"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Rabu, 5 Jun 2024

Ustaz Don ‘direhatkan’ daripada program Salam Baitullah

 

Suhaimi (kiri) dan Ustaz Don.

PETALING JAYA – Pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi yang terpalit dengan dirinya.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dalam satu kenyataan berkata, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, ‘direhatkan’ untuk meredakan keadaan yang tegang di platform media sosial.

“Untuk meredakan keadaan, saya sudah arahkan ‘team’ Salam Baitullah untuk ‘rehatkan’ dulu Ustaz Don. Jangan tanya apa saya rasa dan fikir,” tulisnya dalam ciapan hari ini.

Di awal ciapannya, Suhaimi turut menjelaskan bahawa tugas Ustaz Don dalam rancangan tersebut adalah sebagai juruacara dan bukannya penganalisis atau penceramah.

“Beliau juga dinasihatkan agar tidak mengundang kontroversi. Beliau akur. Pimpinan tertinggi barisan pengarang juga ada di lokasi menentukan semua juruacara mengikut skrip. Kita doakan yang baik-baik,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi turut berpesan kepada orang ramai agar mengadakan perbincangan secara terbuka dan sopan.

Katanya, kebanyakan pengguna media sosial kurang menghormati pandangan orang lain sama ada perkara itu betul atau pun tidak.

“Kebijaksanaan dan intelektual dalam kalangan orang kita mungkin masih jauh. Yang penting nampak tegas dan belasah. Begitulah,” tulisnya.

Terdahulu, kecoh di Facebook apabila seorang pensyarah kanan Jabatan Pengajian al-Quran dan As-Sunnah, Universiti Islam Malaysia membuat teguran terbuka kepada seorang pendakwah dipercayai Ustaz Don.

Kata pensyarah tersebut, orang ramai perlu berhati-hati dengan dakwah yang diberikan oleh ustaz selebriti itu kerana didakwa menyebarkan cerita serta hadith palsu.

Lebih hangat lagi, pendapat tersebut turut dikongsi semula oleh seorang pempengaruh dikenali sebagai @ZacZakirin13 yang turut mendakwa Ustaz Don sering berkongsi kisah-kisah palsu bersandarkan Nabi Muhammad SAW.

Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah SAW berkaitan kisah Ummu Hani’ dimana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.

Ustaz Don sebelum ini juga ada mengeluarkan kenyataan tentang dakwaan dirinya menggunakan hadis palsu dalam satu podcast sebuah radio tempatan.

Katanya, dia tidak mempunyai niat langsung untuk menyeleweng umat Islam bahkan semua buku-buku yang dirujuk adalah sahih menurut ulama’ nya. – KOSMO! ONLINE

Selasa, 4 Jun 2024

Suami BCL didakwa pecah amanah, 'songlap' duit syarikat lebih RM1.99 juta

 BCL dan Tiko

BCL dan Tiko

Jakarta: Suami kepada artis popular Indonesia, Bunga Cinta Lestari (BCL) iaitu Tiko Aryawardhana didakwa menyeleweng dana milik syarikat diusahakan bersama bekas isteri, Arina Winarto iaitu PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) berjumlah kira-kira 6.9 bilion rupiah (lebih RM1.99 juta).

Tiko didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengarah syarikat perusahaan makanan dan minuman itu.

Berikutan itu, Arina yang bertindak sebagai pemilik dan pemegang saham syarikat membuat laporan di Balai Polis Jakarta Selatan, baru-baru ini.

Memetik laporan Kompas, peguam mewakili Arina iaitu Leo Siregar dalam satu kenyataan media memberitahu, Tiko didapati melakukan pecah amanah terhadap syarikat.

"Tiko berperanan mengurus takbir syarikat itu membabitkan aspek kewangan, Arina lebih pasif dan hanya mahu melihat urusan syarikat berjalan lancar.

"Bagaimanapun, Tiko menyatakan hasrat menutup syarikat atas alasan tidak mampu membayar sewa pada 2019.

"Memandangkan dokumen keuntungan dan kerugian mencurigakan, Arina mula menyiasat dan membuat laporan bahawa dokumen dimanipulasi.

"Arina kemudian melakukan siasatan dan audit, sebelum mendapati dana 6.9 bilion rupiah (lebih RM1.99 juta) digunakan," menurut kenyataan itu.

Difahamkan Arina sudah membuat laporan polis pada 2022 selepas Tiko gagal menjelaskan audit syarikat dan kini sedang dalam tindakan pihak berkuasa.

Sementara itu, polis Jakarta Selatan, AKBP Bintoro berkata, perkara itu masih dalam siasatan dengan pelbagai bukti masih dalam peringkat pengumpulan.

Untuk rekod, Tiko dan Arina mendirikan rumah tangga pada 26 Jun 2014, namun berpisah pada 28 Oktober 2021.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan termasuk sepasang kembar.

Tiko kemudiannya berkahwin dengan BCL pada 2 Disember tahun lalu.

-myMetro 

"Macam Mana Wujudnya Perodua?"

 "Macam Mana Wujudnya Perodua?"

Kalau korang memandu kereta, mustahil untuk korang tak nampak sebuah kereta paling terkenal di Malaysia iaitu King of Highway, Myvi. Tapi korang tau tak macam mana lahirnya anak kedua Perodua ni?

Dikala anak pertama Proton dengan model sulungnya Proton Saga menjadi kereta terlaris dalam Malaysia di awal 1990-an, masih ramai keluarga yang tak mampu untuk memiliki sebuah kereta.

Nak memberikan peluang memiliki kereta dengan harga yang mampu milik, maka wujudlah Perodua.

Masa sebelum nak ditubuhkan tu, kod "M2" digunakan untuk merujuk kepada Perodua yang masih lagi rahsia ketika itu.

Pada 1993, lahirlah Perodua yang muncul hasil daripada kerjasama syarikat-syarikat seperti Daihatsu, UMW dan Med-Bumikar milik MARA.

Perodua ialah singkatan nama kepada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd. Nampak sangat la dia ni anak bongsu jenama kereta kebangsaan kita.

Setahun selepas penubuhan Perodua iaitu pada 1994, Perodua Kancil muncul di pasaran negara. 

Perodua menggunakan komponen yang digunakan oleh Daihatsu. Perodua Kancil ialah hasil "rebadge" daripada produk Daihatsu iaitu Daihatsu Mira generasi ketiga.

Tak pelik pun Kancil ni diambil dari Daihatsu Mira memandangkan Daihatsu pegang saham sebanyak 20% ketika awal penubuhan Perodua.

Perodua turut diperkenalkan di pasaran antarabangsa iaitu di Brunei pada tahun 1995 dan United Kingdom pada tahun 1997 untuk model Kancil. Di UK, Kancil dijual sebagai Perodua Nippa.

Perodua tawarkan harga yang lagi rendah dan mampu untuk dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. 

Pada mulanya Perodua kebanyakannya mengeluarkan kereta mini dan superminis dan tak ada model dalam segmen pasaran yang sama seperti Proton. 

Tapi apabila Proton nak cuba bermain dalam segmen pasaran seperti Perodua, Proton tak mampu untuk atasi kegemilangan Perodua.

Itu sebabnya Proton mengalami kejatuhan yang sangat teruk sampaikan Proton Savvy yang dibuat untuk bersaing dengan King Myvi pun tak mendapat sambutan.

Myvi jadi kereta paling laris dalam pasaran Malaysia sejak 2006 sehinggalah dominasinya dipecahkan oleh adiknya sendiri, Bezza pada 2023.

Tapi dengar cerita sekarang Daihatsu dan Perodua ada isu, isu apa tu?

Oleh: Azizul Farhan

Sumber 

Isnin, 3 Jun 2024

Lian Ker desak Hannah Yeoh letak jawatan menteri

 

Ti Lian Ker, Hannah Yeoh
Ti Lian Ker, Hannah Yeoh

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker mendesak Hannah Yeoh meletakkan jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan berhubung isu Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT).

Menurutnya, isu projek tersebut menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) yang diperjuangkan DAP selama ini.

"Kerajaan (bukan kementerian Menteri) juga telah memberi Asia Mobility, syarikat kepunyaan suami Hannah Yeoh tanpa tender terbuka yang menimbulkan isu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan atau CAT yang dilaung-laungkan oleh DAP selama ini terhadap kerajaan BN.

"Maka atas prinsip yang sama dan secara moral, Hannah perlu juga meletakkan jawatan supaya negara kita mempunyai landasan dan ketegasan untuk menangani penyalah gunaan kuasa dan pengaruh yang berleluasa. Bila lagi Hannah?," soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Lian Ker turut membandingkan kes melibatkan syarikat milik suami Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dengan isu pemberian Projek Rintis DRT kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd yang diterajui suami Hannah.

"Apa beza kes syarikat suami Shahrizat dan syarikat suami Hannah Yeoh yang mendapat layanan istimewa kerajaan dengan wang ringgit rakyat?

"Dalam kes NFC (National Feedlot Corporation Sdn Bhd) kepunyaan suami Shahrizat, Menteri Wanita pada masa syarikat itu mendapat pinjaman RM250 juta daripada kerajaan (bukan kementerian Menteri) tetapi projek gagal.

"Mahkamah memutuskan pada tahun 2023 (di bawah kerajaan PH dan UMNO) bahawa NFC tidak salah tetapi Shahrizat sudah pun dihukum oleh puak Hannah Yeoh apabila dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri atas tekanan dan tohmahan politik. Wang ini adalah pinjaman yang perlu dibayar balik," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pihak SPRM menerima beberapa aduan baharu berkaitan isu kontrak yang diterima oleh suami Hannah daripada kerajaan Selangor.

Hannah bagaimanapun mengalu-alukan siasatan dan mahu kebenaran serta bukti yang sahih daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap terhadap projek DRT.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan mengganggu proses siasatan melibatkan suaminya, Ramachandran Muniandy, sebagai pengasas bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti).

-SH Online 

Sambutan Luar Jangkaan Dorong Kedah Turunkan Harga Tiket


 Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong setia mereka, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menurunkan harga tiket untuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2024.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah, Shahrul Samsudin dalam satu kenyataan media semalam.

Langkah ini dibuat bagi menghargai jasa penyokong yang tidak putus memberi sokongan kepada Sang Kenari dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada 24 Mei lalu.

Mengikut data kehadiran perlawanan Liga Super untuk minggu perlawanan ketiga, 9,349 orang penyokong hadir di Stadium Darul Aman.

Shahrul melihat kehadiran ramai penyokong mampu membakar semangat Kedah untuk bangkit daripada dua kekalahan sebelumnya dan merekodkan kemenangan.

“Perlawanan Piala FA edisi 2024/25 menentang Bukit Tambun FC di Pusingan Ke-16 pada 14 Jun 2024, Jumaat, 6.30 petang di Stadium Darul Aman adalah amat penting memandangkan dalam beberapa siri kempen sebelum ini KDA FC tewas seawal pusingan pertama.

“Justeru, bagi memastikan aura di Stadium Darul Aman terus bergema dengan kehadiran ribuan penyokong, sebagai tanda penghargaan dari pihak pengurusan, struktur harga tiket yang lebih menarik ditawarkan iaitu diskaun 50% dari harga asal, hanya untuk perlawanan kali ini, bagi meraih lebih sambutan penyokong ke Stadium Darul Aman.

“Harga tiket bagi perlawanan Piala FA, Pusingan ke-16 menentang Bukit Tambun FC pada 14 Jun ini adalah tiket dewasa (13 tahun dan ke atas) RM20 Grandstand, RM15 Pavilion dan RM10 Teres.

“Harga tiket kanak-kanak bagi 12 tahun ke bawah pula ditawarkan dengan harga RM5 untuk semua zon (Grandstand, Pavilion dan Teres),” katanya.

Penyokong Kedah yang memiliki pas bermusim Platinum, Grandstand, Pavilion dan Teres turut menikmati kelebihan akses percuma kepada semua zon stadium yang dinyatakan.

Shahrul berharap sokongan penyokong dapat memacu Kedah untuk mara ke peringkat suku akhir Piala FA 2024.

“Ayuh kita penuhi Stadium Darul Aman (pada) 14 Jun ini, masa terbaik untuk menebus kegagalan edisi Piala FA sebelum ini dengan melangkah ke peringkat seterusnya iaitu suku akhir Piala FA 2024,” tambahnya.

Kedah bakal menentang wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC pada 14 Jun ini dengan perlawanan bermula pada jam 6.30 petang.

-makanbola.com

Tengku Zafrul pertahan pembabitan BlackRock dalam MAHB

 Firma itu pegang saham terbesar Apple, dan syarikat utama dunia bahkan dana kekayaan Abu Dhabi, Arab Saudi, dan Kuwait juga ada pegangan dalam BlackRock.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata kerajaan telah menjelaskan merit rundingan MAHB, ‘namun mungkin perlu buat lebih lagi’. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock, firma yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sebelum ini, timbul kritikan menentang penyertaan BlackRock, menerusi anak syarikat penuhnya Global Infrastructure Partners (GIP), dalam konsortium bersama Khazanah Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meningkatkan pegangan dalam MAHB.

Mereka mendakwa walaupun GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (Adia) hanya memiliki 30% pegangan, ia membenarkan kemasukan BlackRock dalam pengurusan dan memiliki 39 lapangan terbang di Malaysia.

Pengkritik juga menuduh BlackRock, firma pelaburan berpangkalan di New York, ‘mengambil untung daripada genosid’ menerusi pegangannya dalam syarikat persenjataan Amerika Syarikat, yang didakwa membekalkan senjata kepada Israel.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul, menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Beliau juga merujuk bahawa dana kekayaan dari Abu Dhabi, Kuwait, Arab Saudi, dan Qatar juga memiliki kepentingan saham BlackRock.

Katanya, BlackRock juga merupakan pemegang saham terbesar Apple.

“Semua yang memiliki (produk) Apple, jika anda benar-benar menentang, anda tidak sepatutnya menggunakannya. Siapa pemegang saham terbesar WhatsApp? Siapa pemegang saham terbesar Facebook?

“Jadi, di mana kita nak putuskan garis pemisah? Dalam dasar, di mana kita gariskannya?” katanya dalam Madani Economy Townhall di Universiti Malaya ketika ditanya untuk menjelaskan rundingan penswastaan MAHB.

Tengku Zafrul berkata, penting bagi kerajaan menjelaskan merit rundingan berkenaan, “dan saya fikir mereka telah lakukan”.

“Namun, sudah tentu, mungkin kita kena buat lebih lagi. Bagi saya, kita perlu lihat perkara ini secara holistik,” katanya.

Sebelum ini, Khazanah memberikan jaminan GIP, sebagai rakan konsortium tidak mempunyai kuasa menentukan pengurusan MAHB apabila rundingan dimuktamadkan.

Beberapa pemimpin Perikatan Nasional, termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggesa Putrajaya menangguhkan penjualan saham kepada GIP.

Bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming juga membuat gesaan terhadap kerajaan supaya Khazanah dan KWSP mengadakan sidang media menjelaskan rundingan tersebut secepat mungkin, berbanding memberi peluang kepada pembangkang ‘menguasai naratif’, menjelang sidang Parlimen akan datang.-FMT

Sabtu, 1 Jun 2024

Mana hilangnya Hannah Yeoh versi 2012 - MCA

 

Sin Woon
Sin Woon

SHAH ALAM - Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menyindir ke mana hilangnya beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menghentikan pemberian kontrak kepada kroni.

Menerusi sebuah video di TikTok, bekas timbalan menteri pendidikan itu mendakwa kelantangan tersebut tidak lagi dilihat selepas mereka menjadi kerajaan terutama dalam kontroversi membabitkan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

"Di mana Hannah Yeoh versi 2012 yang lantang mengkritik BN dengan gesaan menghentikan kontrak kepada kroni. (Menteri Ekonomi) Rafizi Ramli (juga) pernah berkata, monopoli (oleh kroni bagi) projek-projek besar oleh satu syarikat menyebabkan kerajaan tidak mendapat harga yang terbaik berbanding jika diadakan secara tender terbuka.

"Mana hilangnya hero DAP, (bekas setiausaha publisiti DAP) Tony Pua yang juga mengkritik BN berhubung tender terbuka ini. Berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pua (juga) pernah berkata rakyat Malaysia akan lebih gembira jika projek itu dijalankan secara tender terbuka dan kompetitif agar pembayar cukai mendapat nilai yang terbaik daripada wang mereka," katanya pada Khamis.

Pada Selasa, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa sehingga kini tiada sebarang komen daripada kepimpinan DAP mengenai pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor secara terus kepada syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) yang dimiliki bersama suami Hannah.

Menurutnya, sikap berdiam diri dalam isu berkenaan juga bercanggah dengan amalan CAT yang dicanangkan oleh kepimpinan DAP sebelum ini iaitu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis menjelaskan tidak timbul isu tender terbuka berhubung pelantikan dua syarikat pengendali projek rintis DRT tersebut.

Amirudin berkata, proses kelulusan dibuat selepas pertimbangan dan rujukan daripada Agensi Pengangkutan Awam dan Darat (APAD) yang memaklumkan hanya dua syarikat berkenaan telah diberikan kebenaran proof of concept (POC).

Jumaat, 31 Mei 2024

Fakta menarik berkaitan P.Ramlee yang ramai tak tahu

 FAKTA MENARIK P. RAMLEE

Jom berkongsi fakta-fakta menarik yang sebelum ini, kita sendiri  juga tidak tahu. 

1. Mempunyai empat jenis tandatangan dan dalam kad pengenalannya pada tahun 1964 setelah berpindah ke Kuala Lumpur dari Singapura, ruangan ‘race’ atau bangsa dibiarkan kosong.

2. Ketika kecil, selepas mengaji Quran, P. Ramlee akan berlakon di padang di hadapan kawan-kawannya dengan membawakan watak-watak wira seperti Hang Tuah, Robin hood, Zorro, Sea Hawk, Captain Blood dan Tarzan.

3. Sangat meminati sepak takraw. P. Ramlee pernah menyumbangkan piala pusingan Oscar P. Ramlee Sumbang Sih kepada Persatuan Sepak Takraw Singapura.

4. Azizah, lagu pertama yang menjulang namanya adalah inspirasi buah hatinya di Pulau Pinang. Identiti wanita tersebut kekal misteri sehingga kini. Mendapat bayaran royalti pertama bernilai RM3,000 dari syarikat T. Hemsley untuk lagu ini beberapa hari sebelum rusuhan Bertha Hertog atau Natrah pada tahun 1951.

5. Fasih berbahasa Jepun dan cekap bermain peralatan muzik seperti piano, gitar, biola, ukulele, trompet dan akordion. P. Ramlee tidak tahu bermain saksofon!

6. Lagu 'Kewk Mambo' diinspirasikan daripada nama sahabat baiknya, Pengurus Produksi Malay Film Productions, Kwek Chip Jian.

7. Orang pertama mempersoalkan bayaran gaji pekerja-pekerja produksi. Beliau juga yang pertama memperkenalkan gabungan perkataan ‘pawagam’ (panggung wayang gambar); digunakan pada PAWAGAM P. RAMLEE (dulunya terletak berhampiran pusat membeli-belah Sogo dan Kompleks Pertama).

8. Jika di rumah, P. Ramlee selesa berpelikat yang dipakai bersama T-shirt Pagoda putih. Suka memasak dan resipi ringkas kegemarannya adalah kacang panjang (digoreng hingga lembut) campur ikan bilis masak kicap.

9. Menu harian: ikan goreng dan ulam, ikan terubuk, kari ketam dan kuah laksa. Juga gemar berkunjung ke restoran Sup Setapak (masih wujud ke hari ini).

10. Tabiat pelik: Suka mencium-cium aroma nasi kandar yang masih lekat di tangannya! Nasi Kandar ‘Line Clear’ adalah kegemaran P. Ramlee!

11. Sazali memainkan watak anak petani dalam filem Anak Bapak dan bersama anak-anak yang lain, mereka menjadi suara latar untuk lagu 'Tolong Kami Bantu Kami' dalam filem 3 Abdul.

12. Mendengar lagu Jalak Lenteng nyanyian Rubiah berulang-ulang kali setiap kali berhadapan masalah.

13. Pernah ‘diboo’ dan disuruh turun pentas ketika menyanyi di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur menjelang kebangkitan irama pop-yeh-yeh.

14. Menghasilkan 18 buah filem dalam tempoh 8 tahun (1964 – 1972) dengan hanya menggunakan perkakasan ‘second-hand’ di Studio Merdeka, Ulu Kelang.

Sumber: B.cari.com.

Credit 

#FoImpak 

#PRamlee 

#SenimanAgung 

#SenimanMelayu

Rabu, 29 Mei 2024

Perdana Menteri ke-3:“Mengenang 34 Tahun Pemergian Tun Hussein Onn.”

 “Mengenang 34 Tahun Pemergian Tun Hussein Onn.”

Negara mengenalinya sebagai Perdana Menteri Ketiga Malaysia, yang menerajui  negara dari 1976 hingga 1981. Beliau terkenal kerana menekankan isu perpaduan melalui dasar yang bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan kaum. Atas usahanya mempromosikan muhibah dalam kalangan pelbagai masyarakat di negara ini, Tun Hussein Onn dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12 Februari 1922, iaitu anak kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Jaafar, dan Datin Halimah Hussein. Anak kelahiran Johor Bahru itu mendapat pendidikan awal di Singapura, dan kemudiannya di Kolej Inggeris di Johor Bahru. 

Selepas meninggalkan sekolah, beliau menyertai Angkatan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940 dan setahun kemudian dihantar ke Akademi Tentera India di Dehra Dun, India. Setelah tamat latihannya, dia diserap ke dalam Tentera India dan berkhidmat di Timur Tengah apabila Perang Dunia Kedua berlaku. 

Selepas perang, pengalamannya yang luas telah mendorong British mengambilnya sebagai pengajar di Pusat Pengambilan dan Latihan Polis Malaya di Rawalpindi. Tun Hussein kembali ke Malaysia pada tahun 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depoh Polis Johor Bahru. Pada tahun berikutnya beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai penolong pegawai tadbir di Segamat, Johor.

Tun Hussein, yang berasal dari keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan politik yang teguh, meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam untuk menceburi bidang politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi ketua pemuda pertama UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), sebuah parti yang ditubuhkan dengan usaha bapanya. Pada tahun 1950, beliau telah dipilih sebagai setiausaha agung UMNO. Walau bagaimanapun, beliau meninggalkan UMNO pada 1951 untuk menyertai bapanya menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Tun Hussein kembali berpolitik pada 1968 selepas dipujuk oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak untuk menyertai semula UMNO. Beliau kembali ke dalam parti dan memenangi pilihan raya umum pada tahun 1969. Tun Hussein kemudiannya dilantik sebagai menteri pendidikan. Peningkatan mendadak Tun Hussein berterusan apabila pada 13 Ogos 1973 beliau menggantikan Allahyarham Tun Dr Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976 beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ketiga selepas kematian Tun Razak.

Tun Hussein Onn terkenal kerana menekankan isu perpaduan melalui dasar yang bertujuan untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan kaum. Ini termasuklah pelancaran Skim Amanah Saham Nasional (Amanah Saham Nasional). Pada tahun 1976, Tun Hussein melancarkan PEMADAM, sebuah organisasi kebangsaan yang berdedikasi untuk memerangi penyalahgunaan dadah.


Beliau turut menekankan kepentingan Rukun Tetangga dalam peranannya dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia. Beliau juga mendedikasikan perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri untuk mewujudkan budaya disiplin, tujuan dan integriti. Dia membenci rasuah, dan menyamakannya dengan penyakit yang mesti dihapuskan "sebelum ia menjadi barah". Atas usahanya mempromosikan muhibah di kalangan pelbagai masyarakat di negara ini, Tun Hussein Onn dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Tun Hussein meninggal dunia pada 29 Mei 1990 akibat penyakit jantung di San Francisco Selatan, California, pada usia 68 tahun. Allahyarham dikebumikan bersebelahan dengan makam Tun Abdul Razak, di Makam Pahlawan berhampiran Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Selepas 34 tahun pemergiannya, jasanya terhadap perpaduan negara melalui Rukun Tetangga serta memerangi dadah melalui penubuhan PEMADAM akan tetap dikenang sehingga ke hari ini. 

Oleh: Farahi Kamaruddin

Sumber

---

Bagi anda yang tidak berpeluang untuk menjengah ke reruai kami di PWTC, jangan khuatir kerana kami juga mengadakan Jualan PBAKL Online 2024 di Shopee dan Tiktok kami dengan DISKAUN sepanjang berlangsungnya PBAKL!


Link Shopee: s.shopee.com.my/8zjTjR0kU

Selasa, 28 Mei 2024

Aidil Adha:Tarikh lihat anak bulan Zulhijah 7 Jun ini

 

Tarikh melihat anak bulan Zulhijjah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Jumaat, 7 Jun.Gambar hiasan
Tarikh melihat anak bulan Zulhijjah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Jumaat, 7 Jun.Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Tarikh melihat anak bulan Zulhijah bagi tahun ini ditetapkan pada petang Jumaat, 7 Jun 2024, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijrah, di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, tarikh 1 Zulhijah dan 10 Zulhijah (Hari Raya Korban) yang ditetapkan akan diisytiharkan pada malam 7 Jun melalui radio dan televisyen.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Zulhijah ialah pada petang Jumaat, 7 Jun 2024 Masehi, bersamaan 29 Zulkaedah 1445 Hijriah.

"Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab,” menurut kenyataan itu.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Zulhijah ialah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; serta Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi di Kedah ialah di Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; dan Menara Alor Setar, Alor Setar, manakala di Terengganu pula di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap KUSZA, Setiu.

Di Kelantan lokasinya pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai; dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu; manakala di Sarawak ialah di Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Lokasi melihat anak bulan di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; manakala di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. - Bernama