"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Jumaat, 30 Januari 2026

Daripada Pegawai Tentera ke Taikun Penerbangan: Kebangkitan Pesat Tan Sri Syed Azman

 Daripada Pegawai Tentera ke Taikun Penerbangan: Kebangkitan Pesat Tan Sri Syed Azman

Tan Sri Syed Azman telah mentransformasikan Weststar Aviation menjadi peneraju serantau, didorong oleh visi strategik, disiplin, dan fokus terhadap kecemerlangan operasi.

Kuala Lumpur – Daripada seorang pegawai risikan tentera kepada antara usahawan paling berjaya di Malaysia yang rendah profil, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim secara senyap telah membangunkan Weststar Aviation Services menjadi sebuah syarikat penerbangan luar pesisir terkemuka.

Perjalanan beliau mencerminkan pandangan jauh, disiplin, serta keutamaan terhadap pelaksanaan berbanding publisiti.

Dilahirkan di Sungai Petani, Kedah pada tahun 1960, Syed Azman membesar dalam persekitaran sederhana yang menerapkan nilai tanggungjawab, ketepatan dan disiplin sejak usia muda. Beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 1981 dan kemudiannya ditempatkan dalam Kor Risikan Diraja, di mana beliau memantapkan kemahiran penilaian risiko, perancangan strategik dan pembuatan keputusan dalam situasi tekanan tinggi.

Meningkat ke pangkat Mejar dalam tempoh 13 tahun perkhidmatan, beliau membina rangkaian serta kepakaran yang kemudiannya menjadi asas kepada penglibatan beliau dalam dunia perniagaan.

Pada tahun 1993, Syed Azman meninggalkan kerjaya ketenteraan untuk menceburi bidang keusahawanan, dengan melaburkan kira-kira RM200,000 dalam perniagaan import kereta mewah. Beroperasi dalam pasaran yang sangat kompetitif dan dipengaruhi oleh sistem Permit Diluluskan (AP) yang kontroversi, beliau mengembangkan perniagaan secara berperingkat melalui perancangan rapi dan pelaburan semula.

Menjelang akhir 1990-an, pelaburan awal tersebut telah berkembang menjadi modal yang besar, membuka laluan kepada kemasukan ke dalam industri yang jauh lebih intensif dari segi modal.

Detik penting berlaku pada tahun 2003 apabila Syed Azman membeli sebuah helikopter untuk kegunaan peribadi. Tidak lama kemudian, syarikat minyak dan gas mula mendekatinya untuk perkhidmatan sewaan, sekali gus mendedahkan jurang dalam sektor penerbangan luar pesisir di Malaysia.

Menyedari peluang tersebut, beliau menubuhkan Weststar Aviation Services dengan memberi penekanan kepada keselamatan, disiplin operasi dan kontrak pelanggan jangka panjang.

Di bawah kepimpinannya, Weststar berkembang pesat dengan melabur dalam helikopter moden seperti AW139, AW189 dan Sikorsky S-76, serta membina reputasi kebolehpercayaan dalam kalangan pengendali minyak dan gas.

Pendekatan berdisiplin dan rekod keselamatan yang kukuh membolehkan syarikat memperoleh kontrak utama serta mengembangkan operasi ke peringkat antarabangsa, termasuk di Thailand, Indonesia, Vietnam dan beberapa bahagian di Afrika.

Walaupun Weststar mempunyai saiz dan pengaruh yang besar, Syed Azman kekal rendah profil, jarang muncul di media atau menghadiri acara berprofil tinggi. Pemerhati industri berpendapat fokus beliau terhadap pelaksanaan berbanding publisiti merupakan faktor utama kejayaan berterusan syarikat.

Hari ini, Weststar Aviation Services dianggap sebagai tulang belakang operasi luar pesisir Malaysia, menggaji ratusan profesional penerbangan dan mengendalikan antara armada helikopter paling canggih di Asia Tenggara.

Kejayaan syarikat ini berkait rapat dengan kepimpinan berdisiplin dan visi strategik Syed Azman, membuktikan bahawa keazaman yang tenang serta perancangan teliti mampu mencipta impak berkekalan dalam industri yang sangat kompetitif. — Scoop.my

Source 

Rabu, 28 Januari 2026

Tuntutan Kedah Terhadap Pajakan Pulau Pinang: Analisis Perlembagaan Dan Kekeliruan Hujah Sulu–Sabah

 Tuntutan Kedah Terhadap Pajakan Pulau Pinang: Analisis Perlembagaan Dan Kekeliruan Hujah Sulu–Sabah

Oleh: Datuk Ahmad Amzad Hashim

Perbahasan mengenai tuntutan Kerajaan Kedah terhadap bayaran pajakan Pulau Pinang telah berkembang daripada isu perlembagaan kepada perbandingan yang mengelirukan, apabila ia disamakan dengan tuntutan pihak yang mengaku waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah. 

Inilah yang dapat dinilai dari perbahasan oleh Ketua  Menteri Pulau Pinang , YB Chow Kon Yew yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan (DAP) dalam Dewan Rakyat pada hari ini.

YB Tuan Ahmad Tarmizi Sulaiman , Ahli Parlimen Sik (PAS) beberapa kali cuba mencelah untuk membetulkan tapi tidak diberikan laluan oleh Ketua Menteri dari DAP ini.

Perbandingan ini bukan sahaja tidak tepat, malah menunjukkan salah faham asas terhadap struktur Perlembagaan Persekutuan dan prinsip undang-undang yang terpakai.

Artikel ini bertujuan menjelaskan isu sebenar dari sudut perlembagaan serta mengupas kelemahan teknikal hujah Ketua Menteri Pulau Pinang, yang gagal disokong oleh peruntukan undang-undang yang kukuh.

1. Asas Perlembagaan: Prinsip Kesinambungan Undang-Undang

Perlembagaan Persekutuan tidak dibina untuk memutuskan hubungan undang-undang dengan masa lalu, sebaliknya memastikan kesinambungan hak dan obligasi yang sah.

Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan

Perkara ini memperuntukkan bahawa semua undang-undang sedia ada sebelum Merdeka hendaklah terus berkuat kuasa selepas Merdeka sehingga dipinda atau dimansuhkan secara sah.

Dalam konteks undang-undang perlembagaan, istilah “undang-undang sedia ada” telah lama ditafsirkan secara luas merangkumi:

hak yang telah terwujud (vested rights),

obligasi kontrak, perjanjian dan konsesi yang masih beroperasi.

Perjanjian pajakan Pulau Pinang ialah instrumen undang-undang yang sah sebelum Merdeka dan tidak pernah dimansuhkan. 

Maka, dari sudut Perkara 162, obligasi pajakan tersebut kekal hidup.

2. Perlindungan Khusus Perkara 169: Benteng Terhadap Pembatalan Automatik

Sekiranya Perkara 162 menjadi asas umum, Perkara 169 pula merupakan perlindungan khusus.

Perkara 169 dengan jelas menyatakan bahawa tiada apa-apa dalam Perlembagaan boleh menjejaskan kesahan mana-mana perjanjian, konsesi atau instrumen yang dibuat sebelum Merdeka, selagi ia mempunyai kesan berterusan selepas Merdeka.

Peruntukan ini mempunyai implikasi besar:

Perlembagaan tidak boleh digunakan secara retrospektif untuk memadam perjanjian pra-Merdeka.

Perubahan struktur Persekutuan tidak menafikan obligasi kontrak.

Hak kewangan di bawah perjanjian tersebut kekal sah sehingga ditamatkan mengikut undang-undang.

Perjanjian pajakan Pulau Pinang memenuhi semua elemen Perkara 169:

dibuat sebelum Merdeka, bersifat berterusan,

dan masih dilaksanakan melalui pembayaran tahunan.

3. Kesilapan Asas Hujah Ketua Menteri Pulau Pinang

Hujah bahawa “jika Kedah boleh menuntut Pulau Pinang, maka Sulu juga boleh menuntut Sabah” mengandungi beberapa kecacatan undang-undang yang serius.

(a) Kesilapan Kategori (Category Error)

Tuntutan Kedah ialah tuntutan obligasi kewangan di bawah pajakan, bukan tuntutan kedaulatan.

Tuntutan Sulu pula ialah tuntutan kedaulatan wilayah.

Perlembagaan membezakan dengan jelas antara:

hak kontrak dan kewangan (domestik), dan

isu kedaulatan dan sempadan wilayah (asas negara).

Menyamakan kedua-duanya menunjukkan kegagalan memahami kategori hak yang dituntut.

(b) Tiada Peruntukan Perlembagaan Disokong

Hujah Ketua Menteri Pulau Pinang:

tidak merujuk kepada mana-mana peruntukan Perlembagaan,

tidak menunjukkan perjanjian pajakan telah dibatalkan,

dan tidak menunjukkan bercanggah dengan Perkara 162 atau 169.

Dalam undang-undang perlembagaan, beban pembuktian terletak pada pihak yang ingin menafikan hak sedia ada, bukan pada pihak yang menuntut pelaksanaan hak tersebut.

(c) Salah Faham Tentang Status Negeri

Status Pulau Pinang sebagai negeri Persekutuan:

memberikan kuasa pentadbiran,

tetapi tidak memadam hak pihak ketiga di bawah perjanjian sah.

Jika status negeri sahaja mencukupi untuk memadam obligasi pra-Merdeka, maka Perkara 169 menjadi tidak bermakna, sesuatu yang jelas bercanggah dengan prinsip tafsiran Perlembagaan.

4. Mengapa Analogi Sulu–Sabah Gagal Secara Total

Sabah menyertai Malaysia melalui proses perlembagaan yang lengkap dan pengiktirafan antarabangsa. Kedudukan ini telah dimuktamadkan dan tidak bergantung kepada mana-mana pajakan yang masih berkuat kuasa.

Sebaliknya: tuntutan Sulu telah ditolak oleh Malaysia, tidak diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa, dan bercanggah dengan prinsip penentuan nasib sendiri.

Mengaitkan tuntutan Kedah dengan isu Sulu–Sabah bukan sahaja tidak tepat, malah berbahaya dari sudut naratif keselamatan negara, kerana ia mengelirukan rakyat tentang asas kedaulatan Malaysia.

5. Implikasi Perlembagaan Jika Hujah Pulau Pinang Diterima

Jika hujah Ketua Menteri Pulau Pinang diterima:

Perkara 169 menjadi peruntukan kosong,

semua perjanjian pra-Merdeka boleh dipadam secara unilateral, dan prinsip federalisme Malaysia akan runtuh dari dalam.

Ini bukan implikasi kecil, tetapi implikasi sistemik terhadap keseluruhan kerangka Perlembagaan.

Penutup: Perbahasan Perlembagaan, Bukan Retorik Ketakutan

Tuntutan Kedah terhadap bayaran pajakan Pulau Pinang adalah isu perlembagaan dan undang-undang, bukan isu sentimen atau politik wilayah. 

Ia wajar dibahaskan melalui fakta, teks Perlembagaan dan prinsip undang-undang — bukan melalui analogi yang salah dan tidak bersandar kepada mana-mana peruntukan yang sah.

Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan yang matang mesti berani membincangkan isu hak dan obligasi secara rasional. 

Mengelirukan kontrak dengan kedaulatan bukan mempertahankan negara, tetapi merendahkan martabat perbahasan perlembagaan itu sendiri.

Source 

Isnin, 19 Januari 2026

PARTI POLITIK TIDAK BOLEH GUNA ISLAM PANDANGAN SS Datuk MUFTI YANG TERSASAR

 PARTI POLITIK TIDAK BOLEH GUNA ISLAM

PANDANGAN SS Datuk MUFTI YANG TERSASAR

Sekali Serban Dililit. 205

27  Rajab 1446 | 17 Jan 2025

Oleh : Nasrudin bin Hassan

https://m.facebook.com/serbandililit

Mutakhir ini timbul kembali kenyataan yang saya sifatkan sebagai kenyataan berulang atau kenyataan yang DIKITAR SEMULA, bahawa penggunaan Islam oleh parti politik hendaklah dilarang.

Lebih malang apabila kenyataan itu dikitar semula oleh seorang yang berjawat MUFTI. Sedang kenyataan sebegini lahir daripada KEKELIRUAN ASAS dalam memahami hubungan Islam dengan KUASA, POLITIK dan PERJUANGAN.

Bagaimana seorang yang bertaraf MUFTI mencadangkan agar PARTI POLITIK TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN ISLAM sehingga meminta agar diadakan satu enakmen yang melarang pengunaannya oleh parti politik.

Satu pandangan dan cadangan yang sangat DANGKAL. Sama dangkalnya jika saya berpandangan agar MUFTI juga tidak boleh gunakan Islam dan perlu ada satu enakmen yang melarang mufti menggunakan Islam dalam ucapannya mahupun fatwanya .

Daripada Abu Ḥāzim, beliau berkata: Aku telah duduk bersama Abu Hurairah selama lima tahun, lalu aku mendengarnya meriwayatkan daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الْأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَتَكُونُ خُلَفَاءُ فَتَكْثُرُ

قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟

قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ، وَأَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

“Adalah Bani Israil urusan siasah (politik) mereka diurus tadbir oleh para Anbiya’. Setiap kali seorang nabi wafat maka digantikan selepasnya oleh nabi yang lain. Dan sesungguhnya tidak ada nabi selepasku dan akan ada para khalifah, lalu mereka akan menjadi ramai.”

Para sahabat bertanya: “Apa yang engkau perintahkan kepada kami?”

Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah bai‘ah kepada yang pertama kemudian yang pertama dan berikanlah kepada mereka hak-hak mereka kerana sesungguhnya Allah akan menyoal mereka tentang AMANAH KEPIMPINAN yang telah diserahkan kepada mereka.”

Riwayat Imam Al Bukhari (3455) dan Muslim (1842)

KONDISI ISLAM YANG PERLU DIFAHAMI

PERTAMA : ISLAM BUKAN AGAMA PERIBADI DAN STATIK

Islam bukan agama peribadi atau bersifat ritual sekadar upacara ibadah yang menghubungkan manusia dengan tuhan seperti solat, puasa, haji dan zakat semata-mata, bahkan Islam adalah agama risalah yang WAJIB DIPERJUANGKAN sebagai MANHAJ KEHIDUPAN dan WAJIB DITEGAKKAN dalam seluruh aspek kehidupan termasuk PEMERINTAHAN dan POLITIK.

Jika sebuah parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS,

menggunakan Islam sebagai ASAS, SUMBER dan AGENDA PERJUANGAN, maka ia adalah suatu KEWAJIPAN, bukan kesalahan.

Lihat objektif PENUBUHAN dan PERJUANGAN PAS sebagai sebuah gerakan Islam adalah bertolak dari dua tujuan utama : (sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5)

a) MEMPERJUANGKAN wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah swt.

b) MEMPERTAHANKAN kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Justeru dimana salahnya PAS menggunakan agama bagi maksud memperjuangkan Islam di bumi bertuah ini. Pastinya yang ditegah oleh syarak ialah PENYALAHGUNAAN AGAMA, seperti :

 • Menggunakan Islam untuk menjustifikasi kebatilan

 • Menyelewengkan nas dan hukum

 • Mengkhianati maqasid syariah

KEDUA: ISLAM ITU AGAMA YANG WAJIB DITEGAKKAN

Firman Allah SWT

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

Dan hendaklah engkau menghukum di antara mereka dengan apa yang Allah turunkan, dan janganlah engkau mengikuti hawa nafsu mereka.

Surah al-Mā’idah : 49

Ayat ini bukan nas ibadah peribadi, tetapi ayat yang berkait dengan pemerintahan dan siasah (politik). Apakah parti politik tidak boleh membaca ayat ini ? 

Apakah parti politik tidak boleh menggunakan ayat ini untuk mengajak masyarakat dalam siri kempennya agar masyarakat sokong perjuangannya untuk menegakkan hukum Allah dan mendaulatkannya ?

Bagaimana hendak laksanakan undang-undang yang diturunkan oleh Allah SWT di dalam Al Quran jika sebuah parti politik yang memperjuangkan Islam tidak boleh menggunakan Islam bagi mendapatkan sultah (kuasa pemerintahan) ?

Sedang Allah SWT perintah supaya undang-undang atau hukum hakam itu dilaksanakan.

Saya ambil satu contoh undang-undang dalam Islam yang termaktub di dalam Al Quran (Surah an Nur : Ayat 2). Berkait hukuman sebat ke atas pelaku zina.

Pelaksanaan Islam ini sangat komprehensif. Bermula dengan mewujudkan sebuah negara BERDAULAT agar ada authoriti menggubal undang-undang dan meluluskan pelaksanaannya.

Kemudian perlu menubuhkan INSTITUSI PENDIDIKAN bagi mendidik dan mengasuh masyarakat bahawa zina itu salah dan haram hukumnya, jika masih melakukan zina, lalu ditangkap, didakwa dan dibicara, sabit kesalahan maka dijatuhkan hukuman.

Kemudian perlu ada INSTITUSI PENGUATKUASAAN seperti polis, Jabatan agama dan lainnya untuk urusan menangkap dan menahan pesalah atau pelaku jenayah.

Seterusnya perlu ada PENDAKWARAYA untuk urusan pendakwaan, perlu ada JABATAN GUAMAN untuk tujuan perbicaraan kes, perlu ada MAHKAMAH sebagai proses perbicaraan, perlu ada HAKIM yang mengendali dan mendengar lalu memutuskan kes yang dibicara. Jika sabit kesalahan, dijatuhkan hukuman maka perlu ada PELAKSANA HUKUM termasuklah perlu ada JABATAN PENJARA jika pesalah dijatuhkan hukuman takzir seperti penjara.

Kesemuanya itu perlu kepada POLITIK. Malah untuk memastikan semuanya menepati Islam, maka parti politik yang memperjuangkan Islam seperti PAS, mesti perjuangkan ISLAM bagi memastikan kesemuanya itu dapat dilaksanakan sesuai tuntutan Al Quran dan As Sunnah.

SS Mufti jangan buat NAKAL untuk menafikan perkara ini.  Memastikan hukum Islam ini dapat dilaksanakan, ia tidak dapat tidak mesti melalui JALUR SIASAH (politik).

Pelaksanaan undang-undang perlu melalui kuasa politik. Kerajaan yang memerintah bertanggungjawab gubal undang-undang. Sedang kerajaan itu dibentuk melalui kemenangan parti politik dalam pilihanraya.

Firman Allah SWT

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ

(Iaitu) orang-orang yang jika Kami beri mereka kekuasaan di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar.

Surah al-Ḥajj : Ayat 41

Ayat ini mengenai Kekuasaan (tamkīn) yang dikaitkan secara langsung dengan pelaksanaan Islam dan syariatnya.

KETIGA: POLITIK ADALAH WASILAH MENEGAKKAN AGAMA

Hujjatul Islam Imam Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazālī رحمه الله (w. 505H) menyebut di dalam Ihya’ ‘Ulumiddin (Kitaabul ‘ilmi).

 الدِّينُ أَسَاسٌ، وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ، وَمَا لَا أَسَاسَ لَهُ فَمَهْدُومٌ، وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعُ

Agama itu asas, dan kekuasaan itu penjaganya. Apa yang tiada asas akan runtuh, dan apa yang tiada penjaga akan hilang.

Justeru itu, SS Mufti kena faham bahawa memisahkan agama daripada kuasa bermakna membiarkan agama runtuh. Sementara kuasa itu dihasilkan melalui jalur politik dengan penglibatan parti politik yang ditubuh.

Kalau ada mufti yang tidak menerima pandangan Hujjatul Islam Imam Al Ghazali Rhm. saya bawakan pandangan Syeikhul Islam Imam Ahmad Ibn Taimiyah Al Harraani Rhm (w. 728H) dalam kitab As Siyaasah As Syar’iyyah Fi Islaahi Ar Raa’ii wa Ar Ra’iyyah (muka surat 161)

يَجِبُ أَنْ يُعْلَمَ أَنَّ وِلَايَةَ أَمْرِ النَّاسِ مِنْ أَعْظَمِ وَاجِبَاتِ الدِّينِ، بَلْ لَا قِيَامَ لِلدِّينِ إِلَّا بِهَا

Wajib diketahui bahawa mentadbir (siasah-politik) urusan  manusia adalah antara kewajipan agama yang paling besar bahkan agama tidak akan tegak melainkan dengannya.

Maksudnya SS Mufti itu kena faham bahawa POLITIK adalah sebahagian daripada kewajipan agama dan parti politik itu adalah platform, medium atau wasilah untuk memperjuangkan agama dan melaksanakannya.

KEEMPAT: SALAH FAHAM “GUNA AGAMA” VS “PENYALAHGUNAAN AGAMA”

Al-Qur’an Mengharamkan Penyalahgunaan Agama

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur-adukkan kebenaran dengan kebatilan, dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedang kamu mengetahuinya.

Surah al-Baqarah : 42

Inilah larangan sebenar, menyalahgunakan agama untuk menutup kebatilan.

كَبُرَ مَقْتًا عِنْدَ اللَّهِ أَنْ تَقُولُوا مَا لَا تَفْعَلُونَ

Sangat besar kemurkaan di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.

Surah aṣ-Ṣaff : 3

Ini juga bentuk penyalahgunaan agama apabila bercakap atas nama Islam tanpa amanah. Cakap banyak, sembang kencang tapi dia sendiri “harey” tak buat apa.

KELIMA: PARTI YANG MEMPERJUANGKAN ISLAM SELAYAKNYA MENGGUNAKAN ISLAM

Jika sesebuah parti:

 • Berteraskan Islam

 • Menjadikan al-Qur’an dan Sunnah sebagai sumber

 • Berjuang untuk menegakkan dan mendaulatkan syariah

Maka melarangnya “menggunakan Islam” sama seperti melarang Islam ditegakkan olehnya.

Asy Syahid Imam Ḥasan al-Bannā Rhm

نَحْنُ نَعْتَقِدُ أَنَّ أَحْكَامَ الْإِسْلَامِ وَتَعَالِيمَهُ شَامِلَةٌ لِشُؤُونِ النَّاسِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Kami berpegang bahawa hukum-hakam Islam dan ajarannya merangkumi seluruh urusan manusia di dunia dan akhirat.

Majmū‘at Rasā’il al-Imām al-Bannā, hlm. 85

Asy Syahid Sayyid Quṭb Rhm

إِنَّ الْإِسْلَامَ لَا يَقْبَلُ التَّجْزِئَةَ، وَلَا يَرْضَىٰ أَنْ يُحْبَسَ فِي الْمَسَاجِدِ

Sesungguhnya Islam tidak menerima pemisahan, dan tidak reda untuk dikurung di dalam masjid semata-mata.

Fī Ẓilāl al-Qur’ān, Muqaddimah

KEENAM: PENYALAHGUNAAN AGAMA TETAP HARAM KE ATAS SEMUA

Secara prinsipnya, parti politik tidak boleh menyalahgunakan agama. Bahkan mufti, alim ulama dan pendakwah juga tidak kebal daripada larangan ini. Semua tertakluk kepada al-Qur’an dan Sunnah

مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Riwayat Imam al-Tirmizi (2950) ~ Hasan Sahih

Sesiapa yang berkata tentang al-Qur’an tanpa ilmu, maka bersedialah menempati tempat duduknya di neraka.

FAHAMILAH 

 1. Islam wajib ditegakkan, bukan sekadar diamalkan secara individu

 2. Politik ialah wasilah syar‘iyyah untuk menegakkan agama

 3. Menggunakan Islam untuk memperjuangkan Islam adalah kewajipan

 4. Yang haram ialah penyalahgunaan agama, bukan penggunaannya

 5. Larangan mesti ditujukan kepada penyelewengan, bukan kepada Islam itu sendiri

Jika Islam dilarang daripada politik, maka siapakah yang akan menjaga agama daripada ditindas oleh kuasa?

Sekian.

Source 

Jumaat, 2 Januari 2026

PAS SUKA BERPOLIGAMI POLITIK”: TUDUHAN DANGKAL YANG MENAFIKAN FAKTA SEJARAH

 PAS SUKA BERPOLIGAMI POLITIK”: TUDUHAN DANGKAL YANG MENAFIKAN FAKTA SEJARAH

Dengan penuh hormat kepada seorang ahli akademik, Dr. Mohammad Tawfik bin Yaakub, saya mendapati kenyataan pensyarah Universiti Malaysa ini dalam Wacana Sinar bertajuk “Kemelut Politik Perlis dan Hidup-Mati PN” semalam bahawa PAS “sukar bekerjasama dalam gabungan” dan “suka berpoligami politik tetapi tidak kekal lama” adalah bersifat prejudis serta amat longgar dari sudut analisis. 

Ia malah bercanggah secara terang-terangan dengan rekod sejarah serta dapatan akademik beliau sendiri melalui tesis bertajuk “Kerjasama Politik Melayu-Islam: Analisis Hubungan UMNO–PAS dari Tahun 1968 hingga 1978” yang diperoleh daripada Institut Pengajian Siswazah, Universiti Malaya pada tahun 2018. Lebih serius lagi, ia memperlihatkan kecuaian intelektual yang ketara apabila peristiwa-peristiwa perpecahan gabungan politik dianalisis secara terpisah daripada punca sebenar, lalu kesalahan kolektif rakan gabungan dipindahkan kepada PAS sebagai kambing hitam.

BN 1977: PAS TIDAK KELUAR TETAPI DITENDANG KELUAR OLEH UMNO

Saya mulakan dengan detik pertama iaitu ketika PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional. Pertama sekali, dakwaan bahawa PAS gagal bertahan dalam Barisan Nasional (BN) kerana “ketegasan perjuangannya” adalah pemalsuan sejarah. Fakta sebenar yang direkodkan secara rasmi dalam tesis PhD Dr. Mohammad Tawfik sendiri menyatakan bahawa PAS tidak keluar daripada BN, sebaliknya disingkirkan oleh UMNO. Pada halaman 283 tesisnya sendiri, Dr. Tawfik dengan jelas menulis bahawa krisis politik Kelantan 1977 — yang berpunca daripada usaha menyingkirkan Menteri Besar Datuk Mohamad Nasir dan pengisytiharan Darurat Kelantan oleh kerajaan Persekutuan — telah membawa kepada penyingkiran PAS daripada BN oleh UMNO kerana PAS menentang tindakan tersebut. Ertinya, PAS disingkirkan kerana mempertahankan prinsip dan mandat rakyat Kelantan, bukan kerana enggan bekerjasama. Maka, adalah tidak jujur dari sudut akademik untuk menjenamakan peristiwa ini sebagai kegagalan PAS menyesuaikan diri dalam gabungan.

BA: PAS KEKAL, DAP YANG LARI

Naratif bahawa PAS “berpisah” dalam Barisan Alternatif (BA) juga tidak tepat apabila diteliti secara faktual. PAS tidak pernah keluar daripada BA, sebaliknya kekal mempertahankan pakatan tersebut walaupun berhadapan tekanan ideologi ekstrem daripada DAP. Hakikatnya, pada 22 September 2001, DAP secara unilateral menarik diri daripada BA selepas gagal memaksa PAS menggugurkan prinsip penegakan negara Islam. (Rujuk : https://www.malaysiakini.com/news/4786)

Perkara ini diketahui umum, termasuk oleh Dr. Tawfik sendiri, apabila Mesyuarat Khas Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 7 Julai 2001 menegaskan bahawa PAS tidak akan tunduk kepada tekanan DAP dan akan kekal dalam BA walaupun kehilangan DAP. Jika PAS benar-benar “sukar bekerjasama”, PAS-lah yang sepatutnya keluar; namun apa yang berlaku ialah DAP yang meninggalkan gabungan.

APU: PERPECAHAN AKIBAT PENGKHIANATAN PMS46

Hubungan PAS dengan PMS46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) juga sering diputarbelitkan. Fakta sebenar menunjukkan bahawa PAS bertahan dalam pakatan tersebut sehingga berlaku pelanggaran syarat tahaluf yang serius oleh PMS46 sendiri. Antara pelanggaran utama yang direkodkan secara rasmi ialah tindakan Pengerusi PMS46 Kelantan, Datuk Mohamed Rozali Isohak, mendedahkan rahsia Kerajaan Kelantan, menentang keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan serta mengutuk Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat. PMS46 juga secara terbuka menyokong calon Barisan Nasional menentang calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil DUN N8 Bukit Asahan, Melaka pada 22 Jun 1996, diikuti kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah pada 5 Julai 1996 bahawa PMS46 bersedia untuk menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan. Malah, sebelum itu Presiden PMS46, Tengku Razaleigh Hamzah, telah bertemu dengan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada 7 Mei 1996 sehingga membawa kepada pengumuman bahawa beliau akan menyertai semula UMNO. 

Hanya selepas siri pengkhianatan ini berlaku barulah PAS memutuskan hubungan dengan PMS46 pada 14 Julai 1996 melalui proses institusi yang sah melibatkan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Ini bukan sikap tidak setia, tetapi tindakan mempertahankan maruah dan integriti pakatan.

PR: DAP SENDIRI MENGAKU MEREKA YANG MEMUTUSKAN HUBUNGAN

Tuduhan bahawa PAS menguburkan Pakatan Rakyat (PR) juga adalah pembohongan politik yang telah disanggah oleh pengakuan DAP sendiri. Setiausaha Agung DAP ketika itu, Lim Guan Eng, secara terbuka mengakui bahawa DAP mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PAS, kononnya atas nama prinsip. Lim Guan Eng, dalam kenyataannya pada 27 Disember 2017, menyebut:

“Jelas DAP mengambil posisi yang betul untuk memutuskan hubungan dengan para pemimpin PAS selepas persaraan bekas Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz.”

Beliau turut menyatakan:

“DAP sanggup membayar apa sahaja harga politik untuk menegakkan prinsip-prinsip kami dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dengan memutuskan hubungan dengan PAS.”

Bahkan jauh sebelum itu pada tahun 2015, DAP telah mengisytiharkan satu keputusan yang pelik iaitu putus hubungan dengan Presiden PAS tetapi masih mengekalkan hubungan dengan PAS. (Rujuk : https://dapmalaysia.org/dap-kekal-dalam-pakatan-rakyat-putus-hubungan-dengan-hadi/)

Pengakuan ini membuktikan bahawa PAS sekali lagi bukan pihak yang memulakan perpecahan, sebaliknya menjadi mangsa naratif songsang selepas pakatan tersebut berkubur.

PKR: PEMUTUSAN AKIBAT PELANGGARAN TAHALUF

Pemutusan hubungan antara PAS dan PKR pada 11 Mei 2017 juga bukan keputusan semberono. Ia dibuat selepas PKR didapati melanggar pelbagai syarat tahaluf, termasuk tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016). Lebih jauh lagi, selain menyerang pimpinan PAS secara terbuka dan membuat tuduhan palsu, PKR juga bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan PAS Kelantan serta bertindak melawan calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016. Keputusan ini dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS, selari dengan hukum syarak dan akhlak Islam, serta didahului oleh usul yang diluluskan di Muktamar Tahunan PAS ke-63 pada 29 April hingga 1 Mei 2017 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di mana saya sendiri telah bangun berbahas menyokong usul tersebut pada waktu itu (rujukan : https://www.youtube.com/watch?v=POL6u_0LjBU&t=7s) . Ini adalah tindakan berprinsip, bukan ekstremisme.

MN: GAGAL KERANA UMNO ENGGAN TERIMA BERSATU

Akhir sekali, Muafakat Nasional (MN) tidak berkecai kerana PAS. Ia gagal berkembang kerana UMNO enggan menerima BERSATU, walaupun persetujuan awal telah dicapai dan surat jemputan telah ditandatangani. PAS kekal konsisten dengan perjanjian, manakala UMNO yang berundur daripada komitmen. Hal ini jelas dinyatakan dalam kenyataan media Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, pada 15 Ogos 2020:

“Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU juga telah bersetuju untuk menyertai MN yang mendokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan besar atau the grand coalition.”

Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, pada 2 April 2021 juga memperkukuh fakta ini:

“Dalam pembentukan MN dinyatakan dengan jelas bahawa PAS dan UMNO adalah teras MN, namun sedia menerima mana-mana parti politik atau NGO yang ingin bersama dalam usaha memperkukuh penyatuan ummah ini... Dalam beberapa siri mesyuarat MN, kita sedia menerima BERSATU menjadi rakan dalam Muafakat Nasional. Kedua-dua Presiden (PAS dan UMNO) telah mengutus surat menjemput BERSATU menyertai gabungan ini dan BERSATU telah menyatakan persetujuan ke arah itu. Sayangnya, surat persetujuan itu tidak disambut sehingga kini.”

KESIMPULAN: KENYATAAN DR. TAWFIK TIDAK BOLEH DIPERTAHANKAN

Keseluruhannya, dakwaan Dr. Mohammad Tawfik bahawa PAS “sukar bekerjasama” dan “berpoligami politik” adalah kesimpulan yang bercanggah dengan fakta sejarah. Lebih menghairankan, dakwaan ini bertentangan dengan penemuan akademik dalam tesis PhD beliau sendiri, mahupun tesis-tesis sarjana lain yang menunjukkan bahawa PAS tidak pernah memulakan perpecahan gabungan. 

PAS malah bertahan paling lama dalam hampir semua pakatan dan hanya berpisah selepas dikhianati atau disingkirkan. Jika ketegasan mempertahankan prinsip dianggap “ekstrem”, maka yang gagal bekerjasama bukanlah PAS, tetapi rakan-rakan yang mahu PAS berkompromi tanpa had. Itu bukan kegagalan PAS, sebaliknya kegagalan politik oportunis memahami makna tahaluf yang berprinsip.


Salam hormat.

AHMAD FADHLI SHAARI,

Ketua Penerangan PAS Pusat.

1 Januari 2026