Jumaat, 5 Julai 2024

PRU UK: Rishi Sunak akui kekalahan kepada Sir Keir Starmer

 Perdana Menteri Britain dan pemimpin Parti Konservatif, Rishi Sunak. - AFP

Perdana Menteri Britain dan pemimpin Parti Konservatif, Rishi Sunak. - AFP

LONDON: Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengakui kekalahan pada Pilihan raya umum (PRU) United Kingdom (UK), sambil menyerahkan kemenangan kepada parti pembangkang, Parti Buruh.

"Parti Buruh telah memenangi pilihan raya umum ini dan saya telah menelefon Sir Keir Starmer untuk mengucapkan tahniah atas kemenangannya," kata Sunak selepas memenangi kerusi Parlimennya di utara England.

"Hari ini, kuasa akan bertukar tangan secara aman dan teratur, dengan niat baik dari semua pihak. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya memberi kita semua keyakinan dalam kestabilan dan masa depan negara kita" katanya.

Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan setakat ini, Parti Buruh pimpinan Starmer didapati menang besar dalam PRU kali ini, sekali gus mengakhiri pimpinan Parti Konservatif selama 14 tahun.

UK menjalankan sistem pemerintahan dianggotai 650 ahli Parlimen dan tinjauan keluar ketika ini mengunjurkan Buruh memenangi 410 kerusi, Konservatif (131), Liberal Demokrat (61) dan Reform UK (13).

Keputusan ini akan memberikan Parti Buruh majoriti 170 kerusi, berbeza dengan keputusan PRU UK pada 2019, di mana Parti Buruh ketika itu kalah tipis dengan memenangi 344 kerusi berbanding Konservatif yang berjaya meraih 365 kerusi.

Jika unjuran berdasarkan tinjauan ini tepat, parti kiri tengah yang diketuai Starmer akan kembali berkuasa dengan majoriti besar selepas 14 tahun kerajaan berhaluan kanan di bawah konservatif memimpin UK.

-BH Online 

0 comments:

Catat Ulasan