Jumaat, 21 Jun 2024

Euro 2024:Kane 'punca' penyokong England cedera

 Penyerang England, Harry Kane (tengah) bersama ahli keluarganya selepas aksi Euro 2024 menentang Denmark. - Foto AFP

Penyerang England, Harry Kane (tengah) bersama ahli keluarganya selepas aksi Euro 2024 menentang Denmark. - Foto AFP

FRANKFURT: Sekurang-kurangnya dua penyokong England memerlukan rawatan selepas meraikan jaringan pembukaan skuad Three Lions ketika menentang Denmark dalam Euro 2024.

Harry Kane meletakkan pasukan kendalian Gareth Southgate di depan pada minit ke-18 ketika mereka dilihat menguasai perlawanan itu.

Namun, gol penyamaan daripada Morten Hjulmand memastikan England gagal meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Serbia 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan C, Isnin lalu.

Bagaimanapun beberapa penyokong England tidak dapat menyaksikan aksi penuh menentang Denmark kerana mereka dibawa ke hospital selepas meraikan jaringan Kane.

Penyokong England, Chad Thomas memaklumkan kepada SunSport bahawa dia mengalami kecederaan pada pergelangan kaki ketika meraikan jaringan pada minit ke-18 itu.

Dia turut memuat naik gambar berada dalam ambulans di laman media sosial dengan buku lali berbalut beserta kapsyen: "Kecederaan meraikan jaringan".

Namun peminat tegar Three Lions itu bernasib baik apabila mengesahkan dalam catatan di Facebook bahawa dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Dia menulis: "Berita baik, tiada apa-apa yang patah. Hanya €310 (kira-kira RM1,500) keluar dari poket".

Sementara itu, seorang lagi peminat pasukan England tampak tidak begitu bernasib baik.

Penyokong itu memuat naik video dirinya sedang menerima rawatan di dalam stadium yang kelihatan seperti buku lali bengkak teruk.

Dia menulis kapsyen: "Buku lali cedera semasa tugasan antarabangsa."

Mendakwa terjatuh dari tempat duduk semasa meraikan jaringan itu, dia kemudian menulis: "Terkoyak ligamen di buku lali saya."

England dilihat masih belum menunjukkan prestasi terbaik ketika perlawanan mereka menentang Serbia dan Denmark.

Namun, skuad itu menghuni kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul empat mata menjelang perlawanan terakhir menentang Slovenia, Rabu ini. - AGENSI

0 comments:

Catat Ulasan