Khamis, 13 Jun 2024

Penarikan Subsidi Diesel:Terpaksa naikkan sewa jentera korek kaut, lori

 

Pemilik jentera korek kaut dan lori dari Besut terpaksa menaikkan kadar sewa kenderaan tersebut susulan penarikan subsidi diesel. Gambar kecil: Shariman
Pemilik jentera korek kaut dan lori dari Besut terpaksa menaikkan kadar sewa kenderaan tersebut susulan penarikan subsidi diesel. Gambar kecil: Shariman

BESUT - Seorang pemilik jentera korek kaut dan lori dari Besut terpaksa menaikkan kadar sewa kenderaan tersebut susulan penarikan subsidi diesel berkuat kuasa pada Isnin.

Menurut Shariman Samsudin, 34, dia perlu mengeluarkan kos belanja sehingga RM170 sehari untuk mengisi minyak penuh bagi kedua kenderaan tersebut.

Selain itu katanya, dia juga terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang dijangka berlaku kenaikan harga berikutan penarikan subsidi tersebut.

"Terpaksa naikkan harga sewa sebab saya akan isi minyak penuh sebelum diberikan kepada pelanggan yang ingin menyewa.

"Sebagai contoh sebelum ini isi minyak penuh hanya bayar RM100 sehari, namun selepas subsidi ditarik, saya perlu membayar sehingga RM170 sehari untuk isi minyak penuh bagi setiap jentera korek kaut.

"Bagi kos lori pula, sebelum ini hanya bayar RM80 sehari untuk lori jenis tipper muatan tiga tan tetapi sekarang kena bayar sebanyak RM140 sehari.

"Jadi saya terpaksa naikkan harga sewa sebanyak RM50 hingga RM100. Harga sewa kini untuk jentera korek sebanyak RM600 manakala lori pula dikenakan sewa sebanyak RM450 sehari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Shariman berkata, faktor kenaikan sewa itu juga disebabkan kos untuk membaiki kenderaan tersebut turut meningkat.

"Kos menyelenggara tayar pun naik. Belum lagi masalah-masalah lain termasuk enjin dan sebagainya perlu dibaiki.

"Jadi kita terpaksa naikkan harga sewa kerana kalau tidak memang tak balik modal, malah pelanggan setia kami juga memahami situasi yang berlaku susulan kenaikan harga diesel tersebut," ulasnya.

 Dalam pada itu, Shariman mendakwa meskipun pengguna kenderaan persendirian diberi bantuan Budi Madani RM200 sebulan, namun jumlah berkenaan tidak mencukupi.

"Saya tidak membuat permohonan bantuan itu tetapi rakan-rakan saya yang mempunyai kenderaan persendirian lain membuat rungutan mendakwa memang tak cukup.

"Ada yang isi minyak pun dah cecah RM200 sehari mengikut jarak kilometer perjalanan.

"Bantuan RM200 itu hanya diberi untuk sebulan dan ia tidak mampu tampung untuk kos minyak yang perlu dibayar setiap hari," jelasnya.

Pada Ahad, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan perlaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

-SH Online 

0 comments:

Catat Ulasan