seorang guru yang menetap di Klang, Selangor bernama Haji Sani, iaitu seorang pengasas Persatuan Seni Silat Kuntau Tekpi. 

P Ramlee belajar bersama Haji Sani sehingga beliau betul-betul dapat menguasai teknik permainan Tekpi. Beliau melakukannya demi babak bermain senjata Tekpi yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Apabila kita menonton filem Enam Jahanam, kita dapat melihat bagaimana P Ramlee berjaya menguasai permainan tekpi itu.

Namun, di sebalik P Ramlee menaikkan seni persilatan Melayu di dalam filem-filemnya, ada satu cerita benar yang agak lucu mengenai P Ramlee dan pesilat. Pada November 1964, P Ramlee menerima berita kematian guru yang dihormatinya, iaitu seniman Osman Ahmad yang juga penggubah lagu dalam Panca Sitara. Beliau pergi ke Singapura bersama pembantunya, Ramli Ismail untuk menghadiri pengebumian gurunya itu. 

Selepas selesai urusan, beliau singgah di Batu Pahat sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Sedang P Ramlee duduk minum sambil bersembang dengan Ramli Ismail di sebuah warung, beliau terpandang ada satu persembahan silat sedang berlangsung di kawasan lapang berdekatan dengan warung berkenaan. Lalu beliau terus bangun dari kerusi seperti ingin meninjau persembahan silat itu tadi. “Kenapa bang?” tanya Ramli Ismail. “Aku nampak ada persembahan silatlah, mari kita pergi lihat,” kata P Ramlee. 

Apabila P Ramlee dan Ramli Ismail menghampiri persembahan silat itu, ramai yang tidak perasan kehadiran mereka oleh kerana orang ramai telah pun berkumpul. P Ramlee memerhatikan persembahan itu dengan penuh tekun. Tiba-tiba seorang yang bergelar guru berada di tengah-tengah gelanggang sambil dibantu oleh beberapa anak muridnya dengan membawa kuali yang berisi air panas yang sedang mengelegak. P Ramlee semakin berminat lalu berjalan di celah orang ramai itu menuju ke hadapan sambil diekori oleh Ramli Ismail.

P Ramlee memerhatikan beberapa orang pesilat sedang memasukkan tangan mereka di dalam kuali yang berisi air yang sedang panas menggelegak itu tadi. Apabila sampai kepada giliran pesilat terakhir untuk memasukkan tangannya, P Ramlee menjerit, “dry ais!” (ais keping, bahan untuk membekukan ais krim). Orang ramai tertumpu pada P Ramlee disebabkan jeritan tadi termasuk guru silat itu sekali. P Ramlee bersikap selamba seperti tidak ada apa-apa tetapi perlahan-lahan beliau berundur ke belakang lalu mengajak Ramli Ismail meninggalkan majlis itu dengan cepat.

Di dalam kereta Ramli Ismail bertanya kepada beliau, “Kenapa abang menjerit tadi?” Kata P Ramlee, “Aku tak sengaja nak kacau majlis tadi. Tapi bila aku tengok perkara itu berlaku secara spontan perkataan ‘dry ais’ terkeluar dari mulut aku. Mana boleh mereka tipu orang filem, ‘trick’ begitu aku dah biasa buat dalam filem arahan aku.” Lalu P Ramlee dan Ramli Ismail sambung ketawa mengenangkan kisah yang berlaku tadi sambil terus memandu pulang ke Kuala Lumpur.

Begitulah antara secebis kisah P Ramlee dan silat. Disebabkan beliau turut mempelajari ilmu silat demi menghasilkan filemnya, maka beliau mengetahui segala selok belok helah yang dilakukan untuk menampakkan keaslian gaya silat itu. 

Oleh: Farahi Kamaruddin 

---

Credit 

0 comments:

Catat Ulasan