MANCHESTER: Biar apa pun yang diperkatakan tentang Cristiano Ronaldo, bintang Portugal itu membuktikan kepulangannya ke Old Trafford memberi impak besar kepada Manchester United apabila muncul wira mereka sekali lagi.
Selepas ketinggalan 0-2 kepada Atalanta pada babak pertama, Reds Devils bangkit dengan tiga gol di separuh masa kedua untuk melakar kemenangan 3-2 dalam aksi dramatik Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan mereka mengungguli Kumpulan F dengan enam mata, dua mata mengatasi Atalanta dan Villarreal.
Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer bagaimanapun meletakkan diri dalam masalah selepas membenarkan Mario Pasalic dan Merih Demiral membolosi gawang mereka di minit ke-15 serta 28.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/20211021_063957-600x559.jpg)
Begitupun, memasuki babak kedua tuan rumah memperkemaskan permainan dan sentuhan magis Bruno Fernandes membuka kepada gol pertama yang disempurnakan Marcus Rashford pada minit ke-53.
Kemasukan Paul Pogba, Edinson Cavani serta Jadon Sancho juga merubah permainan Red Devils, dan mengetuai kebangkitan hebat mereka.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/20211021_063914-600x406.jpg)
Ketua pasukan, Harry Maguire meledak gol penyamaan menerusi sepakan voli pada minit ke-75.
Ketika permainan berbaki sembilan minit, Ronaldo membuktikan mengapa dia digelar ‘Mr Eropah’ apabila menanduk hantaran Luke Shaw ke penjuru gawang lawan untuk mengesahkan tiga mata buat United.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/20211021_063900-600x392.jpg)
Kemenangan itu menaikkan motivasi Red Devils sebelum menerima kunjungan musuh ketat, Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini. – AGENSI
0 comments:
Catat Ulasan