"Cashzine - Aplikasi Buat Duit Percuma Terbaik Yang PERLU anda miliki"

Cara Buat Duit Dengan Aplikasi Cashzine: Peluang Jana Side Income lebih RM100 Dalam Sehari Melalui Aplikasi Cashzine. (Scroll ke bawah untuk bukti pembayaran terkini daripada Cashzine

Cordyceps:Herba luarbiasa dan apa kehebatannya?

Pernahkah anda mendengar Cordyceps? Atau anda pernah melihat? Mungkin tak pernah dengarkan... Dan tak pernah lihat pun. Sama jugalah macam saya. Saya cuba ceritakan serba sedikit tentang Cordyceps ni. Walaupun bagaimanapun saya cuba fahamkan anda semua mengenainya samada dari tempat asal ataupun khasiat Cordyceps ini.

Cara Mudah Jadi Youtuber Terhebat

Ketahui cara bagaimana untuk menjadi Youtuber. Video yang senang difahami dan penuh dengan semua info yang perlu sebagai Youtuber. Dari asas kepada SEO, teknik Viral, Fb ads serta Mengandungi Teknik dan Rahsia Youtuber yang memiliki JUTAAN Subscriber..

Wanita kelihatan anggun dengan Hasanah Lipmatte

90% pengguna GEMBIRA dan TERUJA dengan Hasanah Lipmatte. Dah jadi trending bagi wanita abad ini. Bukan setakat mencantikkan bibir si pemakai malah dapat menaikkan keyakinan anda sepanjang hari.

9/10 Rezeki Perniagaan: Dari SOLOpreneur ke ENTREpreneur menjadi GLOBALpreneur

Cara Mulakan dan Kembangkan Perniagaan Ke Tahap Yang Lebih Tinggi Dengan Modal Minima.

 



Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Isnin, 4 Julai 2022

Rasmi: Rafizi menang timbalan presiden PKR

 


PKR telah mengeluarkan keputusan rasmi untuk pemilihan pucuk pimpinan parti - dan mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli adalah timbalan presiden baru parti itu.

Kemenangannya, dan beberapa lagi yang lain, tidak berubah selepas audit forensik.

Kiraan rasmi terakhir menunjukkan Rafizi memenangi saingan dengan majoriti 16,668 undi mengatasi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail.

Keputusan rasmi juga mengesahkan bahawa empat naib presiden yang dipilih ialah (mengikut susunan kronologi), Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Chang, Nik Nazmi, and Aminuddin dikaitkan dengan kem Rafizi.

Dalam satu kenyataan, pengarah jawatankuasa pemilihan parti (JPP) PKR Zaliha Mustafa mengakui bahawa audit forensik telah menemui percubaan menggodam oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan pemilihan.

Bagaimanapun, dia berkata firma audit telah mencadangkan supaya keputusan itu dibersihkan - yang dijalankan oleh jawatankuasa itu mengikut penemuan analisis digital.

"Bagaimanapun (pembersihan) tidak menjejaskan keputusan majoriti calon sama ada di peringkat pusat atau bahagian," katanya.

Sabtu lalu, Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata bahawa audit forensik mendapati penipuan berlaku dalam pemilihan parti.

JPP menafikan perkara itu, namun mengesahkan terdapat cubaan godam untuk mempengaruhi pemilihan.

Sementara itu, keputusan rasmi juga memaparkan Adam Adli Abdul Halim menang jawatan ketua Pemuda PKR.

Di Gombak, Farhash Wafa Salvador, yang mengkritik keputusan undian, secara rasmi kalah dalam perebutan ketua bahagian menentang Amirudin.

-malaysiakini

Ahad, 3 Julai 2022

Muhyiddin cadang tubuh MPN, bangkit isu TPM, Najib bantah..

 


1.  Tubuh MPN bukan kepentingan politik

TANAH MERAH: Pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bukan untuk kepentingan individu atau mana-mana parti sebaliknya ia ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyumbang idea dan saranan dalam membantu memulihkan negara demi kelangsungan hidup rakyat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang keputusan perlu diserahkan kepada rakyat untuk menilai sama ada gagal atau tidak meskipun ada pelbagai dakwaan pihak tertentu tentang perkara itu.

Justeru katanya, keberadaan beliau dalam MPN bukan hanya untuk menyumbang idea dalam membantu kerajaan khususnya demi menstabilkan keadaan ekonomi dan kesihatan negara.

“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai, kadang-kadang bila orang politik buat kenyataan ada muslihat politik. Saya tidak mahu kata apa, itu terserah..

“Saya berada disini bukan sahaja untuk bantu kerajaan tetapi saya mengambil pendirian bahawa apa keputusan yang kita nak usulkan kepada kerajaan tidak semestinya mengikut dasar kerajaan sedia ada.

“Jika ada perkara baru tidak disenaraikan yang penting untuk dilakukan, sebagai contoh pembukaan sempadan, jadi apa diputuskan oleh MPN, seboleh-bolehnya seawal Januari, tetapi kerajaan tangguh sehinggan Jun. Kenapa kita nak segera?, ini kerana kalau tangguh ekonomi tidak akan pulih dalam tempoh yang cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, terserah kepada mana-mana pihak mendakwa ia gagal atau sebaliknya, namun perlu diingati MPN merupakan sebuah badan yang ditubuhkan kerajaan bertujuan memberi nasihat.

“Nak kata gagal atau tidak itu terserah kepada kerajaan, mungkin cadangan kita baik tapi kesannya tidak baik. Tapi saya faham proses pemulihan ini tidak mudah.

“Dato’ Seri Zahid Hamidi senang cakap gagal, macam dahulu dia kata kerajaan gagal tapi tak gagal. Apa pun yang cakap gagal itu adalah orang politik bukan rakyat. Tapi kalau rakyat bagitahu Muhyiddin berhenti, saya akan berhenti“ katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Zahid mengatakan penubuhan MPN sejak awal tidak membuahkan hasil dan hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan. – HARAKAHDAILY 2/7/2022

2. Muhyiddin bangkit isu TPM ketika jumpa PM 

TANAH MERAH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob membincang beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Katanya selain itu pertemuan tersebut mempertimbangkan apa yang terkandung dalam perjanjian Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri.

“Beberapa hari lalu sata berjumpa dengan Perdana Menteri dan melalui pertemuan itu saya juga mencadangkan beberapa perkara penting termasuk mengenai pelantikan dalam kerajaan bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

“Kita tidak minta lebih daripada itu tetapi hanya soal pelantikan menteri, timbalan perdana menteri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan-badan berkanun dan peruntukan kerajaan.

“Perkara yang tersenrai itu saya dah maklumkan kepada PM, saya minta seberapa segera untuk buat keputusan yang saya harapkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Zuraida Kamaruddin.

Ketika ditanya mengenai agihan kerusi, beliau yang juga presiden Bersatu berkata, perkara itu masih belum diputuskan walaupun struktur PN di Kelantan telah lengkap.

“Setakat ini sokongan daripada ahli termasuk rakyat terhadap PN amat memberangsangkan selain kita juga telah mewujudkan jawatankuasa PN di peringkat negeri yang diputuskan oleh pimpinan pusat.

“Kelantan sebuah negeri yang sejak dahulu lagi di bawah pimpinan PAS, jadi saya yakin, dengan kerjasama ini termasuk Bersatu masa depan Kelantan akan lebih cerah,” katanya.

Selain itu beliau turut mengulas mengenai segi logo katanya, semua bersetuju menggunakan logo PN. – HARAKAHDAILY 2/7/2022

3. 'Tak perlu layan tuntutan Muhyiddin' 

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa tidak melayan tuntutan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menuntut lantikan Timbalan Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) dan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan tuntutan Muhyiddin itu bukan keutamaan ketika ini memandangkan pentadbiran semasa hanya boleh bertahan maksimum setahun lagi, sebelum ia perlu dibubarkan.

Sebaliknya, Najib menggesa kerajaan memberi fokus sepenuhnya pada usaha memulihkan ekonomi dan mengawal inflasi, berbanding mendahulukan pengagihan jawatan politik dan penubuhan majlis.

"Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baharu, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis dan jawatankuasa?

"Saya faham kenapa dia (Muhyiddin) terdesak sehingga tahap ini. (Jawatan) dijadikan gula-gula untuk elak lagi ramai pemimpin BERSATU lompat keluar partinya seperti yang sedang berlaku sejak awal tahun ini.

"Harap kerajaan jangan layan. Fokus pada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis ditubuhkan," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu, khususnya Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan kepada PN.

Selain itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, menggesa Majlis Pemulihan Negeri segera dibentuk bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bersepadu membabitkan kerjasama kerajaan Pusat dan negeri.

Pengerusi PN itu memaklumkan cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri itu sudah diusulkan kepada kerajaan dan mendakwa ia dipersetujui Ismail Sabri. (BH)

-ibnuhasyim.com

PRU 15:POLITIK MENGUGUT JADI PILIHAN

 

MENURUT Datuk Bung Moktar Radin, BN Sabah ada 5 pilihan, jika perbincangan dengan GRS menunju kebuntuhan. Manakala Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula, BN tidak mahu tertipu lagi seperti mana berlaku pada PRN-16 Sabah.

Dua kenyataan yang menggambarkan, bahawa GRS adalah parti yang tidak boleh dipercayai, kerana selain diugut dengan 5 pilihan juga dicap sebagai penipu.

Kalau perbuatan menipu dihubungkaitkan dengan PRN-16 Sabah, di mana pertembungan antara calon BN dengan PBS dan STAR, dikatakan sebagai perbuatan menipu, kerana menyebabkan calon BN kalah, adalah tidak adil, kerana dua-dua parti itu bertanding pada PRN tersebut. 

Pada PRN 16 Sabah hanya PBS yang meletakkan calon di kawasan yang ditandingi BN, sedangkan STAR “ditipu” kerana Umno bertanding di DUN Paginatan, kawasan STAR. Manakala Bersatu, tidak meletakan sebarang calon di kawasan yang ditandingi Umno/BN.

Mungkin Umno sangat marah, kerana ada calon parti itu kalah pada calon bebas, kemudiannya calon tersebut menyertai Bersatu selepas pilihan raya.

Umno/BN juga mungkin marah, kerana kawasan-kawasan ditandingi parti itu dimenangi PBS.

Pada PRN-16 lalu Umno/BN adalah parti yang mengumumkan terlebih dahulu kawasan-kawasan yang ditandingi. Menurut mereka yang terlibat dengan perundingan agihan kerusi, Umno/BN lah yang memulakan melanggar agihan kerusi yang dipersetujui semasa rundingan. Kerana tindakan Umno/BN tersebut, maka PBS yang banyak terkesan meletakkan calon-calon di kawasan yang tradisi mereka, yang cuba direbut Umno/BN menerusi pengumuman awal.

Dalam situasi yang berlaku pada PRN-16 Sabah, siapa sebenarnya menipu atau ditipu?

Parti-parti dalam GRS tidak melayan dakwaan-dakwaan ini, atas sebab lebih memilih kerharmonian, apa yang terjadi biarlah berlalu, kerana memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan kerajaan yang dibentuk adalah kerajaan GRS-BN Sabah.

Tiada mana-mana parti boleh memaksa rakyat untuk menyokong, untuk menubuhkan kerajaan, seperti mana tindakan Umno/BN yang “mahu” memaksa rakyat untuk menyokong apabila bertanding lebih separuh daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, malah Umno secara solo meletakan 32 calon. Jumlah tersebut hanya perlu tambahan 5 kerusi untuk mencapai majoriti mudah. Pada PRN-16 Sabah, Umno/BN dan Warisan bertanding lebih separuh daripada jumlah kerusi yang tersedia.

Seperti mana yang dibuktikan pada keputusan PRN-16 Sabah, bahawa rakyat itu tidak boleh dipaksa, melainkan parti-parti yang bertanding kena akur dengan keputusan mereka, itu lah sebabnya dipanggil mandat rakyat.

Menganalisis keinginan Umno/BN semasa Konvensyen parti itu yang diadakan pada Sabtu, ITCC, Penampang Sabah, menggambarkan parti itu memaksa rakyat menyokong mereka pada PRU-15, apabila memberi bayangan akan bertanding solo, kerana mempunyai 5 option berbincang dengan GRS, selain melabel gabungan tersebut sebagai penipu!!!.

Bung Moktar dalam ucapan membangkitkan berkaitan layanan tidak adil dalam hubungan dengan GRS, entah apa yang beliau maksudkan, sedangkan jika dilihat daripada susun atur kabinet, termasuk pembantu-pembantu menteri, setiausaha-setiausaha politik dan pengrusi-pengerusi GLC, Umno/BN lah yang lebih banyak diberi tempat, termasuk GLC-GLC besar.

Gambaran yang diberikan, sebenarnya adalah isyarat bahawa Umno/BN akan bergerak solo, kerana termakan pengaruh daripada para pemimpin utama parti itu terutama daripada Ahmad Zahid dan Najib Razak, dan sanggup membelakang kehendak rakyat Sabah seperti mana ditunjukkan melalui PRN-16 Sabah.

-Suara Rakyat

Kerjasama PAS-Bersatu mampu bentuk kekuatan baharu

 

TANAH MERAH: Ribuan rakyat Kelantan yang memenuhi segenap ruang padang Majlis Daerah Tanah Merah melaung tak nak kepada Umno ketika ditanya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada awalnya laungan agak kurang kuat, namun apabila diminta lagi Pengerusi Bersatu, mereka melaungkan dengan nyaring sekali.

Isyarat yang dipamerkan sempena majlis pelancaran Perikatan Nasional mempamerkan semangat baru rakyat Kelantan untuk bersama mendukung wadah baharu yang mentadbir negara sejak Mac 2020.

Muhyiddin berkata, apabila disebut PAS ia bermakna menyokong PN, dan begitu juga Bersatu sebahagian PN.

“Jadi semangat baharu ini menterjemahkan kekuatan PN sebagai wadah politik baharu di negara ini. Sedangkan sebelum ini kita tidak bersama dengan PAS.

“Kemampuan PN dapat dilihat di mana selepas tiga bulan diwujudkan menyertai pilihan raya negeri sehingga mampu membentuk kerajaan baharu di Sabah,” katanya pada perasmian PN Kelantan di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakub, Setiausaha Agung Bersatu Dato Seri Hamzah Zaunuddin, Ketua Srikandi Malaysia Dato Seri Rina Harun.

Selain itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Mustafa Mohamad, Timbalan Menteri Pertahanan Dato Seri Ikmal Hisyam Abdul Aziz, Timbalan Speaker Dun Dato Abdul Fattah Mamood dan Pengerusi Bersatu Kelantan Dato Kamaruddin Mohd Nor.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata, gabungan PAS dan Bersatu akan membentuk kekuatan baharu sehingga mampu untuk mencatat kemenangan 100 peratus di Kelantan.

Menurutnya dengan kekuatan itu diharap dapat mengembalikan ke arah negara yang lebih berjaya selepas PRU akan datang.

Kata beliau juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengusulkan namanya sehingga dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

“Biarpun tempoh jawatan tidak lama namun kerajaan membuat sesuatu yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya.

Sempena program berkenaan diumumkan nama pengerusi PN peringkat parlimen di Kelantan, iaitu Pengkalan Chepa Dato Mohd Amar Abdullah, Dato Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Dato Hanifa Ahmad (Pasir Mas), Abdul Rahman Yunus (Pasir Tumboh).

Dato’ Md Radzi Jidin (Ketereh), Dato’ Hassan Mohamood (Bachok), Ikmal Hisyam (Tanah Merah), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail (Pasir Puteh), Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan (Machang), Mustapa (Jeli), Abdul Latif Ab Rahman (Kuala Krai) dan Dato’ Azizi Abdul Naim (Gua Musang).

-ibnuhasyim.com

Sabtu, 2 Julai 2022

Dua kem dalam UMNO? Ini penjelasan Ismail Sabri

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Mesyuarat Tertutup Barisan Nasional di Bangunan UMNO Sabah hari ini. - BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri Majlis Mesyuarat Tertutup Barisan Nasional di Bangunan UMNO Sabah hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ada penganalisis politik berpendapat pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman mengenai isu dalaman UMNO memperlihatkan parti itu kini berpecah kepada dua kem.

Satu daripada kem itu dikatakan menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kem menyokong kepemimpinan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ismail Sabri hari ini menafikan dakwaan wujud dua kem dalam kepemimpinan parti berkenaan yang heboh diperkatakan susulan pendedahan Tajuddin selepas digugurkan selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Perdana Menteri menegaskan hanya ada satu kumpulan yang menerajui kepemimpinan UMNO.

"Kem (dalam UMNO)? Mana ada kem. Hanya satu kem dalam UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan  Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Ke-42, di sini hari ini.

-BH Online

Isnin, 27 Jun 2022

Zahid sedang melumpuhkan Ismail Sabri, takut kena langgar jawatan presiden

 

SATU demi satu pemimpin UMNO yang menerima jawatan di dalam kerajaan dipecat jawatan parti oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Terbaharu ialah Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana menerima jawatan Duta Besar Malaysia di Indonesia beliau dipecat daripada jawatan MKT UMNO.

Seterusnya selain Ketua Pemuda Shahril Hamdan, Tan Sri Noh Omar yang menang jawatan MKT dan kini menyandang Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor akan turut dipecat.

Pemecatan Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan melemahkan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam parti. Zahid kerana dikhuatiri akan bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti kelak.

Jadi mana-mana pemimpin yang dilihat menyokong Ismail Sabri akan dipecat dan dengan cara itu Zahid akan mengawal semua keputusan dan naratif parti.

Zahid menjadi pemimpin ‘kuku besi’ yang memecat siapa sahaja disyaki mencabar beliau, semata-mata mahu mengekalkan jawatan yang disandangnya.

Bahkan orang suruhan Zahid juga kini sangat rancak menyerang bagi membunuh karaktor Ismail Sabri dengan menggambarkan sebagai perdana menteri yang lemah.

Selain itu mereka yang memegang jawatan di dalam kerajaan pada masa kelotini juga dituduh sebagai pembelot kerana bersekongkol dengan parti Bersatu untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedangkan Zahid mahu pilihan raya diadakan lebih awal.

Zahid mahu Barisan Nasional (BN) kembali memenangi pilihan raya dan beliau selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional akan dipilih sebagai Perdana Menteri.

-Waklabufarm

Ahad, 26 Jun 2022

PEMECATAN TAJUDDIN ISYARAT HANYA LOYALIST ZAHID CALON PRU-15

 

MEREKA yang bukan “loyalist” Datuk Ahmad Zahid Hamidi setidak-tidaknya sudah diberi isyarat awal, bahawa kebarangkalian mereka tidak dicalonkan cukup tinggi.

Dalam Umno, hanya Presiden yang boleh memberi watikah untuk menjadi calon.

Pemecatan Tajuddin daripada MKT Umno, adalah isyarat pada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS), bahawa jawatan Perdana Menteri ke-10, tidak semestinya milik beliau, walaupun Umno menamakan beliau sebagai calon.

Tradisi Umno, Presiden adalah calon Perdana Menteri, jika parti menang.

DSIS dilantik ke jawatan Perdana Menteri pada Ogos, 2021, bukan mengikut tradisi Umno, kerana Umno tidak menang, akan tetapi perlantikan tersebut atas sokongan parti-parti lain yang lebih banyak kerusi.

Menerusi langkah Zahid, DSIS bukan sahaja terperangkap akan tetapi dalam keadaan dilema, maju kena mundur kena, kerana tidak boleh berbuat apa-apa, kerana Umno telah memutuskan pemilihan parti hanya dilakukan 6 bulan selepas PRU-15.

Dalam situasi sekarang, tiada manafaat bagi DSIS jika tunduk pada desakan kumpulan Zahid untuk melaksanakan PRU-15 lebih awal, kerana beliau sedar akan masuk senerai Perdana Menteri tidak sampai sepenggal, seperti mana PM-7 dan PM-8.

Mereka yang dilihat penyokong DSIS, terutama kluster menteri, perlu akur, apabila parlimen dibubar, maka tarikh itu lah titik penamat bagi mereka sebagai ahli parlimen. Selain itu, desas desus di peringkat Dun juga, mana-mana ADUN dilhat berpihak pada Perdana Menteri, mempunyai kebarangkalian juga tidak dipilih semula sebagai calon.

Jika calon-calon Umno hanya loyalist Zahid, sudah tentu, jika Umno menang, maka mereka akan menyokong calon yang direstui Presiden, jika beliau tidak boleh dicalonkan kerana sangkut di mahkamah.

Bagi parti-parti lain pula, jika calon-calon Umno hanya loyalist Zahid, maka rakyat akan mempunyai persepsi, bahawa mereka-mereka itu akan jadi pendesak untuk membebaskan Zahid termsuk juga Datuk Najib Razak daripada semua pertuduhan. Dan jikapun didapati bersalah, maka akan menggerakan permohonan pengampunan daripada Agong.

Dalam situasi sekarang, baik DSIS mahupun Zahid berlumba dengan masa atau dikejar-kejar masa, sama-sama mahu menyelamatkan kedudukan masing-masing. Di lain pihak pula, jika parti-parti lain dapat memanfaatkan situasi ini, kebarangkalian akan berlaku “upset” pada PRU-15, walaupun awalnya dijangka, tiada parti yang menang majoriti mudah secara persendirian.

-Suara Rakyat

Khamis, 23 Jun 2022

Kerajaan Tak Stabil Sebab Muhyiddin Bertemu DAP?

 

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu diadakan pada tahun ini kerana kerajaan sedia ada kini tidak stabil.

Menurut beliau, antara faktor berlakunya ketidakstabilan termasuk tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan dengan pemimpin DAP.
Muhyiddin tidak sepatutnya mengadakan pertemuan dengan DAP kerana Bersatu pada masa ini bersama Barisan Nasional (BN), Pas dan beberapa parti lain berada dalam kerajaan yang memerintah sekarang.

“Macam mana kerajaan hendak stabil jika ada pemimpin daripada parti yang bersama-sama membentuk kerajaan mengadakan perbincangan dengan pembangkang seperti DAP.

“Disebabkan ketidakstabilan ini, eloklah PRU15 disegerakan. Namun, jika ditanya bila sepatutnya PRU15 diadakan, saya berpendapat eloklah pada tahun ini juga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, menambah, PRU15 perlu dipercepatkan demi menstabilkan kerajaan.

Tegasnya, cadangan itu juga tiada kena mengena dengan kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin tertentu.

"Jika kerajaan stabil semua urusan pasti berjalan lancar dan masalah negara dan rakyat dapat diselesaikan segera. Yakinlah, kerajaan yang stabil dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.

"UMNO tidak pernah campur tangan dalam urusan melibatkan kes-kes mahkamah. Kes mahkamah diselesaikan melalui mahkamah untuk tentukan bersalah atau tidak,” katanya lapor Sinar Harian

-Anak Sungai Derhaka

Isnin, 16 Mei 2022

SEMENTARA TARIKH PRU15 DITENTUKAN KABINET, APA JADI JIKA PINDAAN PERLEMBAGAAN UMNO TIDAK DILULUSKAN ROS?

 Meskipun UMNO telah berjaya meminda perlembagaannya melalui Perhimpunan Agung Khas semalam yang menetapkan pemilihan parti hanya akan diadakan selepas enam bulan PRU dilangsungkan, perkara itu masih tertakluk kepada kelulusan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS.

Menurut Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, terserah kepada jabatan itu untuk menentukan kelulusannya.

“Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada RoS untuk mendapatkan kelulusan.

“Itulah dari segi prosedurnya.

“Kita tidak tahulah. Kita akan hantar permohonan itu untuk dapatkan kebenaran RoS terhadap pindaan itu. Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi,” ujarnya.

Kata beliau, UMNO perlu menghantar surat pemakluman kepada RoS berkaitan keputusan PAU Khas itu dalam tempoh 60 hari.

Persoalan utama di sini, bagaimana jika RoS tidak meluluskan pindaan tersebut yang bermakna UMNO perlu mengadakan pemilihannya sebelum 29 Disember sebagaimana ditetapkan jabatan itu sendiri sebelum ini?

Yang dirisaukan saja kerana pindaan itu dilakukan “di masa kecederaan” iaitu ketika tempoh pemilihan sedang ditangguhkan selama 18 bulan, malah menteri yang menjaga RoS iaitu Menteri Dalam Negeri juga merupakan musuh kepada UMNO.

Jika tidak diluluskan, apa pilihan yang ada pada UMNO selain akur untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini juga?


Di samping itu, berkenaan kaitan pindaan perlembagaan tersebut dengan tarikh PRU15, Ismail Sabri menegaskan, ia sama sekali tidak mempengaruhi perkara itu.

Ini kerana katanya, penentuan tarikh PRU15 perlu dibawa dan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan.

“Tarikh PRU itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat Kabinet.

“Kita akan bawa dalam Kabinet. Sementara parti berbeza dengan kerajaan.

“Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) ia akan dibawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan.

“Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya lagi.

Ditanya, bila dijangka Parlimen akan dibubarkan, Ismail Sabri berkata, “kita tunggulah, kalau saya bagi tahu, maknanya semua sudah tahu awallah.”

Agak-agak cemas tak Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sekarang ini? -ShahbudinHusin 16/05/2022.

-wrlr

Khamis, 5 Mei 2022

Tanpa Umno, kumpulan dwipartisan Ku Li bukan ancaman PAS, kata penganalisis

 

Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan akan memimpin kumpulan ‘dwipartisan’, Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan “dwipartisan” yang dipimpin Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hanya akan menjadi “ancaman sebenar” kepada PAS di Kelantan, jika ia mendapat sokongan Umno, kata penganalisis.

“Jika ia hanya Tengku Razaleigh sendiri, maka PAS tidak perlu terlalu risau,” kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara mengenai pembentukan sebuah kumpulan dikenali sebagai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan.

Beliau berkata, jika Umno bekerjasama dengan kumpulan itu, ia mempunyai peluang lebih baik untuk menjatuhkan PAS berbanding ia berusaha sendiri.

“Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh besar di Kelantan. Jadi, jika beliau boleh meyakinkan Umno untuk bekerjasama dengan Amanah hanya di Kelantan, maka kumpulan ini akan menjadi sangat berpengaruh bukan hanya dalam masyarakat sivil, tetapi dari segi politik juga,” katanya.

Khamis lalu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, dilaporkan akan memimpin kumpulan itu. Ia terbuka bukan hanya kepada parti politik, tetapi juga badan bukan kerajaan (NGO). Ini menyusul pertemuan Tengku Razaleigh dengan pemimpin Amanah Kelantan selepas majlis berbuka puasa baru-baru ini.

James Chin dari University of Tasmania pula kurang optimis mengenai peluang kumpulan itu menyingkirkan PAS di Kelantan dan menyifatkan ia hanya “platform untuk Tengku Razaleigh mendapatkan semula pengaruhnya”.

“Walaupun beliau kekal berpengaruh di Gua Musang, beliau telah hilang sebahagian besar pengaruhnya di Kelantan secara keseluruhannya. Kebanyakan orang menganggap zamannya sudah berlalu,” katanya kepada FMT.

“Saya tidak nampak sesiapa yang menumbangkan PAS, tetapi jika ia akan ditumbangkan, ia perlu dilakukan Umno dan bukan orang lain.”

Beliau berkata, Umno bagaimanapun tidak dapat menarik perhatian pengundi Kelantan kerana ia tidak mempunyai “calon yang tepat”.

“Umno sentiasa mempunyai masalah mencari calon atau pemimpin sesuai untuk menarik perhatian rakyat Kelantan,” katanya sambil menambah budaya politik Kelantan berbeza dengan negeri lain.

Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi pandangan sama dengan berkata, sebarang gabungan baharu yang dibentuk tidak mampu mencetuskan gelombang dalam landskap politik Kelantan pada pilihan raya umum ke-15.

Katanya, Amanah sebagai kumpulan serpihan PAS, perjalanannya masih jauh untuk mendapatkan sokongan rakyat Kelantan.-FMT