Sabtu, 15 Jun 2024

Filem P.Ramlee: "Kisah Di Sebalik Ibu Mertua Ku."

 "Kisah Di Sebalik Ibu Mertua Ku."

"Siapa Kassim Selamat? Peguam? Majistret? Ahli Muzik. Memang pantang datuk nenek aku Ahli Muzik!!!"

Itulah antara dialog yang diucapkan oleh Mak Dara dalam filem Ibu Mertua Ku arahan P.Ramlee pada tahun 1962.

Inilah secebis kenangan yang masih segar sehingga kini, bukan sahaja di kalangan generasi lama tetapi juga generasi baru yang menonton filem arahan seniman agung ini. Cerita asal oleh Ahmad Nisfu diolah oleh P.Ramlee untuk menonjolkan nilai pengajaran dan tauladan.

Dalam Majallah Filem terbitan Oktober 1961, P.Ramlee pernah berkata, "Entah bagaimana apabila saya mengambil keputusan untuk membuat cerita ini, saya merasa sangat sukacita dan seolah-olah ada satu kuasa yang mendorong saya supaya bekerja lebih rajin untuk menghasilkan filem ini."

Filem terbitan Shaw Brothers melalui syarikat Malay Film Productions ini adalah salah satu daripada tiga filem agung arahan P.Ramlee, selain Semerah Padi dan Antara Dua Darjat yang dinilai oleh pengkaji filem Melayu klasik sebagai karya seni dengan nilai estetika dan moral yang tinggi.

Menurut seniman Ahmad Mahmood dalam satu temubual, "Kadang-kadang kita rasa gerak dan gaya lakonan sudah bagus tetapi kepada P.Ramlee, dia masih nampak ada kekurangan. Entahlah. Macam mana dia dapat mengesan itu semua saya tak tahulah. Dia pernah suruh saya buat bagaimana yang saya mahu, kemudian dia suruh pula buat bagaimana yang dia mahu. Kedua-duanya dirakamkan. Hasilnya saya mengalah. Kemahuan P.Ramlee bukan sahaja bagus tetapi membuat lakonan saya lebih sedap dipandang."

Bagi seniwati Sarimah pula, beliau menganggap P.Ramlee sebagai seorang pengarah yang sangat serius, "Abang Ramlee sangat cerewet. Dia tidak mahu sedikit pun kesalahan. Apa pun yang berlaku, dia tetap mahu kami lakukan seperti mana yang dia kehendaki."

Namun, dalam filem Ibu Mertua Ku ini, kita tidak boleh melupakan satu watak yang sangat penting. Tajuk filem ini sahaja sudah menggambarkan peranan watak ini. Watak Nyonya Mansor yang dilakonkan oleh Mak Dara. Pemilihan Mak Dara untuk watak Nyonya Mansor sangat tepat. Menurut P.Ramlee, "Mak Dara dapat menggayakan lakonannya dengan sempurna dan sukar untuk ditandingi oleh pelakon lain yang sebaya dengannya. Tetapi untuk mendapatkan lakonan itu, saya terpaksa bekerja selama 5 hari berturut-turut tanpa henti. Cuma bila tiba sesi menghafal dialog, ianya seperti mahu mengasah parang yang berkarat," kata P.Ramlee.

Dalam satu temuramah dalam Majallah Filem, Mak Dara mengakui bahawa pada mulanya beliau enggan membawa watak Nyonya Mansor kerana bimbang akan menyusahkan P.Ramlee. Namun, P.Ramlee tetap bertegas inginkan Mak Dara memainkan peranan itu. Kata Mak Dara, "Mak bukan nak nama Ramlee, umur Mak sudah malam. Asalkan Mak tidak menyebabkan kau susah, cukuplah."

Satu kisah di sebalik tabir yang dilakukan oleh seniman Ahmad Mahmood tanpa pengetahuan P.Ramlee adalah beliau sanggup pergi sendiri ke Singapore Eye Hospital semata-mata ingin mempelajari teknik merawat pesakit mata dan cara mengendalikan pembedahan mata demi menghidupkan watak beliau dalam filem ini sebagai Dr. Ismadi.

Oleh: Azizul Farhan 

Credit 

___

Teringin nak tahu kisah hidup Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dari awal kelahiran hinggalah hilangnya sebutir permata industri seni negara? 

Dapatkan P.RAMLEE, TIADA YANG KEDUA dengan diskaun RM7 terhad sehingga 15 Jun hanya ada di Shopee kami!

https://s.shopee.com.my/5AX63kuYme

0 comments:

Catat Ulasan