"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Penganalisis Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Penganalisis Politik. Papar semua catatan

Khamis, 5 Mei 2022

Tanpa Umno, kumpulan dwipartisan Ku Li bukan ancaman PAS, kata penganalisis

 

Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan akan memimpin kumpulan ‘dwipartisan’, Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan “dwipartisan” yang dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hanya akan menjadi “ancaman sebenar” kepada PAS di Kelantan, jika ia mendapat sokongan Umno, kata penganalisis.

“Jika ia hanya Tengku Razaleigh sendiri, maka PAS tidak perlu terlalu risau,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mengenai pembentukan sebuah kumpulan dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan.

Beliau berkata, jika Umno bekerjasama dengan kumpulan itu, ia mempunyai peluang lebih baik untuk menjatuhkan PAS berbanding ia berusaha sendiri.

“Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar di Kelantan. Jadi, jika beliau boleh meyakinkan Umno untuk bekerjasama dengan Amanah hanya di Kelantan, maka kumpulan ini akan menjadi sangat berpengaruh bukan hanya dalam masyarakat sivil, tetapi dari segi politik juga,” katanya.

Khamis lalu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, dilaporkan akan memimpin kumpulan itu. Ia terbuka bukan hanya kepada parti politik, tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO). Ini menyusul pertemuan Tengku Razaleigh dengan pemimpin Amanah Kelantan selepas majlis berbuka puasa baru-baru ini.

James Chin dari University of Tasmania pula kurang optimis mengenai peluang kumpulan itu menyingkirkan PAS di Kelantan dan menyifatkan ia hanya “platform untuk Tengku Razaleigh mendapatkan semula pengaruhnya”.

“Walaupun beliau kekal berpengaruh di Gua Musang, beliau telah hilang sebahagian besar pengaruhnya di Kelantan secara keseluruhannya. Kebanyakan orang menganggap zamannya sudah berlalu,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak nampak sesiapa yang menumbangkan PAS, tetapi jika ia akan ditumbangkan, ia perlu dilakukan Umno dan bukan orang lain.”

Beliau berkata, Umno bagaimanapun tidak dapat menarik perhatian pengundi Kelantan kerana ia tidak mempunyai “calon yang tepat”.

“Umno sentiasa mempunyai masalah mencari calon atau pemimpin sesuai untuk menarik perhatian rakyat Kelantan,” katanya sambil menambah budaya politik Kelantan berbeza dengan negeri lain.

Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi pandangan sama dengan berkata, sebarang gabungan baharu yang dibentuk tidak mampu mencetuskan gelombang dalam landskap politik Kelantan pada pilihan raya umum ke-15.

Katanya, Amanah sebagai kumpulan serpihan PAS, perjalanannya masih jauh untuk mendapatkan sokongan rakyat Kelantan.-FMT

Jumaat, 15 April 2022

PKR disaran berganding dengan Bersatu supaya pembangkang menang pada PRU15

 

Kerjasama antara PKR dan Bersatu dijangka menimbulkan kemarahan sebahagian penyokong pembangkang, susulan peranan Bersatu dalam Langkah Sheraton.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik menggesa PKR supaya terus membuka pintu kepada kerjasama dengan Bersatu.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania percaya, adalah penting bagi semua parti pembangkang untuk membuka talian komunikasi dengan satu sama lain jika mereka mahu melihat Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).

Mereka perlu memastikan berlakunya sebanyak mungkin pertembungan satu lawan satu, katanya.

Chin memberitahu FMT bahawa beliau tidak bersetuju dengan gesaan Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin baru-baru ini agar partinya menutup terus kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu.

James Chin.

Kenyataan Razeef itu menyusuli laporan berita yang memetik Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan parti yang bukan komponen Pakatan Harapan (PH), tanpa merujuk secara khusus kepada Bersatu.

Apabila ditanya sama ada masuk akal untuk PKR memikirkan tentang kerjasama dengan Bersatu susulan peranannya dalam kejatuhan kerajaan PH, Chin berkata, tiada yang mustahil dalam politik Malaysia.

Tambahnya, pakatan yang diperbaharui adalah perkara biasa dalam politik.

“Semestinya ini akan menimbulkan kemarahan sebahagian penyokong pembangkang, terutamanya mereka yang menyalahkan Bersatu atas Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH dua tahun lepas,” katanya.

“Oleh itu, ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan dengan cara yang tidak akan menjejaskan sokongan kepada pembangkang.”

Beliau berkata, Bersatu akan membantu menarik sokongan daripada pengundi Melayu luar bandar.

Memetik kekalahan besar PH dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan parti pembangkang bertelagah sesama sendiri, Chin memberi amaran bahawa perpecahan antara parti pembangkang akan mendorong kemenangan BN dalam PRU.

Pada PRN Johor, BN memenangi 40 kerusi, manakala PH menang 12, Perikatan Nasional (PN) tiga dan Muda satu.

Jeniri Amir.

PH juga mencatat prestasi buruk pada PRN Melaka dan Sarawak, dengan memenangi masing-masing lima dan dua kerusi.

Bagaimanapun, felo Majlis Profesor Jeniri Amir memberitahu FMT bahawa beliau percaya undi pembangkang akan pecah jika PKR bekerjasama dengan Bersatu kerana impak Langkah Sheraton terlalu besar.

“Ia akan memburukkan lagi keadaan kerana Bersatu bukan sahaja mengkhianati PH tetapi juga mandat rakyat,” katanya.

“Bersatu juga bukan parti yang kuat dari segi jenteranya dan tidak ramai ahli.”

Sebaliknya, katanya, PKR harus bekerjasama dengan parti-parti lain seperti Muda dan Warisan.-FMT

Khamis, 24 Februari 2022

Era baharu politik sukarkan parti menang majoriti dua pertiga

 Pengundi kini bijak memilih pemimpin yang  mereka inginkan untuk mewakili suara rakyat. - Foto hiasan

Pengundi kini bijak memilih pemimpin yang mereka inginkan untuk mewakili suara rakyat. - Foto hiasan

Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai pada 13 September 2021 antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan adalah langkah baik, satu langkah musyawarah merentas parti, berbincang untuk kepentingan awam, rakyat serta negara.

MoU berkenaan yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan PH itu merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.

Tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Walaupun begitu, pada akhirnya rakyat juga akan membuat keputusan melalui peti undi. Kehendak rakyat wajib dihormati dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), banyak pihak berpendapat tidak akan ada perikatan parti politik atau satu politik mampu menang majoriti mudah seperti dulu.

Ia membawa maksud tiada pihak akan menang secara bersendirian namun ini bukan sesuatu yang buruk dan bukan juga sesuatu yang membawa kepada ketidakstabilan.

Mungkin itu satu norma baharu yang kita perlu pelajari dan terima dengan hati terbuka, kerana apabila tidak ada satu parti mempunyai majoriti yang cukup, mereka tidak boleh memerintah sendiri.

Ini bermakna mereka parti yang menang tadi akan berunding, berbincang, berkompromi dan mencari persefahaman yang terbaik untuk cuba membentuk kerajaan.

Perkara ini tidak semestinya buruk. Ia buruk hanya apabila ada wakil rakyat melompat ke sana sini. Akan tetapi bila Akta Anti-Lompat Parti diluluskan di Parlimen nanti, masalah ini dijangka selesai.

Apabila tidak ada satu parti mendominasi kerusi majoriti maka itu sesuatu yang bagus kerana pemimpinnya akan berusaha untuk berkompromi dengan parti lain.

Jika sesuatu parti mendapat majoriti dua pertiga, dibimbangi ia akan kurang peka kepada suara rakyat, malah kadang-kadang bongkak dengan mandat besar itu.

Bagaimanapun, dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak yang lalu, disebabkan kelemahan parti pembangkang, parti kerajaan menang lebih dua pertiga kerusi. Ia perlu dihormati kerana itu keputusan pengundi.

Kita perlu menghormati pilihan pengundi yang mungkin sudah jemu dengan politiking berlebihan tetapi kecenderungan begini tidak semestinya akan berterusan di negeri lain atau di peringkat nasional.

Namun, dalam sesetengah amalan demokrasi ada peruntukan jika rakyat tidak senang dengan wakil rakyat, mereka berhak meminta wakil rakyat 'turun' dengan membuat petisyen dan sebagainya.

Apa lagi dalam suasana pilihan raya sekarang ini, yang mana tidak membenarkan berkempen seperti biasa, maka orang ramai mula menggunakan bermacam-macam cara untuk berpolitik terutama menerusi media sosial.

Perkara baharu ini yang membangkitkan semangat mahu didengar rakyat sekarang dan sebagai sesuatu yang baik tetapi malangnya 'kerajaan lama' melihat ini sebagai satu cabaran kepada mereka.

Setakat ini sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, dapat dilihat beliau tidak banyak politiking dan ini sesuatu yang baik kerana menunjukkan pemimpin dan rakyat fokus kepada kerja mereka.

MoU antara pemimpin PH dan kerajaan adalah suatu langkah baik kerana ia menunjukkan ahli politik sanggup bekerjasama untuk rakyat.

Dalam PRU-15 kelak, kita tidak pasti apakah akan ada parti politik mendapat mandat untuk memerintah secara sendirian tetapi ketiadaan mandat kukuh bukan sesuatu yang buruk.

Ini kerana mereka akhirnya terpaksa bekerjasama selepas PRU untuk membentuk pakatan selepas proses tawar-menawar yang baik untuk semua pihak.

Pemimpin yang tidak mempunyai kuasa authoritarian akan disukai rakyat. Demokrasi kita akan sihat apabila rakyat sedar kuasa yang mereka ada. Rakyat adalah 'kerajaan' yang sebenarnya, bukan Perdana Menteri, Ketua Menteri atau menteri.

Penulis adalah Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu (TSEJRC) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

-BH Online

Isnin, 24 Januari 2022

PRN Johor diadakan untuk desak Ismail Sabri bubar Parlimen: PH

 

Pakatan Harapan menolak tindakan membubar DUN bagi memberi laluan PRN Johor diadakan.

UMNO didakwa cuba memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen dengan mengambil langkah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menyifatkan UMNO sengaja mengadakan PRN Johor bagi mendesak supaya Ismail Sabri tunduk dengan tuntutan kumpulan kluster mahkamah, ia walaupun menyedari rakyat ketika ini sedang berdepan kesempitan hidup.

Majlis Presiden PH berkata tindakan mengadakan PRN Johor sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid-19 dan banjir.

Namun, PH tidak akan membiarkan UMNO menang mudah dan membuat ketetapan untuk bertanding PRN Johor.

“Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Mereka juga meminta SPR memperbetul prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen PRN kelak memandangkan jumlah kemasukan ke hospital ekoran Covid-19 stabil, selain jumlah penerima dos kedua yang tinggi, mencecah 80 peratus dan dos penggalak lebih 30 peratus.

Katanya, ini termasuk membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat sepanjang tempoh berkempen bagi PRN berkenaan.

“Membenarkan ceramah dan aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah ke rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP selain akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa dan ruangan cetak sama ada akhbar atau media dalam talian.

“SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan Malaysia di Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik, selain tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari,” katanya.

Majlis Presiden katanya bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRN berkenaan.

“Bukan saja demi memenangi semula mandat rakyat yang sudah diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah kerajaan negeri lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya.

DUN Johor dibubarkan secara rasmi semalam selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, sementara SPR dijadual mengadakan mesyuarat khasnya pada 9 Februari depan bagi menentukan tarikh-tarikh penting iaitu hari penamaan calon, hari mengundi awal serta hari mengundi biasa bagi PRN Johor.

-Agenda Daily

Jumaat, 17 Disember 2021

Jawatan PM bukan tangkal sakti untuk pasti menang jawatan Presiden UMNO

 


Apabila Kelab Penyokong Kerajaan atau BBC mengadakan sidang media menyatakan sokongan terbuka agar Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob diberi tempoh berkuasa menerajui negara sehingga tahun 2023, tujuan paling mudah difahami di sebaliknya ialah agar beliau menjadi Presiden UMNO terlebih dahulu sebelum PRU-15 hendak diadakan.

Ini berikutan tempoh akhir UMNO mesti mengadakan pemilihan ialah pada Disember 2022, sementara tempoh penggal Parlimen berakhir Mei 2023.

Dengan jika Ismail Sabri berjaya menjadi Presiden UMNO sebelum PRU-15 diadakan, ia bukan saja dipercayai membolehkan beliau menyusun dan membentuk pasukannya dalam pilihanraya tersebut, bahkan lebih penting daripada itu ialah dapat menyelamatkan nyawa politik golongan kluster kabinet yang sebahagian besarnya tiada jawatan dalam hierarki kepimpinan UMNO.

Besar kebarangkalian, kalau pun tidak semua, beberapa orang daripadanya mungkin tidak akan dicalonkan lagi untuk bertanding dalam PRU-15 jika ia dilangsungkan sebelum pemilihan UMNO berikutan pendirian mereka menentang kepimpinan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam beberapa isu, terutama soal bekerjasama dengan Bersatu.

Antara pemimpin berjawatan menteri yang tiada kedudukan dalam hireaki kepimpinan MT UMNO ialah Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Annuar Musa, Shahidan Kassim, Dr Adham Baba dan Halimah Saddique.

Tetapi jika PRU-15 dapat dilewatkan sehingga 2023 dan pemilihan UMNO diadakan sebelum itu, maka bukan saja Ismail Sabri dipercayai mudah menewaskan Zahid Hamidi, malah pemimpin-pemimpin yang berjawatan menteri juga dirasakan tiada masalah memenangi sekurang-kurangnya sebagai ahli MT.

Namun, apakah benar dengan jawatan Perdana Menteri dan menteri, seseorang itu mudah menang jawatan Presiden UMNO dan ahli MT?

Selain sejarah UMNO telah beberapa kali memperlihatkan sudah ramai menteri yang kalah bertanding sebagai ahli MT, lebih daripada itu, kedudukan sebagai Perdana Menteri juga bukanlah tangkal azimat untuk membolehkan menang mudah jawatan Presiden UMNO.

Meskipun di era BN, semua Perdana Menteri adalah Presiden UMNO, realitinya jawatan tertinggi dalam kerajaan itu bukanlah jaminan mutlak untuk laluan mudah menguasai parti.

Contoh paling klasik dalam hal ini ialah Tun Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun di era BN iaitu antara 1981 hingga 2003.

Tun Mahathir pernah ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden UMNO pada 1987 dan berjaya memenanginya dengan kelebihan 43 undi.

Meskipun Tun Mahathir menang dalam pertandingan itu, tetapi banyak misteri timbul berkaitan pemilihan tersebut, antaranya dakwaan lampu terpadam ketika proses pengiraan undi dan kewujudan 30 cawangan tidak sah daripada empat bahagian yang menyebabkan isu itu dibawa ke mahkamah oleh Kumpulan 11.

Kes itu dibawa di mahkamah dengan tujuan supaya pengiraan atau pengundian semula dapat diadakan bagi memastikan siapa pemenang sebenar sebagai Presiden UMNO.

Proses mahkamah itu juga diambil kerana duluan keputusan mahkamah terhadap pemilihan MCA yang turut dibelenggu kewujudan cawangan-cawangan tidak sah sebelum itu yang memutuskan pemilihan semula hendaklah diadakan.

Malangnya, dalam kes UMNO, keputusan hakim ketika itu tidak mencadangkan pemilihan semula, sebaliknya mengisytiharkan UMNO sebagai pertubuhan yang tidak sah atau haram, lalu Tun Mahathir kemudian menubuhkan UMNO Baru yang menghalang sama sekali Tengku Razaleigh dan pengikutnya daripada menjadi ahli parti baru itu.

Cuba kita bayangkan apakah nasib Tun Mahathir ketika itu jika pemilihan UMNO diadakan semula atau kalau pun UMNO Baru hendak ditubuhkan, tetapi semua bekas ahlinya diterima semula tanpa syarat sebagai ahli?

Kemudian pada pada 1998, Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dipecat oleh Tun Mahathir atas pelbagai pertuduhan jenayah, di samping dalam waktu yang sama beliau dipukul hampir setengah mati dengan tangan terikat serta mata tertutup ketika dalam tahanan polis.

Lima tahun sebelum dipecat iaitu pada pada 1993, Anwar telah berjaya menyingkirkan Tun Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden UMNO dengan kemenangan hampir mutlak dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sejak Anwar memegang jawatan nombor dua dalam kerajaan, namanya sering disebut-sebut sebagai bakal peneraju masa depan negara dan dalam keadaan yang sama, kehadirannya dilihat sebagai ancaman kepada Tun Mahathir.

Sementara pertuduhan dan cara Anwar dilayan ketika itu banyak yang boleh dipersoalkan, namun rata-rata mereka yang arif dalam politik mengakui bahawa soal politik adalah sebab utama pemecatan itu dilakukan.

Sekali lagi, cuba kita bayangkan apakah nasib Tun Mahathir dalam pemilihan UMNO seterusnya jika beliau tidak memecat Anwar daripada jawatan dalam kerajaan dan sebagai ahli UMNO pada tahun 1998 itu?

Pendek cerita, baik Ismail Sabri atau BBC, renungkan kembali dua episod sejarah itu jika masih berfikir jawatan Presiden UMNO boleh senang-senang untuk direbut hanya dengan bersandarkan jawatan Perdana Menteri.

Kalau Tun Mahathir pun tidak begitu kebal untuk menang sebagai Presiden UMNO bersama jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya, berapa peratus kehebatan Ismail Sabri kalau hendak dibandingkan dengan bekas Perdana Menteri itu?

Shahbudin Husin

Pemerhati dan penganalisis politik

-Agenda Daily

Isnin, 22 November 2021

PAS masih ada pengaruh tapi berdepan dilema kerjasama, kata penganalisis

 

PAS gagal memenangi sebarang kerusi tetapi “melakukan dengan baik” dalam memenangi undi di Melaka, yang bukan merupakan kubu kuat parti itu. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Ia bukanlah penamat bagi PAS berikutan prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang berakhir baru-baru ini, yang menyaksikan ia gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengkaji politik Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia berkata, PAS menunjukkan prestasi yang cukup baik dari segi undi yang diterima walaupun negeri itu bukan kubu tradisi parti Islam berkenaan.

Beliau berkata, asas sokongan PAS lebih kukuh berbanding parti lain dalam Perikatan Nasional (PN). Parti itu mempunyai 91 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, selain 18 kerusi Parlimen, yang mengekalkannya dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, tonggak utama PN, iaitu Bersatu berada dalam keadaan tidak menentu memandangkan prestasi buruknya hanya memenangi dua kerusi manakala Gerakan kehilangan semua pengaruhnya apabila tewas dalam PRN itu.

“PAS mempunyai asas politiknya dan mempunyai tapak yang lebih kukuh. Tetapi ia tidak pernah menang di Melaka. Walau apa pun keputusan di Melaka, PAS akan mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Azeem, yang merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM berkata, prestasi buruk Bersatu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia tidak mempunyai jentera yang kuat di Melaka.

PAS akan kekal berbelah bahagi antara PN dan Umno, yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti itu tetapi tidak dengan Bersatu. “PAS mahu bekerjasama dengan kedua-duanya. Jadi itu akan menjadi dilema politik mereka,” katanya.

Kemenangan Melaka kekal di Melaka

Azeem berkata, kemenangan besar BN tidak mengejutkan kerana Melaka adalah kubu kuat parti gabungan itu dengan beberapa kawasan memberi sokongan kepada DAP.

Katanya, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 (semasa gabungan itu berkuasa dengan memenangi 15 kerusi) adalah satu anomali semata-mata, manakala kemenangan BN pada Sabtu lepas adalah hasil daripada pengundi membuat keputusan untuk “kembali kepada apa yang mereka tahu”.

Azeem turut mengingatkan “keberanian yang ditunjuk” oleh BN untuk mengadakan pilihan raya umum awal. Beliau berkata, sentimen pengundi di Melaka tidak boleh diterapkan di kawasan lain di negara ini.

Peratusan keluar mengundi Melaka adalah rendah pada 66% bukan pengukur yang baik untuk prestasi masa depan BN di peringkat nasional. Pilihan raya umum biasanya akan menyaksikan lebih ramai pengundi keluar, biasanya melebihi 75%.

“Jika BN berasa ia boleh meraikannya, ada sesuatu yang perlu mereka fikirkan. Dinamika berbeza di peringkat nasional. Majoriti orang Cina bersama Pakatan Harapan.

“Jika ahli politik Umno membuat kerja, mereka akan tahu apa yang berlaku di Melaka tidak akan berulang di tempat lain kecuali penambahan beberapa sokongan kecil kepada BN di beberapa kawasan.”

Tidak mungkin BN membuat kebangkitan nasional, terutama di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua negeri ini di bawah pentadbiran PH.

“Apa yang berlaku di Melaka kekal di Melaka. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang sama akan berlaku dalam pilihan raya umum,” katanya.-FMT

Khamis, 18 November 2021

PRN Melaka: Jangan sia-siakan hak mengundi, pastikan kerajaan dipilih stabil

 Kenderaan Jabatan Penerangan (Japen) Melaka melakukan hebahan bergerak 'Info On Wheels' (IOW) bagi mengajak pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Melaka di Pekan Durian Tunggal semalam. - Foto BERNAMA

Kenderaan Jabatan Penerangan (Japen) Melaka melakukan hebahan bergerak 'Info On Wheels' (IOW) bagi mengajak pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (DUN) Melaka di Pekan Durian Tunggal semalam. - Foto BERNAMA

MELAKA: Terdapat 'cakap-cakap' yang mendakwa mungkin ada dalam kalangan masyarakat yang akan bertindak memboikot Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti kerana tidak bersetuju PRN diadakan ketika Melaka baru sahaja 'bernafas' selepas beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Namun umum faham, bahawa hak mengundi tidak seharusnya disia-siakan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Melaka merekodkan peratusan mengundi yang tinggi iaitu sekitar 88 peratus dan bagi PRN ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan pengundi sekitar 70 peratus.

Sasaran SPR itu mungkin tidak akan menjadi kenyataan sekiranya ramai pengundi tidak pergi mengundi, memboikot atau bagi yang tinggal di luar dari Melaka tidak pulang, begitu juga sasaran kerusi untuk menang bagi parti-parti yang bertanding.

Bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi, Jabatan Penerangan (Japen) Melaka mengambil inisiatif meningkatkan program hebahan bergerak 'Info On Wheels' (IOW) di serata negeri, manakala pemimpin politik serta calon, pula memilih menghebahkannya menerusi akaun media sosial masing-masing sama ada dalam bentuk poster dan ucapan video pendek.

Seorang pekerja swasta, Tay Soo Keen, 46, berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan memboikot PRN Melaka dan menegaskan bahawa undi adalah penting kerana ia akan menentukan masa depan negara dan juga negeri.

"Kita perlu pilih kerajaan yang betul-betul boleh berkhidmat untuk rakyat dan masalah sekarang ada juga ahli keluarga dan kawan-kawan yang membuat keputusan untuk tidak balik mengundi sebab kecewa dengan situasi politik negara.

"Tetapi saya terus pujuk mereka untuk balik mengundi sebab undi kali ini akan tentukan nasib kita untuk masa lima tahun akan datang," kata pengundi di DUN Kota Laksamana kepada Bernama.

Pandangan sama disuarakan suri rumah Mahani Jamaludin, 64, yang akhirnya memutuskan untuk keluar mengundi meskipun pada awalnya merasa kecewa dengan pergolakan politik dan mengambil keputusan tidak mengundi.

"Yang penting tunaikan undi... siapa menang siapa kalah terpulang… untuk menangkan parti pilihan masing-masing, semua rakyat kena mengundi dan untuk orang politik, saya harap jika beri mandat nanti kena bekerjalah kuat, jangan lompat-lompat parti lagi, rakyat muak dan hilang kepercayaan," kata beliau yang merupakan pengundi di DUN Bukit Katil.

Penjawat awam, Ismahani Ismail, 35, berkata golongan orang muda sepertinya tidak seharusnya mengasingkan diri dari terbabit dengan proses demokrasi negara.

"Ambil peluang mengundi ini untuk memilih parti mana yang mereka rasa dapat bantu memberi kemakmuran dan kesejahteraan pada rakyat," katanya yang mengundi di DUN Kelebang.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata undi penting kerana ia akan menentukan pemimpin dan kerajaan yang bakal dibentuk selain mencerminkan mandat rakyat kepada pemimpin dan kerajaan.

"Tanpa undi yang juga mandat rakyat, pemimpin dan kerajaan tidak mendapat legitimasi politik. Banyak faktor yang mendorong pengundi keluar mengundi dan antara adalah parti politik, calon dan isu. Undi sebagai hak seorang rakyat Malaysia yang boleh menentukan masa depan negara. Undilah untuk masa depan dan kestabilan politik di Melaka," katanya.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Melaka mempunyai 495,195 pengundi berdaftar yang diberikan hak untuk memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menerusi peti undi, pada hari pengundian Sabtu ini. – BERNAMA

Rabu, 3 November 2021

Pas hilang peluang bertapak di Melaka bila guna lambang PN

 Shahbudin-embun

By Nizam Zain


KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan medan terbaik untuk mengukur kekuatan parti politik sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dari segi strategi dan kerjasama politik sebenar.

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, keputusan Pas menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka hanya meleburkan peluang parti Islam itu bertapak di Melaka.

“Pas dilihat lebih selesa bersama PPBM berbanding UMNO walaupun terpaksa tidak menggunakan lambang bulan yang menjadi tradisi puluhan tahun.

“Pencapaian Pas di Melaka dalam PRU-14 pun tidak begitu memberangsangkan. Pas tidak menang walau satu kerusi pun. Mereka hilang wang pertaruhan di semua tempat yang ditandingi kecuali tiga kawasan.

“UMNO-BN dijangka menang selesa jika bersama Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Begitu juga Pas dijangka dapat buat pertama kali bertapak dalam DUN Melaka sekiranya bekerjasama dengan UMNO-BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pas membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, semalam.

Beliau berkata, ketetapan itu juga mengambil kira pandangan Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang semalam.

Dalam pada itu, Shahabudin berkata, walaupun Pas tidak lagi bersama UMNO dalam MN namun jangan sampai menjadi permusuhan kerana kedua-dua parti itu mewakili majoriti pengundi Melayu Islam di negara ini.

“Bertandinglah secara berhemah kerana dalam politik, apa-apa pun boleh berlaku pada masa yang akan datang demi ukhwah Islamiyyah,” katanya.

Katanya, sejak tahun lepas, Pas sudah memberi bayangan bahawa parti itu akan bersama PPBM dalam gabungan PN, namun UMNO masih menaruh harapan agar Pas mengubah pendirian.

“Terdapat juga segelintir akar umbi kedua-dua parti tersebut masih menaruh harapan agar MN dapat direalisasikan pada hari mendatang terutama pada PRU-15 kelak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Khamis, 7 Oktober 2021

Siapa menang sekiranya MN terkubur?

 

Penganalisis sukar meramalkan sama ada perpecahan akan menguntungkan Umno atau Bersatu, namun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

PETALING JAYA: Siapa akan menang sekiranya Muafakat Nasional (MN) yang menjadi pakatan antara Umno dan PAS terkubur sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan?

Perpecahan mungkin berlaku sebelum pilihan raya, namun penganalisis sukar meramalkan sama ada ia akan menguntungkan Umno atau Bersatu.

Bagaimanapun mereka bersetuju PAS akan terjejas kerana hilang sokongan Umno dan penyokongnya.

Selasa lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk “beralih” daripada pakatan yang dibentuk dua parti itu pada 2019 kerana Umno tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan MN dalam persiapannya berdepan PRU15.

PAS juga adalah sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu, namun pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, Umno membuat ketetapan untuk tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

Dalam keadaan tersepit di tengah-tengah, PAS berkata, ia akan menyokong penyandang di kawasan pilihan raya yang menyaksikan pertembungan antara Umno dan Bersatu.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir memberitahu FMT bahawa beliau percaya sekiranya Umno lebih sensitif terhadap sentimen rakyat, ia tidak lagi memerlukan sokongan daripada parti Islam itu.

“Pada 2019, apabila mereka mengadakan pakatan selepas PRU14, persepsi rakyat terhadap Umno tidak begitu baik,” katanya.

Jeniri Amir.

“Tetapi ia berubah. Kedudukan parti itu lebih baik sekiranya memutuskan untuk berdepan pilihan raya umum tanpa PAS.

“Secara peribadinya, saya tidak melihat alasan PAS di sebalik sokongannya terhadap Bersatu memandangkan ia tidak mempunyai jumlah kerusi yang sama atau jentera yang kuat seperti yang dibina oleh Umno selama ini.”

Katanya, perpecahan secara rasmi akan memudahkan Ismail Sabri Yaakob dan pentadbirannya memandangkan mereka tidak perlu lagi memenuhi kehendak PAS.

“Umno ialah parti nasionalis, manakala PAS pula parti Islam. Perpecahan akan membantu Umno apabila pada masa itu ia mungkin dilihat sebagai lebih sederhana,” katanya.

Bagaimanapun bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, perpecahan itu akan lebih menguntungkan Bersatu.

“PAS dan Umno akan rugi besar jika MN tidak dipertahankan memandangkan ia terbukti berhasil berdasarkan apa yang dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini,” katanya.

Azmi Hassan.

Beliau merujuk kepada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Kecil dan Cameron Highlands pada 2019 apabila jentera gabungan dua parti itu berjaya memberi kemenangan kepada calon sekutu mereka.

“Bersatu akan menang daripada semua keadaan ini memandangkan ia amat memerlukan sokongan PAS sekiranya calon parti itu berdepan dengan Umno,” kata Azmi.

Namun katanya, ia tidak mungkin memberi kesan kepada pembangkang “memandangkan Umno, PAS dan Bersatu mempunyai banyak pertindihan penyokong” dan mereka tidak mungkin beralih daripada ketiga-tiga parti itu.-FMT

Ahad, 3 Oktober 2021

PRU 15, BERSATU perlu bukan saja UMNO, tetapi juga PAS..

 

Pertembungan UMNO, BERSATU pada PRU-15 sukar dielak

KUALA LUMPUR : Pertembungan sesama sendiri antara BERSATU dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang seakan sukar dielakkan.

Penganalisis politik berpendapat, biarpun pintu rundingan masih terbuka, namun sejauh mana ia memberi kesan kepada kerjasama antara dua parti terutama pada peringkat akar umbi masih lagi samar, memandangkan persengketaan UMNO dan BERSATU bukan hanya bertumpu di atas, tetapi menjalar sehingga ke peringkat bawahan.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata secara umumnya, BERSATU sebagai parti baharu akan berdepan masalah di semua kerusi ditandingi kerana kemenangan mereka pada PRU lalu dibantu kekuatan jentera dan sokongan Pakatan Harapan (PH).

"Jadi BERSATU memerlukan UMNO berbanding UMNO terhadap BERSATU untuk menang. Namun, kerjasama antara UMNO dan BERSATU tidak akan berjaya jika ahli akar umbi menentang dan melakukan sabotaj.

"Ini akan melemahkan kedua-dua parti berkenaan," katanya di sini, semalam.

Mohd Azizuddin mengulas kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin kelmarin, bahawa parti itu sedia bertembung dengan UMNO jika parti dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu kekal menolak untuk bekerjasama dengan BERSATU pada PRU-15 akan datang.

Susulan itu, beliau berkata, BERSATU perlu memfokuskan untuk bertanding di kawasan yang mereka menang pada PRU lalu, selain berusaha menawan kerusi yang dimenangi PH khususnya PKR dan DAP sebelum ini.

"Hanya kerusi dimenangi UMNO, tetapi melompat kepada BERSATU akan ada masalah. BERSATU juga perlu bertanding di kerusi bandar dan separa bandar yang mana PH kuat di situ, tetapi BERSATU juga tetap menghadapi masalah," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, kesan pertembungan dua parti itu kelak menyebabkan undi Melayu daripada parti membentuk kerajaan ketika ini akan berpecah.

"Jika tidak bertembung pun, undi Melayu akan berpecah kerana ada PH dan lain-lain parti dan sabotaj dalaman yang menggugat kemenangan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pula berkata pertembungan antara mereka sukar dielak, malah UMNO sukar merintis kerjasama dengan BERSATU dalam keadaan sebahagian besar akar umbinya tidak bersedia untuk berdamai.

"Langkah mengelakkan pertembungan ini mungkin dengan mengadakan pemilihan parti dan jika pemimpin UMNO yang dilihat pro-BERSATU menguasai kepimpinan, mudah untuk kerjasama itu dibincang semula.

"Tetapi ini pun masih bergantung kepada penerimaan ahli akar umbi kerana kebnayakan mereka tidak mahu kerjasama ini dijalinkan. Jika diteruskan, perpecahan dalaman parti pula akan berlaku" katanya.

Beliau mengakui pertembungan antara UMNO dan BERSATU ketika ini lebih tertumpu kepada pembahagian kerusi dengan UMNO tidak mudah melepaskan kerusi yang mereka menangi pada PRU lalu untuk diberikan kepada BERSATU.

"BERSATU mengharapkan kerusi yang boleh menang atau kerusi selamat. Kebanyakan kerusi ini pula memerlukan sokongan bukan saja daripada UMNO, tetapi juga PAS, " katanya. (BH)

Jumaat, 24 September 2021

Umno masih ‘bergelut’ walaupun dapat jawatan PM, kata penganalisis

 

Menurut penganalisis, untuk jangka pendek Umno perlu bersatu, susun semula pemimpin yang ada integriti dalam barisan Majlis Tertinggi parti.

PETALING JAYA: Kenyataan terbaharu Tengku Razaleigh Hamzah bahawa Umno sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai memberi gambaran bahawa krisis dalaman parti itu belum reda walaupun menerajui kerajaan.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, Umno masih lagi menghadapi krisis keyakinan antara pemimpin tertinggi dan sudah sampai masanya parti itu menukar pemimpin yang dilihat bermasalah bagi memastikan mereka kembali bangkit dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Umno kena buat ‘rebranding’ dan tukar pemimpin bermasalah, jika tidak sukar untuk bangkit semula bila PRU15 nanti.

“Untuk jangka pendek Umno perlu bersatu padu \antara ahli, susun semula pemimpin yang ada integriti sahaja yang layak duduk dalam barisan Majlis Tertinggi Umno,” katanya kepada FMT.

Katanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno perlu bertahan menerajui Putrajaya pada saat kedudukan parti yang diwakilinya masih bermasalah dan beliau perlu terbuka berbincang dengan parti lain termasuk dalam Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan pentadbiran kerajaan tidak terjejas

“Ismail perlu bertahan dan kena rujuk semua parti komponen dalam PN sebelum buat keputusan besar. Jangan buat keputusan seorang. Perdana menteri kena sentiasa ingat Umno bukan seperti dulu, dominan, Umno sekarang menumpang orang lain (menerajui kerajaan),” katanya.

Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan berpandangan Umno sebenarnya menghadapi masalah dengan generasi veteran politik yang masih ingin mendominasi kepimpinan parti.

“Ini menyebabkan generasi pelapis yang ingin menggantikan kepimpinan Umno menghadapi krisis keyakinan antara veteran dan pemimpin pelapis. Situasi ini akhirnya menyebabkan Umno sendiri ketandusan pemimpin yang mampu mengimbangi pengaruh kumpulan veteran dengan pemimpin muda.

“Umno kena buat ‘rebranding’ dan tukar pemimpin bermasalah, jika tidak sukar untuk bangkit semula bila PRU15 nanti.

“Ini menyebabkan generasi pelapis yang ingin menggantikan kepimpinan Umno menghadapi krisis keyakinan antara veteran dan pemimpin pelapis. Situasi ini akhirnya menyebabkan Umno sendiri ketandusan pemimpin yang mampu mengimbangi pengaruh kumpulan veteran dengan pemimpin muda.

“Kemungkinan situasi ini menjurus kepada krisis kepimpinan Umno dalam menghadapi cabaran realiti politik kerajaan perpaduan. Akibat daripada aspirasi pemimpin muda dalam Umno yang melihat corak bagaimana Umno perlu dikemudi sesuai dengan perubahan zaman yang bertentangan dengan aspirasi veteran politik Umno,” katanya.

Katanya, veteran Umno juga tidak boleh menyalahkan generasi yang menerajui Umno ketika ini.

Tengku Razaleigh menerusi kenyataan terbaharu berkata, “Umno Baru” yang tertubuh pada 1988 kini sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyatakan jiwanya masih setia bersama Umno yang tertubuh pada 1946.

“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan Umno asal. Saya pernah bertanding jawatan presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau ‘agent of necessity’ untuk Umno yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat,” kata Ku Li.-FMT