Selasa, 21 Mei 2024

Berkat tabungan ibu bapa, 3 beradik tunai ibadah haji bersama

 Muhammad Nazirul Haqimi (tengah), Muhammad Nazirul Fatihi (kanan) dan Muhammad Nazirul Hazimi (kiri) menunjukkan kad nama haji di stesen haji LTSM, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR.

Muhammad Nazirul Haqimi (tengah), Muhammad Nazirul Fatihi (kanan) dan Muhammad Nazirul Hazimi (kiri) menunjukkan kad nama haji di stesen haji LTSM, semalam. FOTO BAHAROM BAKAR.

Kuala Nerus: Impian pasangan suami isteri menghantar empat anak ke tanah suci dengan menabung sejak mereka kecil, akhirnya termakbul apabila terpilih menunaikan ibadah haji bersama tahun ini.

Zulkefle Abd Rahman, 61 dan isteri, Noraidah Abd Rahman, 60, yang juga pesara guru dari Kampung Jati, Gong Badak, di sini, mendaftarkan nama empat anaknya menunaikan haji pada tahun 2008.

Malam semalam, tiga daripada empat anak pasangan itu, Muhammad Nazirul Haqimi, 32, Muhammad Nazirul Hazimi, 30 dan Muhammad Nazirul Fatihi, 26, berlepas ke tanah suci.

Bagaimanapun, seorang lagi anak kepada pasangan itu, Nur Afifah Nadhirah Zulkeflee, 22, tidak dapat turut serta dan terpaksa meminta penangguhan kerana menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Muhammad Nazirul Haqimi, berkata ibu bapanya mula menyimpan sebahagian daripada duit saku persekolahan dan duit raya pemberian saudara mara sejak kecil.

"Kedua ibu bapa menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan sekolah antara RM100 dan RM150 sebulan sejak kami di bangku sekolah rendah.

"Bapa dan ibu sering berpesan supaya kami empat beradik tidak boros berbelanja serta wang yang disimpan akan digunakan untuk menghantar kami menunaikan rukun Islam bersama,"

"Kami dimaklumkan oleh Tabung Haji (TH) berjaya ke tanah suci pada Januari lalu.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapa kerana berusaha mendaftarkan kami menunaikan haji ketika usia masih muda," katanya.

Muhammad Nazirul Haqimi dan dua adiknya antara 139 orang bakal jemaah haji daripada negeri ini berlepas ke stesen haji di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) daripada stesen haji di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) melalui penerbangan ke tujuh, semalam.

Majlis pelepasan bakal jemaah haji daripada stesen haji di LTSM disempurnakan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang mewakili Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

-myMetro 

0 comments:

Catat Ulasan